|
Kandungan |
YOSM TINGKAT PENDIDIKAN KAUM SIAM KANGAR, Ahad - Yayasan Orang-Orang Siam Malaysia (YOSM) memberi tumpuan
ke arah meningkatkan tahap pendidikan di kalangan penduduk keturunan Siam di
negara ini. Pengerusinya, Datuk Charern Intachat, berkata langkah itu sebahagian
usaha mengangkat martabat serta membolehkan rakyat keturunan Siam di negara ini
bersaing dengan kaum lain. Kita memandang soal pendidikan sebagai penting bagi merealisasikan usaha
meletakkan kaum keturunan Siam setanding dengan rakyat Melayu, China dan India
serta lainnya. Malah, kita percaya tanpa pendidikan masyarakat keturunan Siam tidak
akan berdaya bersaing dan seterusnya ketinggalan daripada arus pembangunan dan
kemajuan negara, katanya. Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Tahunan
Perwakilan kali 1 Tahun 2000 Persatuan Siam Malaysia (PSM) oleh Menteri Besar,
Datuk Seri Shahidan Kassim di Dewan Residensi, Jalan Kolam, di sini, hari ini. Setiausaha Kerajaan Negeri, Abdul Latib Omar mewakili Datuk Seri
Shahidan. Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Siew Chun a/p Eam yang juga Yang
Dipertua Persatuan Siam Malaysia cawangan Perlis, turut hadir. Charern berkata, terdapat lebih 60,000 penduduk keturunan Siam di negara
ini ketika ini dengan sebahagian besarnya di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu,
Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Bagaimanapun, katanya, sebahagian kecil sahaja daripada jumlah itu iaitu
kira-kira lima peratus atau 3,000 orang, mendaftar sebagai ahli persatuan
setakat ini. Datuk Charern yang juga Ahli Dewan Negara, berkata bagi menjayakan
matlamat itu, Yayasan berkenaan memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak
khususnya untuk menyediakan sumber kewangan mantap. Justeru itu, beliau mengalu-alukan kalangan korporat, orang perseorangan dan dermawan di negara ini, untuk tampil membuat sumbangan ikhlas kepada yayasan itu. Sumber: Berita Harian, March 27, 2000. |
|
![]()
|