Ulasan
Review
. .

Judul : You've Got Mail
Arahan : Nora Ephron
Lakonlayar : Nora Ephron & Delia Ephron
Pelakon : Tom Hanks, Meg Ryan, Greg Kinnear, Parker Posey dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


You've Got Mail - Cinta Internet

You've Got Mail Anda mungkin telah menonton Meg Ryan dalam When Harry Met Sally (arahan Rob Reiner), Sleepless In Seattle (Nora Ephron), dan sekali ini di dalam You've Got Mail. Meg Ryan jarang mengecewakan. Kejayaan Meg Ryan sebenarnya jauh meninggalkan pelakon seangkatannya seperti Julia Roberts, Sandra Bullock dan Andy Macdowell dalam filem-filem genre komedi romantis.

Kejayaan sesebuah filem komedi romantis selalunya tidak sepenuhnya bergantung pada kualiti lakonan tetapi keserasian pasangan dan pelakon yang digunakan. Lalu tak hairanlah kalau Nora Ephron sekali lagi memilih pasangan Meg Ryan dan Tom Hanks selepas Sleepless in Seattle (antara filem yang cukup berjaya dalam 1993, menghasilkan AS$126 juta).

Di dalam sebuah kilang filem di Hollywood, sebuah cerita lama boleh sahaja dikitar semula. Persoalan dan permasalahannya mungkin klasik tetapi berikan suasana dan teknologi baru, ia akan hidup semula. Bagi Hollywood kisah wanita bertemu lelaki, dalam pertemuan dan permasalahan yang lucu dan sekali gus sentimental, tidak pernah menjemukan. Plotnya sentiasa diulang dan dipusing oleh Hollywood.

Malah filem ini juga lebih di tepat adalah pembikinan semula filem The Shop Around The Corner yang pernah dihasilkan oleh Ernst Lubitsch 60 tahun dahulu, tentang dua pekerja di sebuah kedai di Budapest yang selalu berselisih faham tanpa mengenali dan menyedari yang mereka sebenarnya sahabat pena. Dalam You've Got Mail, Nora Ephron memberikan suasana 90-an dengan berlatarkan masyarakat sastera New York dan mengambil kesempatan dari teknologi Internet.

Dengan mengambil premis yang hampir sama dengan Seattle, Katleen (Meg Ryan) adalah pewaris sebuah kedai buku yang khusus menjual buku pada kanak-kanak di New York. Kedai yang diwarisi dari ibunya itu tiba-tiba menghadapi saingan daripada kedai buku Fox yang dipunyai oleh Joe Fox (Tom Hanks). Fox Books adalah sebuah pasar raya buku, yang mampu menjual pelbagai jenis buku, mempunyai bar kopi di dalamnya dan mampu memberikan diskaun pula kepada pelanggannya.

Katleen yang cuba mempertahankan kedainya dengan perkhidmatan yang lebih mesra serta personal malah menyediakan ruang sesi bercerita kepada kanak-kanak akhirnya terpaksa juga menutup kedainya kerana tidak mampu menghadapi saingan daripada Fox Books. Bagaimanapun di sebalik persaingan dan perselisihan pendapat antara Katleen dan Joe Fox, mereka sebenarnya adalah dua sahabat yang selalu berhubung menggunakan mel elektronik (e-mel) melalui Internet, malah lebih dahulu sebelum Joe Fox membuka Fox Books berhampiran kedai buku Katleen. Melalui mel elektronik itu jugalah Katleen mengadu permasalahan perniagaannya kepada Joe Fox tanpa mengetahuinya. Ini kerana Katleen menggunakan nama Shopgirl dan Joe Fox menggunakan nama NY152 tanpa menyedari yang mereka saban hari bertemu, berdebat dan bersaing dalam perniagaan.

Ephron mungkin sahaja tidak mampu keluar dari stereotaip dan klise sebuah komedi romantis Hollywood, tetapi filem ini juga memungkin persoalan yang menarik. Internet di sebalik kemudahan berkomunikasi, bermesra (melalui e-mel), juga mencerca tanpa perlu melihat dan mengenal rakan mel sebenarnya mendedahkan kesan sosial internet. Secara sosial mengasingkan individu dalam kepentingan dan dunianya sendiri. Filem ini anehnya secara ironis melihat persaingan dan persefahaman antara dunia Internet dengan dunia buku. Dan mungkinkah juga pasar raya buku bakal menenggelamkan kedai-kedai buku yang kecil dan lebih personal, sepertimana Katleen yang tewas kepada Fox Books.

You've Got Mail, sepertimana genre komedi romantis lainnya adalah filem wanita dengan persoalan dan permasalahan yang bertolak dari sudut pandangan wanita. Genre yang masih kekal dengan pendekatan konvensional, kerana itu yang nyata lebih memikat audien terutama wanita. Nora Ephron telah meletakkan mood yang standard sepertimana filem komedi sentimentalnya yang terdahulu. Apa lagi pilihan Ephron selepas ini kalau nyata penonton masih menggemari gabungan Ephron, Ryan dan Hanks?

Sumber : Utusan Online 5/2/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001