Isi Artikel Jangan Mengharapkan Keampunan Allah Tanpa Amal Manusia selalunya membangkang kalau ada
orang cuba mengajak mereka berbuat baik dan berdakwah kepada mereka. Sebenarnya
sesiapa yang berpendapat sedemikian, maknanya dia telah menzalimi dirinya,
terheret oleh nafsu ke arah menentang tuhan tanpa sedar. Kita sebenarnya adalah
seorang yang terlalu lemah dan fakir, yang hidup di dunia pada hari ini kerana
mengharapkan belas kasihan dari Allah. Dengan makhluk pun kita terpaksa
melakukan sesuatu pekerjaan untuk mendapatkan imbalan bagi menampung kehidupan
di dunia, apalagi mengharapkan syurga Allah yang penuh dengan nikmat dan
keredhaan Allah, tentunya ianya memerlukan pengorbanan dan amal soleh yang
tinggi. Mengharapkan nikmat syurga tetapi malas untuk melakukan ibadah dan
kebajikan atau sayang meninggalkan maksiat serta hati masih lagi tebal mencintai
dunia dari akhirat. Sebenarnya mereka yang bersikap seperti ini ditipu oleh
syaitan laknatullah yang terkutuk itu. Firman Allah : " Barangsiapa
yang mengambil syaitan sebagai pelindung selain dari Allah, sebenarnya dia telah
rugi dengan kerugian yang amat nyata. Syaitan membisikkan janji-janji dan
angan-angan kosong kepada mereka dan apa yang dijanjikan syaitan itu tiada lain
melainkan tipu daya semata-mata." (An Nisa': 119-120)
Jika kita telah melakukan dosa samada dosa kecil atau besar, tetapi tidak
segera bertaubat, malah kita masih lagi boleh bergelak ketawa dan bersenang hati,
nyatalah ketika itu jiwa kita telah mati. Lebih parah lagi jikalau kita malas
beramal tetapi bercita-cita besar, agar Allah muliakan dan mengangkat darjat
kita di dalam syurga bersama-sama para anbiya' dan aulia'. Nyatalah kita ketika
itu adalah seorang yang berangan-angan kosong dan mengharapkan sesuatu yang
bukan miliknya. Sesungguhnya Allah hanya akan membalas menurut apa yang
dikerjakan oleh manusia. Firman Allah : " Dan
kepunyaan Allahlah segala apa yang di langit dan di bumi. Dia membalas
orang-orang yang membuat kejahatan menurut apa yang dikerjakan dan membalas
orang-orang yang baik dengan kebajikan." ( An Najm : 12 )
Sesiapa yang membuat dosa hendaklah dia bersegera untuk bertaubat kepada
Allah agar mendapat maghfirah (keampunan) dari Allah. Tinggalkan kemungkaran dan
berbuatlah kebajikan dan amal soleh. Ingatlah, Allah tidak akan menyamakan taraf
orang yang berada di dalam kemaksiatan dan kemungkaran dengan orang-orang yang
beriman dan bertaqwa. Firman Allah:
"Apakah orang-orang yang berbuat kesalahan itu mengira bahawa Kami akan
samakan mereka dengan orang-orang yang beriman dan beramal soleh samada masa
hidup atau mati mereka, amat buruk keputusan yang mereka adakan itu."
(Al Jatsiah : 21) Sesungguhnya Allah mengasihi hamba-hambanya yang taat
kepadaNya. Allah beri jaminan rahmat kepada mereka yang mengharapkan keampunan
kepada Allah dengan melakukan amal kebajikan dan ketaqwaan.
Firman Allah : "Sampaikanlah, Hai hamba-hambaKu
yang beriman, berbaktilah kepada Tuhanmu, buat mereka yang mengerjakan kebaikan
akan dibalas dengan kebaikan dan bumi Allah ini maha luas…." (Zumar:
10) Walaupun kita selaku hamba banyak melakukan dosa, selalu tenggelam di dalam
maksiat dan mungkar tetapi janganlah berputus asa dari rahmat Allah.
Bertaubatlah selagi peluang masih ada. Berusahalah membersihkan hati dan jiwa
kita kerana orang yang kotor jiwanya akan diazab Allah di hari akhirat kelak
dengan azab yang pedih lagi mengerikan. Berdoalah agar kita semua di ampunkan
Allah atas segala dosa dan maksiat yang dilakukan selama ini. Sesungguhnya jihad adalah merupakan
kemuncak di dalam dakwah Islamiah. Perjuangan para Rasul s.a.w dan para sahabat
dipenuhi dengan jihad. Bermula daripada jihad hawa nafsu, berdakwah sehingga
membawa kepada peperangan memerangi para musyrik dan kuffar. Jihad
pada bahasa ditakrifkan sebagai berjuang habis-habisan untuk mencapai sesuatu
matlamat. Islam memilih jihad dan bukan "harb" (peperangan), walaupun
mempunyai makna yang lebih kurang iaitu bermotifkan perjuangan tetapi "harb"
lebih kepada perjuangan untuk sesuatu bangsa atau negara. Manakala jihad adalah
perjuangan suci untuk kepentingan umat manusia sejagat dan mempunyai makna yang
menyeluruh. Kesimpulannya Jihad itu lebih bersifat mencapai satu perubahan.
Segala usaha dan tindak tanduk digabungkan ke dalam satu perubahan. Keluasan
maknanya menjangkau dari perjuangan individu hingga kepada kenegaraan, dari
melawan hawa nafsu hinggalah kepada peperangan melawan musuh di medan
pertempuran. Di dalam memperjuangkan Islam,
satu-satunya arah yang akan ditujui ialah Jihad fi Sabilillah. Segala niat,
tujuan dan gerak geri dihalakan untuk menegakkan agama Allah yang maha suci ini.
Telah diriwayatkan oleh Abu Musa r.a, seseorang datang bertanya kepada
Rasulullah s.a.w : "Seseorang
berperang untuk mendapatkan harta rampasan perang, yang lain berperang untuk
mencari kemasyhuran dan yang ketiga berperang untuk menunujuk-nunjuk, maka
siapakah yang berperang di jalan Allah? Rasulullah s.a.w menjawab : Sesiapa yang
berperang agar kalimah Allah menjadi agung, dialah yang berperang di jalan Allah."
-Riwayat Bukhari- Perjuangan
di jalan Allah ialah berjuang menegakkan hukum Allah di dalam kehidupan manusia
dan menjadikan undang-undang Allah itu didaulatkan sehingga menjadi perundangan
yang mesti dituruti dan diikuti oleh semua golongan manusia. Firman Allah s.w.t: "Barang
siapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah (hukum Allah)
Maka sesungguhnya mereka termasuk ke dalam golongan yang fasik."
(Al-Maidah : 47) "Barang
siapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah (hukum Allah)
Maka sesungguhnya mereka termasuk ke dalam golongan yang zalim."
(Al-Maidah : 44) "Barang
siapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah (hukum Allah)
Maka sesungguhnya mereka termasuk ke dalam golongan yang kafir."
(Al-Maidah : 45) Jikalau seseorang menolak hukum Allah
kerana jahil atau tidak tahu, maka dia jatuh kepada peringkat fasik. Orang yang
sebegini hendaklah diingati dan diajar secara lemah lembut agar mengerti segala
peraturan yang ditentukan di dalam Islam. Mereka yang telah mengetahui hukum
Islam tetapi masih lagi tidak mengamalkannya mungkin kerana lemahnya iman dan
menurut nafsu, maka golongan ini termasuk di dalam mereka yang zalim. Golongan
ini perlulah didakwah dan diberi peringatan yang dapat mengajak mereka kepada
mengamalkan Islam. Dan akhir sekali mereka yang menolak hukum hakam Allah dengan
secara terang, setelah diperingati dan didakwah secara beterusan tetapi masih
lagi mahu menolak kebenaran, maka mereka ini termasuk golongan yang kafir yang
perlu diperangi samada perang secara fikiran, perang secara siasah, perang di
dalam bentuk ekonomi atau perang dengan senjata menurut apa yang diajukan oleh
musuh kepada kita. Di dalam Al Quran banyak sekali
terdapat ayat-ayat Allah tentang jihad di antaranya : "Hai
orang-orang yang beriman sukakah kamu aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang
menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan
RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih
baik jika kamu mengetahui." (As Soff : 10-11) "Diwajibkan
ke atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci.
Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi
kamu menyukai sesuatu sedangkan ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang
kamu tidak mengetahui." (Al Baqarah : 216) "Kerana
itu, hendaklah orang-orang yang menukar kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat,
berperang dijalan Allah. Barangsiapa yang berperang dijalan Allah, lalu gugur
atau memperolehi kemenangan, maka kelak Kami akan berikan kepadanya pahala yang
besar. (An Nisa' : 74) "Dan
janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur dijalan Allah itu mati,
bahkan mereka hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezeki." (Ali
Imran : 169) "Sesungguhnya
Allah menyukai orang-orang yang berperang dijalanNya dalam barisan yang teratur
seakan-akan mereka seperti satu bangunan yang tersusun kukuh." (As
Saf : 4) Untuk
memahami secara lebih mendalam tentang Jihad ini, Imam Ibn Qayyim menulis di
dalam bukunya "Zad Al-Ma'ad" bahawa jihad itu ada 13 bahagian dan
dikumpulkan ke dalam 4 kumpulan : Jihadun
Nafs Ia adalah satu peringkat di mana
individu muslim itu mendidik dirinya sendiri untuk menghadapi masyarakat.
Jihadun Nafs ini terbahagi kepada 4 bahagian : ·
Mempelajari Islam dan segala ilmu yang
berkaitan dengannya. ·
Setelah dipelajari dengan yakin, maka
ilmu itu hendaklah diamalkan. ·
Setelah diamalkan maka hendaklah
disebarkan ke tengah masyarakat. ·
Hendaklah sabar di dalam menerima
kesusahan dan kepayahan berdakwah dan terus menjalankan tugas dengan ikhlas
semata-mata kerana Allah. Jihadus
Syaitan Ia terbahagi kepada 2 bahagian : ·
Melawan, menentang dan menghapuskan
keraguan dan was-was yang berkaitan dengan keimanan. ·
Melawan kemahuan dan keinginan nafsu
daripada melakukan maksiat dan mungkar serta mengelakkan diri daripada terlibat
dengan perkara yang tidak mendatangkan faedah seperti mengumpat, mengkeji dan
sebagainya. Jihadul
Ashabu Zulm (Jihad menentang orang-orang yang
zalim) Ia terbahagi kepada 3 peringkat : ·
Jikalau kita mempunyai kuasa, maka
ubahlah mereka dengan kekuatan dan undang-undang serta kasih sayang. ·
Sekiranya kekuasaan tidak ada ditangan,
maka hendaklah memperkatakan kebenaran itu dengan lisan. ·
Sekiranya tidak mampu maka bencilah
kemungkaran itu dengan hati. Jihadul
Kuffar (berjuang melawan mereka yang kafir) Terdapat 4 peringkat iaitu : hati,
lidah, harta dan jiwa . Jihadul kuffar itu apabila telah sampai masanya
hendaklah dengan kekuasaan dan berjuang dengan apa yang mereka ajukan kepada
kita. Ekonomi dengan ekonomi, pendidikan dengan pendidikan, siasah dengan siasah
dan kekuatan dengan kekuatan. Bagi para munafik pula, hendaklah memperkatakan
kebenaran dengan lidah dan memberikan ancaman Allah bagi mereka yang
berpura-pura mengamalkan agama Allah. Jihad Fi Sabilillah adalah satu proses
yang berterusan bermula daripada diri, keluarga, masyarakat, negara dan alam
sejagat di dalam semua aspek kehidupan seperti pendidikan, ekonomi, ketenteraan,
kehakiman dan sebagainya. Selain daripada itu di dalam memperjuangkan Islam
perlu ada peraturan dan strategi agar perjuangan itu teratur dan tersusun. Di
dalam hal ini, perlunya perjuangan Islam itu dibentuk dengan jamaah atau harakah
muslimin yang mengamalkan Islam di seluruh aspek kehidupan agar dapat menjadi
model kepada masyarakat. Sesuatu yang pasti terjadi, tapi sering
dilupakan dan tidak dipeduli ialah mati. Yakni berhentinya degupan jantung, lalu
berhentilah nafas dan lain-lain pergerakan sehingga manusia itu tiada berguna
apa-apa lagi walaupun dia seorang professor, raja, presiden, perdana menteri
atau manusia biasa. Jikalau dibiarkan akan busuk dan reput dan tiada nilai
apa-apa kepada manusia melainkan ditimbus jauh-jauh ke dalam bumi agar tidak
dimakan oleh binatang dan tidak mengganggu kesegaran udara yang dihirup oleh
manusia lain. Semua orang yang terdahulu daripada kita telah merasai mati.
Mereka sudah tidak ada di bumi ini lagi. Yang tinggal hanyalah nama dan sejarah
hidupnya sahaja. Dan detik itu pasti akan datang kepada setiap manusia termasuk
kita. Sepatutnya kita akan bertanya kepada diri kita " Bilakah giliranku
untuk mati? Dan apa persediaan yang patut aku lakukan." "Apakah akan
bahagia atau celaka aku di alam barzakh."
Kesakitan sewaktu roh dicabutkan dari badan oleh malaikat Izrail seumpama
sakit ditetak 300 kali dengan mata pedang. Hancur lumat hingga hilang
segala-galanya. Rasa haus tersangatlah azabnya sehinggakan jikalau satu lautan
air pun diminum, tidak akan juga puas-puas. Begitulah azabnya sakaratul maut.
Syaitan akan datang berbondong-bondong untuk menyesatkan kita. Ada yang datang
menyerupai ibu kita, ada yang datang menyerupai bapa kita, ada yang datang
menyerupai tuan guru kita dan ada yang datang menyerupai apa yang kita takuti
selama ini di dunia. Semuanya itu akan kita hadapi dengan nyata dan di waktu itu
imanlah yang akan menyelamatkan kita. Setelah
disakiti dengan azab sakaratul maut, kita akan tersedar kembali apabila
berhadapan dengan Malaikat yang ditugaskan untuk menyoal kita iaitu Mungkar dan
Nankir. Yakni di satu alam yang luar daripada alam dunia ini. Alam Barzakh
namanya. Alam di mana kita boleh melihat malaikat dan bersoal jawab dengannya.
Alam yang diperlihatkan Syurga dan neraka. Alam yang dirasakan dengan nikmat dan
azab kubur. Hidup di alam itu
jikalau bahagia, maka akan bahagialah kita sehingga hari qiamat. Dan jikalau
kita diazab, maka kita akan di azab sehingga hari qiamat dan akan di tambah lagi
selepas pengadilan di hadapan Qadhi Rabbul Jalil di padang Makhsyar kelak.
Begitulah ketentuan yang telah di tentukan oleh Allah s.w.t sebagaimana
firmannya : "Apakah manusia itu mengira, bahawa
ia akan dibiarkan begitu sahaja (tanpa dipertanggungjawabkan?). Bukankah dia
dahulu setitis air mani yang ditumpahkan (ke dalam rahim). Kemudian mani itu
menjadi segumpal darah lalu Allah menciptakan sepasang lelaki dan wanita.
Bukankah (Allah yang berbuat) demikian dan berkuasa (pula) menghidupkan orang
yang telah mati." (Al Qiyamah : 36-40) "(Orang
Kafir) berkata : Apakah sesungguhnya kami benar-benar di kembalikan kepada
kehidupan yang semula ? Apakah (akan dibangkitkan juga) apabila kamu telah
menjadi tulang belulang dan hancur lumat. Mereka berkata : Jikalau demikian itu
adalah satu pengembalian yang sangat rugi. Sesungguhnya pengembalian itu
hanyalah satu tiupan sahaja. Maka serta merta mereka hidup kembali dipermukaan
bumi." (An Naziaat: 10-14) "Maka
apabila malapetaka yang sangat besar (Hari Qiamat) telah datang. Pada hari (ketika)
manusia teringat akan apa yang telah dikerjakan dan diperlihatkan Neraka yang
jelas dengan setiap orang yang melihat. Adapun orang yang melampaui batas dan
lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya Nerakalah tempatnya. Dan
adapun orang yang takut pada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada
keinginan hawa nafsunya, maka Syurgalah tempat tinggalnya." (An
Naziaat: 34-41) Demikianlah kita diberitahu dengan jelas apa yang kita akan
alami dialam barzakh dan di alam akhirat kelak. Berbahagialah bagi mereka yang
memilih jalan kehidupan yang abadi iaitu yang mengutamakan hal-hal akhirat lebih
dari hal-hal keduniaan. Dan rugilah bagi mereka yang mengejar dunia sehingga
mengabaikan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah.
Ingatlah mati kerana ia adalah penyebab kita berpisah dengan orang yang
kita kasihi. Kita akan tinggalkan segala harta, isteri dan anak-anak. Jikalau
mereka pula yang telah sampai ajal, maka mereka juga akan berpisah dengan kita.
Demikianlah dahsyatnya akibat kematian. Ngeri dan menakutkan. Sebut sahaja mati, orang yang tidak beriman sangat benci.
Sebaliknya orang yang beriman akan insaf. Dan bagi orang-orang yang sangat dekat
dengan Allah akan merasai mati itu sangat indah kerana saat pertemuan dengan
Allah akan sudah tiba. Mereka berkata " Bukankah mati itu syarat untuk
menemui cinta." Kerana itu mati di tunggu-tunggu. Bagi manusia biasa mati
itu adalah sesuatu yang ngeri dan peringatan bagi mereka yang lupa. Sabda
Rasulullah s.a.w : " Cukuplah
kematian itu sebagai nasihat." (At Tabrani) Kenapa Allah jadikan
mati itu begitu dahsyat? Kerana untuk menyedarkan manusia agar manusia sentiasa
mengambil berat akan persediaan untuk menghadapi mati. Tetapi kita lihat hari
ini umat Islam sudah tidak peduli akan mati. Walaupun setiap hari manusia akan
mati, tetapi itu tidak mengingatkan atau menyedarkan manusia terhadap kematian
itu sendiri. Kerana itu manusia dengan senang hati hidup di dunia ini di dalam
dosa dan maksiat. Kerana mereka tidak sedar bahawa dosa dan maksiat yang
dipertanggungjawabkan kepada mereka di akhirat kelak. Firman Allah : "Apakah
manusia itu menyangka bahawa sekali-kali tidak ada seorang pun berkuasa di
atasnya? Dia mengatakan : Aku telah menghabiskan harta yang banyak. Apakah dia
menyangka bahawa tiada seorang pun yang melihatnya ?. Bukankah kami telah
memberikannya dua mata, lidah dan bibir ?. Dan kami menunjukkannya dua jalan.
Tapi dia tidak menempuh jalan mendaki lagi sukar. Tahukah kamu apakah jalan
mendaki lagi sukar itu ?. (Iaitu) melepaskan hamba dari perhambaan atau memberi
makan pada hari kelaparan (kepada) anak yatim yang ada hubungan kerabat, atau
orang miskin yang sangat fakir. Dan dia tidak pula termasuk orang yang beriman
dan saling berpesan untuk bersabar serta berpesan untuk berkasih sayang. Mereka
(yang beriman dan berkasih sayang) adalah golongan kanan. Dan golongan yang
kufur kepada ayat-ayat Kami, mereka itu adalah golongan kiri. Mereka berada di
dalam neraka yang ditutup rapat." ( Al Balad : 5-20 ) Kerana itu buatlah persediaan untuk kita menghadapi mati.
Mengingatkan mati itulah sebenarnya jalan menyampaikan kita kepada kemenangan di
dunia dan di akhirat. Wallahu a'lam. Kekuasaan Syaitan di atas hati yang was-was Mengawal hati itu sangat sukar. Hati
itu bertukar-tukar dan berbalik-balik seperti balak di tengah laut dipukul ombak.
Mana pernah ada hentinya berpusing dan berputar. Sepatutnya setiap pergerakan
dan akal fikiran ditumpukan kepada gerakan hati. Hati ini akan hanya dapat
dikawal dengan perantaraan ilmu dengan perantaraan akal fikiran. Ilmu itu
penyuluh akal yang akan mengemudikan hati dengan tepat menuju ke matlamatnya
iaitu sentiasa di dalam taat kepada Allah. Dan di akhir matlamat tersebut ialah
bertemu dengan Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w: "Kamu menyembah Allah s.w.t
seolah-olah kamu melihatNya. Jikalau kamu tidak dapat melihatNya, maka Allah
melihat kamu." (HR Bukhari dan Muslim) Hati yang sentiasa memandang kebesaran dan kemuliaan Allah,
tidak akan memandang kepada yang lain kerana yang lain daripada Allah itu serba
kekurangan dan mempunyai kecacatan. Allah sahaja yang Maha Indah dan Maha
Sempurna. Di dalam hidup ini, manusia ingin mencari yang sempurna dan yang indah.
Manusia hanya akan bertemu dengan kesempurnaan yang Maha Sempurna itu pada Allah
yang bersifat Jamal dan Kamal. Selain daripada kecintaan kepada Allah, adalah
palsu. Inilah hati yang kenal dengan Allah s.w.t. Di dalam Al Quran Allah
berfirman : " (Allah
bertanya kepada ruh) Bukankah Aku ini Tuhan kamu ? Maka mereka (ruh-ruh itu)
berkata: Sesungguhnya, Kami menyaksikan engkaulah Tuhan Kami." (Al
A'raf :172) Sewaktu di alam ruh lagi Allah telah bertanya kepada manusia
tentang kebesaran dan kekuasaan Allah. Maka manusia berjanji dan mengaku bahawa
Allahlah Tuhan sekalian alam. Maka apabila dizahirkan manusia itu ke bumi, maka
diantara peranan yang perlu dilakukan oleh manusia itu ialah ibadah, sesuai
dengan janji manusia ketika di alam ruh. Firman
Allah : "Tidak
Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu."
(Ad Dzariyat: 56) Tetapi apabila dizahirkan di dunia, manusia berdepan dengan
dua musuh besar yang sentiasa menjerumuskan manusia ke dalam lembah kehinaan
iaitu nafsu dan syaitan. Firman Allah : "Tidakkah kamu melihat orang yang mengambil nafsu sebagai Tuhan."
(Al Jaatsiyah : 23) "Apakah
belum Aku janjikan kepada kamu sekalian hai bani Adam (manusia), agar kamu semua
jangan menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata."
(Yasin: 60) Nafsu adalah sifat yang
secara semulajadinya telah berada di dalam hati manusia sejak manusia di
lahirkan ke dunia. Pada peringkat yang rendah nafsu ini lebih keji dari binatang.
Firman Allah: " Sesungguhnya nafsu itu sangat menuruh kepada kejahatan." (Yusuf:
53) Dan yang menunggangi nafsu itu
adalah syaitan. Syaitan membisikkan ke dalam hati manusia mengenai keindahan dan
kecantikan dunia. Diperlihatkan dihadapan manusia dengan penuh ghairah akan
wanita dan harta benda yang semuanya itu sangat disukai nafsu. Lalu didorong
manusia itu untuk segera melupai Allah dan berpaling kepada yang disukai
nafsunya. Firman Allah : "Syaitan
telah menguasai mereka, lantas membuatkan mereka lalai mengingati Allah."
(Al Mujadalah: 19) Anas berkata : Rasulullah s.a.w pernah berkata : " Sesungguhnya Syaitan itu telah
menaruh belalainya pada hati manusia. Maka apabila manusia itu ingat kepada
Allah, mundurlah Syaitan dan apabila ia lupa kepada Allah, maka Syaitan itu
menelan hatinya." Berkata Ibnu Wadhah di dalam hal ini: "Apabila
seseorang telah sampai usia empat puluh tahun dan belum pula ia taubat, maka
Syaitan menyapu muka orang itu dengan tangannya sambil berkata: Demi ayahku,
inilah muka orang yang rugi." Dan sebagaimana nafsu syahwat meresap
ke dalam darah daging manusia, maka begitu juga kekuasaan Syaitan terhadap hati
dan pemikiran manusia. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda : "Bahawasanya Syaitan itu berjalan pada manusia di dalam urat darahnya,
maka persempitkanlah tempat lalu Syaitan itu dengan lapar (berpuasa)."
Kebanyakan hati manusia dikalahkan oleh Syaitan yang telah berjaya menyerap
masuk ke dalam hatinya dengan pengaruh nafsu. Sehingga hati itu memilih
keduniaan dan melupakan akhirat. Hal ini tidak dapat dikalahkan melainkan
manusia itu kembali kepada zikir Allah (mengingati Allah). Berkata Jabir bin
Ubaidah Al Adawi: Saya pernah mengeluh kepada Al A'la bin Ziyad : tentang
was-was yang terdapat di dalam dada saya. Maka ia berkata : Bahawa Hati itu
umpama sebuah rumah yang dilalui beberapa pencuri. Pencuri-pencuri itu berusaha
mencuri apa-apa yang menjadi kegemarannya di dalam rumah tersebut. Tetapi jika
di dalam rumah tersebut tidak mempunyai apa-apa, maka pencuri-pencuri itu akan
melalui sahaja rumah itu dan akan meninggalkannya. Yakni hati yang bersih
daripada syahwat nafsu tidak akan dimasuki Syaitan. Kerana itu Allah berfirman:
"Sesungguhnya hamba-hambaKu itu tidak ada kekuasaan bagimu (Syaitan) ke
atas mereka." (Bani Israil: 65)
"Bahawasanya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka diganggu oleh
Syaitan, lantas mereka ingat kepada Allah, maka jika begitu mereka akan melihat."
(Al A'raf: 201) Untuk mengalahkan
Syaitan hati perlu diisi dengan zikrullah dan iman. Dosa samada kecil atau besar
adalah perosak dan peruntuh iman. Orang yang benar-benar mahu memelihara dan
meningkatkan iman, janganlah melakukan dosa. Kalau terbuat cepat-cepatlah
istigfar dan bertaubat kepada Allah. Jika tidak Syaitan akan menjalankan
tipudayanya. Iman juga boleh naik
dan turun . Inilah sifat iman ilmu yang belum lagi meresap ke dalam hati. Kerana
itu ianya mesti dibajai dan disuburkan dengan ibadah dan mujahadah. Dan perlu
diingat segala amalan dan ibadah yang kita lakukan itu, mestilah dengan ikhlas
dan tawadhuk. Jikalau tidak ibadah yang kita lakukan itu tidak ada nilainya di
sisi Allah. Malah jikalau tidak bersungguh-sungguh kita melakukan ibadah, ibadah
yang kita lakukan itu, bukan sahaja tidak mendapat apa-apa di sisi Allah, tetapi
akan mendapat dosa kerana tidak beradabnya kita di sisi Allah.
Bila kita dapat melakukan ibadah dengan khusyuk dan ikhlas, maka akan
timbullah di dalam hati rasa kebesaran Allah, hati akan lebih mengenal Allah,
takut kepada Allah, menghina diri dan malu dengan Allah, takut ancaman Allah dan
harap akan nikmat Allah, terasa gerun dan cinta kepada Allah. Bila telah masuk
perasaan-perasaan tersebut di dalam hati, secara sendirinya hati akan beramal
dengan amalan yang baik dan sentiasa mengingati Allah dengan zikrullah yang
akhirnya mendatangkan ketenangan pada batin manusia dan akan memundurkan Syaitan
daripada menguasai hati kita. Rasulullah s.a.w bersabda: "Tergesa-gesa
itu daripada Syaitan dan tenang itu dari Allah."
Mengingati Allah sehingga melahirkan tenang bukannya senang. Ramai orang
yang beribadah dan mengingati Allah, tetapi jiwa mereka kusut. Mengapa ?. Kerana
ibadah mereka itu tidak dijiwai dan dijagai adabnya. Tuntutan ibadah tidak
dilaksanakan. Ramai manusia yang fikir apabila menunaikan ibadah kepada Allah,
mereka telah melaksanakan tuntutan ibadah. Belum selesai lagi. Kerana tuntutan
ibadah itu ada hubungannya dengan manusia. Ibadah melahirkan akhlak. Akhlak
melahirkan kasih sayang dan kemesraan sesama manusia.
Syaitan ini sangat pandai di dalam menjalankan tipudayanya. Adakalanya
digesa kita beribadah kepada Allah tetapi dilalaikan kita dengan adab dan akhlak
kepada manusia. Jikalau kasih sayang sesama manusia belum wujud di dalam diri
kita, ertinya ibadah yang kita lakukan masih belum sempurna. Kerana itu ramai
yang kita lihat rajin sembahyang, rajin berpuasa, rajin pergi umrah tetapi hati
mereka tidak tenang. Kerana apa? Kerana mereka rajin pergi umrah tetapi jiran
mereka kelaparan mereka tidak ambil tahu. Mereka rajin bersembahyang, tetapi
jiran mereka tidak ada pakaian, mereka tidak peduli. Tidak ada kasih sayang,
tidak ada silaturrahim. Maka hasilnya tiada keberkatan dan ketenangan. Kerana
apa? Kerana ibadah yang dilakukan itu bukan hasil dari Iman yang sempurna.
Kerana Iman yang sempurna itu akan menguatkan hubungan hati dengan Allah dan
hubungan hati dengan manusia. Tanpa mengasihi manusia, kasih sayang Allah tidak
akan diperolehi. Barangsiapa yang kasih kepada makhluk di bumi, maka dia akan
dikasihi oleh makhluk di langit. Dan Allah akan campakkan kehebatan dan
ketenangan kepada hamba-hamba yang dipilihNya, lalu menyelamatkan mereka dari
dikuasai oleh nafsu dan Syaitan laknatullah alaih di dalam melaksanakan ketaatan
dan ibadah kepada Allah s.w.t. Daripada Abu Salmah daripada Abu
Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w, sesungguhnya baginda telah bersabda : "Sesungguhnya
hari yang terbaik, di mana matahari terbit padanya adalah Hari Jumaat, di dalam
hari itu, Adam diciptakan, pada hari itu juga, ia dimasukkan ke dalam syurga.
Dan pada hari itu juga ia dikeluarkan daripada syurga. Pada hari itu qiamat akan
berlaku. Pada hari itu, tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu dari Allah
melainkan akan dikabulkan permintaannya itu." Abdullah bin Munzir telah meriwayatkan
bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Hari
Jumaat adalah penghulu segala hari dan yang terbesar disisi Allah. Ia adalah
hari yang lebih besar di sisi Allah daripada hari Raya Fitri. Pada hari itu
telah terjadi lima perkara iaitu: Penciptaan Adam. Pada hari itu juga
dikeluarkan dia dari syurga. Pada hari itu juga, dia wafat. Dan pada hari itu
terdapat satu masa di mana tidaklah seorang hamba itu meminta sesuatu dari
Tuhannya melainkan akan dikurniakan kepadanya selagi dia tidak meminta yang
haram. Pada hari itu Qiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat
muqarrabun pun di sisi Allah azzawajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi)
tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat."
Rasulullah
s.a.w pernah ditanya oleh para sahabatnya mengapakah hari tersebut dinamakan
Jumaat, kemudian Rasulullah s.a.w menjawab: Lantaran pada hari itulah tanah yang
dijadikan Adam darinya diadun dan diuli, pada hari itu terjadi tiupan sangkakala
yang pertama dan hari kebangkitan dan pada hari itu juga doa seseorang
dikabulkan oleh Allah s.w.t. Di dalam Al Quran, Allah telah
memuliakan Hari Jumaat ini dengan menurunkan satu surah yang khusus baginya
iaitu surah Al Jumaah dan mensyariatkan satu sembahyang yang khusus yang wajib
dilakukan oleh setiap muslimin lelaki yang tiada uzur pada hari Jumaat. Firman
Allah di dalam surah Jumaah, ayat 9 : "Wahai
orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari
Jumaat (sembahyang Jumaat), maka bersegeralah kepada mengingati Allah dan
tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu, jika
kamu mengetahui." Amalan-amalan yang
utama pada malam dan pagi Jumaat Doa
pada malam Jumaat "Dengan nama Allah yang Maha
Pengasih, lagi Maha penyayang. Tiada Tuhan melainkan Allah, raja yang hak dan
nyata. Muhammad pesuruh Allah yang benar dan jamji yang sejahtera. Wahai Allah
yang berkekalan kelebihanNya ke atas manusia, yang kedua tanganNya sentiasa
terdepa dengan kurniaan, Wahai yang memberi rasa mengantuk, rahmatilah penghulu
kami Muhammad, sebaik-baik manusia dan ampunilah kami wahai pemilik ketinggian
pada waktu malam ini." Barangsiapa yang membaca doa ini pada
tiap-tiap malam Jumaat, maka tidak akan diambil rohnya melainkan telah
dilihatkan kepadanya tempatnya di dalam syurga. Sebagaimana diriwayatkan di
dalam hadith Nabi s.a.w .Juga digalakkan pada malam Jumaat untuk membaca
surah-surah seperti surah Al Kahfi, Al Waqiah atau Surah Yaasin dan
memperbanyakkan selawat ke atas Nabi s.a.w.
![]() |
|