Sukan Komanwel XVI (KL '98) bukan sahaja mencatat
sejarah kegemilangan negara malahan temasya sukan kedua
terbesar di dunia itu menjadi kenangan manis buat pemain
boling jelita negara, Lai Kin Ngoh dan lebih dikenali
dengan panggilan KN Lai.
Ini kerana KL '98 menjadi gelanggang KN Lai membuktikan
kecermelangannya dalam sukan boling. Disinilah KN Lai
mengukir sejarah memenangi dua pingat menerusi acara
boling yang membantu negara menambah jumlah pungutan
pingat. Satu pingat perak menerusi acara beregu bersama
Shalin Zulkifli dan pingat gangsa acara perseorangan
membuktikan dia pemain boling wanita utama buat masa
kini. Memang tidak dinafikan KN Lai itu mengatasi
kecermerlangan Shalin yang sebelum ini dianggap
favourite berbanding KN Lai.
Ekoran kejayaan itu, peminat - peminat mula mengalih
perhatian kepada KN Lai, sehingga ada yang menganggap
dia sebagai puteri boling negara yang baru.
Apa
komen KN Lai jika ada peminat yang melabelkan dirinya
sebagai puteri boling negara yang baru, menggantikan
tempat Shalin? "No comment, " jawab KN Lai
yang jelas enggan mengulas lanjut pandangan peminat itu.
Yang jelas, KN Lai masih menghormati Shalin yang
walaupun tidak begitu menyerlah pada KL '98, baginya
Shalin masih puteri boling negara. KN Lai yang muncul
juara Masters Terbuka Antarabangsa Genting awal tahun
ini nyata malu-malu apabila digelar pemain wanita nombor
satu negara.
|
Dalam acara individu wanita, KN Lai yang memungut gangsa
berjaya membuat 5920 jatuhan, sementara Shalin
menduduki tempat keenam keseluruhan dengan 5705 jatuhan
pin. Walaupun gagal mencipta emas terutama dalam acara
individu, KN Lai menganggap pingat gangsa sudah cukup
menceriakan dirinya. Ini kerana cabaran acara boling
pada KL '98 begitu hebat sebab ia disertai oleh pemain
handalan dunia, seperti Pemain Terbaik Dunia 1996, Cara
Honeychurch dari Australia.
"Tidak dinafikan Honeychurch memang memiliki gaya
pemainan yang menakjubkan serta konsisten. Dia memang
seorang pemain yang handal. Lihat sahaja perbezaan
jatuhan pin antara dia (Honeychurch) dan pemenang kedua
iaitu 378 pin. "Jika ada gelaran Puteri Boling KL
'98, is selayaknya untuk Honeychurch, " jelas KN
Lai. Menurut KN Lai lagi, dia juga gembira kerana
berjaya menyumbangkan pingat dalam KL '98 sekali gus
membuktikan pemilihannya ke dalam skuad boling KL '98
tidak sia-sia. "Sebelum KL '98 dulu, saya dan
pemain boling wanita negara seperti Sarah Yap, Sharon
Low dan Low Poh Lian bersaing sesama sendiri untuk
melayakkan diri ke KL '98."
"Cabaran ketika itu memang hebat sebab mereka pun
tak kurang handal. Tapi hanya dua pemain sahaja yang
layak untuk mewakili negara. "Akibatnya kami
terpaksa 'bergaduh' sesama sendiri. Tapi bukan bergaduh
tarik-tarik rambut, cuma bersaing nak merebut tempat
mewakili negara. "Selepas berakhir Kl '98 barulah
saya lega, sebab berjaya mengutip pingat, kalau gagal,
malu juga sebab kawan-kawan lain tak terpilih, "
ujarnya.
KN Lai bukan sahaja memenangi pingat gangsa dalam acara
individu boling wanita, tetapi turut mencatat sejarah
peribadi apabila dia berjaya membuat jatuhan sempurna
300 pin, dalam permainan kelima. Mengulas kejayaan itu,
KN Lai berkata ia sememangnya kejayaan berganda buat
dirinya. "Sebenarnya ini (permainan sempurna)
adalah yang pertama saya lakukan sepanjang sembilan
tahun pembabitan saya dalam sukan boling, " kata KN
Lai. Sebelum ini kejayaan terbesar KN Lai sekadar buat
299 jatuhan pin iaitu ketika menyertai kejohanan remaja
di Australia tahun lalu.
Dalam pada itu, KN Lai turut melahirkan rasa kecewa
kerana dia gagal memungut pingat dalam acara beregu
campuran bersama Kenny Ang. "Bagaimanapun, tempat
keempat secara keseluruhan juga boleh dibanggakan,
" katanya. Sebaik sahaja selesai Kl '98, KN Lai
serta pemenang pingat emas boling acara individu lelaki
KL '98, Kenny Ang tidak sempat berehat panjang. Belum
habis penat beraksi pada KL '98, KN Lai terpaksa terbang
ke Manila, Filipina untuk menyertai kejohanan
Juara-juara Asia, pada 23 September lalu.
Sebaik sahaja tamat kejohanan tersebut, KN Lai berdepan
dengan cabaran yang lebih hebat apabila dia dan pasukan
boling negara ke Belanda pada 15 October ini untuk
menyertai Kejohanan Piala Dunia ke-3. Pasukan boling
lelaki dan wanita negara layak menyertai kejohanan dunia
selepas muncul juara Piala Asia yang berlangsung Julai
lalu. Ditanya bagaimana dia dapat mengharungi kesibukan
yang terpaksa ditempuhinya, KN Lai menjelaskan perkara
seperti itu sudah menjadi lumrah dan perlu dihadapi
untuk mengecap kejayaan. |