|
Proses pendidikan mula
berlaku ketika bayi masih berada dalam kandungan ibunya. Pendidikan pada
peringkat ini lebih bercorak kerohanian, iaitu:
-
Bagi
ibu-ibu yang mengandung digalakkan supaya memperbanyakkan
bacaan Al-Quran terutama surah Yusuf, Mariam, Luqman dan At-Taubah.
-
Ibu
hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T agar anak yang
bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang soleh,
berilmu, beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.
-
Ibu
bapa hendaklah mendapat rezeki daripada sumber yang halal
supaya benih yang bakal dilahirkan itu nanti datang daripada
darah daging yang halal.
-
Ibu
hendaklah makan makanan yang berzat dan sentiasa menjaga
kesihatan tubuh badannya. Kebersihan diri hendaklah
diutamakan bagi menjamin kesihatan anak-anak dalam kandungan.
Faktor kesihatan amat dititikberatkan oleh Islam sehingga
Islam memberikan kelonggaran kepada ibu yang mengandung
untuk berbuka puasa sekiranya merasakan puasa itu
menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.
-
Ketika
mengandung, ibu perlulah menyesuaikan diri dengan perubahan
perubahan yang berlaku kepada dirinya. Pada waktu begini
sememangnya keadaan ibu agak berbeza dari waktu - waktu
biasa, terutamanya bagi ibu yang bakal melahirkan anak yang
pertama. Mungkin selera makannya hilang, perasaan agak
terganggu(sensitif) dan hatinya boleh berdebar-debar kerana
bayi dalam kandungannya itu adalah sebahagian daripada
dirinya. Ketika ini para suami hendaklah lebih memahami
keadaan isteri serta memberi dorongan yang kuat kepadanya.
|
AMALAN SUNAT SEMASA
MENGANDUNG & SELEPAS BERSALIN
Semasa mengandung merupakan masa
yang banyak mengalami perubahan emosi dan fizikal. Di samping itu
mengandung juga merupakan suatu harapan dan cita-cita sebuah perkahwinan.
Oleh itu banyak amalan-amalan yang sunat dilakukan semasa mengandung
agar zuriat yang bakal lahir itu nanti menjadi generasi yang cemerlang,
baik di dunia dan di akhirat.
Dalam mencapai matlamat
tersebut, anak itu mestilah ditarbiyah sejak dia masih janin lagi atau
semasa di dalam kandungan. Tingkah laku ibu bapa yang baik semasa ibu
itu sedang hamil merupakan satu pendidikan awal. Di antara amalan-amalan
yang sunat dilakukan ketika sedang hamil ialah memperbanyakkan membaca
ayat-ayat Al-Qur‘an dan berdoa, sebagaimana yang diriwayatkan oleh
Ibnu Sunni daripada Fatimah Radhiallahu ‘anha yang maksudnya :
“Sesungguhnya
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila (Fatimah) hampir
melahirkan, Rasulullah memerintahkan Ummu Salamah dan Zainab binti
Jahsyin menghampir Fatimah maka Baginda membaca ayat Al-Kursi dan surah
Al-‘Araf (ayat 54) di sisi Fatimah dan memohon perlindungan kepada
Allah dengan membaca surah Al-Falaq dan An-Nas”.
Doa yang sunat dibaca ketika hamil itu termasuklah doa Nabi Yunus
‘alaihissalam yang tafsirnya :
“Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat
menolong) melainkan engkau (Ya Allah!) Maha Suci engkau (daripada
melakukan aniaya, tolonglah aku!) Sesungguhnya aku adalah dari
orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.
(Surah
Al-Anbiya‘: 87)
Begitu juga bagi ibu-ibu
yang sukar bersalin, Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Apabila seorang perempuan itu sukar
bersalin, tuliskan di dalam bejana surah Al-Ahqab (ayat 35) dan surah
Al-Nazi‘at (ayat 46), kemudian air itu disapukan dan diminum serta
disapukan di perut dan kemaluannya”.
(Hadis
riwayat Ibnu Sunni)
Pada kebiasaannya selepas
melahirkan anak, Islam telah menggariskan cara yang sebaik-baiknya
menyambut kelahiran anak tersebut. Antaranya ialah memberikan ucapan
tahniah dan merasa gembira di atas kelahiran anak tersebut, menyerukan
azan dan iqamah, mentahniq, mencukur rambut, memberi nama, aqiqah
dan sebagainya yang telahpun dikeluarkan dalam ruangan Irsyad Hukum
terdahulu.
MANDI KERANA WILADAH DAN
NIFAS
Seorang perempuan yang
telah selesai melahirkan anak mempunyai kewajipan tertentu iaitu mandi
kerana beranak (wiladah) dan mandi kerana nifas.
Para ulama telah ijmak mengatakan bahawa wajib mandi dengan sebab keluar
darah nifas. Termasuk di dalam perkara yang mewajibkan mandi ialah
wiladah iaitu mandi kerana beranak, sekalipun melahirkan tanpa basah (darah).
Begitu juga bagi perempuan yang mengalami keguguran anak, tidak
terkecuali daripada kewajipan mandi, sama ada keguguran itu hanya berupa
darah beku (‘alaqah) ataupun hanya berbentuk seketul daging (mudhghah).
Bagi sebilangan perempuan
yang terpaksa menjalani pembedahan perut untuk mengeluarkan anak, maka
dikategorikan hal yang sedemikian itu sebagai wiladah maka wajib ke atas
perempuan tersebut melakukan mandi.
Perlu diingat, mandi
kerana beranak dan mandi kerana nifas mempunyai perbezaan. Bagi mengelak
kekeliruan, maka darah nifas ialah darah yang keluar dari rahim
perempuan selepas melahirkan anak sekalipun hanya setitik. Bermulanya
darah nifas itu keluar sebelum berlalu lima belas hari setelah seseorang
perempuan melahirkan anak. Andaikata darah itu tidak keluar melainkan
setelah berlalu masa selama lima belas hari atau lebih, maka darah yang
keluar itu tidak dikatakan sebagai nifas tetapi ia merupakan darah haidh.
Maka dalam hal ini perempuan tersebut diwajibkan mandi kerana nifas.
Manakala mandi kerana
wiladah ialah apabila seorang perempuan itu melahirkan anak atau
mengalami keguguran anak sekalipun hanya berupa darah beku (‘alaqah)
atau hanya berbentuk seketul daging (mudhghah). Maka wajib bagi
perempuan itu mandi kerana beranak (wiladah) setelah berlakunya
kelahiran atau keguguran sebagaimana disebutkan.
Maka apabila seorang
perempuan telah melahirkan anak, dia wajib mandi kerana beranak (wiladah)
dan wajib juga ke atasnya mandi nifas setelah berhenti darahnya atau
habis tempoh masa yang sederhana iaitu empat puluh hari empat puluh
malam atau masa paling maksima selama enam puloh hari enam puloh malam.
Sayugia diperingatkan
bahawa adalah wajib bagi seorang perempuan itu mengetahui hukum-hukum
berkaitan dengan mandi wiladah dan mandi kerana nifas, dan wajarlah bagi
suami yang mengetahuinya mengajarkan hukum-hukum tersebut kepada isteri
masing-masing.
MENGURUS TEMBUNI
Mengikut Kamus Dewan tembuni atau uri ialah sampul tian atau uri yang
bersambung dengan tali pusat yang keluar sesudah bayi dilahirkan. Ia
juga disebut tebuni oleh sebilangan orang tempatan.
Bagi mereka yang
melahirkan anak di rumah sakit, pada kebiasaannya, tembuni diserahkan
kepada pihak keluarga perempuan yang telah bersalin. Berbagai cara
pengendalian tembuni yang dilakukan oleh masyarakat kita. Pada
kebiasaannya, tembuni tersebut terlebih dahulu dibersihkan. Selepas itu
tembuni akan disimpan dalam bayung atau dibungkus dalam suatu bekas
untuk ditanam. Ada sebahagian orang menggantungkannya di tiang atau
pohon pokok dan didapati juga menyimpannya. Selain itu ada juga orang
membuangkannya ke dalam tong sampah atau menghanyutkannya di
sungai-sungai.
Menurut ulamak Syafi‘e
anggota-anggota badan yang haram dilihat sama ada daripada anggota
lelaki seperti bulu ari-ari atau daripada anggota perempuan seperti
rambut dan kuku, apabila benda-benda tersebut bercerai daripada badan
maka wajib benda-benda tersebut ditanam.
Maka tembuni atau uri
selepas bersalin itu tidak wajib ditanam kerana ia bukan daripada
anggota badan. Walau bagaimanapun cara yang elok (sunat) dalam mengurus
tembuni itu ialah dengan menanamnya. Sepertimana juga kuku atau rambut
lelaki sunat ditanam kerana ia merupaka anggota badan yang tidak haram
dilihat. Berlainan halnya dengan rambut atau kuku, ia merupakan anggota
badan yang haram dilihat oleh lelaki yang bukan mahram, maka
anggota-anggota tersebut wajiblah ditanam.
Oleh yang demikian
sewajarnya orang Islam mengetahui adab-adab Islam dan tidak
mengabaikannya kerana Islam mengajarkan umatnya dari semua sudut
kehidupan termasuk menjaga kebersihan diri dan anggota tubuh badan
hinggalah kebersihan rumah dan halaman. Hal ini telah disabdakan oleh
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam maksudnya:
“Sesungguhnya (Nabi Shallallahu ‘alaihi
wasallam) bersabda: “Bersihkanlah halaman (rumah) kamu”.
(Hadis
riwayat Al-Tarmizi)
|