|
|
Kandungan
|
JEJAK AJARAN BUDDHA DI MALAYSIA RENCANA Jampi Siam Lawan Jampi Melayu yang muncul dalam
ruangan ini minggu lalu mendapat perhatian ramai pembaca di kalangan orang
Buddha dan orang Islam sekali gus. Tidak disangka orang Siam di Malaysia yang
berjumlah tidak seberapa itu turut mengikuti tulisan penulis. Setakat semalam
sebanyak 22 e-mel diterima. Beberapa e-mel mereka akan disiarkan dalam ruangan
E-mel Daripada Pembaca, Mingguan Malaysia, Ahad. Yang anehnya ramai juga orang Islam mengirim e-mel kepada penulis untuk
membincang isu agama Buddha yang disentuh oleh penulis minggu lepas. E-mel
terbaik dikirim oleh seorang pakar agama Buddha, Dr. Mohammed Yusoff Ismail (myis@pkrisc.cc.ukm.my).
E-mel Dr. Mohammed Yusoff Ismail disiarkan sepenuhnya di bawah ini. Beliau menulis, saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada
saudara kerana telah menulis rencana bertajuk Jampi Siam Lawan Jampi Melayu (Utusan
Malaysia 27 April 2001). Saya rasa artikel seperti ini dapat memberi sedikit
kefahaman tentang masyarakat Siam dan agama Buddha yang diamalkan oleh mereka.
Sebenarnya bidang agama Buddha dan masyarakat minoriti Siam menjadi minat saya
semenjak tahun 1977, (MA dan PhD saya masing-masingnya dari Monash University
dan Australian National University adalah berkenaan dengan orang Siam di
Kelantan dan agama Buddha; tesis kedoktoran saya diasaskan kepada kerja lapangan
selama dua tahun tinggal bersama dengan bikkhu Siam di biara di Kelantan). Saya juga telah menulis beberapa makalah dan sebuah buku berkenaan
dengan organisasi sosial agama Buddha di Kelantan, juga tentang ilmu perbomohan
Siam dalam konteks penerimaan orang Melayu. Artikel tersebut bertajuk Pengaruh
Siam dan Buddha terhadap sistem kepercayaan tradisional orang Melayu Kelantan.
(Akademika 49 (Julai) 1996: 23-37). Kalau saudara Astora berminat saya
boleh kirimkan satu salinan makalah tersebut. Dalam semua penulisan yang
diterbitkan oleh saya telah menggunakan istilah bikkhu untuk menggantikan
sami kerana istilah bikkhu adalah lebih tepat. Dari segi
etimologinya istilah tersebut berasal daripada perkataan Pali bhikkhati
bermakna pemberian atau sedekah kerana gaya hidup golongan bikkhu
ialah menerima sedekah daripada orang awam; tidak berumahtangga annagaram
- bahkan mereka tidak boleh berkahwin, kallau berkahwin mesti bercerai dahulu
sebelum boleh ditahbiskan menjadi bikkhu. Istilah bikkhu juga
digunakan dengan meluas di Indonesia, terutama di bahagian tertentu Pulau Jawa
menganut agama Buddha. Istilah sami yang digunakan oleh DBP sebenarnya kurang tepat. Sami
adalah terjemahan daripada istilah Hindu yang bermakna priest (yang boleh
berkahwin dan yang mempunyai cara hidup yang jauh berbeza daripada gaya hidup
seorang bikkhu). Bikkhu diterjemahkan kepada monk dalam
bahasa Inggeris dan ini selari dengan gaya hidup mereka yang celibate
iaitu tidak berkahwin dan tinggal dalam kawasan yang berjauhan dengan penduduk
awam. Istilah kuil juga ada sedikit kesilapan dalam penggunaan umumnya,
kerana istilah ini lebih merujuk kepada temple, sedangkan tempat tinggal bikkhu
dipanggil vihara dalam bahasa Pali. Dalam bahasa Indonesia biara
digunakan. Saya menggunakan istilah biara dalam penulisan saya supaya
dapat dibezakan daripada kuil. Biasanya di kuil tidak ada agamawan
yang bermastautin di sana seperti bikkhu yang menetap di biara. Persatuan
Buddhist Malaysia juga menggunakan istilah bikkhu dan biara secara
meluas. Istilah tok ca adalah istilah tidak formal yang biasa digunakan
oleh orang Melayu untuk merujuk golongan bikkhu. Selain tok ca,
istilah tok raja merupakan terjemahan daripada perkataan phra.
Istilah phra digunakan dengan meluas oleh orang Siam untuk merujuk kepada
bikkhu. Orang Siam sendiri tidak menggunakan istilah tok ca atau tok
raja sebagai ganti nama kedua kepada bikkhu. Sebaliknya mereka
biasanya menggunakan istilah Phor Luang, Than atau Khun
kepada bikkhu bergantung kepada kedudukan mereka dalam hierarki Sangha
dan kelulusan dari segi tahap pengajian agama (gred barian, Nak tham 1 hingga
3). Berkenaan dengan istilah Sangha; istilah ini merujuk kepada Persaudaraan
Bikkhu (Brotherhood of Monks atau Buddhist Order of Monks). Dalam
sistem agama Buddha, ada tiga perkara yang menjadi asas kepada kepercayaan dan
amalan ritualnya, iaitu Buddha, Dharma dan Sangha. Yang pertama itu ialah Sang
Buddha sendiri sebagai Guru Agung; yang kedua ialah gagasan ajarannya, iaitu
Dharma termasuk Tripitaka (yang saudara sebutkan) dan Peraturan Vinaya atau
Patimokkha (iaitu 227 hukum atau syarat yang mesti dipatuhi untuk menjadi
seorang bikkhu). Yang ketiga ialah Sangha; kesemua mereka yang telah ditahbiskan
(ordained) menjadi bikkhu tergolong ke dalam majlis persaudaraan yang
dinamakan Sangha yang mempunyai ketua dan hierarki pentadbirannya. Kalau
di Thailand, Ketua Agung Bikkhu yang dikenali sebagai Phra Maha Sangkharat
dilantik oleh raja Thai. Di Kelantan Ketua Besar Bikkhu Buddha (Caw Khana Rat
atau nama informalnya, Caw Khun) dilantik oleh Sultan Kelantan (bagi pihak raja
Thai). Di Kedah, saya percaya Sultan Kedah atau wakilnya melantik Ketua Besar
Bikkhu Negeri Kedah. Tiga perkara ini, iaitu Buddha, Dharma dan Sangha menjadi lambang
penting dalam agama Buddha. Sebab itulah mesti ada tiga batang colok dan tiga
batang lilin dalam ritual agama Buddha sebagai penghormatan kepada Buddha,
ajarannya dan para pengamal jalan hidup suci yang disebut sebagai Sangha. (Rangkaian
tiga unsur penting ini disebut oleh orang Siam sebagai Phra Phut, Phra Tham dan
Phra Song). Bahkan setiap upacara dan ritual dalam agama Buddha bermula dengan
pemberian hormat kepada tiga unsur ini, iaitu dengan meminta perlindungan
daripada Buddha, Dharma dan Sangha. JAWAPAN: (dari penulis) Penulis memang berminat dengan buku dan rencana
tuan mengenai ilmu perbomohan Siam dalam konteks penerimaan oleh orang Melayu,
pengaruh Siam dan Buddha terhadap sistem kepercayaan tradisional orang Melayu
Kelantan dan lain-lain. Penulis percaya para pembaca pun begitu juga. Dengan itu penulis berharap tuan dapat mengirim buku dan rencana untuk
disiarkan dalam ruangan Rencana Pilihan di bawah ruangan ini. Mengenai penggunaan istilah bikkhu mengganti sami adalah tepat. Beberapa
tahun lepas ketika menjadi wakil Utusan di bangkok, penulis juga menggunakan
istilah bikkhu atau biksu, tetapi seorang pengarang kanan menghubungi penulis
meminta menggunakan istilah yang difahami masyarakat tempatan. Justeru itu
penulis pun terpaksa menyerah kalah. Bagaimanapun, minggu lepas terbangkit
semula perasaan tidak mahu menggunakan istilah sami. Lalu penulis menggunakan
istilah tok ca. Akhir sekali penulis mengucapkan terima kasih kepada Dr. Mohamed Yusoff Ismail dan berharap dapat berkongsi ilmu dengan tuan pada masa lain insya-Allah. Oleh ASTORA JABAT, E-mail: astora@utusan.com.my Sumber: Utusan Malaysia, Mei 04, 2001. |
|
|