Ulasan
Review
. .

Judul : Wag The Dog
Arahan : Roger Spottiswoode
Lakonlayar : Bruce Fierstein
Pelakon : Pierce Brosnan, Michele Yeoh, Jonathan Pryce, Teri Hatcher, Judi Dench dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : B


Politik Amerika subjek hiburan Hollywood

Wag The Dog Perang adalah show business kata Conrad Brean watak dalam filem ini. Ini kerana politik sendiri sering diingati sebagai sebuah pentas pertunjukan. Bagi sebuah negara seperti Amerika, hubungan antara dunia politik dengan dunia hiburan memang cukup rapat dan saling perlu-memerlukan.

Di negara itu, kejayaan di dalam kerjaya hiburan menyediakan tiket mudah untuk memasuki politik.

Ronald Reagan telah membuktikannya. Kerana itu juga bukan luar biasa kalau Hollywood menjadikan politik Amerika sebahagian daripada subjek hiburannya. Secara bebas, Presiden Amerika menjadi momokan mereka yang cukup digemari. Lihat bagaimana Presiden Amerika menjadi subjek cemuhan di dalam Dave, The American Presiden, Bob Robert atau Primary Colors.

Cuma Wag The Dog lebih mengejutkan. Wag The Dog tampil sebagai komedi yang cukup sinikal dan penuh ledakan tentang korupsi dan keburukan politik Amerika.

Tetapi bukan itu sahaja yang menarik tentang filem ini. Tentunya kerana filem ini seakan membenarkan tentang apa yang digambarkan dengan peristiwa sebenar yang berlaku. Apakah ini yang dikatakan keupayaan sebuah karya fiksyen untuk mendahului sejarah, sebelum peristiwa sebenar itu berlaku?

Wag The Dog adalah didasarkan daripada novel American Hero karya Larry Beinhart. Pastinya juga lakon layar filem ini telah ditulis oleh David Mamet dan Hilary Henkin lama sebelum hebohnya skandal terbaru yang melibatkan Presiden Clinton dengan Monica Lewinsky.

Dalam filem Wag The Dog, peristiwa yang hampir sama berlaku. Apakah Hollywood memang merancang untuk mengambil kesempatan yang muncul hasil daripada skandal Monicagate? Dalam Wag The Dog Presiden Amerika menghadapi tuduhan skandal seks dengan seorang gadis Rumah Putih sebelas hari sebelum tarikh pengundian pemilihan semula Presiden.

Tuduhan yang hampir sama dialami oleh Clinton? Dalam menghadapi keadaan yang gawat itu, pasukan krisis perlu dibentuk oleh petugas kempen Presiden.

Conrad Brean (Robert De Niro) seorang pakar manipulasi telah dipanggil mengetuainya. Strategi Brean ialah mengalihkan tumpuan dan mengacaukan perhatian rakyat Amerika dalam 10 hari sebelum hari pengundian dan pada masa yang sama membina semula imej Presiden yang semakin merosot.

Caranya, dengan membawa Amerika berperang. Strategi yang pernah digunakannya sebelum ini.

Negara yang menjadi mangsa ialah Albania. Brean membawa Stanley Motts (Dustin Hoffman) seorang produser Hollywood yang cukup berjaya. Tugasnya ialah menghasilkan perang tiruan di televisyen dan memulakan satu propaganda kempen.

Motts mencipta perang Albania dengan menggunakan seorang pelakon sebagai gadis kampung di Albania.

Sebagai mock-up perang, digunakan footage filem, efek bunyi dan imej daripada manipulasi komputer.

Untuk memberikan kesan yang lebih baik, Willie Nelson dipanggil untuk mencipta lagu. Rakyat Amerika lalu dihujani secara berterusan dengan laporan dan imej perang Albania.

Brean sebagai pakar strategi perhubungan awam tahu bagaimana hendak memanipulasi perhatian rakyat Amerika. Dengan menggunakan akhbar dan televisyen Amerika dia bermain dengan media, mengatur penafian berita, pengesahan, newsflash, analisis berita dan menarik simpati orang ramai dengan menggunakan lakonan.

Rakyat Amerika lalu dikelirukan antara fakta dan fiksyen. Brean beruntung kerana rakyat Amerika yang sebahagian besar tidak pernah mempedulikan geografi tentang kedudukan Albania mulai mempercayainya.

Brean dan Motts tahu akhirnya strategi mereka menjadi cukup besar dan akhirnya mampu bergerak sendiri. Apabila perang ditamatkan secara tiba-tiba, strategi mereka mengambil dimensi yang lain.

Sebagaimana perang yang melibatkan Amerika, ia memerlukan hero perang. Lalu diwujudkan plot baru, hero baru dicipta dalam Missing-in-action. Dan hero perlu dikembalikan secara bergaya.

Bagaimanapun, kematian si hero (di sini seorang bekas banduan, dimainkan oleh Woody Harrelson) memberikan kesempatan lain yang lebih baik. Kesannya, peratus keyakinan rakyat Amerika terhadap Presidennya meningkat naik.

Wag The Dog adalah satira politik yang cukup memikat. Kita mungkin mempersoalkan bagaimana Barry Levinson dengan penulis skripnya David Mamet dan Hilary Henkins dapat membuat gambaran sebegitu hampir dengan peristiwa Clinton.

Hinggakan imej Presiden dengan wanita bertopi beret yang ditunjukkan dalam berita televisyen begitu menyerupai peristiwa yang sama dalam video Clinton. Kita juga sudah melihat bagaimana Clinton juga cuba mengalihkan tumpuan rakyat Amerika terhadap skandalnya dengan mewujudkan krisis Teluk.

Filem ini menjadikan perang sesuatu yang absurd, realiti yang kabur dan kebenarannya boleh dipersoalkan. Jika semasa perang dingin Rusia-Amerika, perang adalah permainan ideologi, perang Vietnam memaparkan realiti perang, maka televisyen yang bertanggungjawab membawakan perang Teluk ke dalam rumah telah menjadikan perang itu sebagai sebuah siri mini rancangan televisyen.

Perang menjadi sesuatu yang telah diskripkan dan dilakukan untuk rancangan televisyen. Perang menjadi sebahagian pertunjukan hiburan yang dicipta di dalam studio dan ia menjadi penting sebagai alat kempen menaikkan seseorang Presiden yang turut dianggap sebagai sebuah produk.

Bagi pengarah filem ini Barry Levinson, Wag The Dog yang dihasilkan dengan belanja yang kecil (AS$15 juta) adalah antara filemnya yang terbaik. Biarpun adegan-adegan di bahagian akhir mulai menurun, tetapi dialog-dialog yang bermakna banyak membantu kekuatan dan humor filem ini. Pengarah fotografi filem ini, Robert Richardson (selama ini banyak bekerja dengan Oliver Stone) yang banyak menggunakan teknik hand-held camera dan kedudukan kamera yang sentiasa bergerak telah memberikan imej-imej filem dokumentari yang telah banyak membantu meningkatkan konsep dan mood filem ini.

Bagaimanapun kekuatan filem ini adalah terletak pada keupayaan cemerlang lakonan Dustin Hoffman sebagai produser Hollywood dengan keegoannya serta dialognya yang cukup sinikal This is nothing setiap kali berdepan dengan konflik. Robert De Niro dan Anne Hence saling memperkuatkan lakonan yang menjadi nadi filem ini.

Wag The Dog muncul di tengah zaman dan budaya manipulasi media terhadap politik, saling mencabar dan saling mengingatkan siapa yang lebih pintar. Yang pasti filem ini adalah sebuah satira politik yang tajam, bijak dan cukup menarik.

Sumber : Utusan Online 8/5/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001