Ulasan
Review
. .

Judul : The Next Best Thing
Pengulas : A. Wahab Hamzah


Hubungan yang luar biasa

The Next Best Thing Benarkah masyarakat Amerika semakin sinis dengan institusi perkahwinan dan hubungan keluarga yang tradisional? Hubungan yang dulu dianggap abnormal dalam sistem sosial semakin diterima dan menjadi kebiasaan. Jika ini realitinya, maka filem The Next Best Thing arahan John Schlesinger cuba melihat sebahagian dari realiti dan kekacauan itu.

Filem ini berkisar tentang hubungan kekeluargaan yang luar biasa itu dan cuba melihat sejauh mana keluarbiasaan hubungan itu mampu wujud lebih jauh di dalam konvensi masyarakat. Abbie (Madonna) dan Robert (Rupert Everett) adalah watak-watak individualistik, hidup dalam dunia sendiri yang sunyi sehinggalah sesuatu muncul dalam hidup mereka.

Mereka adalah teman baik yang sama-sama pernah melalui kekecewaan dalam hidup. Abbie pernah gagal dalam perkahwinan dan Robert adalah seorang "gay". Tetapi yang menjadikan mereka begitu rapat adalah kerana kelahiran Sam hasil dari kandungan Abbie dan mereka mengambil keputusan untuk hidup bersama demi membesarkan Sam.

Banyak peristiwa yang berlaku dalam hubungan ini selepas kelahiran Sam yang membawa kepada persoalan tentang kehidupan ibu tunggal, kekasih, dan soal mempunyai anak tanpa perlu berkahwin.

Bagaimanapun hubungan antara Abbie dan Robert mula terancam dengan munculnya Ben Cooper (Benjamin Bratt) seorang ahli bank dalam hidup Abbie dan Abbie mula memikirkan kembali tentang masa depan kehidupannya yang lebih ceria dan erti sebuah perkahwinan.

Bagi John Schlesinger seorang pengarah filem veteran yang pernah memberikan kita filem-filem klasik seperti Midnight Cowboy (1968) dan Marathon Man (1976), dia cuba melihat persoalan dalam sebuah hubungan kemanusiaan dan kehidupan moden di Los Angeles. Dan dia melihat hubungan itu dari sudut dramatik dan komedinya.

Begitupun di sebalik persoalan hubungan yang luar biasa itu, filem ini tidaklah luar biasa, sungguhpun arahan John Schlesinger juga tidak mengecewakan sangat.

Sumber : Utusan Online 25/8/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000