|
|
|||
KISAH NABI NUH A.S Nabi Nuh berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun, mengajak mereka supaya meninggalkan Tuhan berhala dan kembali menyembah hanya kepada Allah yang Esa. Tetapi dalam waktu yang cukup lama itu Nuh tidak berhasil membimbing kaumnya ke jalan tauhid walaupun ia telah berusaha dengan keras untuk menyedarkan mereka melainkan jumlah yang amat sedikit sahaja , tidak sampai pun bilangannya 100 orang.Di atas kesugulan Nuh itu lalu Allah mewahyukan kepadanya, "Sesungguhnya tidak ada seorang pun lagi dari kaummu yang telah beriman kecuali mereka yang telah mengikutimua dan beriman terlebih dahulu, maka janganlah kamu bersedih hati diatas apa yang telah mereka perbuat." Dengan penegasan Allah itu maka lenyaplah harapan Nuh kepada kaumnya lalu beliaupun berdoa, " Ya Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari mereka yang kafir itu hidup dan tinggal di atas muka bumi ini. Mereka akan sentiasa berusaha menyesatkan hamba- hambamu, mereka akan melahirkan anak- anak kafir yang akan berbuat maksiat seperti mereka." Doa Nuh dimakbulkan Tuhan lalu Allah memerintahkannya supaya membuat sebuah bahtera dan jangan lagi menghiraukan kaumnya. Bahtera yang dibina itu hendaklah muat untuk mengisi semua mereka yang beriman serta dua pasang dari setiap jenis haiwan. Nabi Nuh segera mengumpulkan pengikutnya dan mereka membina bahtera di atas puncak bukit di luar kota. Sungguhpun pembinaan bahtera itu di luar kota namun Nuh tetap menerima ejekan dan sindiran dari kaumnya. Kata meraka, " Wahai Nuh! Sejak bila pula engkau menjadi tukang kayu dan pembuat kapal? Bukankah engkau seorang nabi? Bagaimana pula kamu hendak menarik kapal yang di puncak bukit ini dan jauh pula dari air?, Adakah kamu bermaksud menariknya menggunakan kerbau atau mengharapkan angin menmolaknya?" Jawab Nuh, " Tunggulah sahaja saatnya nanti, tiba masanya kami pula yang akan mengejek kamu." Setelah pembinaan selesai maka bercurahanlah air dari langit dan memancurlah air dari bumi dengan derasnya sehinggakan dalam sekelip mata saja bumi telah ditenggelami air dan tiada tempat yang lebih selamat lagi walaupun di puncak gunung melainkan bahtera Nabi Nuh. Belayarlah Nuh bersama- sama pengikut-pengikunya dengan selamat. Bila banjir telah mencapai puncak keganasannya dan hancur binasalah semua kaum Nabi Nuh yang kafir termasuklah anaknya sendiri sesuai dengan kehendak dan hukum Allah. Setelah lautan air surut ditelan bumi maka berlabuhlah bahtera Nabi Nuh di atas bukit 'Judie' dengan perintah Allah, "Turun kamu wahai Nuh ke daratan bersama kaum mukminin dengan selamat serta dilimpahi barakah dan pertolongan dari sisiKu untuk kamu dan bagi umat yang menyertaimu." Kisah
Nabi Nuh ada diceritakan dalam Al Quran pada surah Nuh 1-28 dan Hud
27-48 |
|