|
Kandungan |
ASAL-USUL MASYARAKAT THAI DI MALAYSIA (MIKRO) KATA MULA Satu cara
yang difikirkan paling sesuai dapat memperkenalkan masyarakat Thai ialah dengan
mendefinisikan masyarakat Thai itu sendiri sebagai suatu entiti yang di kenali.
Linguistik misalnya, ia seharusnya melangkaui penyediaan kamus bahasa
semata-mata dengan merujuk kepada nada bunyi juga. Kedua, daripada segi
ethnologi dan folkloristik. Ethnik Thai merupakan penduduk minoriti di Malaysia.
Sebagai komuniti kecil dan terpisah-pisah, mereka membentuk ruang sosial dan
ekonomi tersendiri dan berbeza di utara Semenanjung Malaysia; Perlis, Kedah,
Perak, Kelantan, dan Terengganu. Beberapa penulisan bersifat etnologi telah
memberi maklumat berguna terutama adaptasi sosial dalam sekitaran sosio-budaya
Melayu dominan. Antara pengkaji awal; C. Archaimbault, Louis Golomb, Mohamed
Yusoff Ismail, dan Robert Winzeler. Satu perkara yang jarang disentuh, tetapi
sering disebut dalam penulisan tadi, berkenaan asal dan masa ethnik Thai ini
mewujudkan perkampungan mereka. KOMUNITI
THAI KELANTAN Mengikut sejarah, pertalian
Kelantan-Siam dikatakan bermula sejak pertengahan abad ke 13. Waktu itu
orang-orang Siam sudah mula menyumbangkan pengaruh kekuasaannya ke selatan
lembah Sungai Chao Phraya, menurun ke kawasan utara Semenanjung Tanah Melayu...(Nik
Mohamed dlm. Alias Mohamed 1977). Walau bagaimanapun, pertalian ini berubah
menjadi perlindungan apabila Long Muhammad menjadi Sultan Muhammad I pada tahun
1800/1801. Baginda menghantar Pak Wan Mahmud sebagai utusan menghadap Maharaja
Siam dan sebagai tanda perhubungan setia Sultan Muhammad mengirim bunga mas ke
Siam tiga tahun sekali (Cetera Kelantan dlm. Alias Muhammad 1977: 24). Pada
tahun 1832 Sultan sekali lagi menghantar utusan ke Ligor dan dari Ligor ke
Bangkok mengadap Maharaja Siam kerana bimbang akan ancaman dari Terengganu yang
berpakat dengan Pattani. Kepulangan utusan itu membawa bersama suatu persetiaan
antara negeri Kelantan dengan Kerajaan Siam diwujudkan dan Kelantan hendaklah
menghantar ufti bunga emas tiap-tiap tiga tahun sekali ke Siam sebagai balasan
di atas kesanggupan Siam mengawasi musuh-musuh dari luar (Saad Shukri dlm. Alias
Muhammad 1977; 24). Kekuatan pengaruh Siam dapat dilihat melalui tindakan Raja
Siam yang telah memperkenankan Long Senik Mulut Merah menjadi Raja Kelantan pada
tahun 1837 dengan gelaran Sultan Muhammad II apabila Sultan Muhammad I mangkat
pada tahun 1835 (Alias Muhammad 1977: 15). Apa yang jelas, hanya pada akhir
kurun ke 18, Siam dikatakan telah menguasai Kelantan dan ini berakhir hingga
tahun 1909 apabila negeri itu bersama-sama Kedah, Perlis dan Terengganu
dipindahkan ke tangan British dalam perjanjian Anglo-Siamese (Alias Muhammad
t.th. 2). Menurut Perjanjian Siam-Inggeris 1909, Kerajaan Siam bersetuju
menyerahkan segala haknya keatas Negeri Kelantan kepada British. Dengan
perjanjian ini maka Kelantan telah kehilangan sebuah jajahan yang menurut Kitab
Tarikh Kelantan (dlm. Alias Muhammad t. th. 18) adalah seperti berikut: “Pada
masa negeri Kelantan bersetia dengan Siam adalah lebih kurang 15,000 oang Siam
yang mendiami tempat-tempat di sebelah kanan mudik Sungai Tabal itu. Tetapi oleh
sebab Surat Setia di antara kerajaan Siam dengan Kerajaan Inggeris yang
berkenaan dengan perkara penyerahan negeri Kelantan, Kedah, dan Terengganu
tidaklah diperbuat oleh Kerajaan Siam, bahawa Sungai Tabal itu sempadan jajahan
Siam dengan jajahan Kelantan serta ditolakkan sebuah daerah di dalam Legeh yang
dibawah bendera Siam kepada Kelantan iaitu sebelah ulu negeri Kelantan dan
setengah tanah dalam jajahan Reman yang di bawah benderanya jua kepada negeri
Perak. Golomb
(1976: 15), meletakkan kira-kira satu peratus daripada 700,000 penduduk
keseluruhan Kelantan adalah minoriti Thai. Beliau telah mengira dan mendapati
terdapat 29 petempatan orang Thai di Kelantan yang mengandungi satu hingga lebih
250 rumah termasuk satu kampung yang terletak hanya selepas sempadan Negeri
Terengganu dan satu di Wilayah Narathiwat. Saya menjangkakan kampung tersebut
ialah Bukit Yong/Tok Chek (Tok Motong). Pada masa ini hanya terdapat dua
perkampungan Thai di Terengganu iaitu Bukit Keluang (Pok/Pak Kiang) dan Batu
Bala. Setelah dikira, Golomb menyatakan terdapat 20 buah biara[1]
Thai di 14 perkampungan Thai dan tiga buah di kampung majoriti penduduk Cina (Golomb
1976: 19). Mereka ini terdapat di Kampung Tenong, Kulim dan Malai. Tetapi,
semasa saya menjadi bikhu selama empat bulan di Wat Cheng Buddhavas, Kelantan,
saya dapati hanya dua buah biara sahaja dibangunkan di perkampungan Cina;
Kampung Tenong dan Wakaf Bharu (Kulim). Saya mengecualikan Kampung Balai kerana
majoritinya ethnik Thai yang membangunkan perkampungan ini bersama-sama orang
Cina (Cina Kampung). Sebelum 1990-an hanya terdapat 19 buah biara sahaja yang
betul-betul wujud. Ini berlaku di Kampung Malai di mana satu daripada dua
biaranya telah tidak digunakan sehinggalah pada 1990-an biara tersebut telah
dibina semula dan dibangunkan. Biara tersebut kini dinamakan Wat Photikyan Phut
Thak Tham (Wat Tai Teen/Biara Hilir)[2].
Pengelompokan Thai Kelantan yang tinggi menurut Golomb adalah sekitar bandar
Tumpat iaitu sepanjang sempadan Thailand. ASAL THAI KELANTAN
Asal
Thai Kelantan adalah tidak jelas. Persoalan siapakah orang Thai pertama datang
dan bagaimanakah mereka datang telah lama mendapat perhatian. Beberapa bukti
telah dikemukakan tetapi tidak satupun mendapat rumusan tepat. Ethnik Thai,
tidak seperti orang Cina, tidak banyak mendapat perhatian semasa era kedatangan
imigran pada abad ke 18 dan 19, mungkin kerana mereka tidak terlibat dengan
aktiviti sebagaimana aktiviti orang Cina seperti perlombongan emas, perniagaan
dan perdagangan. Perbincangan seterusnya adalah berdasarkan tulisan Louis Golomb
(1976: 15 & 16). Beliau telah menggunakan pendekatan linguistik untuk
mengesan asal-mula komuniti Thai di Kelantan. Menurutnya, kepadatan petempatan
Thai dan dialek Tumpat-Tak Bai membayangkan mereka daripada punca yang
sama.?Berdasarkan pendekatan ini, Golomb menyimpulkan kebanyakan penduduk Thai
Kelantan berasal dari daerah Tak Bai. Semua,
kecuali tiga kampung Thai di Kelantan berkongsi dialek tempatan yang sama.
Pengecualian ini, termasuk dua komuniti pinggir pantai menghala ke Terengganu.
Saya berpendapat dengan penuh yakin perkampungan tersebut ialah Balai dan
Semerak. Dua petempatan ini dengan koloni kecil imigran pedalaman, bercakap
dalam dialek yang berbeza ketara daripada segi sistem bunyi berbanding
Tumpat-Tak Bai. Perbezaan dialek petempatan tepi pantai ini menerangkan migrasi
yang berdikari, mungkin dengan bot di sepanjang pinggir pantai dari kawasan
utara Thailand. Sebenarnya dialek Thai Kelantan tidak merujuk kepada daerah Tak
Bai semata-mata, malahan merangkumi keseluruhan Wilayah Narathiwat. Menurut
Golomb lagi, penduduk asal merupakan sekumpulan orang muda yang di kenali
sebagai nakleng yang mengembara
mencari kawasan pemburuan baru. Dalam kumpulan tersebut terdapat juga ahli
menora yang mempersembahkan tarian tersebut di setiap tempat yang disinggahi.
Kajian ini mempunyai persamaan dengan kajian Mohamed Yusoff (1993: 19) di
Kampung Aril, Jajahan Kota Bharu. Menurutnya, Aril asalnya didiami oleh orang
Melayu tetapi telah bertukar menjadi hutan belukar kerana kehadiran babi hutan
yang mengancam dan merosakkan hasil tanaman mereka. Kebetulan kumpulan nakleng melintasi kawasan tersebut dan ditawarkan oleh ketua kampung
untuk membuka semula kampung tadi dan sekaligus mewujudkan perkampungan Thai di
Aril. Semasa menulis mengenai pengaruh Siam dan Buddha terhadap kepercayaan
Orang Melayu di Kelantan, Mohamed Yusoff (1996: 24) menyatakan beberapa
perkampungan Siam di Kelantan telah dibangunkan semenjak lebih daripada seratus
tahun yang lepas. Malahan sebelum inipun, beliau telah menyatakannya sebagai: Written
records concerning the establishment of Siamese villages in Kelantan are not
readily available and the dates of their foundation still remain a matter of
speculation, but oral tradition indicate that these settlements are over 100
years old. In some places Siamese villagers are known to predate their Malay
neighbours. The migration of Siamese settlers from southern Thailand was a
regular occurance until the turn of the century. The prevailing social and
political circumstance of the period obviously facilated Siamese migration into
Kelantan. Most significantly, Siamese migrants faced very little resistance from
the existing Malay peasantry since the former did not compete with the latter
for agricultural land (Mohamed Yusoff 1990: 56). Jika dilihat daripada segi masa,
pengkaji sebelum ini menganggarkan perkampungan Thai sudah wujud lebih daripada
100 tahun. Manakala ada pengkaji lain menganggarkan lebih daripada 200 tahun.
Wang Gungwu (dlm. Winzeler 1985) menyebut, pada akhir abad ke 18 ada lelaki Cina
yang mengahwini gadis Thai. Malangnya, beliau seolah-olah menarik balik
kenyataan tersebut dengan menyatakan mungkin gadis yang dikahwini itu bukan Thai
asal tetapi dibawa dari tempat lain. Pendekatan linguistik juga pernah digunakan
oleh Winzeler (1985). Beliau mengemukakan hujah menarik berkenaan asal Thai
Kelantan. Menurutnya, mereka mendiami berdekatan sempadan yang di huni oleh
masyarakat pra-moden Thai di Wilayah Selatan Thailand. Ada bukti menerangkan
hampir keseluruhan penempatan Thai (melainkan beberapa kampung terletak di timur
jauh lembangan Kelantan) mempunyai hubungan dengan rumpun di sebelah sempadan di
Wilayah Narathiwat dan kemungkinan kesemua berasal daripada enklaf yang lama
wujud dalam wilayah Melayu mewujudkan perbezaan dialek, Tak Bai misalnya, satu
Jajahan Narathiwat mempunyai perbezaan dialek dengan Wilayah Selatan lain-lain
dialek Thai. Walau bagaimanapun ini tidaklah bermakna penutur dialek Tak Bai
berasal daripada penempatan asal (original settlers), ia mungkin, malahan
menyerupai, yang mereka adalah keturunan daripada migran kemudian yang telah
diasimilasikan ke dalam komuniti sedia ada. Setengah maklumat mencadangkan
penyelerakan dan pergerakan pada masa lepas adalah perkara biasa dalam bentuk
petempatan Thai. Jika asal orang Kelantan dan Tak Bai tidak jelas, sejarah
mereka adalah sedikit kurang. Satu persoalan ialah tentang hubungan antara
pembangunan etnik lepas dan abad ke 19 dan 20 pada perluasan metropolitan Thai
dan penggabungan dalam wilayah berkenaan. Menurut sejarah, sebelum ini pada abad
ke 19 pemerintah Thai telah lama menuntut sebagai tuan kepada Kelantan dan
negeri utara Melayu, kecuali kes Patani yang menjadi sebuah kerajaan Melayu (Winzeler
1985: 68). Ini berlaku sebelum penyerahan hak Bangkok kecuali Patani kepada
Great Britain pada tahun 1909, yang pada masa itu petempatan Thai telah lama
wujud. Cuma persoalannya sama ada ia berkembang hasil daripada keterlibatan
kerajaan Thai. Graham (dlm. Winzeler) membuat banyak rujukan tentang orang Thai,
ia mengundang banyak kekeliruan. Beliau menyatakan terdapat dua kampung (tidak
di kenal pasti) boleh dikaitkan dengan pelanggaran Thai pada 60 tahun sebelum
ini (1840-an), tetapi tidak menyumbangkan dengan banyak kepada jumlah penduduk
Thai atau sebarang pergerakan ketenteraan lain. Di sini tidak ada bukti yang
mengaitkan usaha kerajaan Bangkok mempromosi kemasukan orang Thai ke wilayah ini,
atau tindakan mereka sendiri bermigrasi di bawah penguasaan kerajaan Thai.
Menurut Mohamed Yusoff (1993: 18) kewujudan perkampungan Thai di Kelantan tidak
ada kaitan dengan polisi kolonial kerajaan Siam. Walaupun, Siam mempunyai minat
yang tinggi ke atas negeri Melayu, tetapi ia bukan bertujuan mewujudkan
kota-kota Siam, kerana tujuannya menghalang pengaruh Burma dan Inggeris. Malahan,
tidak ada bukti yang menunjukkan perkampungan Thai dibangunkan atas perintah
Bangkok (Kershaw dlm. Mohamed Yusoff 1993: 18). Persoalan kedua, tentang saiz
populasi Thai di Kelantan sebelum dan selepas perlindungan British pada tahun
1909. Menulis pada tahun 1907, Graham (dlm. Winzeler) menganggarkan bilangan
penduduk Thai adalah 15,000 orang dan mencatitkan konsentrasi mereka adalah di
persisir pantai negeri. Jika anggaran ini adalah benar, populasi Thai telah
berkurang lebih daripada satu-setengah (one-half) dan berkurang kepada satu
perempat daripada anggaran penduduk kini lebih daripada dua kali ganda jumlah
300,000 yang beliau kemukakan. Graham juga mencatatkan terdapat lebih daripada
40 biara Thai, sedangkan kini tinggal separuh daripadanya. Kemerosotan yang
besar berlaku kepada orang Thai pada banci pertama pada tahun 1911, apabila
kurang daripada 5,000 orang direkodkan. Satu kemungkinan besar kekurangan Thai
Kelantan ialah mereka meninggalkan Kelantan apabila Bangkok melepaskannya kepada
kerajaan British. Berdasarkan kiraan Graham, tulisan sebelum penyerahan Kelantan
kepada British, orang Thai hidup dengan aman dan bahagia. Walaubagaimanapun,
tidak ada bukti pergerakan keluar daripada negeri atau akibat daripada
ketidaksenangan di bawah kawalan British. Kemungkinan yang selesa ialah Graham
memasukkan sekali bilangan ethnik Thai di Thailand apabila sempadan Kelantan dan
Thailand ditetapkan pada tahun 1909. KOMUNITI
THAI KEDAH Perbincangan
mengenai orang Thai Kedah sering kali dikelirukan oleh istilah Sam sam[3].
Sam sam merupakan hasil daripada percampuran antara Melayu dengan Siam; Melayu,
Cina dan Siam; atau antara Siam dengan keturunan asal Langkasuka, atau Ligor
yang lain. Pada abad ke 18 dan ke 19, petani penutur-Thai dari selatan Thailand
telah bergerak masuk ke utara Kedah. Mereka ini di kenali sebagai Sam sam (Banks
1983: 22). Mereka ini sangat miskin dan terbahagi kepada dua kumpulan agama;
Buddha dan Islam. Pada tahun 1900-1920-an Sam sam menduduki Perlis, Padang Terap
dan Kubang Pasu (Cheah Boon Kheng 1981b: 3). Dalam perangkaan penduduk tahun
1911 terdapat seramai 22,852 orang Thai dan Sam-sam di Kedah (Zaharah dlm. Noor
Aini 1982: 219).?Seorang pengkaji, Archaimbault (1957) telah melakukan
penyiasatan yang baik untuk mengenali orang Sam sam ini. Pada tahun 1956, beliau
telah membuat kerja lapangan di kalangan penganut Buddha di Kampung Naka, Padang
Pusing, Titi Akar, Begia dan Kalai, dan di kalangan orang Islam di Ko Klang, Gua
Musang dan Ta Kuan di Perlis. Maklumat daripada respondennya menunjukkan Sam sam
telah bergerak dari Nakhorn Sithammarat dan Songkhla satu atau dua abad yang
lepas. Menurut sejarah/catatan tahunan Pathalung (dlm. Archaimbault 1957: 75),
krisis ekonomi yang teruk di sekitar Songkhla pada 1831 telah menolak
penduduknya keluar secara besar-besaran. Sebelum itu, W. W. Skeat (dlm. Cheah
Boon Kheng 1981a: 99) sewaktu melawat Perlis menyebut; The Sam sam were “always Malays who had turned Siamese in everything but their religion; they seldom, if ever, become Buddhists. “Malaysising Siamese” were, however, called Ma’lap (Arabic - “converts” or “proselytes” and often turned Muslim because they had a Malay wife, but “their hearts remained untouched, though their children usually grew up to be convinced Muslims. Neither “Malaysising Siamese” nor Sam sam were particular about their diet and ate “unclean” things such as tortoises (kura-kura) and generally gave up attendance at the mosque. Kenyataan
W. W. Skeat ini turut disokong oleh Tunku Abdul Rahman (dlm. Cheah Boon Kheng
1981a: 99 & 1981b: 3) yang pernah menjadi pegawai daerah Kuala Nerang yang
menyatakan Sam sam tidak mengambil berat hal-hal berkaitan agama. Beliau juga
menjelaskan Sam sam hanya boleh di kenali melalui percakapan/loghat mereka dan
hanya terdapat di Kampung Tolah, Kuala Nerang, Kedah; manakala yang berasal dari
Perlis dan Setul bukanlah Sam sam. Walau bagaimanapun, tulisan dalam kajian ini
tidak merujuk kepada Sam sam , sebaliknya berkenaan orang Thai yang sebenarnya.
Menurut Gullick (1983: 35), orang yang bertanggungjawab merancang dan menguasai
Kedah pada tahun 1821 merupakan Gabenor Siam di Wilayah Nakhon Sithammarat.
Beliau juga merupakan orang yang bertanggungjawab mengawasi penghantaran ufti
oleh Kedah dan Kelantan. Gabenor ini lebih di kenali sebagai Raja Ligor, tetapi
harus ditekankan, Raja Ligor adalah Siam dan bukannya Melayu. Sebenarnya, Siam
telah menyerang Kedah selama tiga kali iaitu pada tahun 1821, 1831-32, dan
1838-39. Orang Melayu yang marah dengan serangan itu, telah bertindak balas
dengan sungguh-sungguh apabila Siam menyerang semula pada 1831-32 dan 1838-39 (Kobkua
1986: 37). Malahan, menurut Kobkua (1986: 42) lagi, ketika di bawah Siam, Kedah
dibahagikan kepada empat kawasan: Kedah, Setul-Lingu, Kubang Pasu, dan Perlis. ASAL
THAI KEDAH Ghulam-Sarwar
(1982: 53) secara tidak sengaja mengaitkan perkampungan di Kedah dengan imigran
Thai. Kajian asalnya Nora Chatri; dikatakan ia dibawa bersama imigran ketika
zaman keagungan pengaruh Siam, dimainkan di Naka, Jitra, Kodiang, Baling, dan
daerah Pedu. Berdasarkan kajian Noor Aini (1982), walaupun penduduk Thai di
Baling dilahirkan di Baling, namun ibubapa dan nenek-moyang mereka berasal dari
Thailand. Sebahagian besar daripada ibubapa mereka datang dalam kurun ke 19 dan
sering berkunjung ke selatan Thai seperti di Songkla, Pattani dan lain-lain
daerah untuk melawat kaum keluarga. Namun satu lagi perkara yang harus
ditekankan ialah bahawa walaupun kebanyakan daripada mereka datang dari selatan
Thai namun mereka adalah orang-orang Thai jati dan bukan Sam sam. Menurut
responden hampir seratus peratus dari penduduk Thai di Baling menganuti agama
Buddha dan ciri-ciri kebudayaan Thai dan bukan pula berbangsa Melayu. Namun
Zaharah Haji Mahmud, menjelaskan perbezaan antara: the
pure Thai, that is those ethnically and culturally Thai who come mainly from the
Menam Valley and the Samsam who are Thai speaking peoples, usually Muslim but
not necessarily so.... the Samsam posses ethnic and cultural traits similar to
the indegenous Malays. Kenyataan
Zaharah menimbulkan satu kerisauan baru kepada pendokong teori orang Thai masuk
dari selatan. Beliau membuat kesimpulan bahawa kebanyakan orang Thai Jati
berasal dari Lembah Menam Chao Phraya sedangkan yang berasal dari Selatan (Satun,
Yala dan Narathiwat) adalah Sam-sam. Jadi, pendapat bahawa orang Thai jati di
Baling berasal dari Selatan Thai merupakan kes yang berlainan daripada apa yang
dikatakan oleh Zaharah. Permasalahan ini cuba diselesaikan oleh Noor Aini secara
bijak. Menurutnya, ada kemungkinan orang Thai Baling yang datang dari selatan
ini adalah mereka yang suatu waktu pernah berpindah dari Lembah Menam ke Selatan
dan berpindah pula ke Baling. Pada tahun 1909 kerajaan Thai telah menyerahkan
negeri Kedah yang di bawah naungannya sejak sebelum 1821 lagi kepada kerajaan
Inggeris. Penyerahan ini telah memberi kesan terhadap komposisi penduduk negeri
Kedah di waktu itu hinggalah ke hari ini. Akibat daripada penyerahan itu,
terdapat ramai penduduk Thai yang tinggal di kawasan sempadan terutamanya di
negeri Kedah telah berpindah keluar ke negeri Thai semula. Menurut banci
penduduk pada tahun 1911, bilangan penduduk Thai jati di negeri Kedah hanyalah
seramai 8,135 dan Samsam pula seramai 14,717 orang sahaja (m.s. 200 & 202).
Manakala pada akhir kurun ke 19 penduduk Thai di negeri Kedah, adalah seramai
30,000 orang. Bancian penduduk pada tahun 1921 pula tidak langsung dapat
mencatitkan bilangan penduduk Thai di negeri Kedah. Noor Aini (1982)
menyimpulkan kedatangan orang Thai ke Kedah dan Baling kepada tiga peringkat.
Pertama, antara tahun 1821 sehingga 1843 dimana kemasukan begitu pesat.
Peringkat kedua ialah antara tahun 1843 sehingga 1909 di mana kemasukan
berkurangan. Peringkat ke tiga adalah kemasukan selepas 1909 di mana kemasukan
menjadi begitu kecil jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Ketika
kerajaan Thai memerintah Negeri Kedah (1821-1843), orang Thai yang tinggal dalam
kawasan sempadan telah berpindah, terutama ke kawasan yang berhampiran dengan
sempadan. Antara kawasan ini termasuklah Baling yang terletak kira-kira 15 batu
dari sempadan. Walaupun selepas tahun 1843 negeri Kedah telah diperintah semula
oleh Sultan Kedah dan kemasukan orang Thai ke Kedah telah berkurangan, namun
masih terdapat orang Thai yang memasuki kawasan di Kedah yang berhampiran dengan
sempadan. Kampung-kampung
orang Thai yang terdapat di Baling dewasa ini terdiri daripada Kampung Wat Dalam,
Wat Luar, Baling Dalam, Tas, Serako, dan Kampung Pegang. Menurut responden,
tarikh pembukaan kampung-kampung ini tidaklah dapat diberikan dengan tepat.
Namun begitu, mereka percaya kampung-kampung ini dibuka sebelum kurun ke20 lagi.
Ini adalah berdasarkan kepada kenyataan bahawa ibubapa dan saudara mara mereka
yang dikatakan berasal dari Thai itu telah tinggal di kampung-kampung tersebut
sejak sebelum tahun 1900 lagi. KATA
AKHIR Di
Kedah, walaupun perbincangan diganggu oleh istilah Sam sam; namun jika diteliti
maknanya, Sam sam tidak semestinya wujud di Kedah dan Perlis sahaja, malahan
juga terdapat di Kelantan dan Terengganu. Jadi, saya berpendapat ia wajar
diketepikan kerana perbincangan yang terlalu keatasnya bukan sahaja mengundang
kekeliruan, malahan agak terkeluar daripada tujuan asal kajian. Berdasar
penulisan terdahulu, sumber utama adalah cerita lisan. Penulisan awal lebih
menyakinkan kerana jarak masa responden menuturkan kembali kisah lebih hampir
dengan jangkaan mereka mula bertapak. RUJUKAN Alias
Muhammad. 1977. Intelijensia Melayu
Kelantan: satu pandangan awal. Kota Bharu: Mohd Nawi Book Store. Alias
Muhammad. t. Kelantan: politik dan dilemma
pembangunan. Kuala Lumpur: Utusan Melayu. Archaimbault,
C. 1957. A preliminary investigation of the Sam sam of Kedah and Perlis,
terjemahan oleh Peacock, B. A. V. Journal
of Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society 30: 75-92. Banks,
David J. 1983. Malay kinship.
Philadelphia: Institute for the Study of Human Issues. Cheah
Boon Kheng. 1981a. Social banditry and rural crime in North Kedah, 1909-1929.?Journal
of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society 54: 98-130. Cheah
Boon Kheng. 1981b. Jenayah-jenayah di sempadan Kedah-Siam di antara tahun-tahun
1900-1920-an. Konvensyen Sejaran Negeri Kedah. Anjuran Kerajaan Negeri Kedah
Darul Aman. Wisma Negeri, Alor Setar. 28-1 Disember 1981. Ghulam-Sarwar
Yousof. 1982. Nora Chatri in Kedah: a preliminary report.?Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society 55:
53-61. Golomb,
Louis. 1976. Ethnicity and socioeconomic
adaptation in a Kelantanese Thai enclave. Stanford University, Ph. D. Gullick,
J.M. 1983. Kedah 1821-1855: years of exile and return. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society 56:
31-86. Ishii,
Yoneo. 1993. Sejarah Sangha Thai: hubungan Buddhisme dengan negara dan masyarakat,
terjemahan Mohamed Yusoff Ismail. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Kerajaan
Malaysia[4].
1995. 1991 Banci penduduk dan perumahan
Malaysia: laporan penduduk negeri, Kelantan; Terengganu; Pahang; Johor; Melaka;
Negeri Sembilan; Selangor; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Perak; Kedah; Pulau
Pinang; Perlis; Sarawak; Wilayah Persekutuan Labuan; dan Sabah.?Kuala
Lumpur: Jabatan Statistik. Kobkua
Suwannathat-Pian. 1986. The 1839-41 settlement of Kedah: the Siamese
compromise.?Journal of the Malaysian
Branch of the Royal Asiatic Society 59: 33-48. Mohamed
Yusoff Ismail. 1990. Budhism among the Siamese of Kelantan: minority religion in
a Muslim state. Jurnal antropologi dan
sosiologi 18: 55-69. Mohamed
Yusoff Ismail. 1990a. Membuat pahala sebagai ritus kebiaraan di kalangan
penganut agama Buddha di Kelantan. Sarjana
6: 51-67. Mohamed
Yusoff Ismail. 1995. Buddhisme dalam persekitaran Islam: adaptasi sosial dan
budaya biara Buddhis di Kelantan. Dlm. Mostafa Kamal Mokhtar et. al. (pnyt.). Karya
Darma II: kemanusiaan dalam pembangunan. Bangi: Universiti Kebangsaan
Malaysia. Mohamed
Yusoff Ismail. 1996. Pengaruh Siam dan Buddha terhadap sistem kepercayaan
tradisional Orang Melayu Kelantan. Akademika
49: 23-37. Noor
Aini Saad. 1982. Kedatangan orang-orang Thai ke Baling, Kedah, hingga 1950.?Dlm.
Kratoska, P.H. (pnyt.) Penghijrah dan
penghijrahan. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. Winzeler, Robert L. 1985. Ethnic relations in Kelantan: a study of the Chinese and Thai as ethnic minorities in a Malay state. Singapore: Oxford University Press, East Asian Social Science Monographs. [1]
Istilah biara telah diperkenalkan di Malaysia oleh Mohamed Yusoff (1990,
1995, & 1996) yang diambil daripada perbendaharaan Indonesia.?Penganut
agama Buddha di Indonesia bertutur dalam bahasa Indonesia; berbeza dengan
penganutnya di Malaysia yang bertutur dalam bahasa ibunda; ini menjadikan
peristilahan agama di Indonesia lebih menyeluruh.?Kebiasaannya dalam istilah
bahasa Malaysia, biara disebut kuil; manakala di Kelantan ia disebut ketik
atau wat.?Biara berasal daripada istilah Pali vihara.?Sebenarnya terdapat
perbezaan antara biara dan kuil.? Istilah kuil lebih mirip kepada temple
atau monastery dalam bahasa Inggeris, manakala biara lebih merujuk kepada
tempat tinggal golongan bikhu.?Dalam biara terdapat bangunan-bangunan
seperti; boot (tempat pentahbisan
dan upacara keagamaan), mae tik (tempat
tinggal ketua sami dan upacara agama), rong
tham (dewan sembahyang), kut (tempat
tinggal bikhu), khrua (dewan makan),
rong rian (sekolah) Thai, rong
sop (tempat menyimpan mayat), bua
(tempat menyimpan abu/tulang mayat), tempat rekreasi dan sebagainya
berdasarkan inisiatif dan kepandaian ketua bikhu biara tersebut. [2]
Biara ini telah dimajukan semula oleh seorang bikhu dari Thailand (bikhu
mengembara atau phra chudong)
dengan bantuan kewangan orang kampung dan masyarakat Cina sekitar Kelantan. [4]
Sumber ini merupakan gabungan daripada setiap laporan yang berasingan tetapi
sengaja disatukan. |
|
![]()
|