|
|
Kandungan
|
KAMPUNG TITI AKAR PERNAH JADI JOHAN DAFTAR PEMILIH BARU PENDANG 3 Julai –
Kampung Titi Akar, sebuah perkampungan masyarakat Malaysia berketurunan Siam di
Parlimen Pendang, Kedah pernah menjadi johan dalam pertandingan mendaftar
pemilih baru. Pengerusi Jawatankuasa
Keselamatan dan Kemajuan Kampung berkenaan Uwam Din Jom berkata, kampung itu
menjadi johan kerana berjaya mendaftar paling ramai pengundi baru berbanding 180
kampung lain di seluruh Parlimen Pendang pada 2001. Bilangan pengundi baru
yang didaftarkan semasa pertandingan anjuran UMNO bahagian Pendang itu melebihi
100 orang. Kampung Titi Akar,
perkampungan Siam yang terbesar di kawasan Parlimen itu kini mempunyai 1,295
penduduk dengan 777 orang daripadanya adalah pengundi. Uwam, 46, berkata,
selain kampung itu, terdapat juga 10 buah perkampungan Siam di kawasan parlimen
Pendang dengan penduduk berjumlah 4,894 orang. Pengundi di 11 kampung itu
berjumlah 2,715 orang. Beliau berkata,
masyarakat Malaysia keturunan Siam itu bersyukur dengan pembangunan yang
terdapat di kampung-kampung mereka walaupun banyak lagi yang boleh dilakukan. Sebagai contoh,
katanya, semua jalan tanah merah di beberapa buah kampung sepatutnya ditar. Uwam berkata,
kebajikan penduduk 11 buah kampung masyarakat Siam itu dijaga oleh sebuah
jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Penyelarasan Masyarakat Siam. Sebagai setiausaha
jawatankuasa itu, Uwam telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri
untuk mendapatkan dewan orang ramai dan mengadakan kelas mempelajari bahasa
ibunda mereka di situ. Kebanyakan penduduk
kampung itu yang terdiri daripada pesawah serta penoreh juga meminta kerajaan
membuat pembetungan, tali air dan perparitan yang sempurna bagi tujuan pertanian. Permintaan-permintaan
itu agak kurang kedengaran oleh pihak kerajaan apabila kawasan Parlimen itu
diwakili PAS, katanya. Uwam berharap
perubahan akan berlaku selepas pilihanraya kecil kawasan itu kelak demi kebaikan
para penduduk kampung-kampung berkenaan. Pilihanraya kecil
Parlimen Pendang bakal diadakan bersama pilihanraya kecil kerusi negeri Anak
Bukit pada 18 Julai berikutan kematian wakil rakyat bagi kedua-dua kawasan itu
Datuk Fadzil Noor yang juga Presiden PAS, pada 23 Jun lepas. Beliau berkata, para
penduduk di situ amat akur dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai
pengundi. Boleh dikatakan hampir
85 peratus daripada pengundi Siam di Pendang keluar mengundi pada pilihanraya
umum 1999, katanya. Uwam berkata, satu
daripada sifat masyarakat Siam di situ ialah mereka hormat menghormati dan patuh
mengikut arah haluan ketua. Kalau ketua pergi ke kiri, mereka pergi ke kiri. Kalau ketua pergi ke kanan, mereka pergi ke kanan, katanya. – Bernama. Sumber: Utusan Malaysia, July 04 , 2002. |
|
|