|
|
Kandungan
|
PERKAMPUNGAN KEBUDAYAAN SIAM PRODUK BARU PELANCONGAN KEDAH PENDANG 18 Mac - Negeri ini akan
mempunyai satu lagi tarikan pelancongan dengan pelaksanaan sebuah pusat
pelancongan yang akan memfokuskan kehidupan dan kebudayaan masyarakat Siam.
Projek tersebut dicadang akan diwujudkan di Sungai Tiang dekat sini tidak lama
lagi. Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang,
Md. Rozai Shaffian berkata, projek itu yang lebih dikenali sebagai perkampungan
kebudayaan Siam turut menyediakan para pelawat dengan program Home Stay untuk
mereka tinggal bersama penduduk. Kewujudan perkampungan tersebut memberi pilihan
kepada pelawat asing untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat Siam di
Malaysia, katanya. Beliau berkata demikian kepada Utusan
selepas majlis penyerahan bantuan basikal dan beg sekolah kepada pelajar miskin
Sekolah Kebangsaan Hujung Keton oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kubur
Panjang dekat sini hari ini. Daripada 33 pelajar yang menerima bantuan, 10 orang
mendapat basikal sementara 23 lagi memperolehi beg sekolah. Turut hadir ialah
Timbalan Pengarah JKM Kedah, Said Man. Bagaimanapun jelas Md. Rozai, walaupun
cadangan yang akan merangkumi kawasan Mukim Padang Kerbau seluas kira-kira lima
kilometer persegi itu dipersetujui secara dasarnya, namun ia masih lagi dikaji
oleh kerajaan negeri. Menurut Md. Rozai, di daerah Pendang sahaja terdapat 10
perkampungan Siam yang masih mengekalkan ciri-ciri kehidupan dan kebudayaan
mereka sehingga sekarang. Keseluruhan penduduk berketurunan Siam di sini
berjumlah 13,000 orang, ujarnya. Salah satu perkampungan yang kemudahannya tidak terdapat di tempat lain di Malaysia ialah Wat Tong Prok. Wat ini mempunyai rumah ibadat, tempat pembakaran mayat, perkuburan yang begitu cantik, jelasnya. Apabila projek ini siap kelak, perkampungan Siam bukan sahaja akan diserikan dengan aktiviti kesenian semata-mata tetapi pelancong juga boleh menikmati buah-buahan segar dari dusun yang disediakan selain berkelah di air terjun berdekatan. Sumber: Utusan Malaysia,
March 19, 2001 |
|
|