Ulasan
Review
. .

Judul : The Patriot
Arahan : Roland Emmerich
Lakonlayar : Robert Rodat
Pelakon : Mel Gibson, Heath Ledger, Joely Richardson, Jason Isaacs, Chris Cooper, Tcheky Karyo dan lain-lain.

Pengulas : A. Wahab Hamzah


The Patriot - Epik yang kehilangan jiwa

Filem bagi sebahagian besar orang adalah medium hiburan. Biarpun, filem boleh menjadi sumber inspirasi, tetapi filem bukan seperti buku yang mahu memuatkan sekian banyak fakta daripada analisis dan kajian mendalam.

Sebab itu, peristiwa sejarah yang difilemkan sering menimbulkan kekeliruan dan bukan sedikit yang menimbulkan kontroversi.

Sejarah adalah peristiwa manusia yang sering menjadi bahan cukup menarik untuk difilemkan. Ini kerana bahan sejarah adalah sebuah cerita yang telah tersedia, lengkap dengan plotnya. Cerita sejarah mencipta hero dan legendanya sendiri, di mana aspek-aspek yang tidak dramatik telah digugurkan.

Berbeza dengan buku sejarah yang memberikan perincian, filem mempersembahkan cerita sejarah dengan penekanan pada aspek dramatik, visual dan jalan cerita yang mudah. Pendekatan sedemikian menyebabkan sering berlaku usaha mempermudah dan meminggirkan fakta dan peristiwa yang dirasakan tidak dramatik atau kurang penting.

Tetapi perlu diingat, filem bukanlah seperti buku sejarah yang mampu melihat peristiwa sejarah dari pelbagai sudut yang mana fakta dan hujahannya hasil daripada analisis mendalam dan pembuktian kukuh. Sebab itu, tidak mungkin filem The Patriot dapat dilihat sebagai sebuah filem sejarah Amerika.

Benar, The Patriot mengambil secebis sejarah perang revolusi Amerika abad ke-18 sebagai latarnya, tetapi memfiksyenkan heronya Benjamin Martin (Mel Gibson) seorang kolonialis di Carolina Selatan. Robert Rodat penulis lakonlayar filem ini (Rodat juga pernah sebelum ini menulis skrip filem Saving Private Ryan) mengambil cerita Francis Marion (juga dikenali sebagai Swamp Fox) dan secara beransur menjadikan filem ini sebuah fiksyen sejarah.

Di tangan pengarah Roland Emmerich yang sebelum ini memberikan kita filem-filem berskala besar (tetapi tidak semestinya cerdik) seperti Independence Day, Godzilla dan Stargate, The Patriot secara superfisial cuba dijadikan sebuah epik perang revolusi, penuh dramatik, darah dan doa, serta rasa kemanusiaan di sebalik kejelikan perang.

Dengan latar lokasi seperti padang, lalang, hutan, paya dan pekan kecil yang musnah, Emmerich cuba menjadikan peristiwa berdarah penubuhan sebuah negara Amerika.

Yang cuba hendak ditimbulkan adalah heroisme ala Amerika dan propaganda kolonialis. Maka, Roland Rodat mencipta watak Benjamin Martin seorang hero pahlawan perang Amerika, Perancis melawan kaum Indian. Tetapi, kesan daripada perang itu menjadikan Benjamin duda, seorang yang insaf dan bertekad untuk memulakan hidup baru bersama keluarganya dalam suasana damai di Carolina Selatan.

Perang revolusi Amerika menentang kerajaan Inggeris pada tahun 1776 sebenarnya masih belum mampu mengubah pendirian Benjamin, biarpun dia tidak berdaya menahan anak sulungnya Gabriel (Heath Ledger) memasuki pasukan tentera menentang Inggeris.

Tetapi Benjamin masih mahu merawat askar kedua pihak yang cedera di rumahnya di Carolina Selatan. Kematian anaknya Thomas (Gregory Smith) di tangan pasukan elit tentera Inggeris yang diketuai oleh Kolonel William Tavington (Jason Isaacs) dan kemudiannya Gabriel ditawan serta rumah mereka dibakar telah menukar pendirian Benjamin.

Secar visual filem ini memberangsangkan. Gambaran dramatik perang yang ganas dan gambaran paya yang misteri berjaya dilakukan dengan cemerlang oleh pengarah fotografi Caleb Deschanel.

Tetapi, gambaran patriotisme yang cuba dibangkitkan melalui Benjamin Martin gagal meyakinkan kerana kelemahan naratif yang kelihatan superfisial. Ini dilemahkan lagi oleh aspek lakonannya yang mengecewakan. Malah, Mel Gibson sendiri gagal memberikan jiwa pada watak Benjamin Martin. The Patriot boleh sahaja dilihat sebagai epik fiksyen sejarah yang besar, penuh dramatik dengan darah, ganas dan kematian.

Tetapi itu sahaja yang mampu dilakukan oleh Emmerich, sedangkan sebuah filem sejarah memerlukan jiwa dan unsur kemanusiaan yang hebat.

Sumber : Utusan Malaysia 11/8/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000