Kalau sebelumnya Rosnah seringkali
tergelak kecil tidak percaya apabila mendengar kawan-kawannya bercerita
soal misteri. Tetapi apa yang dialaminya malam minggu lalu, benar-benar
menyedarkan dirinya bahawa makhluk halus memang wujud di alam ini.
Rosnah masih ingat lagi, malam itu
syarikat tempatnya bekerja menganjurkan jamuan makan malam tahunan, di
salah sebuah hotel terkemuka di tengah-tengah ibu kota. Sungguhpun
majlis tamat sebelum menjelang tengah malam, namun disebabkan hujan
turun dengan lebatnya, Rosnah nyaris-nyaris tertinggal bas untuk pulang
ke rumah. Bersama-sama Mona yang kebetulan mendiami kawasan perumahan
berhampiran, mereka duduk di belakang perut bas kerana tahu-tahu ajelah
kalau perkhidmatan bas terakhir, pasti penuh penumpang.
Selepas membayar tambang kepada konduktor
bas, mereka berborak-borak kosong. Bas pula laju memecut keheningan
jalan raya. Hanya sesekali berhenti menurunkan penumpang apabila loceng
dibunyikan. Sedang asyik Rosnah dan Mona bersembang, pemandu bas
tiba-tiba menekan brek kecemasan.
Kedengaran pemandu merungut-rungut marah
pada sesuatu yang mereka sendiri tidak fahami butir bicaranya. Suasana
menjadi hingar-bingar, ada yang meluru ke hadapan untuk melihat apa yang
terjadi. Tidak kurang juga yang berpandang sesama sendiri,
tertanya-tanya.
"Bertenang, bertenang... jangan
kecoh-kecoh. Bukannya kita langgar orang tapi ada masalah teknikal sikit,
tak de apa-apa," kata konduktor bas sambil meminta beberapa pemuda yang
berada di belakang tempat duduk pemandu, kembali ke tempat masing-masing.
"Apa hal bang, tayar pancit ke?" Tanya
pula seorang gadis India kepada konduktor tadi. Rosnah yang tidak senang
duduk mula berdiri, meninjau-ninjau keluar tingkap untuk melihat
sekeliling. Tetapi keadaan lampu jalan yang agak malap, membataskan
penglihatannya.
Sambil mengangkat bahu dan
menggeleng-gelengkan kepala, konduktor tersebut kembali ke hadapan
semula.
"Eh Mona, kau agak-agak bas ni kenapa ha?
Kalau nak kata dia langgar orang, mesti kita dengar jeritan, tapi
entahlah, kan..." kata Rosnah cuba turun tetapi ditegah oleh Mona.
"Tak payahlah kita pulak nak turun, kan
ke hujan masih renyai-renyai. Biarkan mereka yang menyelesaikan, apa pun
masalah yang berlaku. Lagipun tak manis, kita orang perempuan menyibuk
tak tentu pasal, malulah...," ujar Mona berulang-kali.
Belum sempat Rosnah menyampuk kata-kata
Mona, bas kembali bergerak tanpa sebarang amaran, sehinggakan dua tiga
orang penumpang yang masih berdiri terhuyung-hayang mencari tempat duduk.
Dengan nada menjerit, pemandu bas meminta semua penumpang menutup
tingkap jika ada yang terbuka, atau tidak bertutup rapat.
"Cepat sikit...," ujarnya dengan suara
sedikit tenggelam-timbul kerana hujan lebat turun secara tiba-tiba.
Rosnah mula rasa tidak sedap hati. Kerana tidak mahu menakutkan Mona,
dia hanya mendiamkan diri. Dipandangnya wajah gadis India yang duduk
berhampiran dengannya tetapi sepantas itu juga, Rosnah memalingkan
mukanya ke hadapan.
Kelu lidahnya hendak berkata-kata,
hinggakan mahu mencuit tangan Mona pun dia tidak terdaya. Dalam hatinya
hanya mampu membaca, beberapa potong ayat suci yang sempat terlintas di
hati, itu pun ada yang lintang-pukang. Sambil berdoa agar bas cepat
sampai, Rosnah sebenarnya tidak pasti apakah yang perlu dilakukannya
sekarang.
Khayalannya terhenti apabila Mona
mengoncang-goncangkan bahunya sambil memberi isyarat, mereka sudah
hampir sampai ke hentian seterusnya iaitu pondok bas di hadapan taman
perumahan mereka. Tetapi peliknya walau berulang kali Mona membunyikan
loceng, pemandu tetap meneruskan perjalanan.
"Bang... berhentikanlah bas! Rumah kami
dah terlepas ni, tak dengar ke?" Kata Mona dengan nada separuh marah.
Tidak mempedulikan permintaan Mona, bas terus dipandu laju sehinggalah
tidak lama kemudian, pemandu membelokkan bas masuk ke dalam kawasan
balai polis.
Apa lagi, sepantas kilat dia membuka
pintu bas dan meluru ke perut balai diikuti beberapa penumpang lain.
Rosnah yang sedari tadi seperti dipukau, turut mengambil tindakan serupa
dengan menarik sekuat hati tangan Mona agar menurutinya.
Beberapa anggota polis yang masih
bertugas, keluar mendapatkan mereka dan setelah pemandu dan konduktor
menceritakan segala-galanya, barulah Mona tahu keadaan sebenar. Itu pun
puas Rosnah mengiakan apa yang diperkatakan, sebagai bukti dia turut
melihat kejadian tersebut.
Sah!
Seperti mana yang Rosnah nampak, memang gadis India itu tidak berkepala
dan itulah puncanya pemandu bas melakukan brek kecemasan. Ini kerana dia
sendiri tergamam apabila kepala gadis itu, melayang-layang di hadapan
cermin hadapan bas. Peliknya apabila diperiksa, gadis India itu tiada di
tempatnya, tetapi bas tersebut berbau busuk dan hanyir...