|
Di Sini Dan Di Sana
Setiap kata terucap pasti ada maknanya Tuhan Yang Satu melihat kesemuanya Berkalimah mendayu ke hadrat-Nya Terasa kaku tidak bermaya Bagai tersentak voltan beribu kuasa Menggigil kemudian kepanasan Amat luar biasa.
Sedang diri diperangi sengsara Serambi Madinah terbayang di ruang mata Mencari iktikad dalam derita Menjelma seketika dosa demi dosa Terlihat air mata membasahi pipi Insaf kononnya.
Sungguh malang hamba Allah itu Berat mata memandang Berat lagi beban ditanggung Namun semuanya salah siapa Aku, engkau atau dia ?
Buat insan merdeka di muka bumi ini Sedarlah seketika kewujudan kita Sekadar penumpang pemandunya siapa ? Seandainya masih belum kenal kewujudanmu Segeralah mencari bahagia walau di mana Agar perjalanan hidupmu diberkati Di sini dan di sana...
Coretan :
Awangku Khairil bin Awangku Shamsuddin, Subang Jaya, Selangor (Ogos 1997) |
|