PRABICARA
Assalamualaikum WBT. Salam Siber kepada semua pengunjung laman web peribadi saya ini. Pada mulanya saya kurang berminat untuk membina laman web untuk diri sendiri. Sejak menceburi dalam bidang IT sejak tahun 1986, ketika itu baru tingkatan 4 di Kolej Sultan Abdul Hamid (tiada website), Alor Setar, inilah kali pertama saya terfikir untuk mempromosi diri dan kebolehan saya kepada umum. Saya mula belajar kod/tag html dari SELEMANN, WEBMASTER MELAYU.COM pada akhir tahun 1997. Selepas SELEMANN berangkat ke Korea Selatan untuk melanjutkan pengajiannya di salah sebuah universiti di sana, saya terputus hubungan dengannya. Mungkin sibuk belajar. Selain itu, saya juga berkesempatan berkenalan dengan Tn. Hj. Md. Din Hassan pensayarah IT dan TOK PENGHULUMPSAH Melalui talian siber. Walaupun sampai sekarang kami belum bersua muka, tapi boleh dikatakan mesra juga kerana kerap kami bertukar-tukar pendapat melalui ruangan siber yang tiada batasan ini.
PEMBINAAN LAMAN WEB SEKOLAH
Semasa pembinaan Laman WebSMKSIK dimulakan, saya mendapat beberapa kesukaran untuk memperbaiki beberapa kelemahan yang ada. Maklumlah masih baru. Terpaksa bina dalam tempoh yang singkat kerana Tuan Pengetua ketika itu mahukan Tuan Pengarah Pendidikan Kedah merasmikan Laman Web SMKSIK sempena Hari Graduasi SMKSIK pada 10 November 1998 yang lalu. Jadi, saya bertungkus lumus siang malam bersama beberapa orang pelajar saya antaranya ialah Cik Lee dan Khainwar. Secara tidak langsung, mereka berdua sudah boleh membina laman web mereka sendiri. Saya masih lagi terkapar-kapar bagaimana hendak menjadikan laman web yang dibina ini bersesuaian dengan sekolah..? Saya pun melayari Internet dan melihat beberapa contoh hompej atau laman web dari Internet. Saya sempat berkenalan dengan En. Anuar Ahmad WEBMASTER TKC meminta panduan dan beberapa tips yang berguna. Nampaknya segala-galanya berjalan lancar. Laman web SMKSIK selamat dilancarkan oleh Tuan Pengarah Pendidikan Kedah.
Saya sememangnya bangga menjadi rakyat MALAYSIA kelahiran negeri bertuah Jelapang Padi Kedah Darul Aman. Justeru itu, saya banyak melibatkan diri dalam pembangunan insaniah di tempat kelahiran saya terutama mendidik anak-anak Kedah di luar bandar seperti daerah kesayangan saya iaitu Daerah Sik. Selain itu saya adalah seorang penulis yang banyak melibatkan diri dalam penulisan kreatif seperti skrip drama radio, drama pentas, puisi, lirik dan cerpen. Saya juga pernah menulis beberapa artikel yang berbentuk ilmiah. Sebagai ahli ASASI iaitu Angkatan Sasterawan Nasional Kedah, penglibatan saya dalam penulisan mendapat pengiktirafan, sokongan dan perlindungan.
Sekarang ini dengan kesibukan sekarang, saya kurang aktif dalam penulisan. Kesibukan saya adalah disebabkan sekarang saya sedang menuntut ilmu Teknologi Maklumat dalam jurusan Software Development di COSMOPOINT cawangan Sungai Petani. Walaupun saya seorang guru, tapi saya merasakan ilmu IT yang saya ada sekarang belum mencukupi untuk mengejar dunia Pendidikan Berteraskan IT yang kian mencabar.Ini bertepatan dengan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia yang mahukan para pendidik mendalami teknologi maklumat. Menjelang alaf baru, saya perlu bersedia untuk menghadapinya.