PENDIDIKAN MATEMATIK ABAD
KE-21
DELTA DALAM PERANAN GURU
[PREVIOUS][HYPATIA7][HOME][NEXT]
Strategi dan Teknik Pendekatan
Konstruktivisme
Sebelum sebarang strategi atau
teknik boleh digunakan dengan berkesan, guru perlu terlebih dahulu menyedari
beberapa perkara yang perlu ada pada seorang guru bagi membolehkan pendekatan
ini digunakan untuk mengajar untuk kefahaman. Di antara keperluan
yang perlu ada pada seorang guru adalah, dia perlu menguasai kandungan
matematik yang ingin diajarnya. Kandungan yang dimaksudkan bukan
sekadar bermaksud pengetahuan fakta seperti menyatakan a2 +
b2 = c2 bagi Teorem Pytogoras. Guru perlu mendalami
konsep yang terlibat. Untuk itu, guru juga perlu masuk ke perpustakaan
dan mencari buku-buku berunsurkan sejarah baik sejarah perkembangan ilmu
matematik itu sendiri ataupun sejarah ahli matematik yang telah bertanggungjawab
menemui fakta tersebut.
Di samping itu, guru perlulah
juga menguasai pengetahuan pedagogi untuk memudahkannya memahami pelbagai
kerenah pelajar di dalam kelas. Pengetahuan sebegini perlu bagi menyedarkan
guru bahawakesilapan pelajar dalam menyelesaikan sesuatu masalah tidak
bererti yang mereka mengalami pembelajaran sifar. Sebaliknya, kesilapan
pelajar memberi klu kepada pemahaman pelajar pada masa itu. Pengetahuan
pedagogi ini lazimnya diperkayakan dengan hasil-hasil penyelidikan.
Justeru itu, wajarlah bagi seorang guru sentiasa mengikuti perkembangan
semasa tentang pendidikan matematik. Sebagai contoh, guru perlu sedar
bahawa kini dunia mengatakan bahawa pendidikan matematik perlu diintegrasikan
dengan penggunaan teknologi..
Satu contoh yang lazim bagi
pengintegrasian teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran ini
adalah penggunaan komputer. Guru perlu sedar bahawa buku sifir dihasilkan
bagi memudahkan pengiraan pada masa yang lampau. Kini, kita sudah
ada kalkulator dan komputer yang boleh mengambil alih fungsi buku sifir
tersebut, iaitu memudahkan pengiraan. Menurut pengujian pilot yand
telah dilakukan di Australia berkenaan dengan penggunaan komputer di bilikdarjah,
penggunaannya dikatakan membawa kesan yang positif kepada pelajar dan pembelajaran.
Senarai berikut meringkaskan kesan positif tersebut.
-
Pelajar boleh membiasakan diri dan yakin dalam menggunakan
teknologi baru.
-
Motivasi pelajar didapati bertambah dengan pembelajaran
berbantukan komputer. Ini adalah kerana komputer mampu menambahkan
unsur keseronokan dan keasyikan di jiwa kanak-kanak.
-
Pengukuhan kemahiran dan konsep didapati berjalan
dengan lebih lancar.
-
Penggunaan komputer juga didapati menggalakkan kemahiran
sosial, teutamanya apabila pelajar terpaksa berkongsi komputer.
-
Ianya juga berupaya untuk meningkatkan kemampuan
pelajar untuk menyelesaikan masalah dan berfikir secara semantik (logik).
-
Pelajar mengawal pembelajaran mereka sendiri.
Mereka tidak akan berganjak ke aras yang lain selagi mereka tidak berjaya
melepasi rintangan yang terdahulu.
-
Justeru itu, persaingan yang negatif dialihkan kepada
yang positif di mana pelajar bukan lagi bersaing sesama sendiri, tetapi
bersaing dengan komputer ataupun diri sendiri.
Maka, bagaimanakah caranya untuk
mengajar untuk pemahaman ini? Shulman telah menyediakan beberapa
cadangan ke arah itu. Beliau mengatakan bahawa mengajar untuk pemahaman,
guru perlu menggunakan perwakilan yang berguna, ide yang saling berkait,
contoh yang jelas, dan berguna, analogi yang membantu, perkaitan yang penting,
dan perkaitan antara idea. Di sampng itu juga, dalam menyediakan
contoh, guru perlu menyediakan atau bersedia dengan satu contoh berupaya
penafian kepada konjektur yang dihasilkan oleh pelajar.
Di dalam perbincangan di atas,
ada disebut bahawa guru menggunakan perwakilan yang berbeza. Ini
adalah kerana pelajar mempunyai kecerdasan yang berlainan; verbal-linguistik,
logiko-matematik, muzik, spatial, bodily-kinesthetic, inter-personal, dan
intrapersonal. Lazimnya kecerdasan yang pelbagai ini diabaikan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Di antara sebab-sebab yang menjurus
kepada keadaan ini adalah ketiadaan masa untuk berbincang sesama guru semasa
bertugas. Pernyataan ini mungkin ada benarnya kerana tugas guru bukanlah
semata-mata mengajar sahaja, tetapi juga bertanggungjawab dalam urusan
pekeranian, dan aktiviti-aktiviti sosial yang lain, baik pasukan pakaian
seragam, persatuan akademik, mahupun kelab sukan yang ada di sekolah.
Selain daripada itu, kurikulum yang mempunyai tajuk yang banyak dengan
skop yang luas juga didapati tidak menyokong. Justeru itulah, ramai
di antara guru lebih gemar menghabiskan sukatan mereka sebulan dua lebih
awal daripada tarikh peperiksaan awam. Perasaan guru itu sendiri
juga menjadi sebab kepada pengabaian penggunaan pelbagai kecerdasan pelajar.
Guru sebegini lazimnya tidak berasa selesa ataupun berminat dengan disiplin
yang lain. Lebih teruk lagi, apabila guru sendiri enggan berkolaborasi.
Walau ada sekalipun, mereka tidak selesa tentang bekerja secara kolaboratif
sekiranya mereka tidak mempunyai panduan ke arah tersebut.
Pendekatan konstruktivisme
ini lazimnya dikaitkan dengan pembelajaran koperatif. Malah ada yang
menyatakan bahawa strategi utama dalam pendekatan konstruktivisme adalah
pembelajaran koperatif kerana ianya merangkumi pelbagai teknik pengajaran.
Di dalam pembelajaran koperatif, pelajar bekerjasama dalam kumpulan yang
kecil. Mereka akan bekerjasama dan saling bantu-membantu untuk memenuhi
kehendak tugasan. Teknik yang digunakan termasuklah 'round-table',
'maths jigsaw' (JM), 'group-maths-tournament' (GMT), dan 'learning together'
(LT). Manfaat yang boleh diperolehi daripada pembelajaran koperatif
adalah banyak. Ianya didapati sesuai untuk kelas yang mempunyai pelbagai
kebolehan. Di samping itu juga, ianya juga mampu menggalakkan perasaan
yang positive di mana pelajar dalam kumpulan masing-masing atau kelas masing-masing
akan saling menghargai, menyokong, dan menghormati di antara satu sama
lain. Situasi sebegini sudah tentu akan membantu perkembangan kemahiran
sosial seperti komunikasi, interpersonal, interaksi kumpulan dan resolusi
konflik. Hasil akhirnya adalah peningkatan pencapaian akademik, sosial,
dan psikologikal.
Pembelajaran koperatif mempunyai
ciri-ciri tertentu. Senarai berikutnya meringkaskan ciri-ciri tersebut.
-
Strategi ini mementingkan pembelajaran aktif.
-
Guru berperanan sebagai fasilitator
-
Pengajaran dan pembelajran dialami oleh guru dan
pelajar
-
Pelajar dikehendaki memikul tanggungjawab atas pembelajaran
mereka sendiri
-
Pelajar dikehendaki juga menyampaikan idea dalam
kumpulan kecil
-
Strategi ini membangunkan kemahiran sosial dan pembinaan
semangat kerja berpasukan (team work)
-
Strategi ini membantu meningkatkan kejayaan pelajar
dan ingatan terhadap sesuatu pengetahuan
-
Strategi ini mengambil kira kepelbagaian pelajar
-
Pelajar menerima latihan dalam kemahiran berkumpulan
dan sosial
-
Aktiviti distrukturkan di mana setiap pelajar memainkan
peranan spesifik
-
Guru memantau, mendengar dan campur tangan dalam
kegiatan kumpulan jika perlu, terutamanya dalam menjolok minda pelajar
-
Pelajar menghantar kerja atau menyampaikan hasil
perbincangan kumpulan masing-masing pada akhir pelajaran untuk dinilai
-
Pelajar juga menilai prestasi rakan-rakan sekumpulan
dengan dibimbing oleh guru. Ini menjurus kepada penilaian secara
berterusan.
-
Tugasan direkabentuk agar ianya saling bergantungan
-
Proses pengajaran dan pembelajaran ditamatkan dengan
aktiviti refleksi tentang tugasan akademik dan kemahiran koperatif yang
telah digunakan.
Satu lagi strategi yang berkaitan
adalah pembelajaran masteri. Ianya telah diperkenalkan oleh Bloom
pada tahun 60'an. Strategi ini menganggap bahawa semua pelajar boleh
menguasai sesuatu konsep ataupun pengetahuan sekiranya mereka diberi masa
yang mencukupi dan disediakan dengan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti.
Contoh yang sangat nyata adalah dalam bidang sukan. Seseorang pelajar
boleh dilatih dan dibimbing menjadi seorang pemain bola keranjang yang
baik walaupun pada mulanya dia sedikitpun tidak pandai melantun bola dengan
harmoni, dengan syarat beliau diberi masa yang mencukupi dan latihan dan
bimbingan yang berguna dan berkualiti. Sama seperti penguasaan kemahiran
dalam permainan bola keranjang di mana pemainnya terlebih dahulu perlu
mahir melantun bola secara statik, kemudian secara dinamik, kemudian diikuti
dengan kemahiran menjaring dan sebagainya. Pembelajaran masteri ini
memberi peluang kepada pelajar untuk menguasai suatu bahagian dahulu daripada
pengetahuan atau konsep yang sama sebelum pelajar itu berganjak ke bahagian
yang lain. Dalam operasi tambah (+), pelajar dibiarkan berjinak dengan
nombor satu digit, kemudian dengan dua digit, kemudian dengan tiga digit,
dan seterusnya. Dalam pembelajaran masteri ini, ada empat langkah
dalam perlaksanaannya. Empat langkah tersebut adalah seperti yang
disenaraikan di bawah ini.
-
Penentuan hasil pembelajaran yang perlu dikuasai
-
Pengajaran dengan kaedah dan alat yang berkesan
-
Penilaian dengan ujian diagnostik untuk mengesan
tahap penguasaan
-
Tindakan susulan berupa pemulihan kepada pelajar
yang belum menguasai sesuatu unit, dan pengukuhan dan pengayaan kepada
pelajar yang sudah menguasai sesuatu unit
Di dalam senarai di atas, malah
sudah menjadi satu rutin dalam proses pendidikan ada dinyatakan tentang
penilaian atau lebih tepat diistilahkan sebagai pentaksiran. Adakah
cara guru menilai pada hari ini denan menggunakan nombor bersesuaian dengan
pendekatank konstruktivisme? Bagaimanakah caranya hendak menilai
sesuatu yang bersifat abstrak seperti rajin dan malas melalui ujian bertulis?
Perkara ini akan dibincangkan dengan ringkas pada bahagian seterusnya.