CEREK / KECEREK

Alat idiofon berbentuk 'bilahan'. Lazimnya diperbuat daripada buluh dan berukuran 45 sentimeter panjang dan 6 sentimeter lebar. Secara umum, ianya dikenali sebagai alat 'clappers' iaitu menggunakan prinsip 'clap' ataupun 'tepuk' untuk menghasilkan bunyinya. Alat ini disertakan secara berpasangan dan dimainkan oleh seorang pemain. Alat Kecerek ini sering digunakan dalam teater tradisional seperti 'Menora' oleh masyarakat tempatan berketurunan Thai di Kelantan, Mak Yong Laut di Perlis, Jikey dan Mek Mulung di Kedah.

Dalam persembahan berkenaan lazimnya disertai oleh beberapa orang pemain di mana seorang pemain akan memegang sepasang Cerek dan menghasilkan rentak secara 'unison'. Dalam konteks persembahan, alat 'Cerek' berperanan sebagai 'penanda masa' (time marker). Di kalangan masyarakat pribumi di Australia terdapat sejenis alat yang dinamakan 'boomerang' yang digunakan sebagai alat untuk memburu, tetapi dalam kontekstual muziknya, alat ini juga merupakan alat 'clapper' dan sering digunakan dalam nyanyian mereka.

Alat 'clapper' yang berbentuk seperti tangan dan diperbuat daripada gading dikatakan telah wujud di Mesir sejak 2700 S.M. Ianya digunakan untuk tarian bersama dengan alat 'lyre' sebagai alat melodi.

Di samping itu, sejenis alat 'clappers' seperti yang terdapat dalam permainan Wayang Kulit Kelantan, dikenali sebagai 'kayu pemetik' ataupun 'kayu kesah' adalah lahir dari idea yang sarna. Alat 'clappers' juga digunakan untuk menghalau burung atau binatang-binatang lain daripada memakan buah-buah yang berada pada pokok yang tinggi. Ianya dipasang pada pokok berkenaan kemudian ditarik dengan tali untuk menghasilkan bunyinya.

Pada zaman Greek Purba, alat 'clappers' yang dikenali sebagai upalon' dipasang pada tapak kaki pemain yang bertindak sebagai 'penjaga masa' (time keeper) dalam pementasan drama mereka.


Cerek atau Kecerek