|
Dunia Si Petualang
Tercipta satu sandiwara Merentasi horizon kemanusiaan Berkamuskan perasaan Bersumberkan dengki lahirlah iri hati Menjahanamkan ketamadunan sejagat.
Mentera dibaca pesta pun bermula Muda-mudi terus berpeleseran Menegup dan ditegupkan Mentaliti dimatikan bersahaja Membunuh jiwa yang kian terseksa Melalui syaitan berimejkan manusia.
Sedang mencari tiada ketemu Dosa dan pahala baginya sama sahaja Terus menerus membuihkan mulut Mencerca dan menghina Tanpa jemu.
Persis lidah bercabang dua Natijahnya bisa membelenggu jiwa Sabar yang ditanam kian menghilang Lantaran digantung tanpa bertali Terhukum diseksa membunuh segalanya Hanya dengan sekalimah kata-kata.
Kelemahan diri nyata disembunyi Demi mencipta sejarah keagungan Bangga maruahnya di mana ? Lantas terilham suatu sempadan Siapa kawan siapa lawan ? Dalam perlumbaan menuju kegemilangan.
Di sebalik topeng-topeng keriangan Ketawa menghilangkan suramnya alam Tiada siapa yang tahu Pena berdakwat merah terus menari-nari Melakarkan irama penuh misteri Dendam dan harapan mula diukir Teguh terpahat dalam kalimat diri Satu demi satu.
Sekadar tersenyum tidak terkata Tangan dihulur penuh tanda tanya Sedar atau bermimpi di mana kehebatannya Menjatuhkan maruah diri Berani di belakang pengecut di hadapan Inikah manusia ? Inikah namanya khalifah di muka bumi ? Atau dalang yang tersembunyi Bersama petualang yang bermaharajalela.
Duniamu sungguh mudah Mencipta dan menghancurkan Sisa-sisa hidupmu diriwayatkan umpama dewata Yang ingin disanjung sebahagiannya dipuja Namun segala kegemilangan yang kau cipta Sia-sia umpama debu-debu berterbangan Tiada siapa yang perduli.
Kita kekadang terlalu optimistik Hinggakan lupa asal-usulnya Tersentuh di hati Tatkala laungan suci berkumandang "Allahu Akbar ! Allahu Akbar !" Maha suci Tuhan pencipta segala-Nya Semoga semuanya bertemu di sana Pentas pencerita segalanya !
Oleh :
Awangku Khairil bin Awangku Shamsuddin (Bachang Jaya, Melaka : 1998) |
|