Kelebihan Solat Sunat Tarawikh

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali (R.A.) daripada Rasulullah S.A.W., sebagai jawapan kepada pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W tentang fadhilat (kelebihan) Sembahyang Sunat Tarawikh pada bulan Ramadhan.

Malam 1 – Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.
Malam 2 - Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang Sembahyang Tarawikh serta kedua ibubapanya (sekiranya mereka orang beriman).
Malam 3 - Berseru Malaikat di bawah ‘Arasy’ supaya kami meneruskan Sembahyang Tarawikh semoga Allah mengampunkan dosa kami.
Malam 4 - Memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
Malam 5 - Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Nabawwi dan Masjidil Aqsa.
Malam 6 - Allah kurniakan kepadanya seumpama pahala Malaikat-Malaikat yang tawaf di Baitul Ma’mur (70 ribu Malaikat sekali tawaf), batu-batu dan tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan Sembahyang Tarawikh pada malam ini.
Malam 7 - Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa A.S. serta menolong baginda menentang musuh ketatnya iaitu Fir’aun dan Hamman.
Malam 8 - Allah mengurniakan pahala orang sembahyang Tarawikh sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim A.S.
Malam 9 - Allah kurniakan pahala dan dinaikkan darjat ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.
Malam 10 - Allah S.W.T. mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.
Malam 11 - Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baru dilahirkan.
Malam 12 - Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).
Malam 13 - Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.
Malam 14 - Datang Malaikat menyaksikan ia bersembahyang Tarawikh, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat.
Malam 15 - Semua Malaikat yang menanggung ‘Arasy’, Kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
Malam 16 - Allah S.W.T. tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
Malam 17 - Allah kurniakan orang yang bertarawikh pahalanya pada malam in sebanyak pahala Nabi-nabi.
Malam 18 - Seru Malaikat: Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibubapa engkau (yang masih hidup atau mati)
Malam 19 - Allah S.W.T. tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.
Malam 20 - Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.
Malam 21 - Allah binakan sebuah istana dalam syurga daripada nur.
Malam 22 - Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huru-hara di Padang Mahsyar).
Malam 23 - Allah S.W.T. binakan baginya sebuah bandar di dalam syurga daripada nur.
Malam 24 - Allah buka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang bertarawikh malam ini, (elok sekali berdoa dalam sujud).
Malam 25 - Allah Taala angkatkan daripada siksa kubur.
Malam 26 - Allah kurniakan kepada orang bertarawikh pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.
Malam 27 - Allah kurniakan orang bertarawikh pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Sirotolmustaqim seperti kilat menyambar.
Malam 28 - Allah S.W.T. kurniakan kepadanya 1000 darjat di akhirat.
Malam 29 - Allah S.W.T. kurniakan kepadanya pahala 1000 kali Haji Mabrur.
Malam 30 - Allah S.W.T. beri penghormatan kepada orang bertarawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman: “Hai hambaKu: Makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabil, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama Al-Kauthar”.

Sumber: “Fadhilat(kelebihan) Bulan Ramadhan”, m.s. 17-21 (Kelebihan Sembahyang Sunat Tarawikh).
Dengan ini, saya berharap agar anda sekalian dapat meluangkan sedikit masa untuk mengerjakan ibadat Tarawikh ini yang hanya datang setahun sekali sahaja. Jika tidak mampu melakukannya di masjid, buatlah ia di rumah berjemaah.
Solat Tarawikh adalah solat sunat, maka jumlah rakaat’ tidaklah penting; yang penting ialah kita melaksanakannya untuk merebut fadhilat-fadhilat yang telah dijelaskan di atas.

Dan ketahuilah bahawa MALAM LAILATUL QADAR hanya jatuh pada malam-malam ganjil, sepuluh terakhir Ramadhan; ia hanya jatuh pada malam yang ke 21, 23, 25, 27 atau malam yang ke 29. Malam LAILATUL QADAR adalah lebih baik dari 1000 bulan, dari itu rebutlah peluang ini untuk melakukan amal soleh pada malam-malam itu semoga kita detemukan dengan LAILATUL QADAR insya-Allah. Kita tidak akan tahu sama ada inikah Ramadhan yang terakhir buat kita. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

< Back