Rindu Rintihan Kawan Ayah Ibu
Narration Akrab Persahabatan Impian Kasih Tuhan yang Esa
Jendela Hati Cinta Abadi Kau Bagai Cahaya Cinta dan Benci
Inikah Ertinya Cinta Ke Desa  Kasih Sayang  Kita Sama 
Untukmu Teman Teruskan Perjuangan  Selamat Berjuang Epilog Seorang Hamba
Kenangan Semalam Hadirlah KasihMu Puteriku Sayang  Persahabatan
Kedamaian Lagu Kedamaian Permata Ayah Bonda

 

Rindu

Rindu itu adalah anugerah dari Allah.

Insan yang berhati nurani punyai rasa Rindu.

Rindu pada kedamaian, Rindu pada ketenangan,

Rindukan kesejahteraan dan juga kebahagiaan.

Orang-orang bertakwa Rindu akan kebenaran,

kejujuran dan keikhlasan dan keredhaan Tuhannya.

Orang mukmin meRindukan anak-anak yang soleh,

isteri-isteri yang solehah, keluarga yang bahagia.

Para pencinta kebenaran Rindukan suasana

masyarakat yang terjalin aman dan sejahtera,

meRindukan tertegaknya kalimah Allah dimuka bumi

dan dalam meRindukan keampunan Tuhannya.

Dan seluruh ummat itu meRindukan cahaya yang

menyinari kehidupan.

Rindu kepada Tuhan.

 

Rintihan

Biar berlinangan air mata, ku takkan hentikannya.

Biarkan ia menyembuh luka, hilanglah rasa duka.

Tidak ku termampu merentasi liku-liku.

Sungguh ku tak termampu menghadapi semua itu.

Sungguh ku tak upaya.

Jangan dibiarkan jerih perih kehidupan,

meleraikan iman….kan hancur semuanya.

Walaupun menitis air mata darah,

tak bisa merubah segalanya.

Melainkan taubat nasuha, moga diterima….

Namun ku percaya masih ada kesudahannya.

Kerana Allah itu Maha Kaya Maha Mendengar

Rintihan hamba-hambanya.

Kerana sesiapa bertakwa kepadanya,

pasti akan ada jalan keluarnya.

Rezeki yang tidak disangka-sangka,

cukup Allah baginya berkuasa segala-galanya.

Terima seadanya.

Kawan 

Kawan mara kehadapan,

maju bina kekuatan.

Hidup mesti tempuh cabaran,

itulah resam kehidupan.

Dunia perlukan pertolongan,

dari generasi sepertimu.

Binalah sifat kekeluargaan,

untuk mendapat keredhaan Tuhan yang Esa.

Setiap langkahmu menjadi ikutan,

untuk generasi sepanjang zaman.

Dunia ini penuh dugaan,

tempuhilah walau seorang.

Biar ribut mahupun taufan,

Quran sunnah jadi bekalan.

Kawan berazam dan berjanjilah,

akan kau kotakan sabda junjungan.

Peliharalah peribadimu,

peliharalah ahli keluargamu.

Dunia ini hanya sementara,

beribadahlah sebagai bekalan

untuk menuju hari kemudian.

Akhirat jua kekal selamanya.

Ayah Ibu 

Ayah Ibu ampunilah dosa kami semua.

Ayah Ibu doakan kami dunia dan akhirat.

Dari kecil sehingga dewasa kau menyayang

dan sering memanja.

 

Menanam iman dan menyemaikan taqwa,

mengajar kami muliakan agama.

Ayah Ibu berkorban jiwa berkorban harta.

Ayah Ibu semoga Allah tinggikan darjatmu.

Sebelum nyawa meninggalkan jasad,

Sebelum suria terbitnya dibarat,

kau amanahkan al-Quran dan sunnah,

jadi panduan di akhir zaman.

 

Belaianmu masih ku terasa,

ya Allah tempatkan meraka di syurga.

Kami cintakan Allah, kami kasihkan Rasul,

Kami sayangkan ayah kami sayangi ibu.

Narration

Bila dua diri mencintai Ilahi

Bergabunglah jiwa bersatulah hati

Dua jiwa satu cinta…

Dua jasad satu matlamat…

Bila cinta kerana Allah

Berpisahnya tidak gelisah…

Bila rindunya kerana yang Satu

Bertemunya pasti tidak jemu!

Ukhuwah itu indah…

Bila bertemu dan berpish kerana Allah.

Akrab Persahabatan

Sesegar hijau daunan, begitulah kita diibaratkan.

Tiada siapa yang bisa memisahkan kita

antara kita semua.

 

Seerat simpulan yang tidak terbuka

Seteguh langit tinggi menongkah dunia

Kita mengharung badai atas nama kasih insan bersaudara.

 

Buang yang keruh ambil yang jernih.

Dendam hasad dengki mestilah dijauhi.

Ukhuwah dan mahabbah kita jalinkan

Bina keharmonian…

Impian Kasih 

Kasih dengarlah hatiku berbicara,

Kasih izinkan diriku bertanya,

Bisakah cinta bersemi,

Mengundang restu Ilahi,

Adakah bahagia yang diimpi,

Menjadi satu realiti.

 

Kasih ku sedari kekurangan diri,

Kasih ku insafi kelemahan ini,

Ku ingin sunting dirimu,

Menjadi permaisuri hatiku,

Sebagai isteri yang berbudi,

Kebanggaan para suami.

 

Wanita hiasan dunia,

Seindah hiasan adalah wanita solehah,

Yang akan membahagiakan syurga,

Di dalam rumahtangga.

 

Hanya itu yang ku inginkan,

Dari insan yang amat ku sayang,

Damaikanlah resah hatiku,

Aku rindu kasih dan sayang,

Terimalah seadanya,

Akulah hiasan pelamin hidupmu.

 

Andainya tiada jodoh,

Untuk ke singgahsana,

Ku pasrahkan segalanya,

Kerna takdir yang akan menentukan,

Impian Kasih.

Tuhan yang Esa

 Di dalam cahayaMu Tuhan,

Ku harap pertunjukMu,

Di dalam sinaran purnama

ku mohon keampunan,

Moga terlerai segala dosa-dosaku,

Moga ku jadi hamba yang bersyukur.

 

Tuhan yang Esa udara yang ku hirup,

Terasa nikmatMu yang menggunung,

Tidak terhitung harga nilainya,

Oh Tuhan kau Pengasih Maha Penyayang.

 

Oh Tuhan di depan ujian,

Terasa diri ini memerlukan Mu,

Ku harap Kau lindungi

hamba yang lemah ini,

Kau Tuhan Maha Kuasa

Maha Pengampun.

Jendela Hati 

Aku ingin hidup secerah mentari,

Yang menyinar di taman hatiku.

Aku ingin seriang kicauan burung,

Yang terdengar di jendela kehidupan.

 

Aku ingin segala-galanya damai,

Penuh mesra membuah ceria.

Aku ingin menghapus duka dan lara,

Melerai rindu di dalam dada.

 

Sedamai pantai yang memutih,

Sebersih titisan embunan pagi,

Dan ukhuwah kini pasti berputik,

Menghiasi taman kasih yang harmoni.

 

Seharum kasturi, seindah pelangi,

Segalanya bermula di hati.

Cinta Abadi

Cinta pada bunga kan layu akhirnya,

Cinta pada harta kelak kan musnah binasa akhirnya.

 

Cinta pada manusia tak kekal selamanya,

Cinta Ilahi tulus suci dan abadi.

Harum mewangi.

Kau Bagai Cahaya

 Sedingin embunan dedaun kehijauan,

Sesegar ingatan kenangan kisah silam,

Kita seiringan bersatu dan berjuang,

Meniti titian persahabatan.

Kau hadir bawa cahaya

Terangi hatiku teman,

Saling memerlukan dan mengharapkan

 

Tangis gembira disaat bahagia,

Moga kan kekal menuju ke syurga,

Kerana Tuhan kita ditemukan,

Andai terpisah itu ketentuan.

Sengketa dan kesilapan,

Itulah fitrah insan.

Kata dan teguran,

Itulah pedoman.

Cinta dan Benci

 Cintailah insan kau kasihi dengan sekadarnya,

Kerana kelak engkau mungkin akan membencinya pula.

Cintailah sekadarnya.

 

Bencilah manusia kau musuhi dengan seadanya,

Kerana kelak engkau mungkin akan mencintainya pula.

Bencilah seadanya.

Inikah Ertinya Cinta 

Inikah ertinya cinta,

Hadir tanpa dipinta,

Hati ingin menerima,

Tapi dibatasi cita.

 

Sinar wajahnya bercahaya,

Diriku terpesona.

Namun aku masih mencari,

Cinta Yang Esa.

Cintailah, cinta di hati

Kerana itulah cinta yang hakiki.

 

Oh Tuhanku mendamba

Cinta dan rahmat dariMu.

Ku pohon cinta insan yang mencintaiMu.

Bimbinglah daku mengenali erti cinta suci

Moga dapatku kecapi kasih yang sejati.

Ke Desa

Sesekali kembali ke desa

Desir angin menyapa kita

Selang kicauan beburung

Gelak tawa anak-anak…

Mengingatkan kembali kedamaian

Dari pagi dini hari

Petang mentari pun menyinar

Nostalgia musim menuai padi

Padi menguning luas melaut

 

Kembalilah…

Kembalilah orang muda

Hijau ladang berkat usaha

Bersama kita berusaha

Moga berjaya

Sekembali kita ke desa

Ubat rindu si anak bangsa

Duduk sama hai orang kampung

Atuk, nenek, pak long dan mak long…

Keluarga bertambah mesra kasih bersemi.

Kasih Sayang

Kasih sayang itu titi,

Kasih sayang penghubung hati.

Kasih sayang itu tali,

Kasih sayang pengikat diri.

Dari kasih timbul simpati.

Dengan sayang ada persaudaraan.

Kerana kasih ingin berbakti.

Saling sayang maaf memaafkan.

Kasih sayang itu baja.

Kasih sayang penyubur jiwa.

Kasih sayang itu penawar.

Penguat cinta penghapus duka.

Kasih manusia sering bermusim

Sayang manusia tiada abadi.

Kasih Tuhan tiada bertepi.

Sayang Tuhan janjiNya pasti.

Tanpa kasih sayang Tuhan

Tiada simpati tiada persaudaraan.

Tanpa kasih sayang Tuhan

Tiada bakti tiada kemaafan.

Kasih sayang pada semua.

Kasih sayang sesama kita.

Kasih sayang oh dunia.

Moga selamat di akhirat sana.

Kita Sama

Miskin kaya susah senang,

Ada di mana-mana.

Orang desa orang kota,

Kita semua sama.

Biar rambut sama hitam,

Tapi hati kita berbeza.

Walau muda walau tua,

Yang beza hanyalah takwa.

Tiada ada antara kita,

Yang kekal selamanya.

Semua yang kita nikmati,

Hanyalah sementara.

Yang cantik akan pudar,

Yang muda akan tua.

Harta-harta kan ditinggalkan.

Yang dibawa hanya amalan.

Walau di dunia kita senang,

Tapi di akhirat belum tentu.

Di dunia ini tempat beramal,

Untuk selamat di akhirat.

Untukmu Teman

 Di sini… kita pernah bertemu,

mencari warna seindah pelangi.

Ketika kau menghulurkan tangan mu,

bawa ku ke daerah yang baru,

dan hidupku kini ceria.

 

Kini dengarkanlah dendangan lagu,

tanda ingatan ku kepada mu teman.

Agar ikatan ukhuwah

kan bersimpul padu untuk selamanya.

 

Kenangan bersama mu,

takkan ku lupa walau badai datang melanda,

walau becerai jasad dan nyawa.

 

Mengapa kita ditemukan

dan akhirnya kita dipisahkan.

Mungkinkah menguji kesetiaan,

kejujuran dan kemanisan iman.

Tuhan berikan daku kekuatan.

Mungkinkah kita terlupa,

tuhan ada janjinya.

Bertemu berpisah kita,

ada rahmat dan kasih Nya.

Andai ini ujian terangilah

kamar kesabaran.

Pergilah gelita hadirlah cahaya.

Teruskan Perjuangan

Sekian lama kita bersama.

Kasih bercinta sesama kita.

Segala dugaan yang menimpa kita.

Iman dan takwa kuatkan kita.

 

Tiba masanya perpisahan kita.

Kedatangannya mendebarkan jiwa.

Kita hanya mampu untuk merancang,

tetapi Allah yang menentukan.

 

Teruskan perjuangan dan terus berkorban,

demi menegakkan Islam.

 

Manisnya ketika berjuang bersama.

Suka dan duka merasa bersama.

Kini semuanya tinggal kenangan.

tiada mungkin akan berulang.

Terpisah di mata di hati jangan.

Moga perpisahan diredhai Tuhan.

Selamat Berjuang

Malam siang berlalu.

Gerhana kesayuan tiada berkesudahan.

Detik masa berlalu,

Tiada berhenti, oh syahdunya.

Sejenak ku terkenang hakikat perjuangan,

penuh onak dan cabaran.

Bersama teman-teman

harungi kehidupan, oh indahnya.

 

Beralas sayang di dalam jiwa,

untuk melangkah meninggalkan semua.

Kasih dan cinta yang tebina, biarkan selamanya.

 

Selamat berjuang sahabatku.

Semoga Allah berkati mu.

Kenangan indah bersama mu,

takkan ku biar ia berlalu.

 

Berjuanglah hingga ke akhirnya.

Dan ingatlah semua ikrar kita.

Hati ini sayu mengenangkan,

Sengsara di dalam perjuangan.

 

Jiwaku merana dan meronta,

mengharapkan kedamaian

dan jua ketenangan.

 

Tetapi ku akur pada hakikat.

Suka dan duka dalam perjuangan,

perlu ketabahan dan kekuatan,

keteguhan hati berlandaskan iman.

Epilog Seorang Hamba

Bila mentari bersinar terang,

terpancar cahaya suria.

Memuji keagungan Tuhan pencipta,

menginsafi kedaifan.

 

Bila mentari menghilang diri,

terbit pula kenangan lalu.

Tertunduk ku pasrah seribu menyepi,

Hanyut dalam arus berliku.

 

Oh Tuhan ku yang Esa.

Ampunilah hambaMu.

Berikanlah ku kekuatan,

mengharungi mehna Mu.

 

Ku pohon restu, hidayah dari Mu.

Rahmatilah hidupku.

Terimalah taubat ku,

penghapus segala dosa.

 

Deruan ombak menghemas pantai,

bergelora dipukul badai.

Himpunan buih ditepian,

ia tidak berkekalan.

Begitulah hidup manusia.

Kenangan Semalam

Kisah suka duka kenangan semalam,

masih terukir indah di ingatan.

Teguh terpahat di hati nurani,

masih jelas tebayang difikiran,

persahabatan yang lahir dari kasih sayang.

 

Segala rintangan kita kongsi bersama,

Walau susah kita tempuhi jua.

Tak pernah ada rasa bermusuhan

di kalangan kita.

Itulah sifat kasih mu duhai teman-teman.

 

Sukar rasa untuk mencari teman,

yang berhati mulia penuh keikhlasan.

Benarlah kata pujangga,

teman ketawa boleh dicari,

teman menangis keseorangan diri.

 

Kasih murni hubungan insan.

Kasih suci jalinan iman.

Teguhkan sebuah persahabatan

yang lahir dari cinta kasih padaMu Tuhan.

Hadirlah KasihMu

Dingin malam ku menangis sepi,

Derita hati yang melanda diri.

Kerana dosa yang menyelimuti ku,

Ku pinta dariMu, kasih yang sejati.

 

Dimalam sepi ini,

ku lukis lagu rindu.

Menanti kasihMu hadir dalam jiwaku.

Oh hadirlah cintaMu dalam hati nurani.

Pimpinlah diriku dalam redhaMu.

 

Dengarlah rintihan hambaMu ini,

Ku pohon restuMu dan ampunan dariMu.

 

Oh Tuhan dengarlah rayuan hatiku ini.

Ku sujud padaMu tanda kasih sayang ku.

Hadir…hadirlah cintaMu di hatiku

Hadir…hadirlah kasihMu di jiwaku.

Puteriku Sayang

Aduhai putriku sayang.

Lembutmu tak bererti,

kau mudah dijual beli,

Kau mampu menyangi lelaki dalam berbakti.

 

Lembut bukan hiasan,

bukan jua kebanggaan.

Tapi kau sayap kiri pada suami yang sejati.

Disebalik bersih wajah mu,

disebalik tabir diri mu,

Ada rahsia agung yang tersembunyi dalam diri.

Itulah sekeping hati yang takut pada Ilahi.

Bepegang pada janji, mengabdikan diri.

 

Aduhai putriku sayang.

Malumu mahkota yang tidak

perlukan singgahsana.

Tetapi ia berkuasa menjaga diri dan nama.

Tiada siapa yang akan boleh merampasnya,

melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri.

 

Ketegasan mu umpama benteng negara dan agama.

dari dirobohkan dan jua dari dibinasakannya.

Wahai putriku sayang,

kau bunga terpelihara.

Mahligai syurga itulah tempatnya.

Persahabatan

Kau bagaikan tebing,

seringkali dipukul badai.

Ku rela menjadi aur.

Kita saling memerlukan.

 

Susah senang kita hadapi

demi cita dan perjuangan.

Rintangan yang menghalang kita

tempuh dengan kesabaran.

 

Mari kita bersatu

kukuhkan persahabatan.

Untuk masa hadapan

yang lebih bercahaya.

 

Kita insan biasa,

penuh dengan kekurangan.

Teguran dan peringatan,

mengukuhkan persahabatan.

 

Rahmat dan kasih sayang

Allah yang Maha Esa.

Itulah yang diharapkan

untukku kecapi kejayaan.

Kedamaian

Damaikan perasaan,

lupakan segala kedukaan.

Leraikan sengketa,

yang melanda diantara kita.

Usahlah dikenang,

segala kedukaan lama.

 

Biarkan ianya terlerai dari hati…oh Tuhan.

Jangan diulang kesilapan lama,

bersama kita pastikannya.

Kerana orang beriman tidak melakukan

kesilapan berulang kali.

 

Lihatlah hari esok,

yang bakal kita hadapi bersama.

Semoga ia menjanjikan,

ketenangan yang kita cari.

 

Ku tahu kita merindukan,

Ku tahu kita mengidamkan,

ketenangan dan kedamaian.

Lagu Kedamaian

Sahabat,

Duniaku kini tiada ceria,

hilang entah kemana.

Detik-detik yang ku lalui penuh duri.

Bilakah segalanya akan berakhir.

Kedamaian kan muncul kembali.

Mengapa tangisan itu masih terdengar lagi.

Adakah tiada siapa peduli.

 

Sahabatku,

Bersabarlah menempuh ujian Tuhan.

Natijah kealpaan.

Kepahitan…yang kau lalui pasti berakhir,

kedamaian kan muncul kembali.

 

Tangisan itu masih terdengar lagi,

tiada siapa peduli.

Dimana nilai kemanusiaan,

sebagai hamba tuhan.

 

Hadirlah kedamaian kami memerlukan.

Di bumi yang telah gersang,

tumbuh pohon nan subur.

Permata Ayah Bonda

Mewangi kuntuman bahagia,

Di halaman ayah serta bonda.

Menatang selaut cahaya,

Melerai resah dan gundah di jiwa.

 

Segunung impian dicita,

Selangit harapan didamba.

Dibelai dimanja mesra

Kaulah racun kaulah penawar.

Senyuman dan tangisan mu,

Pengubat duka dan lara.

 

Engkau…umpama sebutir permata.

Diperlubukkan kasihnya bersinar bercahaya,

Hiasi rumah tangga.

Engkau…harapan seisi keluarga.

Panjatkan doa dan air mata,

Yang pasrah kepada yang Esa

 

Kepada mu ku curah,

Kasih sayang dan pengorbanan,

Agar terus gemilang

 

Dididik diasuh tiap masa,

Diajarkan ilmu yang berguna,

Mengenal Allah dan Rasul,

Menyemai, menyubur iman di dada.

 

Dilayu segala kekerasan,

Dilentur dengan kelembutan.

Dititip sebuntai madah,

Hidup mu mula dan berakhir,

Menyusul fitrah dan sunnah,

Pengnoktah dipenghujungnya.

 

Tiada yang lebih membahagiakan,

Melihat diri mu kian membesar dewasa,

Didalam sejahtera.

 

Usah terpesona pujukan dunia,

Yang hanya menyilau pandangan,

Memukau dengan keindahannya,

 

Nasihat ayah bonda,

Agar engkau lebih bersedia,

Untuk menghadapinya.

 

Bersemi kelopak kasih sayang,

Dipersada cinta yang sejati.

Titisan susu ibunda,

Menyegar dan menghapuskan dahaga.

 

Renjisan keringat dari ayahanda,

Menyubur pohon kehidupan.

Tuai yang sebidang tanah,

Buat mu doa dan harapan.

Jadilah insan yang mulia,

Pembela dihari tua.

 

Waktu bisa merubah segalanya.

Dewasanya dalam rahmat

dan kasih Ilahi.

Ke dahi pancaroba.

 

Andai langkah mu tersasar kesimpangan,

Pulanglah ke laman ayah bonda,

Kembali menghuni di tamannya.

 

Bersamalah semula,

Menghirup embunan kasih sayang,

Sedingin air mata bonda.

Engkaulah permata Ayah Bonda.

Image