Ulasan
Review
. .

Judul : White Squall
Arahan : Ridley Scott
Penulis : Todd Robinson
Pelakon : Jeff Bridges, Caroline Goodall, John Savage, Scott Wolf, Eric Michael Cole, Ryan Phillipe, Jeremy Sisto, dan lain-lain.

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : B


Cabaran dunia baru

Filem ini mengambil kisah benar tentang tragedi kapal pelatih The Albatros yang tenggelam dilanda ribut di Teluk Mexico pada tahun 1961 sebagai dasar ceritanya. Sebuah cerita advantur pengembaraan yang meninggalkan banyak kesan dan pengetahuan tentang hakikat laut dan misteri alam sebenarnya kepada sekumpulan pelajar remaja yang belajar menjadi pelaut.

Pihak berkuasa cuba membongkar peristiwa sebenar yang menjadi punca tragedi tenggelamnya kapal The Albatros yang memakan korban empat orang pelajar dan dua orang krew kapal termasuk isteri Kapten kapal Christopher Seldon (Jeff Bridges) iaitu Alice Seldon (Caroline Goodall). Apakah tragedi itu berlaku kerana kelemahan pengendalian Seldon terhadap para pelajarnya atau ada masalah lain?

Dengan latar belakang remaja yang berlainan, apa yang menarik tentang filem ini adalah erti hubungan persahabatan dan saling memahami sepanjang pelayaran itu. Peristiwa yang dilalui dan pengalaman yang dirasakan benar-benar mengesankan dan mendewasakan mereka.

White Squall adalah nama sejenis gelombang air yang begitu besar, misteri dan aneh, iaitu fenomena yang boleh berlaku bila-bila masa sebelum tibanya ribut tropika di lautan. Seldon yang mengendalikan latihan ini sendiri walaupun seorang pelaut yang cukup berpengelaman sehingga begitu dikagumi oleh krewnya, sebenarnya tidak pernah mengalami White Squall sebelum ini.

Kapal The Albatros yang membawa 13 orang pelajar remaja dan diketuai oleh Seldon itu belayar selama lapan bulan di Carribean dan kembali. Sepanjang pelayaran itu para pelajar tersebut bukan sahaja belajar tentang ilmu pelaut dari Seldon yang terkenal dengan disiplinnya tetapi yang penting mengenali kelemahan dan kekuatan masing-masing. Mereka mula belajar mengenali diri sendiri.

Selain dari itu mereka juga mengenali mengenali negara luar di setiap pelabuhan yang mereka singgahi. Melihat keindahan alam, seperti tasik di puncak gunung atau mengenali budaya dan resam negara lain. Hingga ada yang sempat mendapat penyakit kelamin. Kerana itu juga Seldon dituduh, walaupun mementingkan disiplin dan kehidupan penuh peraturan serta keras di dalam kapal tetapi pada masa yang sama membiarkan para pelajarnya bebas.

Bagaimanapun pelajaran yang sebenar adalah bilamana mereka tiba-tiba sahaja berdepan dengan gelombang besar White Squall dalam pelayaran mereka pulang. Badai gelombang White Squall yang ganas menenggelamkan Albatros dan mengorbankan empat pelajar dan dua krew Albatros.

Akibatnya Christopher Seldon didakwa di mahkamah. Peristiwa Albetros mencipta kontroversi dan Seldon dipersoalkan atas alasan tidak memberi latihan secukupnya kepada para pelatihnya terutama dalam menghadapi saat genting.

Filem ini tidak prejudis atau cuba melihat kontroversi di sekitar pengendalian Sheldon. Ia tidak membentangkan musuh. Bukan mengutamakan keganasan. Kenakalan yang dilalui adalah sebahagian dari kehidupan remaja itu sendiri. Yang diutamakan adalah keyakinan diri dan disiplin. Gelombang yang membadai atau ribut yang melanda tidak harus dilihat sebagai musuh alam. Ia adalah fenomena alam yang harus difahami. Ia mencabar dan menguji kecekalan diri.

Ditangan Ridley Scott (Blade Runner, Alien, The Black Rain, Thelma and Louise) filem ini secara cukup sensitif lebih tertarik kepada hubungan dan erti persahabatan serta kepentingan disiplin sekumpulan remaja yang mengikuti latihan menjadi pelaut ini.

Ridley Scott tidak membesarkan sensasi dalam filem ini tetapi plotnya secara beransur-ansur membina kesan dramatiknya. Jeff Bridges sebagai kapten kapal masih mampu memberikan kekuatan lakonannya tetapi para pelakon yang memegang watak para pelajar berjaya memberikan kekuatan lakonan yang tersendiri.

Yang harus dipuji untuk filem ini ialah keupayaan fotografinya. Hugh Johnson sebagai pengarah fotografi berjaya merakamkan adegan-adegan yang cukup berkesan dan menarik terutamanya adegan ribut yang cukup meyakinkan. Filem ini dilengkapkan dengan alam yang digambarkan dengan begitu indah oleh Johnson.

Sebuah filem yang menarik yang berupaya menyegarkan makna persahabatan dan pada masa yang sama mengajarkan kita tentang hakikat laut yang kadangkala diluar jangkauan dan keupayaan manusia untuk memahaminya.

Sumber : Utusan Online 14/11/1997

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000