Isi Artikel

Peribadi Yang Bersih

Kebenaran itu bersih. Pendokongnya juga mesti terdiri daripada manusia yang bersih. Bersih daripada dosa, bersih daripada maksiat dan mungkar. Bersih daripada kepentingan sendiri dan bersih daripada selain yang dihalalkan oleh Allah. Bersih hati dari sebarang mazmumah dan bersih akhlaknya dari sebarang kejahatan dan kelemahan. Jikalau ada kecacatan dan kelemahan, maka hendaklah dibaiki dan diperbetulkan.  Sesuatu ajaran itu walaupun ianya benar, tidak akan dapat diterima jikalau pembawanya terdiri daripada orang-orang yang bersalah dan penuh dengan maksiat dan mungkar. Orang yang hendak membawa kebenaran dan mendokong kebenaran hendaklah membersihkan dirinya daripada dosa dan maksiat . Apabila bersih peribadi kita, orang akan nampak kebenaran sehingga kebenaran yang dibawa itu tidak ada pemisahan dengan peribadi yang dibawa. Kebenaran itu kita dan kita adalah kebenaran. Seperti roh dan jasad yang tidak akan terpisah melainkan dengan kematian.  Ramai orang yang mengaku Islam, tetapi yang terbukti melalui akhlak mereka adalah sebaliknya. Islam dan orang Islam adalah sesuatu yang berbeza. Watak orang Islam tidak menunjukkan ajaran yang dibawa oleh Islam. Sedangkan ajaran Islam itu membentuk watak dan peribadi. Lihat sahaja di zaman sahabat dan tabiin, orang yang bukan Islam sangat tertarik dengan peribadi sahabat walaupun mereka tidak tahu yang dibawa oleh para-para sahabat dan para tabiin itu adalah ajaran Islam. Inilah adalah kerana pada diri-diri sahabat dan para tabiin itu terdapat maruah dan akhlak di dalam mengamalkan ajaran Islam.  Pernah suatu ketika di zaman sahabat, terdapat seorang wanita Islam yang sedang membeli barang. Tidak jauh dari daripada wanita Islam tersebut terdapat sekumpulan Yahudi yang sedang memerhatikan gerak wanita Islam itu lalu mereka merapatinya dan salah seorang dari mereka telah menyelak kain wanita Islam tersebut sehingga nampak sebahagian betisnya. Lalu Yahudi itu ketawa. Dan menjeritlah wanita Islam tersebut. Dan jeritan itu didengari oleh salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. Sahabat ini datang, lalu yang dilihatnya ialah seorang wanita Islam yang sedang dipermainkan oleh sekumpulan Yahudi. Lalu sahabat tadi, tanpa berfikir panjang telah membunuh Yahudi yang telah menyelak kain wanita Islam itu. Apabila dilihat oleh kawan-kawan Yahudi yang lain, maka mereka telah membunuh sahabat tadi. Dan peristiwa tersebut hampir-hampir mencetuskan perang diantara kedua puak iaitu Islam dan Yahudi hanya kerana membela perkara yang nampaknya kecil pada hari ini iaitu aurat sedang di zaman itu ianya adalah soal maruah.  Begitulah, pembelaan terhadap hukum Allah di zaman para sahabat, mereka sanggup mati untuk mempertahankan hukum-hakam Allah. Sahabat tadi sanggup mati di dalam mempertahankan aurat wanita muslim yang bukan saudaranya. Sedangkan hari ini, wanita-wanita Islam dengan rela hati membuka aurat mereka untuk dipertontonkan.  Kerana itu umat Islam dihina dan dibiarkan tanpa pembelaan lantaran dari dosa-dosa yang dilakukan. Hasilnya Islam itu hanya tinggal sebagai ajaran dan perlembagaan yang indah ditulis di dalam kitab-kitab sedangkan pada diri umat Islam tidak langsung mencerminkan ajaran dan kemurnian ajaran Islam. Kerana itu kebenaran Islam perlu ditonjolkan melalui peribadi-peribadi yang bersih. Peribadi yang mengamalkan Al Quran dan sunnah dengan sebenar-benarnya. Peribadi yang sentiasa berakhlak dan bermaruah tinggi di dalam perhubungannya dengan masyarakat. Apabila telah terlaksana ini semua, syaitan tidak akan terdaya untuk menggoda, kerana dilindungi oleh Allah. Pengaruh Yahudi dan Nasrani tidak dapat mendekati, kerana sunnah Rasulallah s.a.w menyuluh disetiap aspek kehidupan. Manusia juga tidak akan menetang, kerana menentang akhlak Islam itu umpama menentang diri sendiri, kerana akhlak yang baik itu fitrah semulajadi manusia.

Perkara yang merosakkan Iman

Seperkara lagi yang perlu kita ketahui ialah tentang perkara-perkara yang boleh merosakkan iman. Tujuannya ialah supaya kita dapat mengelakkan diri dari membuat perkara-perkara tersebut yang boleh merosakkan iman kita.

Ada tiga perkara atau tiga cara iman itu boleh rosak iaitu :

1) Iktiqad

2) Perkataan

3) Perbuatan Iktiqad

Melalui iktiqad, iman boleh rosak dengan sebab-sebab antara berikut :

a) Kurang yakin atau ragu-ragu dengan satu atau lebih dari sifat-sifat yang wajib bagi Allah. Contohnya ragu dengan qudrat ( kekuasaan Allah ). Sebaliknya ia yakin bahawa ada kuasa yang boleh memberi bekas melainkan Allah.

b) Ragu dengan perkara-perkara ghaib seperti wujudnya Malaikat, Hari Qiamat dan alamat-alamat qiamat, Alam Barzakh, Syurga, Neraka dan lain-lain seumpamanya.

c) Ragu dengan satu atau lebih dari sifat-sifat nabi dan rasul.

d) Ragu tentang mampunya Islam, dengan panduan Al Quran dan Sunnah, sebagai pembawa keselamatan.

Secara ringkasnya, semua keraguan tentang perkara yang disuruh beriman dengannya oleh Allah, adalah membawa kepada rosaknya iman seseorang. Oleh itu amat perlu bagi tiap-tiap individu menilik di dalam hatinya, untuk memastikan bahawa tidak ada sebarang keraguaan olehnya kepada perkara-perkara yang dikehendaki meyakininya. Perkataan Iman boleh juga rosak melalui perkataan. Ianya boleh berlaku sama ada sedar atau tidak. Antara perkataan-perkataan yang boleh merosakkan iman ialah :

a) Mengatakan Allah zalim, kejam, tidak adil dan lain-lain yang mencacatkan kesempurnaan sifat-sifat Allah.

b) Mengata dan mencaci Rasulullah samada tentang perkataan, perbuatan dan seluruh ajaran baginda. Juga mempersendakan mereka yang mengikuti sunnah Nabi s.a.w seperti memakai serban, jubah, makan di dalam talam dan sebagainya.

c) Mengatakan syariat Islam itu tidak sesuai dengan semua zaman. Ianya sesuai untuk zaman lalu sahaja dan mengatakan mereka yang mengamalkan syariat Islam itu ketinggalan zaman dan ingin kembali ke zaman unta.

d) Menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal. Contohnya, menghalalkan riba, zina, arak, judi dan lain-lain.

Secara ringkasnya, bolehlah dikatakan apa sahaja perkataan yang keluar berbentuk cacian dan penghinaan pada kemuliaan dan kebenaran Islam, sama ada sengaja atau tidak, adalah merosakkan iman seseorang. Jadi sebagai langkah berjaga-jaga perlulah kita berhati-hati di dalam bercakap, dan jagalah perkataan yang keluar dari mulut kita.

Di samping itu kita mendalami pengetahuan tentang apa-apakah bentuk perkataan yang boleh membawa kepada rosaknya iman kita. Perbuatan Kerosakan iman boleh juga berlaku kerana perbuatan kita.

Di antara perbuatan-perbuatan yang boleh merosakkan iman ialah :

a) Sujud kepada yang lain selain daripada Allah.

b) Menentang hikmat syariat seperti menentang hikmah hukum-hukum perundangan Islam seperti hudud, qisas dan takzir.

c) Menghukum dengan yang lain daripada hukum Allah.

d) Bekerjasama dan menolong musuh Islam di dalam menghancurkan negara dan masyarakat Islam.

e) Merelai perluasaan kemungkaran seperti seronok diadakan tempat berjudi, minum arak, rumah-rumah pelacuran dan sebagainya.

f) Meraikan dan membesarkan hari-hari kebesaran agama-agama lain.

Firman Allah di dalam surah Al Baqarah : ayat 85 :

"Apakah kamu beriman dengan sebahagian kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain, tiadalah balasan bagi mereka yang berbuat demikian daripadamu melainkan kenistaan di dalam kehidupan di dunia dan pada Hari Qiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang amat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat."

Seseorang yang melakukan salah satu dari tiga cara di atas, dalam sedar dan yakin, adalah seorang yang telah rosak imannya. Dengan kata yang lain, ia telah murtad. Ini adalah dosa terbesar. Dosa yang tidak terampun.

Firman Allah di dalam surah Al Nisa' ayat 116 :

"Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik, sebaliknya Allah mengampunkan dosa-dosa selain daripadanya pada sesiapa yang Dia kehendaki."

Kerana itu seseorang yang telah murtad, wajiblah dia bertaubat.

Diantara syarat-syarat taubat yang perlu dilakukan oleh orang yang murtad itu ialah :

a) Kembali mengucapkan kalimah Syahadah dengan yakin dan faham.

b) Memperbaharui dan membetulkan keyakinan tentang apa yang telah diragukan , dikatakan dan dilakukan.

c) Menginsafi dan bertaubat dengan sebenar-benarnya dan sedar perbuatannya telah jauh terpesong dari agama Allah dan berazam untuk mempelajari dengan lebih dalam selok belok agama.

Hanya dengan memenuhkan syarat-syarat ini sahaja dosa akan terampun dan amal ibadah akan dinilai kembali oleh Allah s.w.t

Pintu-pintu untuk Syaitan masuk ke dalam hati

Menjaga hati dari godaan syaitan itu adalah wajib dan fardhu Ain atas tiap orang yang mukallaf. Orang tidak dapat menangkis syaitan, kalau tidak dapat mengetahui jalan-jalan masuknya syaitan. Jalan-jalan masuk dan pintu-pintu syaitan itu adalah sifat manusia itu sendiri. Diantara pintu gerbang syaitan itu ialah amarah dan syahwat. Diriwayatkan bahawa Nabi Musa a.s bertemu dengan Iblis, lantas berkatalah iblis kepada Nabi Musa: "Hai Musa ! Engkaulah orang yang menerima Kalamullah, sedang aku hanya makhluk Allah. Aku berdosa dan ingin bertaubat. Mintakanlah aku syafaat kepada Tuhan, agar Tuhan menerima Taubatku. Jawab Musa a.s: "Ya" Maka setelah Nabi Musa naik ke gunung untuk menerima Kalamullah azzawajallah dan hendak turun, berfirman Allah s.w.t kepada Nabi Musa: "Ya Musa ! Sampaikanlah amanat ". Maka berdoalah Nabi Musa a.s: "Ya Allah ! Sesungguhnya hambaMu Iblis ingin bertaubat kepadaMu." Kemudian Allah berfirman kepada Nabi Allah Musa a.s: "Telah Ku perkenan permintaanmu dan suruh Iblis sujud di kubur Nabi Adam agar diterima taubatnya." Nabi Allah Musa lantas menemui Iblis dan berkata kepadanya: "Hajatmu telah diperkenankan oleh Allah, Engkau diperintahkan untuk sujud di kubur Nabi Adam agar taubatmu diperkenan." Dengan sombong dan bongkak Iblis berkata: "Dikala Adam hidup pun aku tidak sudi untuk sujud kepadanya, inikan pula setelah matinya." Kemudian berkatalah Iblis kepada Nabi Allah Musa: "Ada satu kewajipan bagiku untuk memberikan satu hak kepadamu, sebagai imbangan kerana engkau telah memintakan syafaat untukku kepada Tuhanmu. Ingatlah aku pada tiga keadaan dimana aku tidak akan merosakkan mu pada tiga keadaan itu.:  Ingatlah kepadaku dikala engkau sedang marah. Kerana dikala itu aku berada di dalam hati engkau dan mataku berada di mata engkau dan aku berjalan di dalam tubuhmu sebagaimana darah mengalir. Ingatlah kepadaku (tipudayaku) ketika marah kerana aku akan tiup hidungnya sehingga dia tidak mengetahui apa yang diperbuatnya.  Ingatlah kepadaku (tipudayaku) ketika di medan perang kerana akan ku datangi hat-hati mereka yang sedang berperang agar ingat kepada anak dan isteri dan keluarganya sehingga dia berpaling dari barisan.  Jauhilah duduk-duduk dengan perempuan yang bukan muhrim kerana akulah yang menjadi penyuruh perempuan itu kepadamu dan akulah yang menjadi penyuruhmu kepada perempuan itu. Aku sentiasa menggodamu sehingga aku dapat menfitnahmu dengan perempuan itu dan menfitnah perempuan itu denganmu."  Jelas daripada perkara yang di atas, sifat yang paling banyak menguasai hati untuk merosakkannya ialah: Sifat hasad sebagaimana hasadnya Iblis terhadap Nabi Allah Adam.  Sifat marah yang membawa kepada sifat sombong dan loba.  Sifat cinta kepada dunia (seperti dikisahkan di dalam medan perang) yang menjadi kepada punca kepada segala sifat kejahatan.  Syahwat nafsu kepada wanita yang membuatkan seseorang itu difitnah dengan maksiat dan dosa.  Diriwayatkan Iblis pernah menjelma kepada Nabi Allah Yahya a.s dengan berbagai barangan yang bergantungan pada iblis. Maka bertanya Nabi Allah Yahya a.s : "Apakah barangan ini" Kata Iblis: Ini adalah syahwat-syahwat untuk aku menggoda manusia." Bertanya Nabi Yahya a.s: "Apakah yang terdapat pada syahwat itu " Jawab Iblis : "Kadang-kadang dengan syahwat ini engkau kekenyangan, lantas aku beratkan engkau dari mengerjakan salat dan zikir." Bertanya Nabi Allah Yahya lagi: "Adakah yang lain lagi?". Jawab Iblis: "Tidak". Maka berkata Nabi Allah Yahya: "Demi Allah ! Aku tidak akan memenuhi perutku dengan makan. Maka berkata Iblis laknatullah alaih: "Maka sesunggunya Demi Allah, tidak akan aku beri nasihat kepada orang Islam."  Dinukil di dalam kitab-kitab Tasawwuf bahawa banyak makan itu membawa kepada enam pekerti yang tercela : Menghilangkan takut kepada Allah dari hati manusia.  Menghilangkan kasih sayang makhluk kepada makhluk dari hati orang yang kenyang itu, kerana dia mengira orang lain pun kenyang sepertinya juga.  Kenyang itu menyebabkan berat untuk melakukan ibadah dan ketaatan.  Apabila orang yang kenyang itu mendengar kata-kata hikmah atau nasihat, hatinya tidak akan merasakan kehalusan kata-kata tersebut atau menfaatnya.  Kalau orang yang kenyang perutnya itu memberikan kata-kata nasihat atau hikmah, maka kata-katanya itu tidak akan meresap ke dalam hati orang yang mendengarnya.  Kenyang itu membangkitkan berbagai-bagai jenis penyakit.  Termasuk di dalam pintu-pintu besar syaitan masuk ke dalam hati manusia ialah kecintaan kepada Dinar, Dirham dan segala macam kekayaan baik berupa benda mahupun harta. Yang membawa kepada kikir (kedekut) dan takut menjadi miskin. Berkata Sufyan As Tsauri: "Syaitan itu tidak mempunyai senjata yang lebih ampuh daripada takut miskin. Kalau seseorang itu telah menerima senjata tersebut dari syaitan, maka dia akan mengambil harta orang secara batil. Menahan harta dari haknya, berkata sekehendak nafsunya dan bersangka jahat dengan Tuhannya."  Berkata Ibrahim Adham, ada lapan hal yang menyebabkan hati mati :  Anda mengetahui hak Allah tetapi tidak menunaikannya.  Anda membaca Al Quran tetapi tidak mengamalkan ajarannya.  Anda berkata anda cinta kepada Rasulullah s.a.w tetapi tidak mengamalkan sunnahnya.  Anda mengetahui syaitan itu musuh Allah tetapi anda bersahabat dengannya dan melakukan berbagai maksiat dan dosa.  Anda mengatakan takut mati tetapi tidak berbekal untuk mati itu.  Anda mengatakan takut neraka tetapi anda menyiksa badan anda dengan perbuatan ahli neraka.  Anda mengatakan anda rindu kepada syurga tetapi tidak berusaha untuk mendapatkan syurga.  Apabila anda bangun dari tidur anda melemparkan aib anda dibelakang punggung anda dan melemparkan (membuka) aib orang dihadapan anda, lantas anda membuat kemurkaan Tuhan. Bagaimanakah Allah akan terima diri anda ?  Berkata Wahab bin Munabbih: "Takutlah kepada Allah dan jangan kamu mencaci syaitan pada lahirnya tetapi pada batinnya anda bersahabat dengannya dengan melakukan berbagai dosa dan maksiat." Dinukilkan dari kitab Ihya Ulumuddin, Karangan Al Ghazali, disebutkan banyak lagi pintu-pintu Syaitan masuk kedalam hati manusia itu seperti:  Tergesa-gesa di dalam melakukan sesuatu hal  Merasakan diri sudah sempurna dan melahirklan rasa ujub.  Taksub dengan sesuatu mazhab sehingga membawa kepada pertengkaran dan perdebatan yang membawa kepada sifat riya dengan ilmu.  Buruk sangka kepada saudara muslim yang lain  Dan banyak lagi hal-hal yang kita perlu berhati-hati dengannya. Maka untuk menghindar jalan-jalan syaitan untuk masuk ke dalam hati ini maka perbanyakkanlah zikir kepada Allah dan bersikap wara' terhadap dunia. Kerana itu Allah berfirman : "Sesungguhnya hamba-hambaKu itu tidak ada kekuasaan bagimu (Syaitan) ke atas mereka." (Bani Israil: 65)  "Bahawasanya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka diganggu oleh Syaitan, lantas mereka ingat kepada Allah, maka jika begitu mereka akan melihat." (Al A'raf: 201)  Untuk mengalahkan Syaitan hati perlu diisi dengan zikrullah dan iman. Dosa samada kecil atau besar adalah perosak dan peruntuh iman. Orang yang benar-benar mahu memelihara dan meningkatkan iman, janganlah melakukan dosa. Kalau terbuat cepat-cepatlah istigfar dan bertaubat kepada Allah. Jika tidak Syaitan akan menjalankan tipudayanya dan manusia ini sangat lemah andaikata tiada pertolongan dari Allah di dalam menempuh jalan menuju Allah.

RAHSIA ANGKA TUJUH DALAM ISLAM

Asy-Syeikh Al-Imamul-ajallu Abu Zahar Muhammad bin Abdulrohman Alhamdanaani, semoga rahmat Allah berlimpah ke atasnya, ketahuilah bahawa Zat Pencipta, Yang sangat besar kekuasaan-Nya, dan sangat tinggi kalimat-Nya serta bersinambungan nikmat-Nya, telah menghiasi tujuh perkara dengan tujuh perkara, dan menghiasinya pula bagi tiap-tiap yang tujuh perkara itu dengan tujuh perkara yang lainnya, untuk memberitahukan kepada orang-orang yang berilmu bahawanya angka tujuh itu mempunyai rahsia yang sangat besar dan kedudukan yang agung di sisi Allah, Maharaja yang memiliki kemudharatan dan kemanfaatan.

·        Pertama, Allah menghiasi udara dengan tujuh lapis langit, Firman-Nya yang bermaksud: Dan kami bina di atas kamu tujuh buah langit yang kukuh. (Annabaa:12). Kemudian Allah menghiasi dengan tujuh bintang, firman Allah yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan gugusan bintang-bintang di langit, dan Kami telah menghiasinya (langit itu) bagi orang-orang yang memandangnya.

·        Kedua, Allah telah menghiasi padang yang lapang dengan tujuh lapis bumi. Firman Allah yang bermaksud : Allah-lah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi..(QS Arththalaaq:12). Kemudian Allah menghiasi bumi itu dengan tujuh lautan, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud : Dan laut, ditambahkan kepadanya tujuh laut lagi sesudahnya.. (QS Luqman: 27)

·        Ketiga, Allah telah menghiasi neraka dengan tujuh tingkat, iaitu : Jahannam, Sa'iir, Saqar, Jahiim, Hurhamah, Ladhaa dan Hawiyah. Kemudian Allah menghiasinya dengan tujuh ointu, sebagaimana firman-Nya yang ermaksud: Ia (neraka) itu mempunyai tujuh pintu, tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu dari neraka. (QS. Al-Hijr:44)

·        Keempat, Allah telah menghiasi Al-Quran dengan tujuh surah yang panjang, kemudian munghiasinya pula dengan tujuh ayat pembuka kitab (faatihatul-kitaab). Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud : Dan sesungguhnyaKami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al-Quran yang agung. (Q.S Al-Hijr: 87).

·        Kelima, Allah menghiasi manusia dengan tujuh angggota badan iaitu, dua tangan , dua kaki, dua lutut dan satu wajah. Kemudian menghiasinya dengan tujuh peribadatan iaitu dua tangan dengan doa, dua kaki dengan berkhidmat, dua lutut dengan duduk dan muka dengan sujud. Firman-Nya yang bermaksud: Dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Allah). Q.S Al-Alaq : 19).

·        Keenam, Allah menghiasi umur manusia dengan tujuh peringkat. Pada masa lahir disebut "radli", kemudian 'farhim', kemudian 'kuhul', kemudian 'syaikh'. Dan menghiasi tujuh peringkat umur ini dengan tujuh kalaimat iaitu : Ucapan Laa Ilaaha Illallaah Muhammad Rasuulullaah. Firman Allah yang bermaksud : Dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa (Laa Ilaaha Illallaah) dan adalah mereka berhak dengan kalimat taqwa itu dan patut memilikinya. (Q.S Al-Fath :26)

·        Ketujuh, Allah menghiasi dunia dengan tujuh negeri yang besar iaitu : pertama: Hindustan, kedua: Hijaz, ketiga : Bashrah, Badiyah dan Kufah, keempat : Iraq, Syam, Khurasan samapi ke Balakh, kelima: Roma dan Armenia, keenam : Negeri Ya'juj dan Ma'juj, ketujuh : China dan Turkistan. Kemudian Allah menghiasi tujuh negeri itu dengan tujuh hari iaitu Sabtu, Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat. Dan Allah memuliakan dengan ketujuh hari itu dari para nabi iaitu Allah memuliakan Nabi Musa a.s dengan hari sabtu, Isa bin Maryam a.s dengan hari ahad, Dawud a.s dengan a.s dengan hari isnin, Nabi Sulaiman a.s dengan hari selasa, Nabi Ya'qud a.s dengan hari khamis dan Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya dengan hari jumaat.

(Kitab : As Sabb'iyyaatu Fii Maa'ishi'lbrityaat)

Rahsia Solat Lima Waktu

Ali bin Abi Talib r.a. berkata,

"Sewaktu Rasullullah saw duduk bersama para sahabat Muhajirin dan Ansar, maka dengan tiba-tiba datanglah satu rombongan orang-orang Yahudi lalu berkata, 'Ya Muhammad, kami hendak bertanya kepada kamu kalimat-kalimat yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s. yang tidak diberikan kecuali kepada para Nabi utusan Allah atau malaikat muqarrab.

' Lalu Rasullullah saw bersabda, 'Silakan bertanya.'

Berkata orang Yahudi, 'Sila terangkan kepada kami tentang 5 waktu yang diwajibkan oleh Allah ke atas umatmu.'

"Sabda Rasullullah saw, 'Sembahyang Zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah segala sesuatu kepada Tuhannya.

Sembahyang Asar itu ialah saat ketika Nabi Adam a.s. memakan buah khuldi.

Sembahyang Maghrib itu adalah saat Allah menerima taubat Nabi Adam a.s. Maka setiap mukmin yang bersembahyang Maghrib dengan ikhlas dan kemudian dia berdoa meminta sesuatu pada Allah maka pasti Allah akan mengkabulkan permintaannya.

Sembahyang Isyak itu ialah sembahyang yang dikerjakan oleh para Rasul sebelumku.

Sembahyang Subuh adalah sebelum terbit matahari. Ini kerana apabila matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan di situ sujudnya setiap orang kafir.'

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah saw, lalu mereka berkata, 'Memang benar apa yang kamu katakan itu Muhammad.

Katakanlah kepada kami apakah pahala yang akan didapati oleh orang yang sembahyang.

' Rasullullah saw bersabda, 'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sembahyang yang pertengahan.

Sembahyang Zuhur, pada saat itu nyalanya neraka Jahanam. Orang-orang mukmin yang mengerjakan sembahyang pada ketika itu akan diharamkan ke atasnya wap api neraka Jahanam pada hari Kiamat.'

Sabda Rasullullah saw lagi, 'Manakala sembahyang Asar, adalah saat di mana Nabi Adam a.s. memakan buah khuldi. Orang-orang mukmin yang mengerjakan sembahyang Asar akan diampunkan dosanya seperti bayi yang baru lahir.'

Selepas itu Rasullullah saw membaca ayat yang bermaksud, 'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sekali sembahyang yang pertengahan.

Sembahyang Maghrib itu adalah saat di mana taubat Nabi Adam a.s. diterima. Seorang mukmin yang ikhlas mengerjakan sembahyang Maghrib kemudian meminta sesuatu daripada Allah, maka Allah akan perkenankan.'

Sabda Rasullullah saw, 'Sembahyang Isyak (atamah). Katakan kubur itu adalah sangat gelap dan begitu juga pada hari Kiamat, maka seorang mukmin yang berjalan dalam malam yang gelap untuk pergi menunaikan sembahyang Isyak berjamaah, Allah SWT haramkan dirinya daripada terkena nyala api neraka dan diberikan kepadanya cahaya untuk menyeberangi Titian Sirath.'

Sabda Rasullullah saw seterusnya, 'Sembahyang Subuh pula, seseorang mukmin yang mengerjakan sembahyang Subuh selama 40 hari secara berjamaah, diberikan kepadanya oleh Allah SWT dua kebebasan iaitu:

a) Dibebaskan daripada api neraka.

b) Dibebaskan dari nifaq.

"Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan daripada Rasullullah saw, maka mereka berkata,

'Memang benarlah apa yang kamu katakan itu wahai Muhammad (saw).

Kini katakan pula kepada kami semua, kenapakah Allah SWT mewajibkan puasa 30 hari ke atas umatmu?'

Sabda Rasullullah saw, 'Ketika Nabi Adam memakan buah pohon khuldi yang dilarang, lalu makanan itu tersangkut dalam perut Nabi Adam a.s. selama 30 hari. Kemudian Allah SWT mewajibkan ke atas keturunan Adam a.s. berlapar selama 30 hari. Sementara diizin makan di waktu malam itu adalah sebagai kurnia Allah SWT kepada makhluk-Nya.'

Kata orang Yahudi lagi,'Wahai Muhammad, memang benarlah apa yang kamu katakan itu.

Kini terangkan kepada kami mengenai ganjaran pahala yang diperolehi daripada berpuasa itu.'

Sabda Rasullullah saw, 'Seorang hamba yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan ikhlas kepada Allah SWT, dia akan diberikan oleh Allah SWT 7 perkara: 

a) Akan dicairkan daging haram yang tumbuh dari badannya (daging yang tumbuh daripada makanan yang haram).

b) Rahmat Allah sentiasa dekat dengannya.

c) Diberi oleh Allah sebaik-baik amal.

d) Dijauhkan daripada merasa lapar dan dahaga.

e) Diringankan baginya siksa kubur (siksa yang amat mengerikan).

f) Diberikan cahaya oleh Allah SWT pada hari Kiamat untuk menyeberang Titian Sirath.

g) Allah SWT akan memberinya kemudian di syurga.'

Kata orang Yahudi, 'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad.

Katakan kepada kami kelebihanmu di antara semua para nabi.'

Sabda Rasullullah saw, 'Seorang nabi menggunakan doa mustajabnya untuk membinasakan umatnya, tetapi saya tetap menyimpankan doa saya (untuk saya gunakan memberi syafaat kepada umat saya di hari kiamat).'

Kata orang Yahudi, 'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad.

Kini kami mengakui dengan ucapan Asyhadu Alla illaha illallah, wa annaka Rasulullah (kami percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan engkau utusan Allah).'

Peringatan !!!

"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (Surah Al-Baqarah: ayat 155) "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya." (Surah Al-Baqarah: ayat 286)

Image