05-10-2005 : SC didik pelabur tolak spekulasi
Oleh Nur Lina Rasol dan Azida Shaharuddin
SURUHANJAYA Sekuriti (SC) melancarkan kempen IQ Bijak Labur dalam usaha mendidik
masyarakat supaya menjadi pelabur bijak dan berpengetahuan untuk terbabit dalam
pasaran modal yang semakin berubah dan berkembang.
Pengerusi SC, Tan Sri Md Nor Yusof, berkata kempen itu penting kerana masih
ramai pelabur gemar melabur berasaskan khabar angin atau menerusi skim yang
menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.
“Dengan pelancaran ini dan program seterusnya yang sudah dirancang, SC berharap
sikap sebegini dikikis atau diubah dan pelabur melabur berasakan nilai asas
serta memilih pelaburan sesuai dengan risiko dan objektif pelaburan mereka,”
katanya pada majlis pelancaran kempen IQ Bijak Labur di Kuala lumpur, semalam.
Kempen yang disasarkan terutama kepada pelabur runcit diatur dan dirancang
bahagian pendidikan dan latihan SC iaitu Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC).
Sempena kempen itu, SIDC akan mengedarkan buku Soal Jawab Pelabur: Langkah
Permulaan Pelaburan secara percuma selain mengaturkan seminar dan pameran
bergerak seluruh negara.
Md Nor berkata, pelabur perlu sentiasa menambah pengetahuan supaya membuat
keputusan bijak dan sesuai dengan keadaan semasa.
Sementara itu, Pengurus Pendidikan Pelabur SIDC, Yusry Yusoff, berkata pada
peringkat permulaan, kempen itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa untuk tiga
tahun bagi membolehkan SC menilai keberkesanan program itu.
“Kami akan menyambungnya jika menerima maklum balas positif daripada pelabur,”
katanya.
Pelaksanaan fasa pertama membabitkan tumpuan kepada pelabur baru, fasa kedua
pelabur pertengahan atau berpengalaman manakala fasa terakhir kepada pelabur
dalam kumpulan tertentu seperti wanita dan pelajar.
Katanya, SIDC menjangka kos kempen akan meningkat dari semasa ke semasa dan
berharap meningkatkan interaksi dengan pelabur bagi memahami kehendak mereka.
“Kami berharap menyaksikan peningkatan pelabur berpengetahuan,” katanya.
Program itu dilaksanakan dengan kerja sama peserta industri pasaran modal
seperti Bursa Malaysia Bhd, Persekutuan Pengurus Tabung Amanah Malaysia (FMUTM),
Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) dan Majlis Perancangan Kewangan
Malaysia (MFPC).