Isi Artikel

Takutlah Allah

Jika kepada harimau kita takut, mengapa kepada Allah yang mencipta harimau kita tidak takut. Jikalau kepada ribut dan taufan kita cemas, mengapa kepada Tuhan yang menguasai ribut dan taufan itu kita tidak cemas. Di musim kemarau kita mangharapkan hujan. Kenapa kepada Allah yang menurunkan hujan itu kita tidak mengharap. Kta merasa ngeri mendengar wabak JE telah menular, mengapa kita tidak merasa ngeri dengan Allah yang menciptakan wabak itu. Kita terkejut ketika kilat dan petir sabung menyabung. Kenapa kita tidak terkejut dan gementar kerana letusan kutukan Allah kepada manusia durjana di dalam Al Quran ?  Firman Allah: "Dan biarpun dengan Al Quran itu gunung-gunung itu digerakkan, atau bumi dapat dibelah, atau orang-orang yang mati dapat berbicara. (Mereka tidak akan mempercayai). Urusan seluruhnya kepunyaan Allah." (Ar Ra'd : 31) Manusia sangat takutkan kepada gempa bumi, mengapa manusia tidak takut kepada Allah yang menggoncangkan bumi sehingga terjadi gempa. Manusia takut kepada panas tetapi kenapa manusia tidak takut kepada Allah yang menyediakan azab yang amat panas dan dahsyat. Manusia sering takut kepada sesuatu yang tidak patut ditakuti. Manusia takut kepada hantu sedangkan hantu itu, tahinya pun tidak ada, apalagi tubuhnya, tentu jauh sekali.  Firman Allah : "Jangan kamu takut kepada manusia, takutlah kepada aku" (Al Maidah : 44) Kamu takut akan masa hadapan kamu, takut jadi miskin, takut jadi papa sedangkan hidup kamu belum pasti akan memanjang sampai lusa. Berapa ramai manusia yang merasa hidupnya panjang, tiba-tiba mati. Jadi mengapa kamu tidak takutkan Allah yang menjadikan hidup dan mati. Mati tidak perlu ditakuti kerana mati merupakan salah satu daripada tabi'ie manusia sama seperti manusia dilahirkan. Cuma bezanya manusia lahir keluar dari rahim ibu ke dunia. Manakala mati pula manusia keluar dari alam dunia ke alam akhirat.  Oleh itu janganlah anda takut kerana Allah sentiasa bersama anda di mana sahaja anda berada.  Firman Allah: "Dia bersama kamu dimana sahaja kamu berada." (Al Hadid : 4)  Orang yang beriman tidak takut kepada segala sesuatu melainkan Allah. Hati mereka aman dan tenteram hanya dengan mengingati Allah.  Firman Allah : "Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang." (Ar Ra'd : 28)

 

Tujuan Ibadah Hati

Di dalam kita beribadah, segala adab dan tatasusilanya perlu kita laksanakan untuk mendapat kejernihan jiwa dan keredhoaan Allah. Ibadah yang benar dan tepat akan menlahirkan akhlak yang terpuji (mahmudah). Akhlak yang diredhai akan melahirkan kemesraan dan kasih sayang sesama makhluk serta ketaatan kepada Allah. Inilah peranan umum ibadah. Segala bentuk ibadah , sama ada habluminallah (Hubungan dengan Allah) atau hablumminannas (Hubungan dengan manusia) ada mempunyai peranan. Peranan ibadah ibadah ini boleh dibahagi kepada tiga :  Melahirkan rasa kehambaan  Melahirkan ketaatan  Menunaikan janji di alam roh  Melahirkan Rasa Kehambaan  Antara rasa kehambaan itu ialah rasa ,alu dengan Allah, rasa cinta dan takut kepada Allah. Juga rasa diawasi, menyerah dan harap kepada Allah. Kalau seseorang itu kuat beribadah, tetapi dia rasa riya', sombong dan takabbur, bermakna ibadahnya tidak berperanan. Ibadah yang begini, yang melahirkan rasa ketuanan atau ketuhanan, bukan kehambaan, tidak akan diterima oleh Allah. Diumpamakan seorang hamba yang hendak mengadap raja, tetapi dengan sombong dan bongkak serta mencekak pinggang dia bercakap dan berhadap sembah dihadapan raja, tentunya dia akan dimurkai oleh raja. Kerana itulah di dalam kita beribadah selain rukun dan syaratnya kita jagai, perlulah kita awasi segala adab dan tatasusila kita di dalam beribadah. Walaupun kalau kita lihat, rasa khusyuk di dalam sembahyang tidak termasuk di dalam syarau sah sembahyang, tetapi yang sebenarnya tanpa khusyuk, sembahyang kita dianggap lalai dan diakhirat akan dihumbankan kita ke dalam neraka. Firman Allah : " Dan neraka Wail bagi orang yang bersembahyang. Yang lalai di dalam sembahyangnya." (Al Maun : 4 - 5)  Kerana itulah menjaga adab-adab batin ini sangat diberatkan oleh ulama'. Kerana dari adab itulah akan lahirnya akhlak. Bersepakat ulama sufi mengatakan : "Sesungguhnya yang menjauhkan hamba dari tuhannya itu bukanlah kerana kurangnya ilmu, tetapi kerana kurangnya adab ketika berdepan dengan Tuhan."  Melahirkan Ketaatan  Peringkat ketaatan dan kederhakaan secara ringkasnya boleh dibahagi kepada enam peringkat :  a) Taat Seseorang yang beribadah dengan berbagai bentuk ibadah, melakukan berbagai-bagai kebaikan dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan sesuai dengan ilmu. Kemudian ibadahnya tidak dkenang dan difikir-fikirkan lagi. Apabila amalan baik telah dilupakan, tanpa sedar tidak akan ada riya, ujub dan lain-lain. Bila sudah dilupakan, dia tidak akan rasa apa-apa lagi. Menurut ukuran ilmu, ketaatan yang dilakukan itu sudah tepat. Maka orang yang begini dinamakan orang yang taat. b) Taat di dalam Taat  Seseorang yang beribadah, menunaikan tanggungjawab, sesuai dan tepat dengan ilmu, kemudian merasakan amalannya kurang sempurna hingga menyebabkan dia sentiasa susah hati selepas menunaikan ibadah dan tanggungjawabnya itu. Dengan ertikata yang lain, dia beribadah dengan rasa yang berdosa dan dirasakan ibadah yang dilakukan itu belum sempurna, takut-takut kalau Allah tidak terima, walau pun disudut ilmu, ibadahnya tidak sedikit pun kurang dan cacat.  Dia merasakan ibadahnya itu adalah milik Allah. Bila-bila Allah boleh ambil kembali nikmat yang Allah berikan kepadanya. Dia terasa dirinya benar-benar hamba, tidak layak baginya segala sesuatu melainkan dengan izin Allah. Apabila terlalai sedikit dari mengingati Allah, dirasakan terlalu rugi sehingga ada di kalangan mereka (ahli sufi) yang berkata : "Segala sesuatu yang hilang darimu ada gantinya, tetapi jika Allah hilang di hatimu, maka ia tidak ada gantinya." Inilah sebenar-benar ketaatan. Sentiasa nampak Allah dengan matahati.  Sabda Rasulullah s.a.w: " Kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya, jika kamu tidak melihatNya, Dia melihat kamu." (HR Bukhari dan Muslim)  c) Derhaka di dalam Taat Orang yang beribadah, menunaikan tanggungjawab kemudian merasa ada kelebihan, rasa tenang sehingga melahirkan rasa ujub dan riya, atau sudah tidak ada rasa takut dengan Allah di dalam hatinya, maka dia sudah dianggap derhaka di dalam taat. Lahirnya nampak taat dengan ibadah tetapi batinnya rosak dengan berbagai-bagai penyakit hati dan mazmumah.. Di sinilah mata dan akal selalu tertipu.. Hanya pandangan hati (basirah) sahaja yang mampu untuk menyuluh sama ada sesorang itu benar-benar taat atau pun derhaka di dalam taat. Orang yang begini, makin banyak ibadahnya, makin menebal sombongnya, riyanya, ujubnya dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Makin banyak ibadah, makin besar derhakanya. Orang yang derhaka di dalam taat ini, payah untuk bertaubat kerana dia rasa dirinya tidak berdosa. Ilmu, akal dan matanya menipu sehingga dia rasakan dia adalah orang yang taat. Apatah lagi, orang yang lain juga mengiyakan bahawa dia adalah seorang yang taat kerana ibadahnya dapat dilihat dengan mata dan diyakini dengan ilmu dan akal.  Firman Allah : "Adapun orang-orang yang enggan dan menyombongkan diri, maka Allah akan menyiksa mereka dengan siksaan yang pedih." (An Nisa': 173)  d) Derhaka  Orang yang berbuat maksiat, lalu dilupakannya begitu sahaja. Dia tidak bertaubat diatas dosa-dosanya itu. Dirasakan derhaka itu adalah satu kebaikan bagi dirinya. Inilah manusia yang telah disesatkan oleh nafsu dan syaitan.  Firman Allah : " Tidakkah kamu melihat orang yang mengambil nafsu sebagai Tuhan." ( Al Jaatsiyah : 23 )  e) Derhaka di dalam derhaka.  Golongan ini sangat jahat, kerana kejahatannya sudah berlapis-lapis. Mereka ini berbuat maksiat kemudian berbangga pula dengan maksiat yang dilakukan. Jadi kederhakaan lahir disambung dengan kederhakaan batin. Firman Allah : " Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan penyakit mereka. Dan bagi mereka itu siksa yang pedih disebabkan apa yang mereka dustai" ( Al Baqarah : 10 ) f) Taat di dalam derhaka  Orang yang pada lahirnya nampak derhaka tetapi di dalamnya menderita kerana hati tidak mampu melawan nafsu. Dia sentiasa merasa keluh kesah dengan dosa dan merintih memohon keampunan tetapi apabila berdepan dengan maksiat, dia akan jatuh terjerumus kerana imannya sangat tipis dan tidak mempu menentang nafsunya. Orang yang sedemikian, kedudukannya lebih baik dari orang yang derhaka, derhaka di dalam derhaka dan taat di dalam derhaka. Ini adalah kerana dia merasakan dirinya berdosa dan sangat hina disisi Tuhan. Hati tidak suka dengan dosa. Hidupnya sentiasa tidak gembira.  Mereka ini merasakan Allah sentiasa mengetahu dosa-dosa mereka walaupun manusia tidak tahu. Mereka inilah yang dikatakan taat di dalam derhaka kerana mereka mengekalkan rasa hamba. Umpamanya seorang hamba yang tidak selesai kerjanya, tetapi sentiasa memohon ampun dan merasa hina dengan tuannya, maka akhirnya dia akan diampunkan. Kenapa ramai orang yang beribadah tetapi masih tidak berubah perangan dan akhlaknya ?, Ini kerana ibadah yang dilakukan itu bukan lahir dari rasa kehambaan. Sebaliknya ibadah itu melahirkan rasa ketuanan yang akan menzahirkan kesombongan walaupun kadang-kadang orang yang beribadah itu ilmunya hebat dan mungkin bertaraf ulama, tetapi semakin dia beribadah, semakin jauh dia dari Allah.  Menunaikan Janji Di alam Roh  Di dalam Al Quran Allah berfirman: "(Allah bertanya kepada ruh) Bukankah Aku ini Tuhan kamu ? Maka mereka (ruh-ruh itu) berkata: Sesungguhnya, Kami menyaksikan engkaulah Tuhan Kami." (Al A'raf:172)  Sewaktu di alam ruh lagi Allah telah bertanya kepada manusia tentang kebesaran dan kekuasaan Allah. Maka manusia berjanji dan mengaku bahawa Allahlah Tuhan sekalian alam. Maka apabila dizahirkan manusia itu ke bumi, maka diantara peranan yang perlu dilakukan oleh manusia itu ialah ibadah, sesuai dengan janji manusia ketika dialam ruh.  Firman Allah : "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu." (Ad Dzariyat : 56)  Apabila terlaksana ketiga-tiga peranan ini, maka barulah seseorang itu dikatakan beribadah. Tetapi jika sebaliknya, orang itu tetap dianggap derhaka walaupun amalnya banyak. Bagaimanapun bukan mudah untuk mengukur ibadah yang kita lakukan itu tepat atau tidak. Banyak sembahyang, banyak bersedekah, banyak menunaikan umrah dan haji, belum menjamin taatnya kita dengan Allah, jika rasa kehambaan yang menjadi syarat di dalam ibadah itu tidak kita bangunkan. Untuk membangunkan rasa kehambaan itu perlukan mujahadah yang berterusan Nafsu harus diperangi kerana hati itu ibarat wadah. Maka andaikata hati itu tidak dibersihkan daripada nafsu yang tecela, mana mungkin Nur hidayah akan masuk menyinari hati.  Firman Allah : "Tidak dijadikan didalam hati itu dua hati (kecintaan)."  Oleh itu, usahakanlah rasa kehambaan di dalam beribadah. Agar kita tergolong di dalam orang-orang yang taat dan mendapat keredhaanNya.                        

Wawasan Remaja Bermula Di Mana?

 

Di dalam suasana kemajuan yang berlaku dengan begitu pesat, terasa ada semacam gelombang kesedaran masyarakat untuk kembali menghayati kehidupan beragama. Kalau dulu orang-orang yang hendak mengamalkan agama dipandang serong kerana mengamalkan Islam, para pelajar yang hendak kepada Islam ditekan, wanita yang memakai tudung menutup aurat dikatakan ekstreem, namun hal itu seoalah-olah sudah sebati dengan masyarakat kini. Hatta buat masa ini, permaisuri Agong pun sudah tutup aurat.

Kalau dulu para remaja berbicara dengan nada rock, pakai gua lu saja, kurang ajar, cakap slang Inggeris dan sebagainya, sekarang ianya dipandang sebagai satu "kemiskinan akhlak" dan tidak bermoral sehingga artis pun kalau cakap slang sikit, orang sudah komen. Ini menunjukkan petanda yang masyarakat sudah matang berdepan dengan krisis keruntuhan moral. Dan jelas perkembangan itu sudah cukup serasi dengan perkembangan masa kini.

Permintaan untuk mengadakan aktiviti agama sudah meningkat. Di television, program-progran keagamaan mendapat sambutan. Hal ini memang tidak terbayang ketika tahun-tahun 70 an dan 80 an. Tetapi ketika menempuh tahun-tahun kebelakangan ini, segala sudah berubah sedikit demi sedikit. Jadi tak kena dikala masyarakat rata-rata telah bercakap tentang iman, kuliah agama, qiamulail dan program-program agama, tapi pada waktu yang sama masih ada remaja yang hendak lepak, dating dan menghabiskan masa dengan hal-hal yang tidak bermenafaat. Sememangnya remaja itu tidak peka dan ketinggalan zaman.

Jadi para remaja kena pandai suluh. Jangan suluh satu arah sahaja. Hidup kita ini berputar-putar. Kalau silap suluh, kita mungkin tertipu. Orang sudah jauh melangkah, kita baru hendak mula. Orang sudah jumpa mahligai, kita baru hendak meraba. Tak ke parah begitu ?. Walaubagaimana pun jika remaja mempunyai keyakinan diri dan kesedaran untuk berubah, punyai visi dan panduan yang jelas, insya Allah remaja akan melangkah ke arah jati diri dan melengkapkan diri ke arah menghadapi cabaran alaf baru dengan kekuatan Iman dan Islam. Semuanya itu bermula dengan kepekaan terhadap apa yang berlaku sekarang. Masyarakat sekarang, selain menilai seseorang itu melalui pencapaian akedemiknya, nilai akhlak dan penghayatan Islam menjadi sesuatu yang penting di dalam kehidupan. Tidak cukup seseorang itu sekadar lulusan universiti tetapi punyai akhlak dan moral yang rendah.

Jadi para remaja kena peka. Perlu pandai menilai kehendak masyarakat. Apalagi kehendak masyarakat itu adalah satu perintah Allah yang wajib kita miliki iaitu menjadikan akhlak mulia sebagai peribadi diri. Janganlah terlalu ghairah untuk mengikuti masyarakat barat yang telah hancur akhlaknya. Bukan sahaja hidup mereka sudah tidak ketentuan, malah terkeluar dari batas-batas rasional manusia. Biarkanlah mereka dengan cara mereka dan kita dengan cara kita. Buat apa nak ikut orang. Kita yakin kita boleh. Rasulullah s.a.w pernah bersabda : "Barangsiapa yang menyerupai sesuatu golongan maka ia akan termasuk ke dalam golongan tersebut."

Orang-orang kafir tidak pernah jemu untuk menghancurkan umat Islam. Yahudi dan musuh-musuh Islam tidak pernah duduk diam untuk menjajah kita. Kalau tidak boleh dijajah dengan senjata dan kekuatan, mereka jajah dengan pemikiran, jajah dengan kebudayaan, jajah dengan ekonomi dan sebagainya. Kita yang tidak sedar ini masuk ke perangkapnya senang-senang. Umpama menyerahkan leher secara rela untuk di sembelih. Islam punya etika hidup yang tersendiri, punya cara berpakaian yang tersendiri, punya kebudayaan yang tersendiri, punya cara hidup yang tersendiri. Buat apa hendak ikut orang. Lebih-lebih lagi orang yang hendak kita ikuti itu sememangnya hendak menghancurkan kita dan menjerumuskan kita ke lembah kehinaan. Tiada apa yang boleh dibanggakan. Semua yang kita lakukan itu bukan sahaja tidak ada nilainya di sisi masyarakat, bahkan di sisi Allah mendapat kutukan.

Firman Allah : "Apakah kamu tidak perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsunya sebagai tuhan, lalu ia disesatkan oleh Allah." ( Al Jatsiyah : 23 )

Lihatlah kemungkaran yang sedang berlaku di mana-mana di dunia pada hari ini. Ya, bila sebut remaja barat, orang lebih nampak blues, rock, hidup bebas, tidak bermoral, parti bebas, parti seks, tinggal ibu ayah, kucar-kacir dan serba serbi yang mengancam keamanan dan ketenteraman masyarakat. Inikah yang dikatakan identiti yang mahu kita ikuti? Entahlah kalau kita masih tidak mahu menerima realiti.

Pernahkah kita berbincang dengan kawan-kawan, tanyakan pada diri kita kemanakah kita hendak pergi membawa haluan hidup kita. Sudahkah kita sedar dari kehidupan remaja yang penuh dengan mimpi kepada kehidupan masyarakat yang penuh dengan realiti dan cabaran. Belajar untuk sensitif dan meletakkan kebenaran kepada tempatnya. Kadangklala benda itu baik, benar tetapi kerana sensitif kita dengan perasaan, maka hilanglah baiknya. Lebih-lebih lagi kalau kawan-kawan yang sealiran dengan kejahatan itu mempengaruhi kita, segalanya akan jadi rosak. Yang baik jadi jahat dan yang jahat jadi baik. Rosaklah sistem hidup kita.

Kerana itu sensitif itu patut jadi pakaian kita. Kita sensitif dengan akal, jiwa dan perbuatan kita. Kita kawal perasaan, emosi kita supaya sealiran dengan akal dan jiwa. Dan akal dan jiwa itu perlu dipimpin dengan agama. Memang kena pada tempatnya, remaja berlumba-lumba untuk belajar agama, berlumba-lumba untuk ikuti kursus-kursus kemahiran dan lain-lain hal yang bermenafaat. Namun perlu diingat, mulaikan dengan niat dan keyakinan yang baik, akhlak yang terpuji menjadi pakaian, Iman menjadi panduan.

Jadi kalau perlu dan wajar, maka identiti inilah yang perlu kita garapkan. Supaya nanti derap langkah kita seirama dan senada dengan perkembangan dunia kita hari ini. Jadi terpulanglah pada kita untuk memulakannya. Pilihlah hendak hidup hina dengan kehidupan dunia dengan nafsu yang menipu daya atau hidup mulia dengan Islam yang tentunya membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Image