Minuman Ringan : Pembunuh Paling Digemari

Pada tahun 1969, lebih 50% bayi di Zambia dilaporkan kekurangan zat kerana ibu-ibu yang menyusukan bayi mereka merupakan pengamal minuman ringan seperti coke dan fanta. Malah kebanyakan ibu-ibu ini menggunakan kedua minuman tersebut sebagai pengganti kepada susu badan. Akibatnya, hospital di Zambia dipenuhi oleh bayi-bayi yang kekurangan zat makanan dan digelar sebagai fantababy.

Pada tahun 1992, Singapura telah mengharamkan penjualan semua jenis minuman ringan berkarbonat daripada dijual di sekolah-sekolah di negara tersebut. Peraturan ini dikuatkuasakan apabila didapati bahawa minuman berkenaan mengandungi lebih 10% gula yang menyumbang kepada obesiti.

Pada tahun 1993, Child Dental Health (di Britain) mendapati bahawa 20% kanak-kanak yang meminum minuman ringan ini mengalami kerosakan hakisan gigi. Kajian mendapati bahawa, kerosakan gigi bermula dalam tempoh 45 minit selepas minum dan proses hakisan berlaku selama sekurang-kurangnya sejam.

Gula merupakan ramuan yang ‘wajib’ ada dalam minuman ringan. Menurut kajian yang dijalankan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), terdapat antara 4 hingga 15 sudu teh gula bagi setiap 300 hingga 500ml minuman ringan yang dikeluarkan, sedangkan kadar pengambilan gula yang dibenarkan dalam sehari adalah antara 8 hingga 11 sudu teh sahaja.

Gula merupakan bahan yang terlalu mudah merosakkan gigi, menambah risiko diabetes, sakit jantung, masalah kulit dan seribu satu penyakit lain yang tidak kurang bahayanya kepada tubuh badan manusia. William Dupty dalam bukunya yang berjudul Sugar Blues menyatakan bahawa, “… seperti candu, morfin dan heroin, gula adalah dadah yang membuatkan rasa ketagihan dan mampu membinasakan…” dan Beatrice Hunter dalam bukunya yang berjudul Consumer Beware menyatakan bahawa “… penyakit limpa selalu berlaku di kalangan remaja yang banyak mengambil minuman ringan…”

Lantaran itu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil langkah wajar apabila mendesak pengeluar-pengeluar minuman ringan ini untuk mengurangkan kadar kandungan gula dalam produk yang dihasilkan. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mencadangkan penggunaan gula gantian seperti aspartame yang memiliki 200 kali lebih rasa manis berbanding gula, tetapi memiliki kadar kalori yang cukup rendah.