[Utama][Sign Guestbook][View Guestbook][Website PBTM]

Kandungan

Anda adalah pengunjung ke

SEJARAH PENUBUHAN PBTM

Sebelum ini, kita pernah mendengar tentang kewujudan banyak persatuan-persatuan belia di kalangan masyarakat kita. Kebanyakannya adalah persatuan belia di peringkat daerah. Oleh kerana tidak ada para pelapis serta tidak mendapat sokongan daripada pemimpin-pemimpin kita maka persatuan-persatuan belia yang pernah wujud seolah-olah "hidup segan mati tak mahu" ada juga yang "mati tak berkubur". Tujuan menulis titik hitam ini adalah sebagai pedoman kepada kita semua. Supaya kita dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan kita, yang menjadi salah satu punca kita ketinggalan berbanding dengan kaum-kaum lain. Pendedahan ini tidak bermaksud untuk menyinggungkan perasaan mana-mana pihak, samada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Persatuan Belia Siam Malaysia (nama PBTM sebelum pindaan) adalah salah satu persatuan belia bertaraf kebangsaan yang pertama dan baru ditubuhkan oleh belia berketurunan Thai di Malaysia. Harapan kita, semoga PBSM ini tidak menjadi seperti persatuan-persatuan belia yang lepas. Kita haruslah berkerjasama bagi memajukan dan memantapkan lagi PBSM di masa akan datang. Pemikiran negatif hendaklah diketepikan dan amalkan sikap positif serta berganding bahu untuk menjayakan matlamat kita demi untuk masyarakat. Kita semua tahu bahawa orang yang mengkritik lebih ramai daripada orang yang membina. Kita harus banyak bersabar bagi mengharungi segala rintangan yang bakal kita hadapi. Kita harus bersatupadu untuk memajukan PBSM seiring dengan persatuan-persatuan dari kaum lain yang telah maju. Titik permulaan penubuhan PBSM adalah pada tarikh 25 April 1997. Satu perjumpaan telah diadakan pada tarikh tersebut yang diketuai oleh En. Manit a/l See Nam di rumah sewanya di No. 1, Hilir Nibong Satu, 11950 Bayan Baru, Pulau Pinang. Seramai 9 orang yang hadir, antaranya ialah:

1) Manit a/l See Nam (Kg. Padang Pusing, Kedah),
2) Somsak a/l Lai (Kg. Nangka Siam, Kedah),
3) Annop a/l Thing (Kg. Nangka Siam, Kedah),
4) Ee Chan a/p Din Leang (Kangar, Perlis),
5) Huit a/p Din Leang (Kangar, Perlis),
6) Boon Leua Aroonratana (Pulau Pinang),
7) Nai Biter Siriphant a/l Rak (Changlun, Kedah),
8) Tammachir a/l Tamrong (Kg. Padang Peliang, Kedah) dan
9) Sutam a/l Eh Di (Kg. Terbak, Kelantan).

Pada mulanya cadangan penubuhan PBSM tidak dipersetujui oleh segelintir belia Thai Malaysia. Mereka mempertikaikan tentang tujuan penubuhan PBSM. Menurut mereka, penubuhan PBSM boleh menyebabkan masyarakat kita yang minoriti akan berpecah belah. Kerana kita telah mempunyai persatuan iaitu Persatuan Siam Malaysia (PSM). Mereka tidak memahami bahawa PBSM dan PSM amat berbeza sekali dari segi prinsipnya. Kita perlu mempunyai kedua-duanya sekali, tidak boleh memilih. Sekiranya kita memilih salah satu daripada dua persatuan ini, kita akan rugi. Untuk mengatasi masalah ini satu perjumpaan telah diadakan pada 3 Mei 1997 di Wat Pinbang-Onn, Pulau Pinang. Perjumpaan tersebut adalah bertujuan untuk memberi penjelasan tentang tujuan penubuhan PBSM. Seramai 8 orang yang hadir, antaranya ialah:

1) En. Manit a/l See Nam,
2) En. Boon Leua Aroonratana,
3) Cik Ee Chan a/p Din Leang,
4) Cik Huit a/p Din Leang,
5) En. Pricha a/l Choo Beng,
6) Cik Karnchana a/p Senit,
7) Cik Theeraphorn a/p Senit dan
8) En. Prajong a/l Indin Bun.

Penubuhan PBSM juga mendapat bantahan daripada kebanyakkan para pemimpin masyarakat kita. Ada juga pemimpin masyarakat yang menyokong penubuhan PBSM. Hasil tinjauan yang dilakukan menunjukkan bahawa mereka membantah kerana mereka tidak tahu tentang kepentingan dan peranan PBSM terhadap masyarakat. Sebagai pemimpin masyarakat yang berpengalaman mereka wajar menghargai dan memberi sokongan terhadap penubuhan PBSM. Penubuhan PBSM bukan kerana ekoran daripada perlantikan Ahli Dewan Negara yang pertama mewakili masyarakat Thai Malaysia di Parlimen pada April, 1996 dan bukan untuk keseronokan. Pernubuhan PBSM ini adalah hasil daripada kesedaran golongan belia tentang betapa pentingnya PBSM terhadap masyarakat.

Pada 18 Mei 1997 (Ahad), Mesyuarat Agung Penubuhan PBSM telah diadakan di Wat Pinbang-Onn, Pulau Pinang. Oleh kerana ramai belia Thai tidak mempunyai pengalaman untuk mengendalikan mesyuarat maka dengan sebulat suara melantik En. Siri Neng Buah (Pengarah Kebudayaan & Keseniaan Negeri Pulau Pinang) mempengerusikan mesyuarat dan En. Manit a/l See Nam dan Kpt. Sukcha a/l Din Tawan sebagai pencatit minit. Akhirnya PBSM berjaya ditubuhkan dengan rasminya pada 18 Mei 1997 di Wat Pinbang-Onn, Pulau Pinang. Seramai 28 orang yang hadir, antaranya ialah:

1) En. Manit a/l See Nam (Kedah)
2) Boon Leua Aroonratana (Pulau Pinang),
3) Pn. Chinda a/p Prak Chum (Kelantan),
4) En. Sukcha a/l Din Tawan (Kedah),
5) En. Boon Sisawang (Pulau Pinang),
6) En. Pricha a/l Choo Beng (Kedah),
7) En. Kamphon a/l Klop (Kedah),
8) En. Sutam a/l Eh Di (Kelantan),
9) En. Pricha a/l Tan Rat (Pulau Pinang),
10) En. Nai Khan a/l Ari (Pulau Pinang),
11) Cik Karnchana a/p Senit (Pulau Pinang),
12) En. Nai Biter Siriphant a/l Rak (Kedah),
13) Cik Ee Chan a/p Din Leang (Perlis),
14) Cik Huit a/p Din Leang (Perlis),
15) En. Tammachir a/l Tamrong (Kedah),
16) En. Annop a/l Thing (Kedah),
17) En. Prajong a/l Indin Bun (Kedah),
18) En. Nai Prased a/l nai Kloy (Kedah),
19) Pn. Sukhee Tanuchon (Bukan Warganegara),
20) Cik Merry Prichachon (Kedah),
21) En. Sushiph a/l Sombon (Kelantan),
22) En. Phaklen Prommanop (Kelantan),
23) En. Ainguan a/l In (Kedah),
24) En. Ai Chin a/l Endin Long (Kedah),
25) En. Nai Lai (Kedah),
26) En. Nai Weng a/l Nai Sew (Kedah),
27) En. Siri Neng Buah (Terengganu) - (Pengarah Kebudayaan & Kesenian Pulau Pinang)
28) En. Sungkram a/l Apau (Pulau Pinang) - (Timbalan Pengerusi, Persatuan Siam Malaysia)

Encik Manit a/l See Nam selaku Setiausaha Penaja telah merangka perlembagaan persatuan, mencipta logo dan menyediakan berbagai dokumen untuk proses pendaftaran persatuan dengan Pejabat Pendaftaran Pertubuhan. Beliau mendapat tunjuk ajar dan pandangan daripada beberapa orang rakan sepejabat yang terdiri daripada pemimpin UMNO dan mendapat nasihat daripada Encik Siri Neng Buah, Pengarah Kebudayaan & Kesenian Negeri Pulau Pinang. Semasa proses pendaftaran Persatuan Belia Siam Malaysia, berbagai-bagai masalah telah timbul. Antara masalah-masalah tersebut ialah:

1) Pendaftaran Persatuan Belia Siam Malaysia dibekukan selama 6 bulan oleh Pejabat Belia & Sukan Negeri Pulau Pinang kerana Pengerusi Penaja dan seorang Ahli Jawatankuasa Penaja telah membuat bantahan. Mereka tidak puas hati dengan Encik Manit a/l See Nam yang menganggap mereka sebagai boneka dalam persatuan.

2) Persatuan Belia Siam Malaysia tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Pejabat Pendaftaran Pertubuhan untuk didaftar sebagai persatuan bertaraf kebangsaan. Syaratnya ialah perlu mempunyai sekurang-kurangnya 7 orang ahli dari 7 negeri dan mesti hadir dalam Mesyuarat Agung Penubuhan. Untuk mengadakan Mesyuarat Agung sekali lagi adalah menjadi satu masalah kerana kemungkinan besar tidak mendapat jumlah ahli yang cukup dari 7 negeri. Encik Manit a/l See Nam mengambil keputusan sendiri menghubungi kawan-kawannya yang berada di seluruh negeri di Malaysia dan meminta nama mereka sebagai ahli bagi memenuhi syarat. Pada hakikatnya Mesyuarat Agung Penubuhan kali kedua tidak diadakan. Cuma atas kertas sahaja kita adakan Mesyuarat Agung Penubuhan. Memang sedar tentang kesalahan tersebut, tetapi kita terpaksa lakukan demi untuk tujuan yang baik. Kesempatan ini juga diambil oleh Encik Manit a/l See Nam untuk memecat Pengerusi Penaja dan meminta kerjasama Encik Nai Biter Siriphant a/l Rak mengantikan tempat tersebut.

3) Masalah pengubahsuaian perlembagaan persatuan mengikut kehendak Pejabat Pendaftaran Pertubuhan.

Selepas mengharungi berbagai-bagai cabaran, akhirnya PBSM berjaya didaftarkan pada 20 Mac 1999 dengan nombor pendaftarannya  281.  Setelah mendapat sijil pendaftaran pada 13 April 1999, Mesyuarat Agung pertama perlu diadakan secepat mungkin untuk melantik AJK tetap. Oleh kerana kita tak tahu maka Mesyuarat Agung Tahunan yang pertama lewat diadakan. Mesyuarat tersebut dapat diadakan pada 27 Ogos 1999 jam 8.00 malam di Kompleks Belia Dan Sukan Negeri Pulau Pinang.

Selepas Mesyuarat Agung Tahunan yang pertama diadakan, satu pindaan perlembagaan secara menyeluruh telah diterima dengan sebulat suara. Satu perlembagaan baru PBSM telah digubalkan mengikut kehendak ahli-ahli mesyuarat. Antara pindaan adalah berkaitan dengan peruntukkan penubuhan cawangan-cawangan, pertukaran nama persatuan kepada Persatuan Belia Thai Malaysia (PBTM) untuk diselaraskan dengan kategori kaum yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara serta merekabentuk logo baru.
 

Dengan sejarah yang ringkas ini, dapatlah kita mengetahui asal usul penubuhan Persatuan Belia Thai Malaysia. Tujuan penulisan sejarah ini adalah untuk memberi pengetahuan kepada sesiapa yang ingin tahu tentang latar belakang Persatuan Belia Thai Malaysia. Bukannya untuk mempopularkan sesiapa dan bukannya untuk kepentingan mana-mana individu tetapi untuk mempopularkan masyarakat Thai Malaysia dan untuk kepentingan kita semua. Semoga Persatuan Belia Thai Malaysia hidup selama-lamanya.
 

"BERSATU" adalah slogan kita.

on 19-12-02
Di bawah ini adalah pautan laman web yang menarik untuk dikunjungi.

 

 


[Pengenalan][Biodata][Masyarakat][Agama][Kebudayaan][Keratan Akhbar][Artikel][Alamat Wat][Galeri Foto][Buku Pelawat]

Copyright © 2002 manitc6, Hakcipta Terpelihara. Hubungi Webmaster.