Mengajar Anak Bersembahyang 

Tanggungjawab ibu bapa amat berat. Bagaimana hasrat dan keinginan yang terkumpul dalam hati untuk menjadikan anak sebagai anak soleh yang akan mendoakan di alam sana kelak, maka sudah pastinya sedari kecil kanak-kanak ini dididik dengan ajaran dan suruhan agama, terutamanya dalam bersembahyang. 

Islam mengajar ibu bapa bagaimana mendidik anak-anak bersembahyang. Sabda Rasulullah: “Perintahkanlah anak-anak itu untuk bersembahyang setelah mencapai usia tujuh tahun dan apabila telah berusia sepuluh tahun, maka pukullah dia jika meninggalkan sembahyang.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Imam Abu Sulaiman al-Khattabi berkata: “Hadis ini sebenarnya menyuluh dan memandu ibu bapa tentang pentingnya mengajar sembahyang kepada anak-anak kerana besarnya ancaman dan seksaan jika anak-anak tersebut meninggalkan sembahyangnya setelah mencapai usia dewasa.”

Suruhan Islam terhadap ibu bapa agar melentur anak-anak dengan suruhan dan kepatuhan terhadap suruhan Allah. Di awal usia tujuh tahun lagi wajib didedahkan mereka dengan perlakuan sembahyang. Jika cenderung mereka sebelum usia itu lagi, maka ibu bapa sudah boleh menggalakkan mereka.

Sebaliknya jika masih berdegil, bolehlah dipukul apabila umurnya telah mencapai sepuluh tahun, kerana di usia ini mereka sudah mengerti dan memahami setiap apa yang diarahkan. Pukulan yang dibenarkan hanyalah untuk mendidik, menyakiti mereka untuk memberikan kesedaran betapa sembahyang itu adalah nyawa bagi mereka sebagai seorang anak yang dilahirkan Muslim. Tiada sembahyang tiadalah hakikatnya mereka sebagai seorang Muslim.

Beginilah cantiknya susunan dan aturan Islam dalam menyuruh mentaati Allah. Didikan yang dimulakan sejak kecil menjadi landasan supaya hati yang jernih mudah dilentuk dan diasuh. Kelak apabila sudah dewasa tidak liat untuk menunaikannya, malah untuk meninggalkannya akan menjadi satu bebanan bagi mereka. Di sini ibu bapa jua yang beruntung kerana berjaya mendidik anak-anak dengan suruhan asas ini.

Sebaliknya jika ibu bapa cuai dan leka, di usia anak tujuh tahun tidak digesa dan disuruh bersembahyang dan usia lebih daripada itu tiada kesungguhan ibu bapa menyuruh mereka bersembahyang, amatlah malangnya ibu bapa ini. Ingatlah pesanan dan ancaman Allah terhadap bapa: “Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada seksaan api neraka.” Tiada keprihatinan ibu bapa mengundang bencana dan musibah. Insan yang alpa dengan suruhan Allah akan mendapat balasannya jua. Tidak di dunia, di akhirat kelak pasti menerimanya.