
Beliau adalah seorang ulamak,
aktivis politik dan penulis Indonesia. Dia lahir pada 17 Februari
1908 di kampung Molek, Meninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Nama
sebenarnya ialah Haji Abdul Malik bin Abdul Karim. Ayahnya ialah
Sheikh Abdul Karim bin Amrullah atau dikenali sebagai Haji Rasul,
seorang pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau, sekembalinya
dari Makkah pada tahun 1906.
HAMKA mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Meninjau hingga
Darjah Dua. Ketika usia HAMKA 10 tahun, ayahnya mendirikan Sumatera
Thawalib di Padang Panjang. Di situ HAMKA mempelajari agama dan
bahasa Arab. HAMKA juga pernah mengikuti pengajaran agama di surau
dan masjid yang diberikan ulama terkenal seperti Sheikh Ibrahim
Musa, Sheikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R. M Surjoparonto dan Ki
Bagus Hadikusumo.
HAMKA lebih banyak belajar sendiri dan melakukan penyelidikan
meliputi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti falsafah,
kesusasteraan, sejarah, sosiologi dan politik sama ada Islam atau
Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, dia dapat
menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti
Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti
dan Husein Haikal. Melalui bahasa Arab juga, dia meneliti karya
sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William
James, Freud, Toynbee, Jean Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti.
HAMKA juga rajin membaca dan bertukar-tukar fikiran dengan tokoh
terkenal Jakarta seperti HOS Chokroaminoto, Raden Mas Surjoparonoto,
Haji Fakrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil dia
mengasah bakatnya hingga menjadi seorang pemidato yang handal.
Kerjaya HAMKA bermula sebagai guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan
Tebing Tinggi, Medan dan guru agama di Padang Panjang pada tahun
1929.
|
HAMKA kemudian dilantik sebagai pensyarah di Universitas Islam,
Jakarta dan Universitas Muhammadiyah, Padan Panjang dari tahu 1957
hingga tahun 1958. Setelah itu, dia dilantik
sebagai Rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan Profesor
Universitas Mustapo, Jakarta. Dari tahun 1951 hingga tahun1960, dia
dilantik sebagai Pegawai Tinggi Agam oleh Menteri Agama Indonesia,
tetapi meletakan jawatan apabila Sukarno memberi kata dua sama ada
menjadi pegawai kerajaan atau bergiat dalam politik Majlis Syura
Muslim Indonesia (Masyumi).
HAMKA juga aktif dalam gerakan Islam melalui pertubuhan
Muhammadiyah. Dia menyertai pertubuhan itu mulai tahu 1925 bagi
menentang khurafat, bidaah, tarekat dan kebatinan sesat di Padang
Panjang. Mulai tahun 1928, dia mengetuai cawangan Muhammadiyah di
Padang Panjang. Pada tahun 1929, HAMKA mendirikan pusat latihan
pendakwah Muhammadiyah. Pada tahun 1931, dia menjadi Konsul
Muhammadiyah di Makasar. Kemudian dia terpilih menjadi Ketua Majlis
Pimpinan Muhammadiyah di Sumatera Barat oleh Konferensi Muhammadiyah
menggantikan S. Y. Sutan Mangkuto pada tahun 1946.
Dia menyusun kembali pembangunan dalam Kongres Muhammadiyah ke-31 di
Jogjakarta pada tahun 1950. Pada tahun 1953, HAMKA dipilih sebagai
Penasihat Pimpinan Pusat Muhammadiah.
Pada 26 Julai 1957, Menteri Agama Indonesia iaitu Mukti ali melantik
HAMKA sebagai ketua Umum Majlis Ulama Indonesia tetapi dia meletak
jawatan pada tahun 1981 kerana nasihatnya diketepikan oleh
pemerintah Indonesia.
Kegiatan politik Hamka bermula pada tahun
1925 apabila dia menjadi anggota parti politik Sarekat Islam. Pada
tahun 1945, dia membantu menentang kemaraan kembali penjajah Belanda
ke Indonesia melalui pidato dan menyertai kegiatan gerila di dalam
hutan di Medan. Pada tahun 1947, HAMKA dilantik sebagai Ketua Front
Pertahanan Nasional, Indonesia. Dia menjadi anggota Konstituante
Masyumi dan menjadi pemidato utama dalam Pilihan Raya Umum 1955.
Masyumi kemudiannya diharamkan oleh pemerintah Indonesia pada tahun
1960.
Dari tahun 1964 hingga tahun 1966, HAMKA dipenjarakan oleh Presiden
Sukarno kerana dituduh pro-Malaysia. Setelah keluar dari penjara, HAMKA
dilantik sebagai ahli Badan Musyawarah Kebajikan Nasional,
Indonesia, anggota Majlis Perjalanan Haji Indonesia dan anggota
Lembaga Kebudayaan Nasional, Indonesia. Di samping aktif di
Indonesia, HAMKA juga aktif pada peringkat antarabangsa. |
Pada tahun 1950, dia mengunjungi Arab Saudi, Mesir,
Syria, Iraq dan Lebanon untuk membincangkan hal-hal yang berhubung
dengan agama Islam. Pada tahun 1952, dia melawat Amerika Syarikat
selama empat bulan atas tajaan State Department. Pada tahun 1954,
HAMKA mengunjungi Burma sebagai wakil Departemen Indonesia sempena
perayaan 2000 tahun Buddha. Pada taun 1958, dia menyertai seminar
Islam di Lahore dan pada tahun 1967 HAMKA menjadi tetamu kerajaan
Malaysia.
Selain aktif dalam soal keagamaan dan politik, HAMKA merupakan
seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit. Sejak tahun 1920-an
lagi, HAMKA menjadi wartawan beberapa buah akhbar seperti Pelita
Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada
tahun 1928, dia menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat. Pada
tahun 1932, dia menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di
Makasar. HAMKA juga pernah menjadi editor majalah Pedoman
Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.
HAMKA juga menghasilkan karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti
novel dan cerpen. Karya ilmiah terbesarnya ialah Tafsir al-Azhar (5
jilid) dan antara novelnya termasuklah Tenggelamnya Kapal Van Der
Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Merantau ke Deli.
HAMKA pernah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan
antarabangsa seperti Doktor Honoris Causa, Universiti al-Azhar,
1958; Doktor honoris Causa, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1974 dan
gelaran Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno daripada kerajaan
Indonesia.
HAMKA meninggal dunia pada 24 Julai 1981.
|
|