Sebagai
bilal pengurusan jenazah, banyak pengalaman yang telah saya tempuhi.
Ada di antaranya yang cukup menyedihkan. Tidak kurang juga yang benar-benar
memberi keinsafan. Salah satu daripada pengalaman-pengalaman itu membabitkan
masalah kain kapan tidak muat pada hal mayat yang hendak di kapankan
bersaiz kecil. Ini bertentangan dengan satu lagi mayat yang saya uruskan,
di mana kain kapannya mencukupi walapun orangnya berbadan tinggi dan
gemuk. Sepanjang pengelaman saya dalam pengurusan jenazah sejak lebih
30 tahun lalu, saya mengunakan kain kapan sebanyak 24 ela untuk mengapankan
mayat. Jumlah itu selalunya mencukupi tidak kira sama ada mayat bersaiz
besar atau kecil, gemuk atau kurus.
Tetapi
sewaktu menguruskan satu jenazah di negeri Selangor beberapa tahun lalu,
kain kapan sebanyak 24 ela yang saya sediakan itu tidak mencukupi pada
hal mayatnya kecil sahaja. Mayat itu berkeadaan biasa, berbadan kurus
dengan ketinggian lebih kurang lima kaki. Saya di beritahu arwah meninggal
dunia kerana sakit jantung. Orangnya sudah tua, umurnya sekitar 60-an.
Seperti biasa sebelum memandikan mayat, saya memotong dahulu kain kapannya
sebanyak tiga keping. Panjangnya mengikut ketinggian arwah kemudian
di tambah satu hasta di hujung kepala dan satu hasta di hujung kaki.
Selepas semuanya siap disusun, saya mula memandikan arwah dengan bantuan
adik saya, Rafeah. Tiada keanehan ketara berlaku semasa arwah di mandikan,
cuma mukanya agak kuning dan najisnya, Maha Suci Allah amat banyak.
Makin dikorek makin banyak yang keluar. "Eh, ada lagi najis", kata adik
saya Rafeah kehairanan. Selalunya tidak sampai setengah jam, najis sudah
habis keluar tetapi yang ini, lebih 45 minit baru habis. Setelah lebih
dua jam berlalu, baru selesai tugas kami memandikan mayat itu. Selalunya
satu setengah jam sudah mencukupi. Bila semuanya sudah bersih, arwah
dipindahkan untuk dikapan.
Sebaik
sahaja arwah diletakkan ke atas kain kapan, saya terperanjat besar bila
mendapati kain putih yang saya sediakan tadi tidak muat. Entah macam
mana kain kapan di hujung kepala dan di hujung kakinya cuma tinggal
satu jari sahaja. "Eh, kenapa tak cukup. Takkan salah potong", saya
berkata pada adik saya. Wajahnya turut berkerut kehairanan bila mendapati
kain kapan yang kami sediakan itu tidak muat. Kami berdua sama-sama
bingung dan bertanya-tanya di mana silapnya. Nak katakan saya tersalah
ukur semasa memotong tadi, mustahil. Rafeah sendiri menyaksikan dan
membantu saya memotong kain itu. Sudah bertahun-tahun kami berdua melakukan
perkerjaan ini, tidak mungkin kami tersalah potong. Nak katakan pembekal
kain bersalah ukur, juga tidak mungkin. Sebelum memotong, kami mengukur
terlebih dahulu kain kapan itu dan mendapatinya cukup 24 ela.
Setiap
kali berlaku kematian, orang yang sama itulah yang membekalkan kain
kapan kepada saya. Tidak mungkin dia tersalah ukur. Saya mula berkecimpung
dalam pengurusan jenazah sejak berusia 17 tahun lagi. Waktu itu saya
mengikut nenek saya menguruskan jenazah di kawasan Klang sebelum di
lantik sebagai bilal pengurusan jenazah wanita oleh Jabatan Agama Islam
Selangor pada tahun 1973. Sepanjang tempoh pembabitan saya dalam bidang
itu, inilah kali pertama saya berdepan dengan masalah saya berdepan
dengan masalah kain kapan tidak muat.
Mungkin
inilah yang dikatakan habuan dan bahagian masing-masing. Entah apa amalan
arwah semasa hayatnya hanya Tuhan sahaja yang mengetahui. Semoga Tuhan
mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat di atas rohnya. Untuk
menambah kain putih yang lain, dah tak ada. Kain yang saya bawa itu
semuanya sudah di pakai, tiada lagi saki-bakinya. Mahu tak mahu mayat
arwah dikapankan juga menggunakan apa yang ada. Maha Suci Allah, saya
sekali lagi teperanjat beser bila mendapati kain kapan itu tidak mencukupi
untuk membungkus mayat arwah. Bahagian tengahnya ternganga seperti membungkus
nasi lemak. Selalunya kain kapan yang saya sediakan boleh menutup hingga
ke bahagian tepi. Puas saya tarik untuk cuba menutup bahagian yang ternganga
tetapi gagal. Untuk mengatasi masalah itu, saya terpaksa menggunakan
kapas untuk menutup bahagian yang ternganga sebelum mengikatnya kemas-kemas.
Sebaik sahaja selesai kerja-kerja mengapan, arwah disembahyangkan kemudian
dibawa ke tanah perkuburan. Dan dengan itu selesailah kewajiban saya.
Namun
cerita-cerita daripada salah seorang yang membantu kerja-kerja pengebumian
jenazah membuatkan diri saya menjadi bertambah bingung. Menurutnya,
semasa jenazah hendak dikebumikan, satu keanehan berlaku yang benar-benar
memberi keinsafan kepada sesiapa sahaja yang hadir. Ketika jenazah diturunkan,
liang lahad yang disediakan didapati tidak cukup panjang hingga menyebabkan
bahagian kaki jenazah membengkok. Akibatnya, jenazah terpaksa ditarik
naik dan liang lahad digali semula. Bila kubur siap di gali, jenazah
diturunkan untuk kali kedua. Allah Maha Besar, liang lahad masih sempit
walaupun telah digali melebihi enam kaki. Setiap yang hadir bertambah
hairan. Apakah amalannya hingga diseksa begitu rupa? Jenazah dinaikkan
semula dan liang lahad ditebuk lagi untuk kali ketiga. Bila selesai
kerja-kerja menggali, jenazah diturunkan. Alhamdulillah, cubaan kali
ketiga berjaya dan jenazah akhirnya selamat dikebumikan. Masing-masing
menghembus nafas lega. Apa yang berlaku pada jenazah itu memanglah menyedihkan.
Saya sendiri tertanya-tanya bagaimana kain kapan yang saya bawa itu
tidak muat dengannya. Untuk memastikan kedudukan sebenarnya, saya pergi
ke kedai yang membekalkan kain kapan kepada saya untuk bertanya berapa
banyak kain putih yang dibekalkan kepada saya.
Jika
betul 24 ela,kenapa kain itu tidak cukup sedangkan mayat yang dikapankan
bersaiz kecil. Jawapan yang diberikan oleh pekedai itu menyedarkan saya
tentang kebesaran Allah. Menurutnya, kain putih yang dibekalkan kepada
saya sama seperti kebiasaannya, ia itu 24 ela. Jika kain itu tidak mencukupi
itu bukanlah salah sesiapa sebaliknya merupakan ketentuan Allah. Maha
Suci Allah memang benar apa yang dinyatakan oleh pekedai itu. Apa yang
berlaku ke atas jenazah itu merupakan balasan daripada Allah. Mungkin
ada di antara amalan-amalannya yang bertentangan dengan ajaran Tuhan.
Entah apa yang dilakukan oleh allahyarham semasa hayatnya, wallahualam,
hanya Tuhan sahaja yang mengetahuinnya. Tetapi daripada cerita-cerita
yang saya dengar, arwah dikatakan menpunyai tabiat buruk - suka mengumpat
dan mengatakan orang. Tidak cukup dengan itu, arwah juga dikatakan suka
mengambil tahu urusan orang serta gemar membawa mulut dari rumah ke
rumah.
Bukanlah
niat saya untuk membongkarkan keburukan arwah tetapi sekadar memberi
nasihat. Semoga apa yang berlaku menjadi pengajaran dan memberi pedoman
dan iktibar mereka yang masih hidup. Hindarkan perkara-perkara keji
demi kesejahteraan kita sendiri. Pengalaman yang cukup menginsafkan
itu jauh berbeza dengan apa yang saya lalui semasa menguruskan satu
lagi jenazah kira-kira sebulan kemudian. Orangnya saya kenal, berbadan
gemuk dan berusia sekitar 50-an. Punca kematiannya ialah darah tinggi.
Sewaktu menatap jenazahnya untuk kali petama, saya mendapati mukanya
tenang dan jernih. Walaupun bertubuh besar, tetapi Maha Suci Allah,
badannya lembut dan ringan. Saya dan adik saya Rafeah tidak mengalami
sebarang masalah untuk mengalih-alihkan badannya. Najisnya tak ada langsung.
Puas kami menekan dan mengorek, tetapi tiada sebarang kesan najis. "Bersih
betul mayat ini", saya berbisik kepada Rafeah. Tiada langsung kesan
kotoran pada tubuhnya, seolah-olah dirinya telah di bersihkan sebelum
menghembus nafas terakhir. Seronok betul kami menguruskannya.
Mayat
itu selesai di mandikan dalam tempoh tidak sampai sejam. Sewaktu hendak
mengapan jenazah, kami berdua pada mulanya di selubungi kebimbangan
takut-takut peristiwa kain kapan tidak muat berulang lagi. Maklumlah,
sedangkan jenazah kecil pun tak muat inikan pula jenezah yang besar.
Tetapi syukur alhamdulillah, kain kapan yang kami bawa sebanyak 24 ela
itu cukup untuk menutupi seluruh bahagian. Selesai kerja-kerja mengapan
jenazah disembahyangkan. Kerana terlalu ramai yang hadir, jenazah disembahyangkan
dua kali. Kali pertama di rumah dan kali kedua di masjid. Jenazah akhirnya
dibawa ke tanah perkuburan dan selamat dikebumikan. Perjalanan lancar
tanpa sebarang halangan. Saya sendiri berasa seronok menguruskannya.
Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Arwah memang dikenali
di kalangan penduduk-penduduk kampungnya sebagai seorang yang kuat beribadat.
Sifatnya yang suka bersedekah dan menolong orang ternyata mendapat balasan
yang setimpal. Keadaannya jauh berbeza dengan jenazah kurus yang tidak
muat kain kapannya. Bukan menghina atau mencaci tetapi itulah hakikatnya.
Perbezaan itu jelas menunjukkan betapa pentingnya kita hidup berlandaskan
agama. Buatlah apa yang disuruh dan tegah apa yang di larang, insya-Allah
selamt didunia dan akhirat. wassalam.
|