Secebis Kehidupan Nabi

Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu 
menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan 
keluar Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang 
sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda 
menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. 
Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, 
beliau selalu membantu urusan rumahtangga. Jika mendengar azan, 
beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali 
sesudah selesai sembahyang." 

Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat 
lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk 
sarapan. 

Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka 
Nabi bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan 
mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan') 
Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai 
Rasulullah." Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari 
ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya. 

Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami 
memukul isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul 
isterimu?" 

Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat 
keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia." 

"Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Nabi s.a.w. "Aku menanyakan 
mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?" 

Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling 
baik dan lemah lembut terhadap isterinya."