|
Kandungan |
PERSATUAN SIAM MALAYSIA (PSM) KEKALKAN ISTILAH SIAM KANGAR 16 FEB -
Persatuan Siam Malaysia (PSM) akan mengekalkan penggunaan istilah Siam bagi
merujuk kepada kaum itu meskipun ada cadangan supaya ia ditukar kepada Thai.
Setiausaha Agungnya, Siw Chun a/p Eam berkata, perkara itu tidak sepatutnya
dibangkitkan kerana ia telah diterima pakai oleh kebanyakan masyarakat keturunan
Siam di negara ini. Baru-baru ini
Setiausaha Agung Persatuan Belia Thai Malaysia, Manit a/l See Nam mempersoalkan
penggunaan nama Siam sedangkan menurutnya kaum itu lebih sesuai dirujuk sebagai
kaum Thai. Dalam ruangan forum sebuah akhbar tempatan 8 Februari lalu, Manit
mempersoalkan pertukaran nama Persatuan Thai Malaysia (PTM) kepada PSM hingga
boleh menimbulkan kekeliruan identiti masyarakat itu. Ketika ditemui Bernama
di sini hari ini, Siw Chun berkata, sebutan Siam telah dipersetujui dalam
perjumpaan membabitkan kira-kira 30 pemimpin masyarakat Siam seluruh negara di
Wat Teluk Wanjah, Alor Setar pada 1996. Sebutan Siam telah diguna pakai sebagai
pengenalan identiti keturunan Siam di negara ini sebagai kaum Bumiputera bukan
Melayu sebagaimana termaktub dalam Enakmen Tanah Negeri Kedah dan Enakmen Tanah
Persekutuan. Merujuk fakta
sejarah, Chun berkata, Thailand pernah dikenali sebagai Siam sebelum revolusi
1932 kerana penduduk utamanya adalah berketurunan Siam. Chun yang juga pengerusi
PSM Perlis berpendapat, istilah Thai hanya sesuai bagi merujuk kepada pelancong
atau kumpulan orang atau warganegara Thailand yang melawat negara ini. Chun berkata, orang
Siam di Malaysia tidak terbabit dengan revolusi 1932 dan tidak wajar nama bangsa
itu diubah sebagaimana yang berlaku di Thailand. Menurut beliau, jika dirujuk
kepada perlembagaan negara terutama yang berkaitan dengan tanah iaitu Enakmen
Tanah Simpanan Melayu 1913, perkataan atau istilah Siam juga digunakan untuk
mereka. Katanya, PSM kini
mempunyai 4,000 anggota di seluruh negara.-Bernama. Kenyataan
akhbar oleh Setiausaha Agung PSM, Siw Chun a/l Eam pada 16 Februari 2001 dan
disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 17 Februari 2001. |
|
![]()
|