Ulasan
Review
. .

Judul : The Rainmaker
Arahan : Francis Ford Coppola
Lakonlayar : Francis Ford Coppola
Pelakon : Matt Damon, Jon Voight, Danny DeVito, Mickey Rouke, Virginia Madsen, Claire Danes, Roy Scheider, Danny Clover, Mary Kay Place & Teresa Wright

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : B-


The Rainmaker - Hujan yang tidak menjadi

Francis Ford Coppola akan selalu diingat dalam sejarah filem Amerika sebagai legenda moden Hollywood. Dia bersama-sama George Lucas, Steven Spielberg, Michael Cimino, John Millius, Martin Scorsese dan Brian De Palma bertanggungjawab menggerakkan gelombang baru pembikin filem Amerika yang bebas dari kongkongan studio di awal tahun 1970-an.

Di belakang Coppola ialah sejumlah filem yang mengisi sejarah moden filem- filem kontemporari Amerika iaitu The Godfather (I & II), Apocalypse Now dan The Conversation.

Di sebalik kejayaannya, Coppola juga pastinya diingat kerana sejumlah filem-filemnya yang mengecewakan seperti One From The Heart, Peggy Sue Got Married, Tucker dan yang terbaru Jack. Malang, Coppola menjadi mangsa kepada dualiti iaitu kejayaan dan kegagalannya.

Banyak yang berpendapat imaginasi sinematiknya semakin mengecewakan dalam tahun 1980-an dan 1990-an. Kegagalan Coppola itu dilihat kerana kegagalannya memberikan sepenuh perhatian dan wawasan sewajarnya yang sebenarnya telah membentuk filem-filemnya yang awal. Malah selepas filem Apocalypse Now pada tahun 1979, pihak media telah meletakkan kehidupan Coppola sebagai tak ubah seperti hasil karya seninya.

The Rainmaker adalah filem yang berdasarkan adaptasi Coppola ke atas novel karya John Grisham. Coppola memilih novel popular Grisham? Tindakannya ini sudah cukup untuk mengejutkan banyak pihak.

Bersama dengan Michael Crichton, Tom Clancy, dan Pat Conroy, John Grisham adalah antara nama-nama novelis yang paling berjaya dan novel-novel mereka sering berada dalam senarai jualan novel terlaris di Amerika.

Novel-novel mereka menjadi rebutan para pemain Hollywood. Grisham mungkin dianggap Mario Puzo 70-an. Godfather juga sebuah novel popular yang berjaya diangkat oleh Coppola menjadi sebuah filem klasik kontemporari. Lalu, apakah The Rainmaker mampu mengembalikan keupayaan Coppola sebagaimana dia melakukannya dengan The Godfather?

Novel ini bercerita tentang sekumpulan penduduk miskin dan kaum pekerja diperalat oleh sebuah syarikat insurans besar, Great Benefit yang menyangka mereka ini tidak akan berani mengheretnya ke mahkamah kerana tidak mampu membayar biaya peguam yang mahal. Great Benefit sentiasa menolak sebarang tuntutan bayaran insurans.

Bagaimanapun kematian Donnie Ray Black (Johnny Whitworth) seorang pesakit leukemia mengubah nasib Great Benefit. Peguam muda Rudy Baylor (Matt Damon) yang baru lulus dari Bar bertindak membantu ibu Donnie menyaman Great Benefit.

Dengan angkuh Great Benefit mengupah seorang peguam terkenal Leo Drummond (Jon Voight) yang mempunyai yuran guaman yang termahal untuk menghadapi saman Baylor. Baylor yang belum mempunyai pengalaman membela di mahkamah bersama rakam guamannya Deck Shifflet (Danny DeVito) yang tidak mempunyai lesen guaman perlu melakukan apa sahaja cara dalam perbicaraan menentang Great Benefit dan Leo Drummond.

Kebetulan mereka pernah bekerja dengan Bruisher Stone (Mickey Rouke), peguam yang mempunyai hubungan dengan dunia gelap di Memphis. Coppola dikatakan gemar tema novel ini, tentang si kerdil peguam muda idealistik yang bertindak sebagai underdog melawan seorang tokoh peguam yang hebat dan sebuah institusi yang berkuasa besar. Antara yang memperjuangkan kebenaran dan yang mempertahankan kekuasaan. Isunya adalah tentang manusia kecil yang ditindas.

Pertentangan antara si miskin yang dieksploitasi oleh si kaya, dan tentang bagaimana buruh yang dieksploitasi. Ini adalah dunia guaman pada sisi gelapnya, di mana penipuan, rasuah dan skandal berleluasa.

Untuk sekali ini teori Marxist juga dieksploit oleh Coppola. Dengan modal yang relatif kecil (AS$40 juta) The Rainmaker didukung oleh sebahagian pelakon yang tidak kurang hebat. Bagaimanapun pelakon bukan masalah filem ini.

Malah filem ini banyak diselamatkan oleh kekuatan pelakon, terutamanya Jon Voight, Matt Damon dan Danny DeVito.

Memang The Rainmaker bukan sekelas The Godfather atau setajam The Conversation. Plotnya tidak begitu kompleks, penyelesaiannya mudah. Hubungan Baylor dengan Kelly Riker (Danes) yang sentiasa diganasi oleh suaminya walaupun subplot yang baik tetapi penyelesaiannya tidak banyak membantu memperkuatkan naratif filem ini.

Mujur, di tangan pengarah sebaik Coppola The Rainmaker tidak sampai terjebak menjadi sebuah drama Grisham di dalam kamar mahkamah.

Memang Coppola tidak berada di puncak kehebatan kerjayanya. Bagaimanapun, ketokohannya adalah satu keyakinan untuk kita menonton filem ini. Stail dan sentuhan Coppola sebenarnya masih terasa di dalam filem ini.

Sumber : Utusan Online 10/7/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001