|
|
Kandungan
|
MASYARAKAT SIAM DI PENDANG MAHU PERUBAHAN Pendang, Isnin –
Masyarakat Siam dari 11 kampung di sini, menyifatkan pilihanraya kecil Parlimen
Pendang, 18 Julai ini, bakal menentukan masa depan mereka yang ketinggalan di
bawah pimpinan pembangkang selama ini. Pengerusi Penyelaras
Masyarakat Siam Pendang, Ee Oong @ Edin Chok a/l Edin Prool, berkata pilihanraya
kali ini memberi peluang kepada mereka menyatakan sokongan kepada kerajaan tanpa
mengambil kira calon yang dipertandingkan. Beliau berkata,
sokongan padu mampu diberikan majoriti 2,800 pengundinya yang menunggu memilih
Barisan Nasional (BN) supaya dapat menikmati hidup yang lebih sempurna. Bukan bermakna
kerajaan selama ini tidak membantu kita, malah mereka lebih banyak memberi
sumbangan pembangunan melebihi parti pembangkang yang dipilih majoriti rakyat di
Pendang dalam pilihan raya lalu. Kesilapan lalu menjadi
pengajaran dan kami tetap menyokong kerajaan kerana parti ini saja mengiktiraf
kami sebagai penduduk Bumiputera dan memberi kebebasan beragama kepada kami. Oleh itu, kemenangan
ini amat bermakna bagi kami, sekali gus memastikan nasib masyarakat minoriti ini
setanding Bumiputera lain pada masa hadapan, katanya selepas majlis ramah mesra
di Watt kampung Titi Akar, di sini, semalam. Majlis itu dihadiri
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dan Pengerusi Jawatankuasa
Penyelaras masyarakat Siam Kedah, Datuk Fong Chok Gin. Turut hadir Ketua Sami
Watt Titi Akar, Ton Choi a/l Din Phet. Pada majlis itu, Syed Razak turut menyumbang derma sebanyak RM300,000 bagi melaksanakan projek Sekolah Bahasa Siam yang pertama dibina di negara ini bagi menggantikan sekolah sedia ada yang dibina sejak 1956. Sumber: Berita Harian,
July 02 , 2002. |
|
|