Keperluan Untuk Berubah
Terdapat beberapa
faktor yang mendorong kepada perubahan dalam pendekatan pengajaran - pembelajaran
pendidikan matematik. Faktor ini ditimbulkan hasil daripada penyelidikan
dan senario semasa dunia pendidikan kita masa kini. Salah satu daripada
faktor-faktor tersebut adalah berkait rapat dengan penyelidikan yang dijalankan
oleh TIMSS yang menjalankan kajian tentang penguasaan konsep matematik
di kalangan pelajar di beberapa buah negara, termasuklah Malaysia, Singapura,
dan Amerika Syarikat. Mereka telah menggunakan item yang beraras
tinggi di mana penguasaan konsep akan mempengaruhi kaedah penyelesaian
masalah dan pengaplikasian kaedah yang terpilih. Berdasarkan kepada
dapatan kajian tersebut, didapati pelajar kita adalah jauh ketinggalan
daripada negara jiran kita, Singapura. Apa yang pasti ialah, ianya
menunjukkan bahawa pelajar kita belum boleh dinilaitaraf sebagai salah
satu bangsa yang berprestij di dunia. Jelas sekali bahawa, pelajar
kita selama ini hanya bergantung kepada penghafalan suatu rutin sahaja
dengan harapan agar rutin tersebut akan berulang dalam mana-mana situasi,
baik di dunia fantasi mahupun dunia realiti.
Faktor kedua
adalah berteraskan kepada perubahan zaman hasil daripada kemajuan dalam
bidang sains dan teknologi. Dahulu kala, dunia pendidikan kita dibentuk
oleh revolusi pertanian. Kemudian, ianya dicorak pula oleh revolusi
perindustrian di mana perkembangan kemahiran adalah berteraskan kepada
model perkilangan. Hasilnya maka kita lihatlah pelajar-pelajar kita
dipisahkan daripada keluarga untuk ditempatkan di lokasi yang menyerupai
sebuah kilang, iaitu sekolah yang menghasilkan robot untuk satu tugasan
yang tertentu. Oleh kerana itu, kurikulum matematik adalah berfragmen.
Bahagian yang besar dipecahkan kepada bahagian-bahagian kecil yang kemudiannya
dihubungkan dengan harapan agar wujud satu perkaitan di antara bahagian-bahagian
kecil tersebut melalui pembelajaran berturutan (sequential learning).
Dengan pemecahan sebegini, maka perkaitan di antara kurikulum dengan dunia
sebenar adalah tahap yang minimal. Selari dengan pemecahan tersebut,
penilaian juga direkabentuk dengan keadaan ianya tidak mempunyai perkaitan
langsung dengan dunia sebenar. Hasilnya, maka terdengarlah rintihan
dan rungutan empunya-empunya kilang dan syarikat masa kini yang mengadu
bahawa graduan yang dilahirkan di Malaysia tidak berkemampuan untuk menggunakan
gulungan ijazah mereka dalam menangani masalah harian yang dihadapi oleh
syarikat. Apa tidaknya, robot ini hanya boleh melakukan tugasan yang
tertera dalam pemprogramannya. Ketiadaan satu parameter sahaja, maka
tidak tentulah haluan robot tersebut.
Kini, dunia
kita sudah mula dikuasai oleh kemajuan dalam dunia informasi dan teknologi.
Istilah ICT, E-Dagang, dan sebagainya semakin berleluasa. Zaman ini,
pengetahuan tidak perlu dirayu daripada seorang pendidik. Pengetahuan
itu berlambak di kabel telefon. Ini membawa kepada implikasi bahawa
pengetahuan itu bukan tujuan utama pembelajaran, tetapi pembelajaran itu
adalah untuk mencari makna kepada pengetahuan.
Selain daripada
itu, satu lagi faktor yang menyumbang kepada keperluan untuk berubah adalah
dari aspek penilaian dan pentaksiran. Kalau kita renungi Falsafah
Pendidikan Negara, dengan jelas ianya menyatakan bahawa peranan pendidikan
adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dan harmoni dari segi jasmani,
emosi, rohani, dan intelek. Sejauh manakah pendidik telah menilai
kesemua unsur ini? Yang jelasnya adalah, apa yang menjadi kayu ukur
bagi membandingkan pelajar sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri,
mahupun kebangsaan, adalah unsur intelek semata-mata. Tidak lama
dahulu, terdapat satu usaha untuk memasukkan unsur rohani dan emosi dalam
penilaian melalui matapelajaran Pendidikan Moral. Malangnya, pada
pendapat saya, ianya masih lagi menilai aspek kognitif semata-mata.
Bagaimana alat pengukur yang memerlukan pen dan pencil boleh menyatakan
apa yang tersorok di benak hati dan di ruang minda seorang pelajar?
Sejauh manakah kesahihan hasil penilaian tersebut? Adakah sekiranya
seorang pelajar itu mendapat pangkat A dalam matapelajaran Pendidikan Moral
mahupun Pendidikan Islam, maka ianya menginferkan bahawa pelajar tersebut
mempunyai nilai pekerti yang mulia, yang boleh dijadikan sebagai 'role
model' dalam masyarakat kita? Sekiranya jawapan kepada persoalan
tersebut adalah "YA", maka mengapa pula wujudnya jenayah kolar putih?
Penilaian sepatutnya, dalam merealisasikan harapan negara dan doktrin yang
tercatat dalam Falsafah Pendidikan Negara, memberi nilai kepada aspek psikomotor,
afektif, dan kognitif.
Faktor yang
terakhir adalah berkait rapat dengan kuasa ekonomi. Matematik bersama-sama
dengan sains merupakan matapelajaran yang menentukan masa depan seseorang.
Pekerjaan masa depan akan banyak menggunakan ilmu matematik terutamanya
dalam penyelesaian masalah. Malah, penguasaan bidang tersebut akan
menentukan jenis pekerjaan yang layak dipohon, justeru menentukan nilai
enumerasi (gaji), dan selanjutnya menentukan kuasa membeli individu.
Malangnya, apa yang nyata pada hari ini, bilangan pelajar kita yang benar-benar
menguasai ilmu matematik itu tersangatlah sedikit. Dalam bilangan
yang sedikit ini pula, ianya didominasikan oleh kaum tertentu. Hal
ini menimbulkan ketidakseimbangan pengagihan dapatan negara. Hal
ini menimbulkan ketidakadilan dalam kuasa membeli. Hal ini menjurus
kepada tempangnya pendemokrasian pendidikan di negara kita.
Apa yang boleh
kita simpulkan daripada faktor-faktor keperluan untuk berubah ialah pendidik
di Malaysia, termasuk saya sendiri telah gagal dalam menghayati kehendak
dan aspirasi yang tersirat dan tersurat dalam Falsafah Pendidikan Negara.
Tidak keterlaluan juga sekiranya dikatakan bahawa kaum pendidiklah yang
bertanggungjawab sekiranya Wawasan 2020 gagal kita gegami. Sudah
menjadi takdir, seorang pendidik itu merupakan agen yang akan menentukan
masa depan anak bangsa dan negara tercinta. Pendidik harus sedar
dan berbangsa bangga bahawa merekalah penentu segalanya. Komuniti
juga perlu sedar, masa depan cahaya mata mereka terletak di tangan seorang
yang bergelar guru. Kegagalan pendidik, bukanlah kegagalan pendidik
semata-mata kerana aktivitinya sangat banyak bergantung kepada faktor-faktor
luaran yang merupakan arahan dalaman atau arahan luaran dalam melaksanakan
tugasnya, dalam memberi nyawa kenyataan kepada mimpi indah negara.
Siapakah yang dimaksudkan ini? Tidak lain dan tidak bukan, semua
pihak!
Sekarang kita
sedar, kita perlu berubah. Tugasan pendidik mesti berubah sejajar
dengan arus peredaran zaman, selari dengan hasil penyelidikan. Persoalan
selanjutnya adalah ke mana kita hendak berubah? Untuk menjawab persoalan
ini, kita perlu terlebih dahulu melihat dua faktor perkara yang penting
dalam menentukan hala tuju perubahan tersebut, iaitu cara kanak-kanak berfikir
dan pemahaman tentang matematik itu sendiri sebagai satu cabang ilmu.