Ulasan
Review
. .

Judul : The Wedding Singer
Arahan : Frank Coraci
Lakonlayar : Tim Herlihy
Pelakon : Adam Sandler, Drew Barrymore, Christine Taylor, Matthew Glave, Allen Covert, Steve Buscemi dan Matthew Glave

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : B


Filem komedi masihkah ada masa depan?

Pada ketika jadual tontonan kita dipenuhi oleh filem-filem arus perdana yang besar dan sarat dengan efek khas, maka adakah lagi masa depan untuk filem-filem komedi romantis atau filem-filem kecil yang menyenangkan tanpa dipenuhi oleh efek khas?

Setelah letih dengan filem-filem yang berat dengan unsur thriller dan suspens, dan senak dengan filem yang dipenuhi oleh ledakan dan kemusnahan, kita akan merasa senang dan terhibur dengan filem komedi yang kelihatan juvenil, yang selalunya berkisar pada perhubungan insan.

Pembikinan The Wedding Singer memang kelihatan tidak sesempurna filem arus perdana dari Hollywood. Ia kelihatan juvenil dan tidak cukup halus tetapi disebalik itu humornya cukup menyenangkan dan menghiburkan.

Dalam filem ini Adam Sandler adalah Robbie Hart penyanyi jemputan di dalam majlis-majlis perkahwinan di sebuah pekan kecil yang akan menghiburkan para jemputan dengan lagu-lagu popular di awal tahun 1980-an.

Filem ini sendiri mengambil latar tahun sekitar 1985, pada ketika Donald Trump dan Ivana, Woody Allen dan Mia Farrow belum bercerai. Atau, pada ketika itu pekan kecil masih merasa jauh dari keriuhan kota besar kerana dunia masih belum diserang oleh revolusi teknologi maklumat.

Peristiwa memalukan kerana kegagalan majlis perkahwinan Robbie sendiri bila tunangnya, Linda (Angela Featherstone) meninggalkannya telah menukar Robbie menjadi seorang yang melankolia dan sinikal.

Lagunya Love Stinks sempat memeranjatkan sebuah keluarga yang mengadakan majlis perkahwinan dan jemputan mereka. Kegagalan perkahwinannya dengan Linda yang melihat karier Robbie sebagai penyanyi majlis perkahwinan tidak kemana-mana, menyebabkan Robbie menganggap cinta itu sebagai jenaka, sehinggalah dia menemui Julia (Drew Barrymore) seorang pelayan cantik pada majlis-majlis perkahwinan yang berupaya memulihkan semangatnya.

Bagaimanapun perhubungan mereka terlindung oleh rasa malu antara keduanya dan Robbie sememangnya mengetahui bahawa Linda sudah bertunang dengan Glenn (Matthew Glave) seorang broker saham di Wall Street.

The Wedding Singer sepertimana filem-filem komedi romantis lainnya mempunyai momen-momen kelucuannya yang cukup menarik, antaranya ketika Robbie menyanyi lagunya yang sinikal di hadapan pengantin yang baru dan jemputan mereka.

Filem ini memanfaatkan budaya pop 80-an yang semakin nostalgik (sebelum ini filem lebih tertarik dengan nostalgia tahun 70-an).

Period awal tahun 80-an ditonjolkan dengan lagu-lagu Cult dari kumpulan Culture Club, Do You Really Love Me yang dalam filem ini sering dinyanyikan oleh George ketika mengambil alih menyanyi dari Robbie, lagu Billy Idol White Wedding (Billy Idol muncul sebagai cameo di babak akhir filem ini), baju T Van Halen dan paling menarik karakter dan fesyen period ini cukup berjaya dimanifestasikan oleh Sammy (Allen Covert) kawan baik Robbie.

Adam Sandler dikenali dalam siri TV Saturday Night Live dan pernah muncul dalam filem Billy Madison dan Happy Gilmor.

Sebagai penyanyi dia telah menghasilkan tiga album komedi dan filem ini membuktikan dia juga boleh memberikan sentuhan komikal yang baik dan bersama Drew Barrymore mereka berjaya membentuk pasangan yang menarik.

Dalam filem ini, mereka adalah individu yang keliru dengan bakal pasangan mereka yang nyata mempunyai pandangan hidup yang berbeza kerana pengaruh dunia material yang mereka alami di kota besar. Peristiwa yang telah menimpa diri mereka menyebabkan mereka jadi saling memahami.

Pengarah filem ini Frank Coraci, penulisnya Tim Herlihy dan penerbitnya Jack Giarraputo adalah teman-teman rapat Adam Sandler semasa mereka menuntut di Universiti New York.

Dengan latar yang sedemikian dan dengan mengetahui tradisi yang melatari pembikinan filem-filem dari New York maka kita tidak hairan kalau mereka memilih untuk menghasilkan filem komedi romantis. Filem-filem mereka sama ada mentertawakan diri mereka, membuat retrospektif tentang diri atau melihat kepahitan dalam hubungan kemanusiaan.

Sumber : Utusan Online 19/6/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001