Isi Artikel

Kesyumulan Islam

Islam adalah agama yang syumul atau sempurna. Ia merupakan agama yang meliputi semua aspek kehidupan manusia bermula daripada persoalan diri, keluarga, rumahtangga, masyarakat dan negara. Kesempurnaan Islam itu mesti ditegakkan di dalam semua aspek kehidupan. Ertinya di dalam apa bentuk tindakan kita ianya mesti berlandaskan ajaran Islam. Perlu diingat kesempurnaan atau kesyumulan Islam di dalam persoalan diri tidak sama dengan menegakkan Islam di dalam rumahtangga. Begitu juga menegakkan Islam di dalam rumahtangga tidak sama dengan menegakkan Islam di peringkat masyarakat dan negara. Untuk menegakkan kesempurnaan Islam diperingkat keluarga, kesyumulan Islam diperingkat diri mestilah selesai. Begitu juga untuk mendapatkan kesempurnaan Islam diperingkat negara, kesempurnaan Islam diperingkat masyarakat, perlulah diselesaikan. Kesimpulannya, hendaklah menyelesaikan soal untuk menegakkan Islam diperingkat yang lebih rendah sebelum pergi kepada peringkat yang lebih tinggi. Janganlah kita melaungkan-laungkan Islam diperingkat nagara dan antara bangsa sedangkan diperingkat diri masih belum selesai. Sekarang mari kita lihat satu demi satu kesyumulan Islam yang kita sebutkan tadi. Yang menjadi tapak atau akar tunjang kesyumulan di dalam semua peringkat tersebut ialah kesyumulan Islam di dalam diri seseorang individu. Ini adalah merupakan tahap pertama dan yang paling utama. Kesyumulan di dalam diri itu dapat dicapai setelah menegakkan perkara-perkara tersebut: 

1)    Mempelajari, memahami dan meyakini Rukun Iman yang Enam (Percaya kepada Allah, Malaikat, Kitab. Rasul, Hari Qiamat serta Qada' dan Qadar) sehingga ia menjadi keyakinan yang padu di dalam hati. 

2)    Memahami, meyakini dan melaksanakan Rukun Islam yang Lima (Mengucap Dua Kalimah Syahadah, Sembahyang, Puasa, Zakat dan Menunaikan Haji). Hendaklah memahami semua persoalan yang berkaitan dengan rukun-rukun Islam ini secara ilmiah dan kemudiannya melaksanakannya secara praktikal. Secara individunya ialah seperti melaksanakan makan minum yang halal. Berpakaian menutup aurat. Mengenal halal dan haram dan sebagainya. Inilah yang dikatakan ilmu Feqah atau syariat. Persoalan feqah atau syariat ini berbeza dengan persoalan aqidah kerana ia lebih berbentuk tindakan yang boleh dilihat oleh mata kepala. Sedangkan persoalan aqidah hanya bertunjang di hati. 

3)    Seseorang itu mestilah menegakkan akhlak Islam di dalam peribadinya. Persoalan akhlak inilah yang dikatakan tasawwuf. Akhlak terbahagi kepada dua bahagian: 

a)    Akhlak dengan Allah

b)    Akhlak dengan manusia

Akhlak dengan Allah itu antaranya:  Cinta kepada Allah  Takutkan Allah  Rasa malu dengan Allah  Syukur  Redha  Taubat  Ikhlas dan sebagainya  Akhlak dengan manusia itu pula antaranya:  Merendah diri  Bertolong bantu  Nasihat Menasihat  Pemurah  Berkasih sayang  Berlapang dada  Bertolak ansur dan sebagainya  Jadi jelaslah, untuk membentuk peribadi muslim itu, maka tiga perkara ini perlu ditegakkan iaitu akidah, syariat dan akhlak atau Iman, Islam dan Ihsan. Sekarang kita lihat pula kesyumulan Islam di dalam sesebuah keluarga atau rumahtangga. Ciri-ciri yang perlu itu di antaranya:  Suami mampu memimpin anggota keluarganya ke arah Islam.  Isteri dan anak-anak mentaati segala perintah Allah dan mentaati ketua keluarga.  Isteri dan anak-anak sentiasa menjaga maruah diri ketika suami atau ayah tiada dirumah.  Isteri mampu mendidik anak serta mampu menjaga kebersihan rumahtangga meliputi soal pakaian, makanan, minuman dan harta benda yang berada di dalam rumah.  Suami hendaklah sentiasa mengimamkan isteri dan anak-anaknya di dalam solat berjamaah.  Isteri yang hendak keluar rumah perlulan mendapat keizinan suami.  Wujud kasih sayang diantara suami isteri, anak-anak dengan ibu bapa.  Semua anggota keluarga hendaklah selalu berusaha untuk memiliki sifat-sifat yang terpuji.  Tidak boleh berlaku pergaulan bebas antara lelaki dan wanita ketika tetamu datang atau ketika ada lelaki yang bukan muhram.  Sentiasa bertolak ansur dan berkasih sayang.  Itulah antara perkara-perkara asas yang perlu ditegakkan di dalam sesebuah rumahtangga Islam. Firman Allah s.w.t:  "Wahai orang-orang yang beriman, selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada api neraka." (At Tahrim: 6) Apakah telah wujud kesyumulan di dalam rumahtangga kita? Persoalan ini mesti diteliti dengan baik dan berhati-hati. Ianya tidak boleh dianggap remeh. Jika jawapannya belum, perlulah kita berusaha dengan lebih gigih disamping memohon ampun kepada Allah di atas kelemahan kita. Ingatlah kita akan ditanya di Padang Masyhar nanti akan hal yang tersebut.  Setelah sempurna Islam pada peringkat keluarga, barulah kita pergi ke tahap yang lebih tinggi iaitu masyarakat. Segala aktiviti dan keperluan anggota masyarakat perlulah disesuaikan dengan ajaran Islam. Sistem pendidikan, penempatan dan perkampungan, sistem pertanian, ekonomi perlulah dilandaskan menurut ajaran Islam. Sebenarnya ramai yang telah menyedari akan kepincangan sistem pendidikan sekular dan sistem ekonomi riba. Sudah ramai yang mahukan bahan makanan yang suci dan halal di sisi syariat. Malangnya sistem Islam dan keindahannya yang dilaung-laungkan mampu untuk menyelesaikan masalah ummah itu masih kabur. Mahu tidak mahu terpaksa mereka tunduk kepada sistem yang ada walaupun hati menderita. Oleh itu menjadi satu tanggungjawab untuk kita menggembeleng tenaga di dalam menegakkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan agar ianya diselaraskan dengan Islam. Buat masa ini telah banyak perkara yang diwujudkan kerajaan di dalam bentuk Islam yang dapat memberi jalan alternatif untuk kita mengamalkan sistem hidup yang benar-benar berteraskan Islam seperti Bank Islam, Pinjaman cara Islam, Hospital Islam, sekolah-sekolah yang berteraskan Islam dan sebagainya. Walaupun tidak semua, tetapi ia mungkin sebagai langkah permulaan di dalam kita membina sebuah negara yang mendaulatkan Islam sebagai satu cara hidup dan mempunyai undang-undang dan perlembagaannya sendiri.

Mutiara Kata

Orang yang belajar dengan kehidupan mendapat pengalaman, Dan orang yang belajar dengan buku dan guru akan mendapat ilmu.

Berfikir taraf tinggi itu, Ialah berfikir yang dipimpin oleh Jiwa, Hasil fikirannya bak mutiara.

Apa sahaja yang kita lihat di dunia ini boleh mengajar kita, Dengan syarat kita melihat sambil berfikir dan hati berhubung dengan Allah.

Tiga perkara yang orang tidak puas-puas memburunya, Ahli ilmu dengan ilmu, orang yang tamak dengan dunia dan lelaki dengan wanitanya.

Ilmu adalah panduan, harta adalah alat, Kedua-duanya adalah untuk menegakkan kebenaran. Bukan untuk mencari kepentingan dan jauh sekali dari tujuan kesombongan dan kebanggaan.

Apabila ilmu dan amal tidak membuahkan akhlak yang mulia, Ertinya ilmu dan amal itu tiada nilainya di sisi Allah dan manusia.

Ilmu yang memberi manfaat adalah ibarat kawan yang cerdik lagi setia, Ia sentiasa mengingatkan dan

memimpin kita ke jalan yang menyelamatkan, Tetapi sangat sukar untuk kita nampak akan adanya.

Membawa harta menyusahkan kita untuk menjaganya, Membawa ilmu menyenangkan jiwa sebab sesiapa pun tidak mencurinya, Jikalau diberikan kepada orang ia akan bertambah, Tidak payah dikawal dan dijaga seperti harta.

Air apabila tidak mengalir akan rosak dan busuk, Begitulah orang yang berilmu apabila tidak berjalan dan bermusafir ia akan jumud dan beku.

Sumber ilmu ialah mendengar, melihat, berfikir, membaca dan dari hati.

Biar sedikit cakap, banyak amalan, Biar sedikit berbincang tetapi membuahkan kesepakatan, Biar sedikit ilmu asalkan menjadi panduan.

Buah akal ialah ilmu pengetahuan, Buah jiwa atau hati ialah iman, Buah Fizikal ialah kemajuan, Alangkah indahnya kalau ketiga-tiga ini melahirkan buah di dalam kehidupan.

Alim lisan, pandai bercakap, tidak berbakti, Alim hati, kurang bercakap, banyak berbakti, Alim lisan dan hati, bercakap dan beramal sama selari.

Matlamat Hidup

Untuk apa manusia dilahirkan ke dunia? Di manakah manusia itu sebelum di lahirkan? Dan untuk apa pula manusia di matikan?. Persoalan ini adalah persoalan yang mesti dijawab oleh semua orang dengan tepat dan berhati-hati. Tepat jawapannya, maka tepatlah matlamat hidup yang dipilih olehnya. Salah jawapannya, salah pulalah matlamat hidup yang dituju oleh seseorang. Melihat kepada kelompok manusia yang berbagai-bagai ragam dan nama, kita akan dapat mengagak secara kasar apakah tujuan dan matlamat hidup mereka. Namun secara umum, melihat kepada sikap mereka, manusia diseluruh pelusuk bumi ini menjadikan hidup mereka untuk:

1.    Makan, minum, berumahtangga, beranak pinak dan tua, kemudian mati. Kerana itu persoalan hidup mereka ialah bagaimana mencari duit untuk dapatkan keperluan-keperluan tadi. Halal, haram, wajib atau pun sunat, tidak lagi diperhitungkan. Tuhan tidak penting bagi mereka. 

2.    Ada yang hidup mengejar pangkat dan kuasa. Orang lain habis dipijak dan dianiaya. Yang penting dirinya berjaya. Soal keperimanusiaan sudah tiada. Yang ada matlamat pangkat dan kuasa. Soal Tuhan belakang kira.

3.    Ada sekumpulan manusia yang hidupnya hanya membanggakan diri dan mencari kemuliaan diri. Atas tujuaan ini, mereka mencari ilmu, kekayaan dan mencantikkan diri. Mereka menggunakan segala peluang yang ada hingga timbul hasad dengki, marah, fitnah, tipu, menindas dan lain-lain kejahatan yang sudah tidak terkawal lagi. Hilang lenyap perpaduan, kasih sayang dan bantu membantu di kalangan manusia. Hidup nafsi-nafsi, sentiasa tegang dan hati sakit sekalipun berada di dalam satu parti. Umpama pokok-pokok kayu di hutan yang melepaskan pucuknya tanpa peduli. Inilah hidup manusia hasil daripada matlamat hidup yang mereka pegangi. Hidup tidak ubah seperti haiwan yang tidak ada tamadun dan peradaban yang tinggi. Gagal menempuh kemuliaan tetapi jatuh hina ke taraf haiwan dan tumbuh-tumbuhan malah lebih hina daripada itu.  Firman Allah:  "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan daripada Jin dan Manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakan oleh mereka untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata tetapi tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." (Al A'raf: 179) "Telah nampak kerosakan di daratan dan di lautan di sebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan azabNya kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar) ." (Ar Rum : 41) Matlamat belum tentu tercapai tetapi keburukannya telah menjadi penyakit yang berbagai-bagai yang menimpa masyarakat. Melihatkan hal ini sepatutnya manusia mula memikirkan kembali di mana silapnya dan apa jalan keluar daripada kesilapan ini. Untuk itu, manusia perlu jelas matlamat hidupnya iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah dan menjalani hidup sebagaimana yang telah Allah perintahkan. Firman Allah: "Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekaluan Alam." (Al An'am: 162) "Tidak Aku jadikan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu." (Az Dzariyat : 56)  Apabila hidup kita untuk Allah, ertinya apa jua tindakan kita, percakapan kita, fikiran kita dan hati kita, semuanya dalam menegakkan hukum Allah. Segala-galanya diatur dan disusun dengan begitu cantik agar kita tidak jatuh ke taraf yang hina sebagaimana haiwan. Selamatlah hidup kita di dunia dan selamat juga di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

MELATIH AKHLAK MULIA

Jikalau seseorang yang melakukan amal ibadah tetapi tidak melahirkan akhlak, ertinya amalan itu tidak menghasilkan buah atau faedah. Rasulullah s.a.w diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak. Ini disebutkan di dalam hadith baginda s.a.w : "Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak."  Banyak ayat Al Quran yang ditekankan mengenai akhlak. Di antaranya : "Bukanlah dikatakan kebaikan apabila kamu menghadapkan wajah kamu ke timur atau ke barat. Akan tetapi sesungguhnya kebaikan itu ialah apabila kamu beriman kepada Allah, hari Kiamat, para malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan memerdekakan hamba, mendirikan solat, menunaikan zakat dan orang-orang yang menepati janji apabila ia berjanji dan orang- orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan, maka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa." (Al Baqarah : 177)  Di dalam Islam, akhlak adalah merupakan intipati ibadah. Tanpa akhlak, ibadah adalah merupakan adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai nilai. Oleh itu perlulah kita berusaha memperolehi akhlak yang mulia. Sebahagian dari sifat-sifat akhlak yang semestinya berada di dalam diri seseorang itu di antaranya : 

1)    Bersifat wara' dari melakukan perkara-perkara yang haram dan syubhat. 

2)    Menundukkan pandangan kepada perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah. Kerana pandangan itu menimbulkan syahwat dan mendorong seseorang melakukan dosa dan maksiat. 

3)    Memelihara lidah daripada perkataan yang kotor dan umpat. 

4)    Hendaklah bersifat malu di dalam semua keadaan. Tetapi harus diingat, sifat malu itu tidaklah menghalang seseorang itu daripada mengatakan kebenaran dan melakukan kebajikan. Termasuk di dalam sifat malu itu tidak mencampuri urusan orang lain, menahan pandangan daripada perkara yang haram, ringan tulang melaksanakan kebajikan, tidak meninggikan suara dan lain-lain. 

5)    Lemah lembut, sabar dan sentiasa memaafkan orang yang melakukan kesalahan. 

6)    Bersifat benar dan jujur. Termasuk di dalam hal ini ialah tidak merasa takut dengan manusia dan meletakkan sesuatu yang hak itu kepada tempatnya. 

7)    Pemurah. Diantara perkara yang dapat mengubati kebakhilan seseorang itu ialah dengan bersedekah dan bersifat dengan sifat pemurah. 

8)    Menunjukkan teladan yang baik. Seseorang Islam itu hendaklah ia menunjukkan contoh teladan yang baik ditengah mesyarakat. Kerana akhlak yang baik itu akan menumbuhkan masyarakat yang bertimbang rasa dan berkasih sayang. 

Mengenai akhlak yang mulia ini pernah suatu ketika seorang Yahudi datang menemui Rasulullah s.a.w menuntut hartanya (hutangnya) sambil menarik selendang Rasulullah dan berkata : "Sesungguhnya kamu orang-orang Abd. Manaf adalah satu kaum yang suka melambatkan (membayar hutang). Mendengar perkataan itu Saidina Umar Al Khattab telah berazam untuk memenggal leher Yahudi tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda : Ya Umar, sepatutnya engkau meminta beliau menagih hutangnya dengan cara yang baik dan engkau meminta supaya aku menunaikannya dengan cara yang baik."  Begitulah halusnya akhlak Rasulullah s.a.w, beliau bukan sahaja menegur sahabatnya, tetapi meminta ditegur dengan untuk menunaikan hutangnya Di dalam membicarakan hal memperbaiki akhlak ini, Imam Al Ghazali menyebutkan di dalam kitab Ihya'nya

4 jalan seseorang itu dapat melatih dirinya dengan akhlak yang terpuji dan mengenal keaiban diri. 

1) Mempunyai guru yang mursyid. Iaitu guru yang menunjukkan jalan ke akhirat. Guru yang sentiasa membimbing muridnya ke arah kebaikan. 

2) Mencari sahabat yang sejati. Peribadi seseorang itu akan terbentuk mengikut dengan siapa dia bersahabat Apabila baik sahabatnya, maka peribadi seseorang itu akan terpengaruh ke arah kebaikan. Sebaliknya apabila seseorang itu mempunyai sahabat yang kurang baik akhlaknya, maka ia akan mendorong kepada kemaksiatan dan kejahatan. 

3) Mengambil iktibar dari kata-kata musuh. Musuh sentiasa mencari-cari kelemahan dan kekurangan kita. Kita sepatutnya mengambil iktibar dari perkataan musuh-musuh kita dan apabila di dapati perkataannya itu benar, maka buatlah perubahan dan halusilah akhlak kita. 

4) Bergaul dengan masyarakat. Masyarakat adalah cermin kepada peribadi-peribadi yang berada di dalamnya. Segala perbuatan yang kurang elok dan cacat yang ada pada masyarakat hendaklah kita ambil iktibar dan pengajaran agar kita tidak melakukan kesilapan yang ada. Bergaullah dengan baik, nanti akan lahir kebaikan ditengah masyarat hasil daripada individu-individu yang baik.

Mukmin Sejati Bercirikan Sifat Orang Beriman

Sebagaimana yang kita maklumi sebagaimana di dalam Al Quran atau hadith, banyak diungkapkan tentang sifat dan ciri-ciri orang yang beriman di antaranya :  

Ciri Pertama  Seorang mukmin sejati mempunyai iman yang teguh dan kuat, tidak mudah bergoyang atau rapuh, mempunyai cita-cita luhur yang tidak kunjung padam sentiasa mengerjakan kebaikan, selalu hidup di dalam perjuangan, menjauhkan diri daripada kejahatan, sabar di dalam menghadapi cubaan dan menunjukkan keperibadian yang baik. Dia tidak gugup dan hilang akal bila menghadapi sesuatu yang buruk, sebaliknya dia tidak lupa daratan dan hilang perseimbangan dikala memperolehi nikmat. Apabila ditimpa musibah dia bersikap sabar. Di dalam kehidupannya sentiasa terpancar ketenangan dan kedamaian. Kehidupan yang bahagia.Hal inilah yang digambarkan oleh Allah di dalam Al Quran: "Sesiapa yang melakukan perbuatan yang baik, lelaki atau perempuan di dalam keadaan dia beriman, nescaya Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik (Tayyibah) dan Kami berikan kepadanya balasan (pahala) yang lebih baik daripada kebaikan yang mereka kerjakan." (Surah An Nahli: 97)  Kehidupan Tayyibah yang dimaksudkan adalah tersimpul di dalamnya segala kenikmatan dan kebahagian, baik yang bersifat jasmaniah atau rohaniah, bukan sahaja di dalam kehidupan di dunia ini tetapi juga kehidupan di akhirat kelak.  

Ciri Kedua  Seorang mukmin sejati ialah seorang yang sentiasa membuatkan menafaat baik untuk dirinya sendiri mahu pun terhadap orang lain. Islam telah meletakkan beberapa larangan terhadap perbuatan yang merosak dan merugikan, baik terhadap peribadi atau masyarakat. Umpamanya berzina, berjudi, minum arak dan berbagai perkara yang merosakkan diri dan masyarakat. Orang lemah imannya tidak mampu mengendalikan dirinya terhadap larangan tersebut, walaupun dia menyedari akan akibat buruk yang akan ditempuh. Berbeza halnya dengan orang mukmin yang kuat imannya. Dia sentiasa berusaha menghindarkan perbuatan yang merugi dan merosakkan dirinya dan orang lain. Rasulullah s.a.w bersabda: "Sebaik-baik manusia itu ialah mereka yang memberi menafaat kepada manusia yang lain."

 Ciri ketiga  Orang mukmin sejati ialah mereka yang hanya meminta pertolongan dari Allah di dalam menghadapi sesuatu kesulitan. Kita dapati perbezaan orang yang lemah dan orang yang kuat imannya. Orang yang lemah imannya selalu gelisah, gugup, hilang pegangan dan pedoman. Dia mencari pertolongan kepada sesiapa sahaja. Yang dianggapnya dapat menringankan kesulitan dan konflik jiwa yang dideritainya itu, walaupun pertolongan itu hanya sementara sahaja di dunia yang fana ini. Akan tetapi mukmin yang sejati, hanyalah yang meminta pertolongan dengan Allah. Ia memohon terus dengan Allah, tanpa ada perantaraan orang lain. Sebab dia yakin kuasa yang menentukan pada saat yang terakhir ialah Allah s.w.t. tanpa mengabaikan ikhtiar dan usaha dari manusia itu sendiri. Firman Allah: "Kepada Engkaulah (Allah) kami menyembah dan kepada Engkaulah kami memohon perlindungan." (Al Fatihah: 5)

Nikmat Allah bagi orang yang bersyukur

Setiap nikmat itu adalah modal, untuk melakukan amal ibadah kepada Allah, di samping melakukan kebaikan sesama manusia. Oleh itu nikmat Tuhan jangan dipersia-siakan, terbuang begitu sahaja supaya kita tidak menyesal dengan tidak berkesudahan. Gunakan nikmat yang Allah berikan itu untuk beramal soleh dan melakukan ketaatan dan kerja-kerja taqwa.  Allah janjikan kemenangan kepada sesiapa sahaja yang bertaqwa dan beramal soleh kepadaNya. Sesiapa yang yakin dengan janji-janji Allah, mereka itulah orang-orang yang hidup jiwanya, yang celik matahatinya dan yang subur imannya. Mereka seperti inilah yang selalu membuat keputusan dan tindakan menurut keredhaan ilahi serta batasan-batasan iman. Firman Allah :  " Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman diantara kamu dan mengerjakan amal soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana diberi kuasa kepada orang-orang sebelum mereka, Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhoinya untuk mereka. Dan Dia benar-benar akan menukar ( keadaan ) mereka sesudah mereka berada di dalam ketakutan, menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa ( tetap ) kafir sesudah ( janji ) itu, maka mereka itulah orang-orang fasik." ( An Nur : 55 ) Bagi orang-orang yang yakin dengan Allah, mereka menganggap bahawa hanya Allah sahajalah sebagai tempat mereka mengadu, tempat memohon segala hajat, tempat mencurah segala isi hati dan Allah sahajalah yang dapat menyelamatkan seseorang itu daripada penderitaan dunia dan akhirat. Ketenangan jiwa tidak mungkin wujud sekiranya pergantungan dengan Allah tidak ada. Orang-orang yang tidak yakin dengan bantuan Allah, di dalam hidupnya menyebabkan mereka sering kali bertembung dengan kekalutan hidup yang benar-benar menekan jiwa dan perasaannya.  Untuk mendapatkan rasa penghayatan tentang kehebatan dan kekuasaan Allah, maka hendaklah seseorang itu melihat kepada alam yang luas dan bersyukur dengan nikmatnya. Kerana sebelum Allah memberikan sesorang itu kufur akan Allah s.w.t, maka Allah akan cabutkan kemanisan nikmatnya yang diberikan kepada hemba-hambaNya sehingga hamba-hambaNya itu kufur nikmat. Oleh itu marilah kita bersama-sama bersyukur atas nikmat-nikmat yang Allah berikan, mudah-mudahan ditambahkan lagi nikmatnya ke atas kita. Selalunya apabila mendapat nikmat orang gembira dan berbangga. Jarang orang menyedari rahsia di sebalik nikmat itu. Sebenarnya nikmat yang Allah berikan itu adalah untuk menguji seseorang, samada ia boleh bersyukur dengan nikmat itu atau tidak. Seseorang yang bersyukur dengan nikmat akan terharu dan takut dengan nikmat yang diperolehinya. Ia terharu kerana kurniaan Allah pada dirinya yang dirasakan dirinya tidak layak untuk menerima nikmat dan takut tidak dapat melahirkan kesyukuran dengan menunaikan hak yang sepatutnya. Ia takut akan lalai dengan nikmat sehingga lupa Allah. Itulah yang berlaku kepada Firaun dan Qarun yang diberikan Allah nikmat kekayaan tetapi lupa Allah sehingga mengaku dirinya tuhan. Beruntunglah orang yang tawadhuk ketika menerima nikmat. Dia dapat merasakan dirinya hina di hadapan Allah dan menggunakan nikmat yang Allah berikan itu dengan sebaik-baiknya. Dalam rasa hati yang sebegitu, ia tidak ghairah dengan nikmat tersebut, malah ia takut tidak dapat menggunakan nikmat itu untuk mendidiknya.   Firman Allah : " Ketika Tuhanmu memberitahu : Jikalau kamu bersyukur, ( akan nikmat-nikmat Allah ), nescaya Aku ( Allah ) akan tambahkan nikmat itu yang ada pada kamu itu. Jika kamu kufur, Sesungguhnya siksaanKu amat pedih." ( Ibrahim : 7 ) Sebaliknya orang yang angkuh akan menerima nikmat dengan mendabik dada dan tidak bersyukur langsung kepada yang mengurniakan nikmat kepadanya. Dia akan bangga dengan pangkat, kemewahan dan kesenangan yang diperolehi olehnya sehingga lupa kepada Allah. Orang yang sebegini apabila diuji oleh Allah dengan kesusahan, turun pangkat, hilang harta dan hilang orang yang disayangi, dia akan melatah dan menyalahkan takdir. Sebagai individu muslim dan mukmin, kita perlu merasai bahawa banyak nikmat Allah yang telah Allah anugerahkan kepada kita seperti nikmat tubuh badan, nikmat akal, nikmat Islam, nikmat iman dan sebagainya. Kalau andaikata kita cacat sekalipun, tetapi Allah tetap menganugerahkan jalan untuk kita bersyukur kepada nya melaui berbagai-bagai cara seperti pendengaran dan sentuhan untuk kita tetap mensyukuri nikmat-nikmatnya. Firman Allah : " Jika kamu hendak mengira nikmat-nikmat Allah, pasti kami tidak akan dapat mengiranya." ( An Nahl : 18 )

Nilai Persahabatan

Biar tidak ada wang, jangan tidak ada sahabat. Biar kehabisan wang, jangan kehabisan sahabat, Biar putus wang, jangan putus sahabat. Sahabat adalah barang yang paling berharga daripada ringgit, dinar dan dirham. Persahabatan yang diikat antara satu sama lain, hampir-hampir serupa seperti tali hubungan perkahwinan. Ia mengikat perasaan, mengikat fikiran, mengikat masalah, mengikat kebahagiaan hingga dirasakan semua itu adalah milik bersama. Persahabatan yang sebenar-benarnya adalah yang dapat merasai susah sama-sama susah dan senang sama-sama senang, menang sama-sama menang, kalah sama-sama kalah, pahit-sama-sama pahit dan manis sama-sama manis. Inilah persahabatan yang sejati yang datang dari lubuk hati, yang tumbuh dari hati yang murni.  Kukuhnya perpaduan, lahir daripada tapak persahabatan yang murni. Oleh sebab itu Rasulullah s.a.w mengukuhkan tali persahaban antara sahabat-sahabatnya dengan ikatan yang kuat. Saling bantu membantu di dalam kesenangan dan kesusahan. Pendek kata hubungan persahabatan itu lebih kukuh daripada saudara seibu sekandung. Persahabatan beginilah yang menjadi asas kepada perjuangan Rasulullah s.a.w.  Persahabatan yang padu, kukuh dan kental sebenarnya adalah nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada orang mukmin. Nikmat persahabatan adalah lain daripada nikmat yang lain. Khusyuk adalah nikmat bagi orang yang bersembahyang, berbuka adalah nikmat bagi orang yang berpuasa, sihat adalah nikmat bagi orang yang sakit. Nikmat persahabatan adalah berlainan. Ianya berada dibawah nikmat Iman. Tidak dianggap seseorang itu beriman sekiranya dia tidak mengasihi sahabatnya sebagaimana dia mengasihi dirinya.  Iman adalah nikmat yang paling tinggi yang boleh di capai dalam perhubungan manusia dengan Allah s.w.t. Manakala persahabatan adalah nikmat yang paling tinggi yang dapat dicapai dalam perhubungan manusia sesama manusia.Orang yang telah mendapat nikmat Iman tidak akan berpatah balik ke belakang walaupun dicampak di dalam unggun api yang membara. Orang yang telah mendapat nikmat persahabatan , nikmat ukhwah, nikmat persaudaraan tidak akan dapat dipisahkan oleh benua dan negara, tidak akan dapat dipisahkan walaupun dihasut dan difitnah.  Ia padu lebih padu daripada besi waja, lebih padu daripada batu pejal. Ia seperti air, ditetak tidak akan putus, dicincang tidak akan berkecai, dihempas tidak akan pecah.Kalau dipisah pun ia akan bersatu semula. Lihat tabiat air, ia boleh berada dimana-mana tetapi akan kembali bersatu. Bila di udara ia sebagai awan, apabila berada di bumi ia sebagai air yang meresap kedalam tanah.Ia berhubung tetapi masing-masing berada di tempat yang berlainan dan mempunyai berbagai-bagai wajah. Demikianlah persahabatan itu. Dia adalah satu, satu jiwa, satu perasaan, satu cita-cita tetapi di dalam jasad yang berlainan. Kerana itu Rasul mengingatkan betapa pentingnya ukhwah dan persaudaraan. Persahabatan dan kasih mesra itu lebih beharga daripada harta, pangkat, kedudukan dan kemasyhuran. Bahkan didalam kubur juga ditanya :"Man Ikhwanuka" ertinya siapakan saudara kamu, dan dijawab "Al Mukminun Ikhwani" ertinya orang mukmin itu adalah sahabat saya.  Hakikat persaudaraan dan persahabatan itu hanya dapat dibina oleh orang yang beriman sahaja. Firman Allah s.w.t di dalam Al Quran: " Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara." (Al Hujurat: 10) Bertitik tolak dari imanlah persahabatan yang sejati itu dapat dibina. Persahabatan yang kukuh itu mempunyai tenaga. Persahabatan yang kukuh itu adalah seperti tenaga yang kuat yang dapat digunakan di dalam segala gerak kerja. Lihatlah bagaimana Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w sehingga berjaya memaparkan satu pekerjaan besar yang mampu mewujudkan negara di zaman kegemilangan Islam.

Pedoman

 

JANGANLAH kita mudah terpengaruh dengan hasutan jin dan iblis hanya semata-mata untuk memenuhi nafsu dan kehendak diri. Akhirnya manusia juga yang akan binasa kehidupannya di dunia dan di akhirat. Ketaatan Jin kepada seseorang bergantung sejauh mana orang tersebut kafir dan ingkar kepada Allah. Semakin kafir seseorang itu maka semakin jahat dan taat jin kepadanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya ada lelaki dari kalangan

manusia meminta perlindungan daripada beberapa

lelaki jin, dengan itu mereka (jin-jin) menjadi

bertambah sombong”.(Al-Jin:6)

 

Yang sebenarnya jin adalah makhluk yang lemah dan tidak mempunyai sebarang kekuatan. Namun disebabkan manusia telah mempercayainya, maka manusia menganggapkan, jinlah yang berkuasa. Fikirkanlah firman Allah SWT di dalam surah An- Nisa’ ayat 76 yang bermaksud:

“Maka perangilah olehmu wali-wali syaitan.

Sesungguhnya tipu daya syaitan itu amat lemah”.

 

Sebenarnya, ketepatan seseorang meramalkan sesuatu adalah palsu. Apa yang dikatakan bersifat umum dan memerlukan penafsiran tersendiri. Terdapat juga yang diucapkan itu adalah kata-kata jin yang mencuri pendengaran berita dari langit. Sebab itulah kita dapat melihat pancaran panah cahaya di waktu malam yang dikatakan tahi bintang sebenarnya itu adalah panahan Allah kepada syaitan yang ingin mencuri maklumat dari langit.

   

Hasrulnizam Hashim

Image