Ulasan
Review
. .

Judul : The Talented Mr. Ripley
Pengulas : A. Wahab Hamzah


Anak muda mencari identiti

The Talented Mr. Ripley adalah thriller yang menarik dengan subjek yang tidak mudah untuk digemari oleh Hollywood, tentang lelaki gay yang akhirnya menjadi pembunuh bersiri. Filem Silence of the Lambs pernah menjadi kontroversi kerana subjek yang sama.

Filem ini merupakan filem terbaru dari Anthony Minghella selepas kejayaan filem The English Patient. The Talented Mr. Ripley berdasarkan novel karya Patricia Highsmith tentang anak muda yang tenggelam dalam mimpinya dan anak muda yang mencari identiti dirinya.

Filem ini berlatarkan Itali tahun 1950-an. Tom Ripley (Matt Damon) yang tidak pernah menjejakkan kaki ke Universiti Princeton tetapi telah disalah anggap oleh Herbert Greenleaf (James Rebhon) sebagai kawan anaknya Dickie (Jude Law) semasa di universiti. Tom dibayar oleh Greenleaf untuk menjejak Dickie di Itali bersama teman wanitanya Marge Sherwood (Gwyneth Paltrow).

Tom perlu membawa Dickie pulang ke Manhattan untuk menguruskan perniagaan bapanya. Tetapi Itali telah menukar Ripley dan membuka peluang baru. Ripley menemui Dickie dan kemudian jatuh hati dan tertarik secara seksual. Komplikasi berlaku. Hubungan mereka bertiga bermula dengan baik, tetapi sikap yang ada pada Dickie mula menyakitkan hati Ripley.

Kecewa dan marah terhadap Dickie menyebabkan Ripley bertindak ke atas Dickie. Dia kemudian berfoya dengan Logue (Cate Blanchett) dan kemudian dengan seorang pemuzik gay Peter Smith-Kingsley (Jack Davenport). Kesemua mereka ini menjadi mangsa kepada Ripley yang bijak menyembunyi kedurjanaannya.

Hanya Marge yang menyedari dan mengetahui kebusukkan Ripley. Filem ini membawa persoalan anak muda dengan mimpi-mimpi mereka dan kemudian terkorban kerana impian mereka itu. Filem ini meminggirkan hujahan moral dan membenarkan lelaki gay seorang pembunuh bersiri yang menghadapi masalah jiwa.

Matt Damon cemerlang sebagai Tom Ripley yang awalnya hanyalah seorang yang naif tetapi ruang yang ada memberikannya kesempatan untuknya mengembangkan bakat durjananya. Bagaimanapun Jude Law memang mengkagumkan sebagai anak muda yang kaya, bebas dan glamor di samping tarikan seksual yang menyebabkan Ripley tertarik kepadanya. Minghella tidak menamatkan ceritanya dengan menghukum Ripley kerana dosanya. Tetapi membiarkan kemusnahan lain yang bakal mengganggu.

The Talented Mr. Ripley sebuah thriller tentang kemusnahan diri dan sosial, tentang pencarian diri yang hilang dan bagaimana anak muda yang tenggelam dalam mimpi-mimpi yang memusnahkan.

Sumber : Utusan Online 24/3/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000