Ulasan
Review
. .

Judul : The Replacement Killers
Arahan : Antoine Fuqua
Skrip : Ken Sanzel
Pelakon : Chow Yun-Fat, Mira Sorvino, Michael Rooker, Jurgen Prochnow, Kenneth Tsang, Carlos Gomez dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C-


Tembakan tanpa henti

The Replacement Killers Bersedialah untuk menerima asakan demi asakan imej, aksi demi aksi dengan tahap keganasan yang memualkan. Pedulikan naratifnya kerana filem seperti ini tidak mementingkan naratif dengan segala jalinan plotnya yang rapi. Malah naratif telah hancur dalam filem seperti ini.

Kalau anda jenis yang menonton filem kerana kekuatan naratif dan keunggulan seninya, maka lupakanlah filem ini. Anda tidak sesuai menonton filem ini. Kerana anda tidak akan dapat menerima filem yang hanya dipenuhi dengan ledakan besar, tembak menembak tanpa henti, mayat bergelimpangan, kejar mengejar kereta dan perlanggaran, dan kata-kata yang mencarut.

Biarpun filem ini diisi dengan visual yang menarik, seting yang stailis, dengan pencahayaan yang suram dan suasana yang sentiasa basah.

The Replacement Killers arahan Antoine Fuqua (pernah terkenal kerana menghasilkan video musik Coolio Gangstas Paradise) tidak mementingkan isi dan perwatakan. John Lee (dimainkan oleh Chow Yun-Fat yang pernah terkenal dalam drama bersiri Man in the Net dan filem City in Fire dan The Killer), adalah pembunuh upahan yang tidak sanggup menjalankan arahan ketuanya untuk membunuh anak seorang pegawai polis.

Menyedari bahaya yang akan berlaku, John Lee perlu segera balik ke China untuk menyelamatkan keluarganya dan juga dirinya. Untuk mendapatkan pasport, dia menemui Meg Coburn (Mira Sorvino) yang pakar membuat pasport palsu. Apabila rancangan mereka diketahui, mereka menjadi buruan kumpulan pengganas tersebut.

Filem ini diasak dengan aksi keras dan peluru tanpa henti. Bentuk dan stailnya adalah bertolak dari konsep pembikinan video musik MTV dan filem-filem komersil. Yang selalunyanya mengutamakan bentuk dan stail, tetapi mengetepikan kandungan.

Hal ini pasti tidak menghairankan kerana Antoine Fuqua bermula sebagai pengarah video musik dan filem-filem iklan. Antoine adalah seangkatan dengan pengarah Simon West (Con Air), Dominic Sena (Kalifornia), David Fincher (The Game, Seven) dan Michael Bay (The Rock). Mereka semua bermula ditempat yang sama, Propaganda Films, syarikat yang banyak terlibat dalam menghasilkan video musik dan filem-filem iklan.

Propaganda Films menjadi kem buat kumpulan ini mencerna kreativiti mereka. Mereka selalunya tertarik dengan aksi keras dan stail visual yang mencengkam daripada memikirkan tentang isi dan perwatakan. Filem-filem mereka diistilahkan sebagai nonmovie movies.

Pengalaman yang berbeza (seperti angkatan pengarah filem Amerika yang lain) menyebabkan mereka melahirkan filem yang berbeza. Keras dan berani dengan kekuatan bentuk yang stailis dan meminggirkan kepentingan naratif. Agaknya inilah masa depan pembikin filem Hollywood. Justeru itu bersedialah untuk menerima lebih banyak filem-filem yang begini.

Sumber : Utusan Online 30/1/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001