Ulasan
Review
. .

Judul : Titanic
Arahan : James Cameron
Lakonlayar : James Cameron
Pelakon : Leonardo DiCaprio, Kate Winslet dan Billy Zane

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C+


Nostalgia yang mahal

Sudah banyak yang ditulis tentang kapal Titanic yang tenggelam pada 15 April 1912, lima hari selepas belayar dari Southampton, England menuju New York. Bukan itu sahaja, peristiwa tenggelamnya The Unsinkable Titanic yang berusia 85 tahun itu sendiri telah beberapa kali difilemkan.

Kerana itu, bila James Cameron mencagarkan dirinya (Dia adalah penulis, pengarah, produser dan juga menyunting) untuk sekali lagi merealisasikan impiannya memfilemkan Titanic, ramai yang mempersoalkannya.

Bayangkan, bujet filem ini memakan belanja yang paling mahal dalam sejarah pembikinan filem iaitu lebih dari AS$200 juta (RM800 juta) - jauh lebih mahal dari filem Waterworld, dengan masa tayangan lebih dari tiga jam. Bandingkan jumlah ini dengan harga asal membina Titanic iaitu AS$8 juta (RM24 juta) pada tahun 1912. Apa yang dimahukan oleh James Cameron dari Titanic kali ini?

James Cameron sebenarnya memadukan tragedi sebenar dengan fiksyen asmara yang sebenarnya tidak pernah wujud di dalam kapal itu. Kisah Rose De Witt Bukater (Kate Winslet) seorang gadis bangsawan berusia 17 tahun yang telah bertunang dengan hartawan Cal Hockley (Billy Zane) seorang lelaki panas baran, tetapi membuat hubungan cinta di atas kapal dengan seorang pelukis miskin Jack Dawson (Leonardo DiCaprio) yang mendapat tiket menaiki Titanic selepas menang main poker, sebenarnya tidak pernah terjadi.

James Cameron menjadikan Titanic dan set yang sedemikian mahal sebagai latar kepada satu kisah percintaan yang timbul dari dua kelas sosial yang berbeza. Malah Titanic juga dimuatkan dengan dua kelas sosial penumpang yang berbeza. Penumpang kelas pertama bagai tinggal di dalam istana, tetapi penumpang kelas tiga bukan sahaja bersesak, malah tidak mendapat keutamaan dalam usaha penyelamatan bila Titanic hampir tenggelam.

Untuk merealisasikan impiannnya, Cameron membina replika kapal Titanic di Mexico dengan ukuran 90 peratus dari ukuran yang sebenar. Bukan itu sahaja Cameron memastikan segala-gala ciri tentang kapal itu dari hiasan dan ukiran dalaman Titanic hingga barang-barang yang digunakan adalah tepat sepertimana yang asal. Secara visual filem ini mengkagumkan. Dari mula Titanic muncul hingga ia tenggelam kita dapat merasakan autentisiti dan kehebatannya.

Kerapian dalam pembinaan replikanya oleh Peter Lamont (Production design) dan kekuatan imej-imej yang dihasilkan oleh Russell Carpenter (Pengarah fotografi), membuatkan visual yang dipaparkan menjadi imej yang sebenarnya mengerikan dan hanya kemusnahan penamat yang paling sesuai untuk kekaguman tersebut. Ia adalah visual yang penuh ironi dan memuatkan kesedihan.

Keselarian inti visual ini sebenarnya juga dihasilkan oleh pertemuan dan hubungan cinta Rose dan Jack. Pertemuan yang bermula dengan Jack yang berusaha menyelamatkan Rose yang cuba membunuh diri dengan terjun dari kapal. Hubungan itu berjalan dengan suasana yang menggetarkan. Hubungan berakhir dengan tenggelamnya Titanic dan Jack mati dalam kedinginan Atlantic.

Cameron mungkin cuba meletakkan Titanic setaraf dengan Dr. Zivago arahan David Lean itu. Tetapi Cameron menghadapi masalah dalam memberikan skrip yang lebih kuat dan bermakna. Cameron lebih menyerlah bila dia berjaya memberikan visual yang begitu kuat, terutama imej Titanic yang berlumut dan karat di perut Atlantik.

Mujur kekuatan lakonan Kate Winslet dan Leonardo DiCarpio berjaya menyelamatkan banyak keadaan. Dari mereka kita dapat melihat keremajaan, keberanian menempuh halangan tetapi juga tidak menyedari bahawa ketamakan dan keangkohan telah menenggelamkan Titanic.

Titanic adalah filem terbesar dan paling berani tahun ini. Titanic juga mengingatkan kita bahawa keangkuhan pada teknologi memungkinkan bahaya yang tidak terduga. Bangkai kapal Titanic di dasar Atlantik membuktikan keyakinan yang salah itu.

Sumber : Utusan Online 9/1/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001