Penulisan ilmiah

 

Kalkulator-sejauh mana penggunaannya dapat meningkatkan kemahiran berfikir di dalam mata pelajaran matematik

 

   Kalkulator, satu daripada alat teknologi termurah yang mudah didapati abad ini.Setiap rumah sudah pasti memiliki sekurang-kurangnya sebuah kalkulator untuk kegunaan harian  .Ia digunakan oleh segenap lapisan masyarakat termasuklah  kanak-kanak,orang dewasa, surirumahtangga dan golongan profesional .Kanak-kanak kecil,pelajar-pelajar sekolah telahpun didedahkan dengan kalkulator bermula dari rumah lagi. Persoalannya mengapa kalkulator tidak dibenarkan untuk digunakan di peringkat sekolah?

 

   Apabila Kementerian Pendidikan Malaysia membenarkan kalkulator diperluaskan penggunaannya kepada pelajar-pelajar menengah rendah,kalkulator saintifik dan kalkulator grafik kepada pelajar-pelajar yang mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan,tidak lagi khusus kepada pelajar-pelajar Tingkatan Enam dan Matrikulasi,pelbagai reaksi dan respon negatif timbul daripada  masyarakat khususnya di kalangan ibubapa dan guru-guru. Anggapan mereka jika pelajar-pelajar hanya menekan kekuncinya untuk mendapatkan jawapan daripada masalah matematik yang diberi oleh guru,mereka menjadi malas untuk berfikir. Mereka tidak perlu lagi bersusah payah menggunakan buku sifir empat angka dan membuat pengiraan panjang jika diminta mencari nilai bagi  -12  +  Ö 135

                                                                                                               4 x  0.56823   

kerana kalkulator mampu memberikan jawapan dengan pantas dan tepat. Mereka hanya perlu memasukkan nombor-nombor yang diberi dan operasi yang digunakan dengan menekan kekuncinya sahaja dengan betul.Jawapan tepat sudah pasti tertera di skrin kalkulator.  Pelajar akan  bergantung harap sepenuhnya kepada kalkulator. Di dalam hal ini,kalkulator hanya akan dijadikan alat bantu pelajar untuk mendapat jawapan bagi soalan yang diberi bukan sebagai alat peransang untuk pelajar berfikir. Jika keadaan ini berterusan,maka kalkulator akan membantu melembabkan pemikiran pelajar.

 

   Tanggapan ini perlu diubah. Penggunaan kalkulator sebagai alat bantu pembelajaran amat diperlukan masa kini seiring dengan kemajuan sains dan teknologi. Kita bukan lagi mahu pelajar yang mahir menguasai kemahiran sifir dan konsep untuk digunakan bagi menjawab soalan atau masalah tertentu. Keutamaan harus diberi kepada aplikasi konsep matematik daripada pengajaran konsep semata-mata. Pelajar-pelajar harus diajar sesuatu yang lebih bermakna. Kita perlu menyediakan pelajar yang mampu membuat keputusan, meneroka masalah yang lebih mencabar dengan penuh keyakinan serta mampu menghadapi apa juga cabaran mendatang . Penggunaan kalkulator di dalam proses pengajaran dan peembelajaran matematik adalah asas untuk merealisasikan matlamat ini. Idea-idea matematik melalui penyiasatan, penerokaan, generalisasi, analisis dan sintesis menggunakan kalkulator sebagai alat bantu mampu melahirkan pelajar yang lebih kritis dan kreatif, mampu menganilasa data serta maklumat dalam membuat keeputusan yang bijak.

 

    Kalkulator hari ini mampu membuat lebih daripada pengiraan nombor. Kalkulator saintifik misalnya menyediakan pelajar tentang logaritma, trigonometri seperti sin, kos,  dan tangen, kuasa dua hingga  kepada kuasa yang lebih besar dan sebagainya. Kalkulator grafik pula membolehkan fungsi-fungsi seperti fungsi kuadratik, data-data yang dikumpul diterjemah dalam bentuk yang lebih mudah difahami oleh pelajar. Jika sebelum ini, pelajar terpaksa mencari titik-titik y daripada fungsi kuadratik yang diberi , memplot titik-titik x dan y dengan tepat untuk mendapat bentuk graf parabola yang betul, kini kalkulator grafik mampu mengambil alih peranan tersebut malah menghasilkan dapatan yang lebih baik. Satu set data daripada fungsi kuadratik yang diberi dapat dipamerkan di dalam jadual dan graf fungsi tersebut akan tertera di skrin kalkulator jika kekunci 'graph' ditekan.Ini tidak bermakna pelajar tidak dapat memahami konsep fungsi kuadratik dan  menyekat peluang pelajar untuk berfikir. Pelajar dapat membuat perbandingan bentuk-bentuk graf yang berlainan dalam satu skrin, mencari nilai maksimum dan nilai minimum daripada graf, membuat generalisasi, menyiasat dan menjalankan penerokaan daripada  graf-graf tersebut. Di samping itu juga, pelajar akan memikirkan domain dan  julat yang sesuai daripada graf tersebut. 

 

    Kebiasaannya pelajar yang tidak dapat menguasai ilmu matematik adalah kerana kesukaran meereka untuk menyelesaikan masalah matematik yang melibatkan penggunaan ayat , sifir atau bahagi. Ini bukan bermakna mereka mereka tidak memahami soalan atau tidak tahu membuat transformasi. Adanya kalkulator sebagai alat bantu, pelajar-pelajar ini dapat menumpukan perhatian kepada aplikasi konsep dan penyelesaian masalah. Mereka tidak lagi dibebani dengan pengiraan yang panjang lebar. pelajar akan merasai keseronokan mempelajari matematik. Ia menggalakkan pelajar supaya lebih ingin tahu dan kreatif, memotivasi dan membina keyakinan diri pelajar untuk menyelesaikan masalah.

 

   Kesimpulannya, pada massa kini peranan kalkulator dalam membantu pelajar meningkatkan kemahiran berfikir memang tidak dapat dinafikan . Sejauh mana keberkesanannya di dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik amat bergantung kepada sejauh mana pelajar menggunakannya secara bijak dan berkesan. Kajian luar negara telahpun membuktikan bahawa penggunaan kalkulator membantu meransang pelajar untuk berfikir. Berbanding luar negara, Malaysia masih jauh ketinggalan di dalam penggunaan kalkulator di dalam bik darjah. Sesuatu perubahan perlu dan harus dilakukan kerana pelajar hari ini akan mencorakkan masa depan negara.

 

 

 

Rujukan.

1.   Lim Chap Sam. (1986). Penggunaan Kalkulator Dalam Pengajaran Dan pembelajaran Sekolah Menengah Harus Ditingkatkan. Berita Matematik, no 31 April 1986, ms 31-32. Kuala Lumpur, Pusat Perkembangan Kurikulum.

2.     P.Renolds (1983). Reflections on the Cockroft Report- Some Thoughts on Calculators in Secondary School, Mathematics In School,Volume 12,1983

3.    Gail Burrill. (1992). The Graphing Calculator : A Tool for Change. Calculators in Mathematics Education. The National Council of Theacher of Mathematics, 1992 Yearbook.

4.    Jurnal Arithmetic Teacher Volume 34, Sept 1986- March 1987.