Hujan renyai-renyai menyambut kedatangan
malam yang baru bermula. Mmm... terasa ingin tidur tetapi mata belum
mengantuk. Tina mencapai diari, wah! terlupa pula akan datenya dengan
officemate untuk berlibur hujung minggu itu. Tina menguap beberapa kali.
Telefonnya berdering. Tertera nama Jasni. Hmm... aku ingatkan dia dah
lupa, rupanya tak. Desis hati Tina.
"Hello, Tina,"
"Hmm, apa dia?"
"Boleh tanya aku apa dia, jadi tak ni nak
pergi."
"Jadi. Aku ingat kalau kau tak telefon
tadi aku layan tidur lagi best."
"Pukul berapa kau nak datang ambil aku ni?"
"Wayang tu mula jam berapa?"
"8.30 la."
"Ok. Kasi aku dalam masa 20 minit lagi
aku sampai la rumah kau."
"Ok, set, aku tunggu ni, jangan tak
datang pula."
Tina menggeliat malas. Cemburu sungguh si
Jas ni, aku nak rest sikit pun tak nak kasi can. Getusnya lagi.
Mengingatkan temannya yang pantang kalau janji dibatalkan saat akhir
Tina segera bersiap..
Tepat jam 8.00 malam Tina menjemput Jas.
"Wah, tepat pula kau kali ni yer," sindir Jas.
"Ye lah cerita best, mesti aku kena cepat,
kalau tak jangan harap."
"Best ke ceritanya, aku takut nanti
aksinya lebih, seramnya tidak," Tina cuba berseloroh.
"Weh kau ni tak sayang mulut betullah,
ingat sikit kita nak balik Shah Alam, jauh tu. Malam pulak..."
Mereka memilih tempat duduk paling tepi.
Tina membiarkan kerusi di sebelahnya kosong. Senang nanti nak keluar
cepat, fikir Tina. Tepat 8.30 lampu semua dipadamkan. Selama 10 minit
mereka bergelap. Tina mula gelisah meraba Jas di sebelah.
"Biar betul diaorang ni, biarkan kita
bergelap begini," bisik Tina pada Jas.
"Eh tangan kau sejuk la," Jas menyedari
perubahan pada Tina.
Terasa bulu romanya meremang. Seperti ada
sesuatu sedang memerhatikannya. Dan serentak dengan itu Tina terkejut
apabila tiba-tiba muncul lembaga dengan hilaian yang panjang. Tina
mengurut dada untuk menenangkan diri hanya cerita sahaja, fikirnya.
Mengucap panjang dia kerana dikejutkan oleh permulaan cerita tersebut.
Dia mencari tangan Jas dan memegangnya erat. Jas yang menyedari
perubahan Tina membiarkan sahaja.
Mata mereka kemudiannya memberi penuh
tumpuan pada lakonan dan aksi di pentas. Walaupun sesekali Tina
merasakan tidak sepenuh hati untuk meneruskan tontonan, namun dia tetap
bersabar menunggu hingga ke penghujung cerita. Jam 12.00 malam cerita
habis. Namun dalam fikiran Tina masih lagi menerawang aksi-aksi seram
sebentar tadi. Tina merasakan keyakinan dalam dirinya mula kendur.
"Kenapa dengan kau ni, tanya Jas.
"Aku rasa lain macam la, kau tidur rumah
aku boleh tak?"
"Tak boleh, aku ada hal esok."
"Ok la, tak apa," Tina seakan merajuk.
Keretanya memecut dengan kelajuan 100
km/jam. Tina mahu cepat sampai. Selepas sampai tol Batu Tiga, Tina
berkira-kira sama ada mahu menghantar Jas balik atau tidak. Tina
terpaksa mengalah apabila Jas berkeras tidak mahu mengikutnya pulang.
Dia menyedapkan hatinya agar tenang. Sesudah membelok selekoh terakhir
ke rumah Jas, hatinya kembali tenang. Tina meneruskan perjalanan untuk
ke rumahnya. Selepas melalui satu selekoh tiba-tiba dengan tidak sengaja
kakinya menekan brek.
Apa hal pulak ni. Tina cuba menghidupkan
enjin kembali. Enjin keretanya tidak juga dapat dihidupkan. Hatinya mula
digaru resah. Melirik jam, sudah pukul 1.00 pagi. Patutlah... Tina
mencapai tisu mengelap peluh yang laju membasahi wajahnya. Mencuba
membaca ayat Kursi. Keretanya dapat dihidupkan kembali. Dia mengurut
lega.
Tina
menekan pedal minyak, kelajuan mencecah 130 km/jam tanpa disedarinya,
namun papan tanda ke rumahnya masih juga belum kelihatan. Walhal
biasanya perlu memakan masa 20 minit sahaja. Sekarang sudah jam 2.30.
Peluh laju semakin deras mengalir. Tina menghimpunkan segala tenaga bawa
bertenang. Akhirnya papan tanda ke rumahnya kelihatan juga. Tina
mengurut dada lega. Dengan tangan yang masih lagi terketar-ketar dia
mematikan enjin dan terus berlari masuk ke rumah. Seminggu kemudian Jas
mengajak lagi dia keluar malam. Tapi Tina menolak kerana Tina seakan
serik untuk keluar malam.