Pengklonan Manusia


Pengklonan bermula dengan saintis mengklon tumbuh-tumbuhan yang apabila ditanam akan menghasilkan beberapa anak pokok di akarnya. Kejayaan daripada pengklonan tumbuh-tumbuhan itu mendorong saintis menkaji kepada hal yang lebih jauh iaitu mengklon binatang dan manusia. Pengklonan manusia adalah proses mengambil gen atau sel matang seseorang untuk dijadikan seorang lagi manusia yang mempunyai kandungan genetik 100 % sama dengan induknya yang bererti dua orang mempunyai ciri fizikal dan kod genetik yang sama. 

Misalnya kajian yang dilakukan di Stemcell Sciences di Melbourne pada 1999 yang membabitkan pengambilan nukleus sel manusia yang mengandungi seluruh kod genetik manusia sebelum meletakkannya ke dalam nukleus kosong yang diambil daripada telur babi bagi membentuk embrio manusia. Kenyataan kajian itu diumumkan hanya selepas beberapa hari saintis di Italy dan Amerika Syarikat mengumumkan rancangan menghasilkan bayi klon yang pertama di dunia. 

Rancangan tersebut bukan sahaja menimbulkan kebimbangan masyarakat dunia tetapi telah menimbulkan kemarahan Majlis Gereja The New South Wales. Penyelidikan mengenai pengklonan manusia itu turut menerima bantahan daripada berbagai pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Majlis Eropah dan Majlis Perubatan di seluruh dunia. Namun begitu penyelilidikan terhadapnya terus dilakukan dan tidak mustahil telah ada hasilnya yang sengaja disembunyikan oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda yang tersendiri misalnya seperti apa yang digembar-gemburkan di dalam internet di dalam usaha mengklonkan kembali Jesus Christ yang telah disalib 2000 tahun lalu ( yang sebenarnya bukan Nabi Allah Isa menurut pandangan Islam ) dengan menggunakan sel-sel yang terdiri daripada darah dan badannya yang disimpan di gereja yang tertentu seluruh dunia. 

Perbuatan mengklonkan manusia lebih banyak membawa kemudharatan daripada kebaikan misalnya masalah perwarisan, zuriat dan identiti bayi yang diklonkan. Anak yang lahir daripada klon itu tidak dikenal dengan pasti zuriat keturunannya kerana di dalam proses klon, kehadiran ibu bapa tidak diperlukan kerana sel matang diambil daripada salah seorang dari mereka. Hasil daripada itu masalah perwarisan juga akan timbul kerana tidak jelas ibu bapanya dan juga masalah identiti bayi yang telah menjadi kabur disebabkan tidak jelas keturunannya. 

" Telah zahir kerosakan di daratan dan dilautan disebabkan usaha tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada ( akibat ) perbuatan mereka, supaya mereka kembali." ( Ar Rum : 41 )