Ulasan
Review
. .

Judul : The Sixth Sense
Arahan : M. Night Shyamalan
Lakonlayar : M. Night Shyamalan
Pelakon : Haley Joel Osment, Bruce Willis, Donnie Wahlberg dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


The Sixth Sense antara dua alam

The Sixth Sense Filem ini mendapat sambutan yang cukup hangat di Amerika. Bisikan pelakon kanak-kanaknya dalam promosinya di televisyen sudah cukup untuk memikat kita menonton filem ini. Sejak sekian lama tenggelam dalam himpunan filem-filem seram fantasi remaja yang dangkal, stereotaip, tidak asli, pengulangan dan klise, genre filem seram sebenarnya memerlukan pendekatan yang lebih bijak untuk kembali.

M. Night Shyamalan seorang pengarah keturunan India yang dilahirkan di Philadelphia bertanggungjawab membawa kembali genre itu dengan pendekatan yang bijak dan menarik.

Cerita dan lakonlayar The Sixth Sense ditulis sendiri oleh Shyamalan. Filem ini dilihat dari kacamata seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, Cole Sear (lakonan Haley Joel Osment) yang selalu berkelakuan ganjil dan kerana itu ia disisih oleh teman-teman sebayanya.

Akibatnya Cole menjadi lebih rigid, serius dan terlindung hingga ibunya sendiri sukar memahami dirinya. Cole berada dalam dunia paranormal, yang mana dia dapat melihat roh orang-orang yang sudah mati dan berkomunikasi dengan mereka.

Antara roh orang mati yang berkomunikasi dengan Cole adalah Dr. Malcolm Crowe (Bruce Willis) seorang psikologis kanak-kanak. Dr. Crowe ditembak mati oleh salah seorang bekas pesakitnya iaitu Vincent (Donnie Wahlberg).

Melalui komunikasi antara Cole dan Crowe, Crowe berusaha membantu Cole mengatasi masalah dirinya dan dunia paranormalnya.

Peristiwa dan keupayaan paranormal Cole ini menjadi beban yang sungguh menyeksa hingga menyebabkan kehidupannya sentiasa dalam ketakutan, tegang dan keliru. Dr. Crowe sebagai seorang psikologis kanak-kanak merasakan yang dia dapat memahami dan membantu Cole menghadapi masalahnya kerana dia melihat ada persamaan antara Cole dan Vincent yang gagal diselamatkannya dahulu.

Tetapi Crowe sebenarnya keliru tentang dirinya kerana dia juga sebenarnya tidak menyedari yang dia sudah mati sehinggalah apabila Cole memberitahunya cara yang membolehkannya berkomunikasi dengan Anna.

The Sixth Sense berbicara tentang dua dunia, iaitu dunia yang real dan dunia misteri tentang roh-roh orang mati yang masih berkeliaran dengan tujuan tertentu atau juga tanpa tujuan yang jelas. Dunia misteri yang yang hanya dapat dilihat dari halusinasi seorang kanak-kanak.

Kedua-dua dunia ini diberikan pendekatan yang realistik. Kerana itu kita melihat roh-roh yang sudah mati itu seperti orang yang masih hidup dan berkelakuan seperti orang biasa. Pendekatan sama yang telah dilakukan oleh filem Ghost, Meet Joe Black dan beberapa filem yang seumpamanya.

Adegan yang dilakukan secara realistik lebih berkesan berbanding jika dilakukan secara efek khas atau manipulasi teknik. Ini kerana imej roh atau hantu yang berkesan dalam filem adalah apabila ia digambarkan secara realistik.

Seperti yang pernah dilakukan oleh Kenji Mizoguchi dalam filem Ugetsu Monogatari (1953) tentang seorang suami yang pulang ke rumahnya dan bercakap-cakap dengan isterinya yang telah seminggu mati.

Adegan itu sungguh berkesan dan kekuatan kesan itu datang daripada kontras antara imej realisme yang sebenar dan pengetahuan bahawa imej realistik lain itu adalah hantu atau roh sahaja.

Dalam The Sixth Sense, Shyamalan menggunakan halusinasi Cole dalam dunianya yang ragu dan menakutkan itu untuk mengajak penonton meneroka dunia misteri roh.

Hanya Crowe yang tidak sedar. Sungguhpun filem ini menjanjikan sesuatu yang mengerikan dan menyeramkan, tetapi Shyamalan tidak pula memberikan efek seram secara murahan dan mudah. Misteri dan dunia ngeri yang dihasilkan oleh Shyamalan secara perlahan dirungkaikan. Tidak ada adegan ganas yang penuh kekerasan.

Bruce Willis yang dikenal melalui filem-filem aksi yang keras dan ganas, dalam filem ini tampil lembut dengan watak yang penuh ragu tetapi bertenaga. Bagaimanapun lakonan yang cukup berkesan pastinya datang daripada pelakon kanak-kanak Haley Joel Osment. Dengan wajahnya yang sentiasa redup, kaku tetapi mendepani beban yang sukar dijelaskan.

Kesemua beban itu disampaikan melalui dialog-dialognya yang dilafazkan secara hati-hati dan penuh emosi sambil mengharapkan pengertian. Menghadapi keraguan dan misteri si anak adalah ibunya yang dilakonkan dengan cukup baik oleh Collette. Dia ibu tunggal yang menyayangi anaknya, sentiasa risau terhadap sikap anaknya hingga sampai ke satu peringkat yang merimaskannya.

The Sixth Sense memang berusaha menyeramkan, tetapi dilakukan secara bijaksana dan terkawal. Filem ini juga secara sensitif dan penuh emosi membawa penonton meneroka dunia halusinasi dan ragu seorang kanak-kanak yang meminta pengertian.

Itulah kekuatan filem garapan Shyamalan dan ia dilengkapkan dengan mood fotografi arahan Tak Fujimoto yang memberikan kontras cahaya yang bersesuaian dan mampu mengekalkan mood visual filem ini. Filem ini tidak memerlukan efek khas luar biasa untuk mencipta dunia halusinasi yang menyeramkan dan menyentakkan penonton. Segalanya dilakukan secara realistik.

Filem ini hanyalah filem ketiga arahan M. Night Shyamalan tetapi bersama pengarah keturunan India lainnya seperti Ketan Mehta (Elizabeth) dan Mira Nair (Salam Bombay) mereka meletakkan nama mereka di Amerika sepertimana yang dilakukan oleh pengarah dari Hong Kong. Tentunya dengan stail filem yang berbeza.

Sumber : Utusan Online 5/11/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001