Ulasan
Review
. .

Judul : The Virgin Suicides
Arahan : Sofia Coppola
Lakonlayar : Jeffrey Eugenides & Sofia Coppola
Pelakon :
Leslie Hayman, A. J. Cook, Chelsea Swain, Kirsten Dunst, Hanna Hall, James Wood, Kathleen Turner, Jonathan Tucker, Josh Hartnett dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


The Virgin Suicides -- Dilema remaja 70-an

The Virgin Suicides Sofia Coppola, nama ini mula dikenali melalui filem The Godfather III. Dia membawakan watak Mary Corleone, setelah Winona Ryder terpaksa menolak daripada membawakan watak itu. Malang dia dianggap gagal dalam lakonannya dan lebih diingat sebagai anak Francis Ford Coppola, pengarah filem itu.

Sofia sendiri menyedari yang lakonan bukan bidangnya. Tetapi filem tidak pernah mengecewakannya. Dia membuktikan kelangsungan kejayaan keluarga Coppola dengan The Virgin Suicides.

The Virgin Suicides adalah usaha pertama Sofia sebagai penulis dan pengarah filem. Dengan mengambil novel popular Jeffrey Eugenides sebagai dasarnya, Sofia cuba melihat kehidupan remaja wanita dengan permasalahan psikologi yang sukar dijelaskan.

Dalam filem pertama ini Sofia memberikan identiti, gaya dan sudut pandangannya di samping cuba memahami subjeknya iaitu remaja yang seusianya melalui kehidupan yang cukup terkawal dan aneh.

Filem ini berkisah tentang lima orang anak gadis keluarga Lisbon yang tinggal di pinggir bandar Michigan dengan mengambil latar masa sekitar tahun 1970-an.

Lima gadis ini yang berusia antara 13 hingga 17 tahun adalah Therese (Leslie Hayman), Mary (A. J. Cook), Bonnie (Chelsea Swain), Lux (Kirsten Dunst) dan yang bongsu Cecilia (Hanna Hall). Mereka tinggal dibawah jagaan kedua ibu bapa mereka (James Wood dan Kathleen Turner) yang memberi peraturan disiplin yang cukup ketat.

Apa yang menjadi misteri dan menimbulkan persoalan adalah bentuk kehidupan dan jawapan mengapa gadis-gadis tersebut membunuh diri. Persoalan ini sebenarnya yang menghantui Tim Weiner (Jonathan Tucker) yang pernah membesar bersama mereka dan pernah meminati mereka.

Misteri kehidupan kelima-lima gadis ini adalah cerita tentang kehidupan yang tragis, kisah cinta dan kekecewaan, seksualiti dan kematian, mimpi dan kengerian. Kehidupan gadis-gadis tersebut adalah siri kehidupan remaja Amerika yang sedang melalui perubahan.

Filem ini tidak berusaha mencari punca gadis-gadis tersebut membunuh diri yang bermula dengan Cecilia yang membunuh diri secara tiba-tiba ketika keluarga Lisbon itu mengadakan parti. Apa yang menyebabkan Cecilia murung dan kemudian melemparkan dirinya keluar dari tingkap dan tertikam pagar rumah.

Suatu yang mahu dibuka oleh filem ini adalah bagaimana gadis-gadis ini melalui kehidupan dalam disiplin yang ketat. Sofia Coppola cuba menyelami kegelisahan dan fantasi keremajaan gadis-gadis ini dan kegembiraan yang mereka lalui ketika berjaya mendapat peluang menghadiri parti.

Dengan menumpukan kepada hubungan Lux dan Trip Fontaine (Josh Hartnett) yang selepas menghadiri parti mereka membuat hubungan selanjutnya dan Lux ditinggalkan bersendirian di padang hingga keesokannya.

Keluarga Lisbon yang sudah mula agak terbuka, akhir bertindak dengan menutup terus keempat-empat anak gadis itu dari dunia luar. Mereka dikurung di dalam rumah. Tindakan ini menjadi misteri kepada sekumpulan anak muda jiran mereka.

Biarpun mereka akhirnya cuba menyelamatkan gadis-gadis ini daripada perlakuan kedua ibu bapa mereka tetapi tindakan itu sudah terlambat kerana mereka semua membunuh diri.

Sofia Coppola mungkin mahu menjadikan The Virgin Suicides sebuah filem yang sensitif, diisi kengerian, komik dan misteri. Cuba meneroka gelodak jiwa dan seksualiti remaja Amerika dari kaca mata seorang wanita tetapi pendekatannya agak serius hingga kesan komik yang seharusnya lahir daripada anak-anak remaja itu kurang menyerlah.

Untuk memastikan latar tahun 1970-an, Sofia menggunakan lagu-lagu yang popular diwaktu itu seperti oleh Bee Gees, Elo dan Styx. Filem ini dilengkapkan dengan kostum yang berupaya memancarkan zaman itu. Sementara lakonan sebahagian besar pelakonnya adalah sederhana tetapi kemunculan James Wood sebagai bapa dan guru fizik yang protektif amat berkesan. Begitu juga peranan ibu yang dominan oleh Kathleen Turner cukup meyakinkan.

Sebagai filem pertama, The Virgin Suicides tidak mengecewakan. Filem ini mampu menyalurkan kegelisahan dan kemurungan remaja yang disekat dari dunia luarnya di kala remaja Amerika sedang melalui perubahan dari segi sikap dan gaya hidup.

Sumber : Utusan Online 22/12/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001