Ulasan
Review
. .

Judul : Vigo: Passion For Life
Pengulas : A. Wahab Hamzah


Perjuangan seorang pengarah filem

Sebagai seorang pengarah filem nama Jean Vigo barangkali tidak begitu dikenali di kalangan peminat filem aliran perdana tetapi Jean Vigo telah memberikan banyak inspirasi kepada ramai pembikin filem bebas selepasnya, antaranya ialah Francois Truffaut. Jean Vigo lahir pada tahun 1906, adalah pembikin filem bebas Perancis yang penting walaupun hanya menghasilkan empat buah filem.

Dalam sejarah filem, Vigo lebih selalu diingat kerana pengaruhnya terhadap filem-filem surealistik, moden dan turut mempengaruhi gelombang baru filem-filem Perancis.

Perjuangannya sebagai karyawan seni yang bebas daripada kekuasaan komersial dan obsesinya terhadap filem menjadi legenda dan mempunyai pengaruh yang besar. Dia dianggap sebagai pejuang filem yang sebenar. Latar hidupnya banyak membayangi dan mempengaruhi hasil filemnya, yang keras realitinya dan subversif yang telah memeranjatkan banyak penonton di Perancis.

Filem Vigo: Passion For Life arahan Julien Temple berdasarkan drama Loves a Revolution oleh Chris Ward mengambil fragmen-fragmen kehidupan pendek Jean Vigo (dimainkan oleh James Frain) bermula dari hubungannya dengan Lydou (Romane Bohringer) di sebuah hospital yang kemudian menjadi isterinya.

Vigo sedari kanak-kanak lagi telah mengalami jangkitan kuman di paru-parunya. Kedua-dua ibu bapanya terkenal sebagai militan dan anarkis di Perancis. Kerja-kerja pembikinan filem Vigo bermula di Nice pada tahun 1929 apabila dia menghasilkan filem A Propos de Nice, kemudian dia menghasilkan filem dokumentari 10 minit Taris.

Filem ketiganya adalah sebuah filem cereka Zero de Conduite, tetapi filem yang kontroversi dan dianggap subversif ini telah dilarang tayangannya ketika itu dan filem terakhir Vigo adalah sebuah filem kisah percintaan LAtalante, sebuah filem romantis dengan latar terusan dan pasangan yang memadu kasih di atas kapal, tetapi berhadapan dengan latar realiti yang keras.

Sayangnya, apabila filem ini siap, ia tidak dapat diedarkan pada versi asli pengarahan Vigo atas alasan filem ini tidak mempunyai nilai komersial. LAtalante disunting semula oleh pengedar kepada versi yang lebih pendek, tetapi ternyata filem yang dipotong ini menyimpang daripada visi dan interpretasi asal Vigo. Kesannya, Vigo merasai kekecewaan yang amat mendalam dan dia mati dalam keadaan itu, selain musibah penyakitnya.

Vigo adalah lambang perjuangan seorang seniman yang mempertahankan kerja-kerja seninya daripada dirosakkan oleh kepentingan komersialisme. Filem arahan Julien Temple, yang sebelum ini dikenali sebagai pemuzik British, cuba mentafsirkan latar kehidupan Vigo seorang seniman yang kontroversi dan cukup menarik.

Biarpun, pada struktur naratifnya agak terganggu kelancaran perjalanannya kerana pendekatan tafsiran oleh Julian, tetapi pada keseluruhannya adalah sebuah filem yang cukup dramatik.

Filem ini berjaya memperkenalkan lagi Vigo kepada khalayak yang lebih luas. Petikan pendek adegan daripada dua filem sebenar Vigo iaitu Zero de Conduite dan LAtalante nyata membantu filem ini menjadi lebih berkesan dan menarik.

Sumber : Utusan Online 16/6/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000