Ulasan
Review
. .

Judul : Three Seasons
Arahan : Tony Bui
Pelakon : Don Duong, Nguyen Ngoc Hiep, Nguyen Huu Duoc, Harvey Keitel, Lola Ai Guimond dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Vietnam - realiti selepas perang

Inilah Vietnam dari sisi lain. Vietnam selepas perang yang perlu membina semula kehidupan yang hampir musnah. Ini bukanlah wajah-wajah Vietnam yang selalu kita kenali dalam filem-filem epik perang Vietnam Hollywood yang penuh dendam, keras dingin, wajah yang sering bertukar ganti, mengacukan pistol dan kemudian menghilang dalam kegelapan, atau masyarakat yang sukar difahami.

Hollywood merakamkan Vietnam dari kaca mata mereka yang berisikan dendam perang yang mereka sendiri tidak fahami, masyarakat dan budaya yang asing bagi mereka. Filem mereka penuh keangkuhan, kesombongan, memesungkan dan mengacaukan.

Lalu, siapakah yang lebih layak untuk merakamkan rasa hati, keramahan dan realiti sebenar masyarakat yang cuba bangun semula daripada puing-puing perang itu dengan segala kedaifan, kehancuran dan beban pengalaman serta igauan ngeri masa lalu itu tanpa menjadi sentimental yang melulu, kalau bukan anak Vietnam sendiri?

Three Seasons cuba merakamkan individu-individu yang kehilangan. Individu-individu yang mencari teman, erti kasih dan ketenangan dalam sebuah masyarakat yang mana telah terurainya ikatan keluarga dan budaya akibat perang yang pernah menggila.

Kesemua cerita dan imej-imej yang dipaparkan berjaya merakamkan episod-episod drama kecil yang mencengkam yang berlaku di pinggir bandar Ho Chi Minh. Bandar yang dengan kebisingan, kehangatan dan kehidupan orang-orangnya yang sukar diduga.

Kesemua drama kehidupan ini dilakukan tanpa pretensi dan juga bukan melodrama yang penuh emosi untuk meraih simpati. Seperti filem-filem neo-realisme, filem ini hanya merakamkan cebisan kehidupan tanpa menghukum, yang utama berusaha memahami.

Filem ini cuba mengikuti perjalanan cerita kehidupan tiga orang Vietnam. Seorang pengayuh bernama Hai (Don Duong) yang berkawan dengan seorang pelacur, Seorang pemetik bunga teratai yang bernama Kien (Nguyen Ngoc Hiep) yang selain menjual bunga di bandar Ho Chi Minh terpikat dengan kehebatan dan kehalusan puisi-puisi seorang sami yang meminggirkan dirinya setelah ditimpa penyakit lalu menawarkan khidmat menjadi jurutulis sami yang telah kudung jarinya itu, dan seorang budak jalanan Woody (Nguyen Huu Duoc) yang merayapi pinggir-pinggir jalan Ho Chi Minh untuk berniaga rokok sambil mencari teman. Mereka semua ini adalah individu-individu yang kesunyian dan keseorangan di dalam bandar Ho Chi Minh yang mula sibuk dan membangun selepas dua dekad diamuk perang. Mereka mencari teman yang dapat memahami mereka, mencari erti kasih dan ketenangan yang telah hilang.

Turut merasakan kehilangan dan mencari semula kebahagian yang pernah dikecapinya dahulu ialah seorang bekas askar Amerika di Vietnam James Hagen (Harvey Keitel) yang berminggu-minggu merayapi kota Ho Chi Minh itu hanya untuk mencari semula anaknya hasil perkahwinannya dengan seorang wanita Vietnam.

Dia menemui anaknya Phuong (Lola Ai Guimond) yang kini menjadi seorang pelayan di sebuah restoran dalam sebuah adegan yang begitu berkesan dan emosional. James yang digambarkan di sini bukanlah seperti seorang hero ala Rambo perang Vietnam seperti yang digambarkan dalam banyak filem perang Vietnam Hollywood sebaliknya seorang lelaki yang emosional yang merasakan sama kehilangan dan kekecewaan.

Berminggu dia hanya merenung kosong ke arah sebuah restoran yang dulunya adalah sebuah kelab G.I yang mana di dindingnya terdapat tulisan grafiti Apocalypse Now dan di siling restoran itu didekorasikan dengan grafiti zaman perang dan helikopter.

Mungkinkah drama pedih kehidupan di pinggir jalan kota Ho Chi Minh ini dapat dirakamkan dengan lebih berkesan jika ia dirakamkan oleh seorang Viet Kieu (orang Vietnam yang tinggal di sebarang laut) yang masih dapat merasakan da  menyimpan semangat dan roh Vietnam.

Ternyata cerita dan realiti Vietnam ini mampu dilakukan oleh Tony Bui dengan begitu meyakinkan sekali. Keupayaan itu dibuktikan dengan imej-imej yang mencengkam drama kehidupan di pinggir jalan dan di rumah-rumah yang kumuh dan sesak serta gambaran kota Ho Chi Minh yang hangat dan riuh dalam visual yang cukup cantik dan mengkagumkan.

Kita dapat merasakan aroma dan emosinya dalam setiap adegan. Tony Bui pengarah filem ini adalah kelahiran Vietnam, tetapi dibesarkan di Amerika setelah keluarganya meninggalkan Vietnam pada tahun 1975 ketika usianya dua tahun.

Pengalaman dan ingatannya tentang Vietnam hilang sama sekali kerana perpindahan itu, tetapi obsesinya tentang Vietnam datang semula selepas ibunya menghantarnya ke Vietnam pada tahun 1992.

Three Seasons tidak dihasilkan dengan mudah, malah Tony Bui terpaksa mengharung pelbagai rintangan, masalah kewangan dan sensor yang ketat pihak berkuasa Vietnam. Filem ini dihasilkan dengan budget AS$2 juta dan hampir sahaja gagal difilemkan tanpa sokongan Harvey Keitel yang mendermakan keseluruhan bayarannya kepada sebuah tabung kebajikan di Ho Chi Minh.

Tony Bui yang menghasilkan filem ini sendiri sebenarnya baru sahaja selesai menghasilkan filem pendek The Yellow Lotus sebuah filem untuk keperluan tesis universitinya. Three Seasons telah memenangi anugerah di Festival Filem Sundance sebuah festival yang memberi pengiktirafan kepada pembikin filem bebas.

Tony Bui mengiringi kecemerlangan seorang lagi pembikin filem Vietnam Tran Anh Hung yang telah menghasilkan filem The Scent of Green Papaya (1993) yang berjaya meraih Anugerah Camera dOr di Cannes dan turut dicalonkan di Anugerah Akademi untuk filem luar terbaik.

Anh Hung kemudian menghasilkan Cyclo (1995), sebuah filem yang mengagumkan visualnya tetapi menjadi kontroversi kerana kekerasannya biarpun filem itu berjaya meraih Anugerah Golden Lion di Festival Filem Venice.

Selain Tony Bui, Tran Anh Hung adalah Luu Trong Ninh yang menghasilkan filem Forgive Me, Viet Linh (There Was a Time), Dang Nhat Minh yang menghasilkan filem A Village Within Reach dan Memories of the Countryside dan Vinh Son yang telah menghasilkan Territory of Life.

Mereka adalah sekumpulan pembikin filem Vietnam yang sedang membentuk gelombang baru pembikin filem negara itu. Mereka melihat realiti kehidupan Vietnam selepas perang dari kaca mata yang jujur. Hasilnya adalah drama-drama kehidupan yang pedih, menyentuh dan tanpa prentensi.

Perhatikanlah filem karya para pengarah Vietnam ini dan percayalah pembikin filem kita boleh belajar banyak daripada mereka yang membangunkan seni filem negara itu yang merupakan bekas runtuhan perang, kekangan pemerintah dan budget yang miskin.

Sumber : Utusan Online 10/12/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001