[Utama][Sign Guestbook][View Guestbook][Website PBTM]

Kandungan

Anda adalah pengunjung ke

DETIK-DETIK HITAM PERSATUAN BELIA THAI MALAYSIA

Persatuan Belia Thai Malaysia (PBTM) ditubuhkan pada 18 Mei 1997 dan didaftar pada 20 Mac 1999. Pada mulanya penubuhan PBTM ini tidak mendapat sokongan daripada kebanyakan pemimpin kita terutamanya pemimpin-pemimpin Persatuan Siam Malaysia (PSM). Sebelum penubuhan PBTM, pihak belia telah berusaha memberi penjelasan dan mendapatkan persetujuan serta sokongan daripada berbagai pihak termasuk pemimpin-pemimpin masyarakat kita tetapi hasilnya amat mengecewakan. Mengikut adat, memang wajar sebagai orang muda haruslah mendapat restu daripada orang tua terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Pihak belia telah melakukan sedemikian mengikut adat iaitu memohon restu daripada pemimpin-pemimpin kita. Apa yang menyebabkan mereka tidak sokong dengan penubuhan PBTM tidak dapat dipastikan. Walau bagaimana pun penubuhan PBTM tetap diteruskan.

Mengikut kata Presiden PSM, beliau tidak mahu masyarakat Thai mempunyai banyak persatuan. Beliau berpendapat masyarakat Thai haruslah berada di bawah satu bumbung iaitu PSM. Sementara seorang lagi pemimpin dari Perlis pula mengatakan "bagaimana mereka nak jelaskan kepada masyarakat sekiranya PBTM lebih maju daripada PSM". Penjelasan daripada 2 pemimpin tadi dapat kita andaikan bahawa mereka tidak mahu PBTM wujud. Pengwujudan PBTM akan menggugatkan kedudukan PSM. Sekiranya PBTM maju, mereka khuatir PBTM akan menjadi saingan dan memberi tamparan hebat kepada kedudukan PSM. Memandangkan mereka ada kelebihan dari segi kewangan, politik dan wakil di Parlimen. Ini menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin kita tidak ikhlas untuk membantu masyarakat. Mereka hanya mencari pengaruh untuk mencapai tujuan-tujuan politik mereka sahaja. Mereka menggunakan PSM dan masyarakat Thai sebagai landasan untuk tujuan politik dan kepentingan peribadi. Mereka ingin memonopoli segala urusan-urusan dalam masyarakat.

Semasa sessi dialog masyarakat Thai dengan Menteri Besar Kedah di Taman Budaya, Alor Setar pada 4 April 2000, seorang wakil PSM cawangan Padang Terap mengemukakan cadangan yang telah diputuskan oleh Mesyuarat Agung Perwakilan 1999, mengenai segala urusan Masyarakat Thai hendaklah melalui PSM sahaja dan hanya PSM sahaja sebagai saluran rasmi masyarakat Thai. Boleh dikatakan cadangan tersebut adalah untuk menyekat aktiviti-aktiviti masyarakat bukannya untuk membantu masyarakat. Apa salahnya, menganjurkan berbagai aktiviti demi untuk kebaikan masyarakat kita sendiri? PSM selaku satu saluran rasmi masyarakat Thai hendaklah membantu bukannya menyekat. Sekiranya cadangan ini dilaksanakan, apa perasaan keseluruhan masyarakat kita? Apa kedudukan Persatuan Sami Kedah? Apa kedudukan Ketua Sami Kedah dan sami-sami? Dan. Apa kedudukan PBTM di dalam masyarakat?

Mereka hendaklah mengkaji kenapa PSM kurang mendapat sambutan? Kenapa masyarakat Thai daerah Pendang tidak menubuh cawangan PSM di daerah tersebut? Sedangkan daerah itu mempunyai masyarakat Thai paling ramai di Malaysia. Kenapa Presiden PSM dihalau keluar dari Kampung Titi Akar, Pendang semasa kempen Pilihanraya Umum 1999? PSM jangan hanya menuding jari kepada PBTM sahaja apabila menghadapi masalah. Ini adalah tindakan orang yang hilang akal. Contoh jumlah bancian penduduk Thai di Malaysia dianggarkan sekitar 60,000 orang. Ahli PSM hanya mempunyai lebih kurang 2,000 orang. Kenapa PSM tidak berusaha menarik 58,000 orang lagi menyertai PSM? Kenapa PBTM dituduh apabila PSM kekurangan ahli sedangkan ahli PBTM cuma lebih kurang 40 orang sahaja. Ahli PBTM juga boleh menjadi ahli PSM. Apa salah PBTM sehingga dituduh sedemikian rupa?

Apa salahnya PBTM maju? Bukankah golongan belia ini daripada kalangan anak cucu mereka juga? Adakah mereka mahu golongan belia Thai ini mundur selama-lamanya? Sekiranya mereka mengganggap PBTM ini akan menggugat kedudukkan PSM maka anggapan itu salah. Matlamat PBTM adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat terutamanya golongan belia. PBTM bukan untuk tujuan politik dan bukan untuk tujuan merebut jawatan Senator atau lain-lain jawatan yang diperuntukkan atas kuasa politik. PBTM sedia bekerjasama dengan PSM tetapi tidak boleh berada di bawah PSM. PBTM adalah satu pertubuhan yang bebas dan sah berdaftar.

Kemuncak perselisihan di antara PSM dan PBTM berlaku secara terbuka di Wat Buppharam, Jalan Perak, Pulau Pinang pada 12 Jun 2000 jam 8.30 malam. Pada malam itu Phra Palad Boontham, Ketua Sami Wat Uttamaram, Kelantan datang ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur. Tujuan beliau datang adalah untuk berjumpa dengan masyarakat Thai dan golongan belia di Pulau Pinang. Lebih kurang 30 orang yang datang pada malam itu. Kehadiran pada malam itu terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Ahli Jawatankuasa PSM cawangan Pulau Pinang, Ahli Jawatankuasa PBTM dan ruamthai USM. Perjumpaan tersebut adalah hanya untuk bersembahyang, menerima sil dari sami dan beramah mesra.

Tetapi keadaan terjadi sebaliknya, pihak PSM mengambil kesempatan menghentam PBTM secara bertalu-talu. PBTM bernasib baik dengan kehadiran Penasihat PBTM iaitu En. Siri Neng Buah sebagai seorang tua yang dihormati dapat menyelamatkan keadaan. Beliau telah menerangkan secara terperinci kepentingan PBTM terhadap masyarakat kita. Hasil daripada perdebatan tersebut menunjukkan bahawa PSM ingin menghalang pergerakkan PBTM dengan memaksa PBTM berada di bawah PSM. Ada seorang daripada ahli Jawatankuasa PSM cawangan Pulau Pinang menyatakan bahawa mereka sentiasa menghadapi masalah tidak cukup kuorum setiap kali mesyuarat. PSM tidak patut menuduh PBTM kerana masalah dalaman yang dihadapi oleh mereka.

Pihak PBTM tetap dengan pendirian tidak akan berada di bawah mana-mana persatuan. PBTM boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak sekiranya mempunyai motif yang serupa. Perselisahan ini tidak akan berakhir sekiranya tidak ada orang tengah yang dihormati dan disegani oleh kedua-dua pihak tampil ke hadapan untuk membantu menyelesaikan perselisihan ini. Walau bagaimana pun PBTM tetap bebas sebagai satu pertubuhan berdaftar. Semoga PBTM berjaya mengatasi berbagai masalah yang mungkin dihadapi dengan tenang dan sabar. Keadilan akan memihak kepada pihak yang benar. Sadhu! Sadhu! Sadhu!

Oleh Manit Sripradit, 15 April 2000

on 19-12-02
Di bawah ini adalah pautan laman web yang menarik untuk dikunjungi.

 

 


[Pengenalan][Biodata][Masyarakat][Agama][Kebudayaan][Keratan Akhbar][Artikel][Alamat Wat][Galeri Foto][Buku Pelawat]

Copyright © 2002 manitc6, Hakcipta Terpelihara. Hubungi Webmaster.