|
Kandungan |
YAYASAN ORANG-ORANG SIAM DITUBUHKAN ALOR SETAR, 17 Nov (Bernama) -- Persatuan Siam Malaysia (PSM) menubuhkan
Yayasan Orang-orang Siam Malaysia bagi menjaga kepentingan masyarakat itu yang
merupakan golongan minoriti di negara ini. Yayasan itu dilancarkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik
di sini malam tadi. Terdapat kira-kira 60,000 orang keturunan Siam di negara ini yang
kebanyakkannya tinggal di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pulau
Pinang dan Kuala Lumpur. Presiden PSM Senator Datuk Charern Intachat berkata yayasan itu kini
mempunyai dana sebanyak RM179,000 hasil sumbangan orang ramai dan akan
berperanan menyatupadukan masyarakat Siam di negara ini. Selain membantu pelajar dalam bidang pendidikan, beliau berkata Yayasan
itu juga akan membiayai program-program kebudayaan Siam di Malaysia bagi
meningkatkan tarafnya sepertimana kebudayaan bangsa-bangsa lain. Beliau berkata masyarakat Siam turut memberi sumbangan yang besar dalam
pembangunan negara terutama dalam sektor pertanian. Ketika berucap Ling yang juga Menteri Pengangkutan berkata walaupun
orang-orang Siam di malaysia masih mengekalkan identiti dan budaya tersendiri
tetapi mereka adalah rakyat Malaysia yang setia dan bertanggungjawab di samping
mengutamakan keharmonian kaum dan perpaduan rakyat. Beliau berkata, MCA bersedia untuk memberi pertolongan dan perkhidmatan kepada masyarakat Siam supaya taraf hidup masyarakat itu dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa. Sumber: BERNAMA (http://www.bernama.com.my), November 17, 2000. |
|
![]()
|