Military Time
12 Hour Time

   MALAYSIA HOMOEOPATHY CYBER LIBRARY

Tsunami 26122004

© Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2005.

Artikel menarik sebagai pengajaran tahun 2004

Kebesaran Ilahi * Iktibar daripada masjid terselamat * MASJID TERSELAMAT * `Kekebalan' masjid kebesaran Tuhan * Masjid Baituraman diguna semula * Bukan saja masjid terselamat * Menguji kesabaran manusia beriman * Menitis air mata melihat masjid Meulaboh tersergam utuh * Ambil pengajaran hubungan tsunami, masjid * Penduduk percaya pesta di makam wali punca bencana.

 

- Perspektif : Petikan Berita - (Berita Harian)

 

Kebesaran Ilahi

 

KESAN bencana tsunami di wilayah Aceh di utara Sumatera pada 26 Disember lalu begitu memilukan. Selain angka korban mencecah 100,000 orang, banyak bangunan, rumah, kemudahan awam, ladang dan ternakan musnah.

Namun satu keajaiban berlaku apabila berpuluh-puluh masjid tetap berdiri teguh dengan kubah masih tersergam megah di tengah-tengah kehancuran beberapa bandar dan kampung akibat amukan tsunami.

MESKIPUN gempa bumi dan bencana
tsunami melanda Aceh yang
mengorbankan hampir 100,000 nyawa
dan kerosakan harta benda,
namun sebuah masjid di Banda
Aceh terselamat. Rumah Allah ini
teguh berdiri meskipun kawasan
sekitarnya menjadi padang jarak
padang tekukur. – Gambar Reuters


Menara masjid yang masih bersinar di bawah limpahan cahaya matahari adalah suatu fenomena yang menimbulkan kekaguman dan keinsafan terhadap kuasa Tuhan, seperti ungkapan ulama di Sigli, Aceh, Teuku Kaoy Ali: “Tuhan menghukum sesetengah daripada kita yang lupa diri, tamak dan angkuh, tetapi Tuhan melindungi rumah-Nya (masjid)."

Mukhlis Khaeran yang menyaksikan ombak menghanyutkan rumahnya di Baet dekat Aceh, berkata kekuasaan Tuhan menghalang masjid daripada ranap dan ini suatu keajaiban.

Bagi penceramah bebas, Daud Che Ngah ketika dihubungi di Kuala Lumpur, kelmarin, berkata, bukan sesuatu yang menghairankan masjid berusia ratusan tahun masih kukuh berdiri tanpa terjejas teruk.

“Jika kita imbau kejadian lalu - gempa bumi di Bam, Iran dan juga di Turki, masjid juga tidak terjejas dalam keruntuhan pelbagai bangunan dan kematian ribuan manusia. Ini petanda yang amat besar kepada kita semua. Iran dan Turki dua negara Islam tetapi Allah menguji mereka sebagai ingatan mungkin ada kepercayaan yang mereka amalkan tidak kena.

“Begitu juga di Aceh, Allah sebenarnya masih memberi peluang kepada umat Islam di mana saja untuk dijadikan bahawa masjid adalah tempat beribadah dan mewujudkan perpaduan, bukan tempat merebut jawatan atau mengumpat.

Disebabkan masjid adalah rumah Allah, ia dilindungi. Justeru itu, kata Daud, umat Islam harus menghidupkan masjid dengan amal ibadah.

Masjid adalah pemandangan biasa di kebanyakan tempat di Indonesia, terutama di Aceh, yang dianggap serambi Makkah dan pintu masuk Islam ke negara kepulauan itu yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia.

Ketika sesetengah penduduk bercakap mengenai kemurkaan Tuhan, beratus-ratus orang berlindung di masjid dalam keadaan panik untuk lari daripada ombak ganas sambil berdoa kepada Tuhan supaya terselamat daripada bencana tsunami.

Di perkampungan Kaju, dekat Aceh, ratusan rumah musnah manakala masjid di kawasan itu hanya rosak pada dinding.

"Penduduk Aceh berkata masjid adalah rumah Allah dan tiada siapa boleh merobohkannya melainkan Tuhan sendiri," kata Ismail Ishak, 42, yang menggali timbunan runtuhan rumahnya untuk mencari tujuh saudara maranya yang hilang.

Di Pasi Lhok, kira-kira 20 kilometer dari pekan Sigli, utara Aceh, 100 orang yang lari berlindung dalam masjid sambil melihat hampir setiap rumah di lima kampung sekitarnya ranap, kata imam besar kawasan itu, Teuku Kaoy Ali.

Di Meulaboh, pekan di barat Aceh yang terletak 150 kilometer daripada pusat gempa bumi yang mencetuskan ombak besar maut itu, 10,000 mati tetapi masjid di bandar itu tersergam di tengah-tengah kehancuran.

Seorang penduduk di sini, Achyar berkata, apabila melihat ombak besar muncul dari laut, dia terus lari ke masjid. "Saya memanjat menara masjid dan memegang kuat wayar elektrik sehingga air surut. Saya juga lihat kebanyakan rakan Cina lemas ketika mereka berlindung di tingkat dua kedai mereka," katanya.

Satu penjelasan yang diberi kenapa masjid tidak musnah adalah kebanyakannya dibina lebih kukuh daripada struktur lain. Namun, sebuah masjid di Sigli dibina daripada kayu tetapi masihterselamat walaupun bangunan lain di sekelilingnya musnah. Ini membuktikan kekuasaan Alah melindungi rumah ibadat.

Sebahagian Masjid Baiturrahman di Banda Aceh rosak sedikit tapi tidak lama selepas bencana berakhir, ia menjadi kawasan paling berguna untuk mereka yang terselamat berteduh sementara dan menunggu ahli keluarganya yang terperangkap.

Ramai yang bertemu sahabat dan saudara di masjid itu. Ia turut dijadikan hospital sementara untuk merawat mereka yang cedera dan juga rumah mayat.

Namun penduduk berasa mereka perlu memulakan pembinaan secepat mungkin dan masjid itu menjadi bangunan pertama yang diperbaiki. Seminggu selepas kejadian, 300 mangsa tsunami yang terselamat kembali semula mengerjakan sembahyang berjemaah di masjid itu, langkah pertama untuk mengembalikan suasana normal di Aceh.

Tsunami

rencana - Utusan Malaysia - Pilihan

Iktibar daripada masjid terselamat

Oleh Sahbulah Darwi (Wartawan Utusan)


Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap di Kuala Muda, Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU) Pulau Pinang, baru-baru ini menyatakan perasaan kagumnya terhadap struktur sebuah masjid yang masih teguh berdiri sedangkan binaan lain di daerah Meulaboh, Aceh kesemuanya ranap dipukul ombak ganas.

``Banyak mangsa yang mencari perlindungan dalam masjid. Ada yang kata air laut itu (ombak) berpatah balik sebelum menghampiri masjid. Itu cerita mereka,'' katanya ketika menceritakan tentang tinjauan yang beliau lakukan di Aceh baru-baru ini.

Hakikatnya, kisah-kisah beberapa mangsa tsunami yang terselamat dari wilayah itu secara langsung atau tidak, turut berkait rapat dengan rumah Allah iaitu masjid.

Seorang wanita Aceh, Malawati, 23, terselamat kerana sedang berlari ke masjid ketika kejadian berlaku manakala Rizal Shahputra, 20, pula sedang membina masjid ketika ombak menyerang di Banda Aceh.

Dua kanak-kanak di Sri Lanka terselamat daripada bencana kerana berada di masjid sedangkan ibu bapa mereka terkorban kerana berada di rumah.

Masjid di Kampung Masjid Terapong, Tanjung Bungah Pulau Pinang tidak mengalami kerosakan bahkan lantai dan permaidaninya kering di kala kesemua bangunan di kelilingnya dilanda ombak besar itu.

Sementara itu, sebuah masjid di Kuala Muda hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian pagarnya, yang mana kadar kerosakan itu langsung tidak padan jika dibandingkan dengan kediaman di sekitar masjid itu.

Selain itu, masjid-masjid di Bam, Iran dan Turki yang dilanda gempa bumi pada tahun 2003 turut kukuh berdiri meskipun bangunan di sekelilingnya musnah.

Oleh kerana umat Islam paling banyak terkorban dalam malapetaka itu, adalah wajar direnungkan kepada beberapa ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. yang berkaitan dengan bencana agar iktibar boleh diambil daripadanya. Terdapat beberapa hadis yang menyatakan cara yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam ketika menghadapi saat-saat kemungkinan bencana termasuk angin taufan, ribut, gempa bumi dan sebagainya.

Kitab Durul Mantsur nukilan ulama Jalaluddin Sayuti telah memetik beberapa hadis yang menyatakan kisah bagaimana Nabi Muhamad s.a.w. menghadapi keadaan kemungkinan berlaku bencana berkenaan.

Sayidatina Aishah r.a. meriwayatkan apabila berlaku ribut dan taufan, akan zahir perubahan pada wajah Nabi. Wajah baginda akan menjadi pucat dan dalam keadaan resah Nabi Muhammad akan membaca doa: Ya Allah, aku memohon daripada-Mu kebaikan angin ini dan kebaikan yang ada dalamnya dan kebaikan yang Engkau kirim dengannya dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan angin ini dan keburukan yang ada dalamnya dan keburukan yang Engkau kirim dengannya. Aishah berkata, apabila hujan mulai turun, kegembiraan mula kelihatan pada wajah Nabi. Aishah bertanya: ``Wahai Rasul Allah, apabila melihat awan (hitam), semua orang akan bergembira kerana awan ialah tanda akan turun hujan, sebaliknya tuan kelihatan gelisah.''

Baginda bersabda: ``Wahai Aishah, adakah aku boleh berasa yakin bahawa tidak ada azab bersama-sama angin ini? Kaum Ad telah diazab dengan perantaraan angin. Apabila mereka melihat awan, mereka bergembira lalu berkata, ``Awan itu akan membawa hujan untuk kami.'' Sedangkan dalam angin itu ada azab.

Mengenai kejadian yang menimpa umat terdahulu yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu ialah apa yang dikisahkan dalam surah al-Ahqaf ayat 24 dan 25 yang bermaksud: Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang melanda ke lembah-lembah mereka, mereka berkata, ``Ini inilah awan yang membawa hujan kepada kita.' (Mendengarkan kata-kata yang demikian Nabi Hud a.s. berkata), ``Tidak, bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan iaitu azab yang tidak terperi sakitnya.

``Yang menghancurleburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya. (Setelah azab itu menimpa mereka) maka mereka menjadi (punah-ranah) tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikian Kami membalas kaum yang berdosa''. Sementara itu, dalam kitab Jam'ul Fawaid karangan ulama Muhammad Muhammad Az Zubaidi pula menukilkan hadis berikut: Hazrat Nadhar bin Abdullah r.a. menceritakan: ``Pada suatu ketika semasa hayat Hazrat Anas, cuaca menjadi sangat gelap pada waktu siang. Saya pergi menziarahi beliau dan bertanya, ``Adakah peristiwa seumpama ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah? Beliau menjawab: ``Aku berlindung dengan Allah s.w.t.

``Pada zaman Rasulullah apabila angin bertiup kencang daripada biasa maka kami terus berlari ke masjid kerana takut berlaku kiamat.'' Seorang lagi sahabat, Hazrat Abu Darda r.a. menerangkan, ``Menjadi kebiasaan Rasulullah s.a.w. apabila berlaku ribut, baginda akan masuk ke masjid dengan perasaan bimbang.'' Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah sendiri akan berada di dalam masjid sekiranya terdapat kemungkinan bencana berlaku.

Justeru, sewajarnya kita mengambil iktibar daripada bencana yang melanda dengan memperbanyakkan taubat, istighfar dan solat di samping menunaikan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Di samping umat Islam mengambil langkah-langkah penting termasuk penggunaan sains dan teknologi untuk mengurangkan kadar kematian akibat bencana, apa yang ditunjukkan dan dianjurkan oleh Rasulullah ketika menghadapi bencana tidak seharusnya dilupakan sebagai pedoman.

 
Harakah Daily - MASJID TERSELAMAT...Masjid di kawasan Syiah Kuala, Banda Aceh adalah antara puluhan masjid yang terselamat akibat hentakan ombak tsunami 26 Disember lalu. Ini adalah antara tanda kebesaran Allah. Gambar dirakam oleh jurugambar Harakah yang bersama 12 lagi anggota pasukan kedua Misi Kemanusiaan PAS ke Aceh.Foto Wan Zahari
rencana

Tsunami

`Kekebalan' masjid kebesaran Tuhan

Oleh Siti Mariam Md. Zain


KEBESARAN Tuhan! Itulah hakikat yang dapat dilihat di sebalik kehancuran ketamadunan manusia akibat tragedi tsunami yang menyerang dunia khususnya negara-negara Asia pada 26 Disember lalu.

Biarpun di kawasan yang ditimpa bencana, hampir seluruh bandarnya musnah dan ratusan ribu nyawa terkorban, namun masjid-masjid masih berdiri megah.

Lebih menakjubkan, ada di antaranya seolah-olah langsung tidak disentuh walaupun banyak bangunan di sekelilingnya runtuh menyembah bumi sekelip mata.

`Kekebalan' masjid-masjid berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada ratusan ribu mangsa untuk berlindung, malah menginsafkan mereka yang masih hidup.

Keadaan yang sama juga berlaku di Turki dan Iran (Bam) tahun lalu apabila masjid yang terlibat dalam gempa bumi tetap utuh.

``Itulah kebesaran dan keagungan Allah subhanahu wa taala. Dia mampu melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya,'' kata Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria.

Walaupun wujud dakwaan mengatakan kemusnahan yang diturunkan itu mempunyai kaitan dengan kejahatan yang dilakukan oleh manusia, tetapi perkara itu hanya Tuhan yang lebih mengetahuinya.

``Apa sahaja bencana yang berlaku merupakan ujian Allah.

``Sama ada mereka membuat dosa atau tidak, kalau Tuhan hendak menurunkan bencana atau bala, Dia akan melakukannya.

``Maknanya setiap manusia tidak akan terlepas daripada melalui ujian tidak kira dalam apa sahaja bentuk,'' katanya.

Dalam soal ini jelas Harussani, Tuhan tidak menetapkan untuk menurunkan bala hanya kepada umat manusia yang terlupa kepada tanggungjawab mereka sahaja.

``Bagi orang yang beriman, mereka akan mati syahid dan masuk syurga tetapi kepada yang melakukan dosa, tempat mereka ialah di neraka,'' kata beliau lagi.

Menurut Harussani, keadaan itu sama seperti melihat masjid-masjid yang terselamat daripada bencana.

``Ada juga masjid yang musnah apabila ditimpa bencana. Kemusnahannya mungkin kerana ia didirikan atas sebab-sebab tidak baik seperti untuk menunjuk-nunjuk atau angkuh dan sebagainya,'' jelasnya.

Tambah beliau, kesan daripada bala yang diturunkan oleh Tuhan sebenarnya adalah terhadap manusia yang masih hidup.

``Sebab itu adalah wajib bagi kita menghulurkan bantuan untuk mengembalikan semula kehidupan normal mereka,'' katanya.

Sesungguhnya banyak kejadian yang boleh dijadikan iktibar kesan daripada peristiwa mengejutkan dunia itu.

Kemusnahan yang menimpa Banda Aceh, iaitu tempat paling teruk menerima tamparan tsunami, juga tidak menunjukkan kesan ada masjidnya yang rosak teruk.

Ombak besar yang memusnahkan beratus-ratus rumah di Kampung Kaju yang terletak berhampiran kawasan itu, hanya menyebabkan masjidnya mengalami keretakan kecil di bahagian dinding.

Keadaan yang sama berlaku di Pasi Lhok, kira-kira 20 kilometer dari utara bandar Sigli apabila penduduk di lima buah kampung terpaksa mendapatkan perlindungan di masjid setelah bangunan lain musnah.

Di Sigli sendiri, sebuah masjid yang hanya didirikan daripada kayu juga terselamat.

Begitu juga masjid-masjid di Meulaboh yang terletak di pantai barat Sumatera.

Jarak yang hanya kira-kira 150 kilometer dari pusat gempa bumi dan mengorbankan sekurang-kurangnya 10,000 nyawa, tidak menggugat masjid-masjid di kawasan itu.

`Kehebatan' masjid-masjid yang mampu melawan serangan ganas tsunami menyebabkan ia kini dijadikan tempat perlindungan dan berurusan masyarakat tempatan.

Bahkan Masjid Baiturrahman iaitu masjid utama di Banda Aceh sendiri telah berubah sebagai `rumah sementara' paling selamat bagi mangsa-mangsa tsunami.

Dalam al-Quran, kisah rumah Allah dilindungi bencana berlaku pada zaman sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Gabenor Parsi, Abraha yang memerintah Yaman datang bersama tentera bergajah untuk menghancurkan Kaabah ketika itu.

Bagaimanapun pada masa yang sama, Allah telah mengerahkan burung Ababil menyerang tentera-tentera Abraha sebelum mereka dapat menghampirinya.

Di Aceh sahaja, lebih 100,000 penduduknya terbunuh akibat tsunami setakat ini.

Sejarah mencatatkan, Aceh sebenarnya mempunyai latar belakang yang amat rapat dengan kegemilangan Islam itu sendiri.

Dikenali sebagai Serambi Mekah, di situlah bermulanya Islam di rantau ini.

Indonesia pula adalah negara yang mempunyai paling ramai umat Islam di dunia.

Menyaksikan begitu banyak kejadian luar biasa sejak akhir-akhir ini, termasuk perang yang tidak berpenghujung dan turunnya salji di negara Arab yang dikenali sebagai kawasan panas dan bergurun, ada yang mengaitkannya dengan ketibaan kiamat.

``Untuk menentukan bila berlaku kiamat adalah di luar kemampuan kita. Mungkin kita boleh kata bahawa ketika ini dunia dah nyanyuk,'' kata Dr. Anisah Abdul Ghani.

Pensyarah di Jabatan Siasah Syariah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya itu bagaimanapun tidak menafikan tindak-tanduk manusia yang semakin menyimpang daripada ajaran Tuhan yang sebenarnya menyumbang kepada berlakunya bencana.

``Apa yang harus kita ingat ialah, bala Allah tidak pernah mengenal bulu. Jika bala ditimpakan di sesuatu tempat, bukan sahaja mereka yang melakukan dosa menerima akibat tetapi apa sahaja kehidupan yang ada di situ,'' ujarnya.

Keadaan itu berbeza apabila Tuhan mahu memberikan nikmat kerana hanya individu yang khusus akan menerima rahmat-„ya.

Menyentuh hakikat kebesaran Tuhan, Anisah berpendapat, setiap kejadian pasti mempunyai alasan yang tersendiri.

``Memang kita katakan tsunami ini kejadian alam, tetapi kita kena kaitkan juga dengan sikap manusia. Mungkin Allah memberi peringatan kepada kita,'' katanya.

Atas faktor tersebut, tegas Anisah, menyebabkan pentingnya setiap lapisan masyarakat memainkan peranan mereka dengan berpesan-pesan sesama sendiri.

``Ini adalah amaran Tuhan bahawa ada kuasa yang mampu melakukan apa sahaja.

``Kerana itu manusia perlu sentiasa sedar dan mengelak diri daripada menerima kemurkaan Allah,'' kata beliau lagi.

Tsunami

 

luar negara

Masjid Baituraman diguna semula


 

HELIKOPTER bantuan kemanusiaan mendarat di kawasan masjid untuk menghantar bekalan makanan di Meulaboh, Aceh kelmarin. - Gambar AFP.



BANDA ACEH 7 Jan. - Masjid Baituraman di sini digunakan kali pertama untuk solat Jumaat sejak 26 Disember lalu selepas ia digunakan untuk menempatkan mayat-mayat mangsa ombak tsunami.

Orang ramai menunaikan solat Jumaat tanpa menghiraukan bau mayat yang masih menyelubungi dalam masjid yang dibina sejak tahun 1614 lalu.

Pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Din Syamsuddin berkata, malapetaka tersebut merupakan ujian Allah dan sebagai satu peringatan kepada hamba yang sering melupakan-Nya.

``Kita berkumpul dan menunaikan solat hari ini untuk memberitahu seluruh negara dan dunia bahawa kita masih wujud walaupun ditimpa tragedi pahit.

``Kita sangat sedih dan masih dalam suasana berkabung tetapi Allah menyuruh kita untuk sentiasa optimis dan menghadapi ujiannya dengan tabah,'' kata Din sewaktu menyampaikan khutbah di hadapan 2,000 jemaah.

Beliau turut meminta penduduk wilayah Aceh yang ditimpa bencana itu untuk terus tabah dan bersabar dengan ujian tersebut.

``Allah tidak menyayangi kita sekiranya Dia tidak menguji kesabaran dan keimanan kita.

``Bencana ini berlaku sebagai satu peringatan kepada kita yang sering gagal melaksanakan ajaran Islam dengan baik,'' tegas beliau.

Para jemaah turut menunaikan sembahyang jenazah selepas menunaikan solat Jumaat hari ini.

Seorang jemaah, Nazurridin berkata, dia kehilangan kedua ibu bapanya dalam tragedi 26 Disember itu.

``Saya berdoa agar kedua-dua mereka masih hidup dan sekiranya nyawa mereka telah diambil oleh Allah, saya berdoa moga mereka mendapat tempat di syurga-Nya.

``Kita tidak tahu apa yang ditetapkan oleh Allah tetapi kita perlu yakin bahawa Dia hanya satu dan satu-satunya yang berhak disembah,'' kata lelaki itu penuh tabah. - AP

Tsunami

 

rencana

Bukan saja masjid terselamat

Oleh: ABDUL RAHMAN ABDUL RAHIM

Apabila didapati bahawa banyak masjid di Aceh terselamat daripada landaan tsunami ketika mana banyak bangunan lain runtuh maka sudah tentu umat Islam bergembira dan berbangga.

Malah dalam perbualan awam dinyatakan bahawa perkara itu menunjukkan Allah s.w.t. memelihara rumahnya dan mereka yang berada di dalamnya diselamatkan. Kejadian itu dikatakan sebagai tanda kekuasaan Allah s.w.t. dan ia dikaitkan dengan kebenaran Islam.

Tetapi tidakkah ia merupakan satu prasangka yang perlu dinilai daripada sudut perspektif dalam konteks sebenar? Hakikatnya, bukan saja masjid di Aceh yang terselamat tetapi juga patung Buddha di Sri Lanka. Begitu juga didapati bahawa kuil-kuil di India juga selamat. Malah salib Kristian yang hilang dari sebuah gereja di India semasa tsunami itu turut ditemui kembali dalam keadaan selamat.

Keadaan ini berlaku walaupun rumah di sekeliling tempat-tempat ibadat itu musnah dan penduduknya banyak yang terkorban. Penganut-penganut Buddha di Sri Lanka gembira dengan keadaan itu dan menyifatkan ia sebagai campur tangan Tuhan menyelamatkan berhala mereka. Begitu juga dengan penganut Hindu dan Kristian.

Penganut Kristian di India yang pada mulanya sedih kerana kehilangan salib yang amat bermakna bagi mereka itu turut gembira dengan penemuan kembali simbol itu dengan menyifatkannya sebagai pertolongan daripada Tuhan. Jadi dalam tsunami ini, masjid, tokong, kuil, dan gereja terselamat ketika mana banyak kediaman manusia musnah dengan penghuninya sekali.

Tetapi menurut seorang penduduk Aceh, masjid-masjid di situ terselamat kerana binaannya lebih kukuh daripada kediaman penduduk setempat yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu. Terdapat bangunan rumah kedai di Banda Aceh diperbuat daripada batu turut terselamat. Satu lagi ciri masjid-masjid Aceh ialah keadaannya yang tidak berdinding dan membolehkan air melintas lalu tanpa perlu merempuh dinding seperti kebanyakan bangunan lain.

Sementara di Sri Lanka pula, patung-patung Buddha seperti di kebanyakan tempat diperbuat daripada bahan logam yang berat sementara kebanyakan kuil pula terletak di tempat tinggi. Kedudukannya sering kali menjadikannya sebagai tempat perlindungan bagi orang ramai ketika dilanda bencana. Begitu juga dengan gereja dan salibnya yang sememangnya berat.

Realitinya ialah patung, salib dan bahan binaan bangunan sama ada untuk masjid, kuil atau gereja hanyalah batu-batu yang dibina manusia. Nyawa manusia lebih berharga daripada batu-batu itu.

Sememangnya Allah s.w.t. adalah Maha Kuasa untuk melakukan apa saja kehendaknya. Itu sememangnya antara sifat Tuhan.

Tetapi daripada pengamatan dan pengalaman sejarah dan sains, Allah s.w.t. menggunakan, memperlihatkan dan melaksanakan kuasanya melalui suatu sistem dan corak tertentu yang boleh difahami walaupun secara terhad oleh manusia. Sistem inilah yang manusia sebut sebagai hukum alam yang dipelajari melalui sains.

* e-mel: abdulrahman_abdulrahim@yahoo. com

Tsunami

 

rencana - petikan Utusan Malaysia

Menguji kesabaran manusia beriman

Oleh: ABDUL MONIR YAACOB

Sehari selepas penganut agama Kristian merayakan Krismas, dunia telah dikejutkan dengan peristiwa 26 Disember 2004. Satu bencana yang tidak diduga berlaku dan nama bencana itu pun tidak dikenali di rantau ini, ia menyerang dalam tempoh waktu yang amat pantas.

Aceh adalah di antara kawasan yang paling teruk dipukul ombak tsunami, yang tinggal megah hanya masjid di Banda Aceh. Saya pernah ke Banda Aceh bersama dengan rombongan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah beberapa tahun yang lalu.

Pada ketika itu berkesempatan melawat beberapa tempat penting dan bersejarah termasuk menghadiri majlis perkahwinan puteri Gabenor Aceh. Dikhabarkan bahawa keluarga diraja Pahang ada hubungan keluarga dengan Aceh.

Saya masih dapat mengingati pemandangan Aceh dari pesawat Garuda ketika terbang dari Jakarta ke Banda Aceh. Apabila menatapi gambar Aceh di muka akhbar selepas dilanda ombak tsunami - amat pilu, hiba dan sedih. Lebih-lebih lagi apabila dikhabarkan puluhan ribu nyawa terkorban.

Sebagai orang Islam kita ucapkan: Sesungguhnya kita ini kepunyaan Allah, dan kepada-Nya kita kembali. Sesuatu musibah itu tidak akan berlaku kecuali telah tertulis suratan takdirnya.

Apabila berlaku malapetaka seperti taufan, gempa bumi dan akhir sekali ombak tsunami, sudah pasti banyak nyawa yang terkorban. Kali ini jumlah amat besar sekali kerana ia di luar jangkaan dan tiada amaran diberikan dan terjadi di beberapa buah negara.

Ada yang berkata jika ada sistem amaran mungkin bilangan kehilangan nyawa boleh dikurangkan. Kalau malapetaka itu dari gunung berapi, tentu amaran mudah diberikan kepada penduduk tempatan; akan tetapi apabila gegaran itu berlaku di dasar lautan dengan kadar yang tinggi hingga 9 pada skala Richter, maka amat besar dan meluas kesannya.

Rakyat Malaysia telah memberi contoh yang amat baik dan simpati yang tinggi kepada mangsa tsunami terutama di negara sendiri, di samping memberi bantuan dan pertolongan kepada mangsa di Aceh.

Islam sememangnya mengunjurkan supaya berbuat kebajikan kepada orang yang memerlukan, bahkan dalam keadaan sekarang wajib kita menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk dan derma. Apabila ramai yang melakukan, nescaya yang sedikit akan menjadi bukit. Sebatang lidi apabila dikumpulkan ia akan mendatangkan faedah yang besar.

Selain bantuan berbentuk kebendaan, bantuan berbentuk kejiwaan atau spiritual patut juga diberikan. Para ahli psikologi dan psikiatrik telah memulakan tugas mereka bagi membantu mengatasi trauma yang berlaku pada diri sesetengah mangsa malapetaka ini. Bagaimanapun masih ada perkara yang boleh disumbangkan kepada mangsa tsunami iaitu nasihat dari aspek agama yang menyentuh keimanan dan kejiwaan.

Mereka perlu diberi penjelasan dari sudut keagamaan tentang sesuatu malapetaka yang menimpa diri. Iaitu dengan memberitahu cerita-cerita yang terkandung dalam al-Quran.

Begitu juga menghuraikan kejadian-kejadian yang berlaku di dunia yang ada kaitan dengan akidah. Supaya mereka lebih bersabar dan tabah menghadapi qada dari Allah s.w.t. Selain suratan takdir, ia juga sebagai ujian atau iktibar semasa hidup di dunia ini.

Dalam al-Quran ada menceritakan tentang manusia apabila ditimpa kesusahan, sama ada bersabar atau tidak. Dalam surah al-Maarij, ayat 20 yang bermaksud:

Apabila ditimpa kesusahan, ia sangat resah dan gelisah.

Dalam al-Quran ada menceritakan tentang apa yang akan berlaku pada dunia di masa akan datang seperti firman-Nya dalam surah Infitar, ayat 1 yang bermaksud:

Apabila langit terbelah, Dan apabila bintang-bintang gugur bertabur, Dan apabila lautan pecah bercampur-baur.

Ayat di atas menjelaskan Allah s.w.t. telah memberikan peringatan tentang setiap kejadian dan peraturan atas sunah alam; akan tetapi kejadian-kejadian ini pada suatu ketika akan sampai tempoh akhir kewujudannya.

Apa yang kita saksikan dan dialami oleh mangsa tsunami adalah sedikit pengalaman daripada gambaran yang akan berlaku pada alam ini yang usianya telah amat lama, dan kita tahu bahawa kehidupan ini akan fana jua. Oleh itu kesabaran, keinsafan dan keimanan perlu ada pada setiap diri dan percaya dengan takdir Allah s.w.t.

Dalam surah al-Baqarah ayat 154 firman Allah yang bermaksud:

Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman, Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

* DATUK DR. ABDUL MONIR YAACOB ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tsunami

 

laporan khas - Petikan Utusan Malaysia

Menitis air mata melihat masjid Meulaboh tersergam utuh

Daripada: ZULKIFLEE BAKAR dan SYAHRIL A. KADIR

BANDA ACEH 6 Jan. - Allahu Akbar (Allah Maha Agung)! Hanya itulah ungkapan yang dapat menggambarkan perasaan di hati kami apabila melihat sebuah masjid tersergam utuh di tengah-tengah padang jarak padang terkukur daerah Meulaboh, dekat sini.

Masjid Raya Baiturrahman di sini, berusia lebih 710 tahun, pula hanya mengalami sedikit kemusnahan.

Ketika gelombang - kiamat kecil - melanda pekan itu selaju 700 kilometer sejam, ia menyapu bersih semua di depannya - bangunan papan, batu bata dan apa saja. Air laut naik setinggi kubah masjid itu.

Keliling radiusnya seluas berbatu-batu, menjadi rata.

Ajaibnya masjid di Meulaboh, masjid Raya Baiturrahman di sini dan beberapa tempat lain tetap utuh. Subhanallah, hanya Tuhan sahaja yang tahu jawapannya mengapa masjid-masjid itu masih utuh.

Kami tidak terkata-kata. Halim Khalid, jurugambar Utusan Malaysia, terpukau melihat masjid `keramat' Baiturrahman. Matanya yang selalunya tajam melihat objek-objek luar biasa untuk diambil gambar, terpaku.

Dia kelihatan menitiskan air mata. Air mata keinsafan. Kami juga begitu.

Penduduk-penduduk Aceh percaya suasana di wilayah itu hanya akan pulih sepenuhnya setelah 10 tahun akan datang berikutan kemusnahan yang dialami begitu teruk akibat bencana tsunami pada 26 Disember itu.

Bencana berkenaan benar-benar mengubah segala sistem kehidupan dan kemudahan mereka termasuk mengorbankan banyak nyawa sehingga ada daerah di wilayah tersebut hancur sama sekali.

Bagi penduduk Banda Aceh pula, mereka menganggap pusat bandar daerah itu memerlukan tempoh yang lebih panjang memandangkan kemusnahan yang dialami paling teruk dalam sejarah.

Tambahan pula semua sistem termasuk bekalan air dan api musnah sama sekali dan pada masa yang sama jumlah kehilangan jiwa di daerah itu begitu tinggi sekali.

Menurut Afrezal Adnan, pusat bandar di sini adalah nadi kepada ekonomi wilayah Aceh, tetapi kini ia lumpuh sama sekali kerana bencana tsunami.

Katanya, sebahagian besar rakyat Aceh kini bimbang terhadap masa depan mereka terutama dari segi ekonomi berikutan kemusnahan yang dialami di pusat bandar kerana di situlah segala-galanya kegiatan ekonomi serta sosial berjalan.

``Tetapi kini semuanya sudah musnah, tidak ada apa-apa lagi, yang tinggal dan ma-sih utuh walaupun mengalami kerosakan ialah Masjid Baitulrahman,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Safwan Abdullah pula tetap yakin Aceh mampu dibangunkan semula tetapi memerlukan masa yang agak panjang memandangkan pusat bandar Banda Aceh musnah sama sekali.

Katanya, pembangunan di Aceh mampu dilakukan dengan cepat jika mendapat kerjasama daripada negara asing yang pakar dalam bidang tersebut terutama Jepun dan Korea.

``Pada masa ini kita tidak boleh bayangkan lagi bagaimana bentuk pembangunan itu, apa yang dilihat hanya kemusnahan yang sudah tentunya membantutkan perkembangan ekonomi Aceh,'' katanya.

Bagi Sulaiman Daud, 43, pula yang rumah kedainya turut mengalami kerosakan teruk dalam bencana tersebut, Aceh akan mampu dibangunkan semula jika semua pihak terutama pemerintah Indonesia benar-benar memberi tumpuan membersihkan sisa-sisa akibat bencana itu.

Katanya, walaupun sudah dua minggu berlalu, seluruh pusat bandar Banda Aceh ketika ini masih lagi dipenuhi dengan sisa-sisa runtuhan malah ada kawasan yang langsung belum dijalankan operasi pembersihan.

``Kita tidak pasti kenapa tetapi kelambatan membersihkan pusat bandar akan menyebabkan Aceh tidak dapat dibangunkan semula dengan cepat dan 10 tahun merupakan jangka masa yang panjang,'' katanya.

Seorang ahli perniagaan, M. Yunu Abdullah, 45, pula berkata, projek pembangunan Aceh perlu diserahkan secara langsung kepada rakyat Aceh sendiri untuk melaksanakannya dan bukan melalui pemerintah Indonesia.

Ini kerana menurutnya, ramai rakyat Aceh tidak yakin ia benar-benar akan dilaksanakan oleh mereka yang dilantik melakukan pembangunan semula itu berikutan pelbagai masalah termasuk kerenah birokrasi.

``Maknanya pemerintah melantik kontraktor tempatan dan bukannya menyerahkan kepada mana-mana pegawai kerajaan untuk memilih kontraktor tersebut,'' katanya.

Tsunami

 

forum - Petikan Utusan Malaysia

Ambil pengajaran hubungan tsunami, masjid

Saudara Pengarang,
MALAWATI seorang muslimah dari Aceh yang berusia 23 tahun terselamat dari bencana tsunami setelah berpaut pada pokok nipah selama enam hari di lautan.

Beliau ketika tsunami menyerang sedang berlari menuju ke masjid.

Rizal Shahputra muslim Aceh yang berusia 20 tahun, terapung selama sembilan hari di tengah lautan berpaut pada pokok kelapa, tidak meninggalkan solat walau satu waktu pun sepanjang tempoh terapung di lautan.

Beliau ketika tsunami menyerang, sedang membina masjid.

Dua orang kanak-kanak di Sri Lanka menjadi yatim piatu apabila ibu bapa menjadi mangsa korban tsunami.

Kedua kanak-kanak ini berada di masjid ketika tsunami menyerang rumah mereka.

Masjid di Kampung Masjid Terapong, Tanjung Bungah, Pulau Pinang tidak mengalami kerosakan bahkan dikatakan lantai dan permaidaninya kering, walhal rumah di sekeliling dilanda ombak besar.

Semua ini ada tanda-tanda peringatan Allah s.w.t. untuk kita ambil sebagai pengajaran.

Adakah benar kita telah merasa insaf?

Adakah jemaah yang hadir solat lima waktu ke masjid atau surau di tempat kediaman kita bilangannya adalah sama, bertambah atau berkurang selepas tsunami?

Adakah derma kita kepada masjid, surau, anak-anak yatim, orang-orang susah di sekeliling kita bertambah selepas tsunami ?

Adakah kita masih mencari kelemahan orang lain, mengumpat orang lain, mempunyai perasaan hasad-dengki terhadap orang lain selepas tsunami ?

Adakah kita sudah mencari kelemahan diri kita, kesilapan diri kita selepas tsunami?

Marilah kita menilai diri kita apakah benar kita telah mengambil pengajaran daripada tanda-tanda yang Allah berikan melalui peristiwa ini? - ROZMAL MALAKAN, Senawang, Negeri Sembilan.

Tsunami

 

muka hadapan

Penduduk percaya pesta di makam wali punca bencana

Oleh ZULKIFLEE BAKAR dan SYAHRIL A. KADIR


BANDA ACEH 8 Jan. - Bagi kebanyakan masyarakat Aceh yang terselamat daripada gelombang maut tsunami, mereka mempunyai cerita di sebalik tersergam gagahnya masjid walaupun bangunan di sekelilingnya ranap `dikerjakan' ombak besar itu.

Kepada mereka, bencana yang mengorbankan beratus ribu nyawa dan meranapkan bangunan besar dan kecil itu berpunca daripada satu pesta yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.

Pesta itu, walaupun dilarang oleh penduduk, namun ia tetap jua diadakan berhampiran makam seorang wali Allah iaitu Teunku Syah Kuala di Kampung Kuala.

Teunku Syah Kuala ini, merupakan seorang pendakwah yang dikatakan membawa masuk ajaran Islam di bumi Aceh ini.

Sebaik sahaja pesta itu berakhir, tragedi buruk Aceh bermula pada keesokan harinya.

Banda Aceh dan sekitarnya ranap dilanda oleh bencana gempa bumi - yang paling kuat dalam tempoh 40 tahun - dan tsunami sederas 700 kilometer sejam.

Bagaimanapun yang terselamat ialah masjid-masjid di Banda Aceh dan sekitarnya.

Lantas ia mencetuskan persoalan - bagaimana masjid itu boleh selamat.

Beberapa orang penduduk Banda Aceh yang ditemui mempercayai, bencana itu disebabkan oleh pesta yang diadakan berhampiran makam tersebut.

Masjid itu pula, kata mereka: ``Itu rumah Allah.

Allah yang memeliharanya.''

Walaupun cerita itu agak meragukan kepada sesetengah orang termasuk wartawan Mingguan Malaysia, namun itulah kepercayaan mereka.

Bagi mereka, itulah puncanya menyebabkan Banda Aceh dan sekitarnya musnah dan hancur.

Lebih malang lagi, kesan malapetaka tersebut bukan sahaja menimpa Serambi Mekah tetapi juga beberapa negara lain seperti Malaysia, Thailand, Sri Lanka dan India.

Dalam pada itu, ada pula penduduk yang berpendapat, masjid-masjid berkenaan seperti di Banda Acheh, Meulaboh, Calang, Lamnga dan Ole-oleh terselamat daripada amukan tsunami kerana struktur pembinaannya yang kukuh.

Ketika ditanya kepada seorang ulama Aceh, KH.Rashied, beliau tidak menolak kedua-dua kemungkinan itu yang menyebabkan masjid-masjid tersebut terselamat daripada tsunami.

Apa yang penting, kata ulama itu, pengajaran yang perlu diambil oleh semua pihak daripada tragedi tersebut.

Antaranya, semua pihak perlu menghormati tempat-tempat suci seperti masjid dan makam wali Allah yang terdapat di mana-mana juga.

Mengenai masjid-masjid yang turut utuh walaupun dilanda tsunami, Rashied berkata, keadaan itu seharusnya menjadi pengajaran bahawa kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Ia juga katanya boleh dianggap sebagai satu peringatan kepada umat manusia.

Ketika menyampaikan kuliah Subuh di sebuah masjid di sini, Kiai Hamzah Zainudin pula berkata, Allah telah menunjukkan kebesaran-Nya bahawa sesiapa yang berpegang teguh kepada ajaran Islam dan sentiasa berlindung dengan-Nya pasti selamat dunia dan Akhirat.

Sehubungan itu, katanya, rakyat Aceh tidak perlu berteka-teki mengenai teori yang menyebabkan berlakunya tsunami tersebut.

Apa yang penting, katanya, adalah iktibar yang boleh diperoleh daripada peristiwa berkenaan

.Tsunami

 

 

 

 

 

© Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD 2005

Semua bahan adalah hakcipta HBI Health & Homoeopathy Centre. Saranan dan komentar dialu-alukan: Dr HBI